Selasa, Oktober 21, 2008

Plaza Rakyat



Hujan yang separa lebat buat warga kota yang tersekat di perhentian bas utama Malaysia itu hanya duduk di tangga.

Ada yang menunggu seseorang datang menjemput.

Ada yang berlari-lari anak masuk ke dalam bangunan untuk berlindung.

Ada yang sedang menyedut dan menghembus asap pahit punca kanser paru-paru.

Ada yang menunggu pelanggan untuk masuk ke dalam kereta merah putih mereka.

Seorang. Dua orang. Tiga orang. Empat orang. Jumlah mereka yang memandu kereta merah putih.

Ada Melayu. Ada bukan Melayu. Dan, yang semestinya mencari-cari pelanggan semestinya bukan Melayu.

Seorang dari mereka. Yang bukan Melayu. Begitu asyik mencari penumpang. Semua orang yang lalu lalang, semua ditanyanya.

Dari jauh, kelihatan seorang bukan Melayu. Berpayung. Dan, bukan Melayu itu berbangsa lain dari pemandu kereta merah putih yang sibuk cari penumpang.

Pemuda berpayung tadi berjalan dengan pantas. Menyelinap di celah-celah manusia yang berlindung dari hujan.

Tiba-tiba.

Zaaaazzzzzzz…

Bucu-bucu payung yang tajam itu terseret di kepala pemandu kereta merah putih yang sibuk mencari penumpang. Kepalanya tak berambut.

“Aduh!”

Pemandu itu menarik-narik payung pemuda tadi. Disekehnya kepala pemuda bukan Melayu itu tetapi bukan sebangsanya.

Pemuda berpayung hanya menahan kesakitan. Dan tergesa-gesa pergi. Sibuk agaknya.

Pemandu botak bukan Melayu tetapi tidak sebangsa dengan pemuda berpayung menggosok-gosok kepala tidak berambutnya.

“Bodoh punya Melayu!! Tak reti hormat orang!”

Ehh….

Melayu pula kena marah?

Orang Melayu disekeliling, hanya perhati. Buat tak tahu.

Malaysia, rakyatnya berbilang kaum. Dan, aku tidak racist dan entri ini bukan untuk mewujudkan atmosfera racist. Yang wujudkan atmosfera racist itu, pemandu botak itu. Bukan aku!

Ahad, Oktober 19, 2008

Nantilah Aku Update

Sabarlah. Aku update nanti. Jangan risau.

Dialog sebelum aku aku tutur kata-kata dia atas.

Makhluk : Weeh, ada blog. Tapi tak nak link kan aku.

Aku : Aku update la nanti.. la ni busy la. Hang pun busy jugak kan. Hang tu, blog pun tak update. Nak kalut suruh aku link kan blog hang.

Ya. Sabarlah! Aku update nanti. Jangan risau.

Kawan-kawan Syed Putra, Kawan-kawan UiTM dan kenalan fakulti dan kolej, jangan risau. Aku link kan blog anda.

Selasa, Oktober 14, 2008

Gunung Berapi Itu

Terasa seperti larva ingin meletus. Sudah empat penggal, saban penggal bila tiba saat pengakhiran, sebelum waktu untuk letusan ujian besar, terasa ledakan-ledakan larva yang cukup kuat.

Namun, itu cerita tiga penggal lepas. Penggal ini, larva aku mula meleleh. Bahang memang cukup terasa.

Dengan segala tugasan umpama dipikul sepasang bahu. Atau pun hanya beberapa bahu, sedangkan bahu-bahu yang lain hanya memikul sesuatu yang tidak mendatangkan bebanan. Mudah kata, bebanan itu tak seberapa.

Celaka. Dajal. Lahanat.

Berbakul makian. Tatkala hati digeletek iblis yang laknat.

Namun. Jiwa yang meronta perlukan belaian kelembutan. Mujur ada bidadari peneman. Namun, sang bidadari juga jiwanya bergelora. Juga larvanya ingin meletus. Dan. Aku yang perlu sejukkan kembali dengan mencari ketulan iceberg dan berharap larva sang bidadari sejuk. Walaupun sudah meletus gunung berapi itu sekali.

Sedang sang Iblis berbisik, jiwa aku berlawanan untuk menutup pintu agar bisikan itu tidak mencari ruang untuk menyelinap. Sememangnya tiada kuasa untuk berlawan dengan Yang Maha. Dan naluri manusia biasa, aku sentiasa memohon pertolongan dari DIA. Hanya DIA yang tahu. Rasa ini. Kekalutan ini.

Sungguh, jiwa kotor aku masih lagi ada ruang suci. Masih waras untuk mencari jalan keluar. Dan. Aku yakin, penyatuan sejak beberapa penggal yang lalu semakin hilang taring. Dek kerana mereka yang tidak mengerti maksud perubahan, anjakan, revolusi.

Sungguh, rasa kimia itu semakin menyimpang. Buat aku jadi melayang dan khayal dek pujukan kemalasan. Sehingga memberi ruang untuk kemalasan membina tamadunnya dalam jiwa kotor aku.

Semakin kotor. Semakin hari. Semakin semak.

Kata putus, aku ingin nafas baru penggal depan. Aku ingin dimensi baru. Aku ingin ruang baru untuk diterokai. Kerana, penggal yang bakal tiba perlukan kreativiti dan usaha yang lebih. Aku tak ingin lagi terperangkap dalam kekalutan lama yang dicipta kami sendiri. Aku ingin wajah baru. Itu saja.





Sabtu, Oktober 11, 2008

Aku Mengaku Aku Malas

Sungguh.

Assigment tertangguh-tagguh. Minggu depan semua nak dihantar.

Aku nak menaip pun dah tak semangat. Aduh.

Jadi aku hanya upload gambar. 2 Keping saja. Sebab. MALAS!

http://jazlisafwan.fotopages.com

Sabtu, Oktober 04, 2008

Kena Tag

Sebab kena tag oleh seorang cikgu (baca bakal cikgu), aku pun menyahutlah cabaran cikgu.

*I challenge you to make your own list. The only catch? You can’t include a single person you know on your list. No “I love the way my husband laughs” or “I love hearing my little girl call for me.” It’ll be tough, I know. (Think about it, I couldn’t include MOLLY on my list.) But this particular little exercise is about stripping away everyone who defines you and figuring out what you (not his partner; not their mother/daughter/sister/friend) love.

Cabaran dalam bahasa Inggeris. Tapi, dalam blog suci aku, aku tetap berdegil nak menulis dalam bahasa Melayu.

Saya suka (I love) :

Filem. Tengok filem. Pergi panggung. Download secara haram. Ambil dari kawan-kawan. Sambil tonton otak berputar, mata meliar memerhati apa yang orang sebelah kita kalau dalam panggung tu tak sedar. Maksudnya, aku tengok filem sambi berfikirlah. haha. Muzik dan selektif untuk mendengar. Keutamaan kepada muzik berat dan bergeografikan bawah tanah yang sering disalahertikan. Tapi masih rasional mendengar runut dan bunyian yang indah, mendayu, spiritual, lokal, eksperimental dan lain-lain. Oh ya, CD - original untuk lokal. Mp3, untuk luar negara. Kumpulan Dewa 19. Namun menolak muzik tanah seberang yang lain. Pasukan bola sepak Arsenal. Pasukan bola sepak Kedah. Pasukan bola sepak AC Milan. Pasukan bola sepak Brazil. Pasukan bola sepak Sepanyol. Makan. Mengutamakan masakan tempatan, namun tetap menyukai barat dan gemarkan shushi. Kucing. Membaca dan juga masih selektif. Buku yang dibaca mestilah karya yang bagus, sastera, fiksyen, eksperimental. Lepak di mapley. Berjalan-jalan dan bercuti-cuti dengan Bundle Gens. Cokelat Cadbury Pepermint. Jeans. T-shirt. Kadang-kadang suka bersendirian. Langkawi's Old boys dan Bundle Gens tetap tersemat. Kafein ialah minuman wajib. Meberi pujian kepada hasil seni orang tapi akan mengutuk diri sendiri kerana malas untuk menghasilkan karya sendiri.

Tugasan ini kalau nak diselesaikan takut jadi macam tesis pula. haha. Ini sajalah.

Selasa, September 30, 2008

Gotong Royong Sebelum 1 Syawal

Sebelum tibanya 1 Syawal, tempat bersemadinya Mohamad Jamizan b Ali, abang ngah yang cukup dirindui walaupun tak pernah bertemu, bernisan baru.

Kubur abang Jamizan

Nisan baru untuk abang

Tak lupa juga untuk kubur Allahyarhamah Tok, Money bt Ibrahim yang pulang ke Rahmatullah sehari sebelum aku mengambil peperiksaan akhir bagi subjek Perhubugan Awam (Public Relations) semester lepas.

Pak Lang memasang nisan baru di kubur Tok

Nisan di kubur Tokwan juga dicuci sebersih-bersihnya. Begitu juga dengan kubur Tokwan Noordin.

Ibu membersih nisan Tokwan Senawi

Al-Fatihah untuk mereka yang dirindui.

Ahad, September 28, 2008

Nak Lunch?


Makan tengahari di bulan puasa.

Sabtu, September 27, 2008

Kahwin Dah Si Remy Tu


Remy : U.. U sayang I tak?

Adni : Sayaanggg! (dengan sungguh teruja)

Remy : Jom kita kahwin.

Adni : Kahwin? jom!!!!!!!!!!!!!

Dialog jiwang karat dalam teledrama pendek nak mampus arahan aku.

Sabtu, September 20, 2008

Hanya Sayu, Sepi dan Rindu



Bergunung kerinduan memuncak di sebalik seribu kedut wajah mereka. Lurah sepi semakin mendalam dalam lubuk hati mereka. Mereka sebenarnya sepi dalam keriangan. Mereka inginkan sentuhan dan belaian dari darah daging mereka sendiri.

Mereka ibarat pungguk rindukan bulan. Saban hari menanti sang bulan jatuh ke riba. Saban hari mereka menanti kehadiran anak-anak, cucu-cucu dan saudara mereka. Namun, yang hadir hanyalah orang-orang asing yang punya rasa simpati dan belas yang tinggi datang menghiburkan mereka.


Tersenyum Pak Abbas dengan kehadiran anak-anak muda ini. Rasa rindu pada cucu-cucunya yang tinggal hanya berpuluh kilometer dari Rumah Seri Kenangan Cheng terubat. Walaupun setiap hari anaknya lalu lalang dihadapan RSK Cheng, tapi sudah masuk 18 hari berpuasa sepotong kuih juadah berbuka pun belum diterima dari anaknya itu.


Lain pula dengan Pak Chu. Gembira dengan anak-anak angkat baru pada hari itu. Sempat bernyanyi dan berkaraoke bersama-sama anak-anak angkatnya. Pak Chu yang berasal dari negeri Perak hanya berharap Tuhan membuka hati anak-anak dia untuk datang menjemputnya pulang untuk berhari raya. Walaupun Encik Imran pada taklimatnya memaklumkan bahawa permohonan cuti untuk warga RSK telah dibuka dan dimaklumkan kepada semua waris, akan tetapi pihak pengurusan warga RSK masih belum menerima sebarang maklum balas.


Hati aku sayu melihat seorang makcik yang baru dua bulan masuk ke RSK Cheng ini. Sedang aku berkemas di sudut siaraya, datang dia membelek-belek ke bawah meja PA SYSTEM.

-Anak, ada nampak baju-baju makcik tak? Makcik letak bawah meja ni.

Terkejut aku. Setahuku, tiada pula bungkusan selain peralatan yang kami bawa dari kampus yang diletakkan di bawah meja tersebut.

-Cak, Mak cik cakap baju dia hilang la.
-Jetli, mana ada baju kat bawah ni. barang-barang kita saje.

-Mana baju-baju aku? Macam mana aku nak pakai baju nanti kalau dah hilang? Kenalah aku tunggu anak-anak aku datang bawa baju. Dari hari tu lagi aku tunggu diorang. Tak datang-datang bawak baju baru untu aku.

Sebak aku melihat makcik yang berasal dari Sungai Buloh ini. Menurut Encik Imran, makcik tersebut mempunyai masalah ingatan. Nasib baik Syeeda sanggup melayan. Dan aku bertambah sebak bila makcik itu cuba mengambil botol air mineral di dalam tong sampah.

-Makcik, ni kotor ni. Nanti saya beli botol yang baru kat makcik yer..
yang ni kotor. Tak leh nak minum.

Syeeda dengan nada yang sebak cuba melayan kerenah dia.

Hari tu, ramai yang menitiskan air mata. Sebak melihat nasib mereka. Bukanlah nasib mereka tidak baik. Makan minum, kebajikan dan kesihatan mereka cukup terjaga. Tetapi, mereka mempunyai sakit rindu dan sepi yang cukup kronik. Mereka perlukan sentuhan-sentuhan yang dapat mengembirakan hati mereka.


Selepas aku mambantu beberapa rakan yang sedang basuh pinggan yang turut disertai pensyarah muda yang baik dengan kami, aku dan beberapa rakan yang sebentar tadi beramah mesra dengan warga RSK di satu anjung berjalan di sekitar asrama. Tarawikh di surau masih belum tamat. Namun, malam itu aku tidak dapat ikut serta dek bermacam hal yang belum diselesaikan di bahagian dapur.

Zai, seorang minah rayau yang ditempatkan di RSK Cheng ini mengajak kami melawat sekitar asrama RSK Cheng yang agak luas ini. Zai sebenarnya seorang perempuan yang berumur dalam lingkungan 40-an dan juga mempunyai masalah ingatan. Namun, masih lagi ada tanda-tanda waras. Dibawanya dia ke wad pesakit mental, yang berpagar tinggi dan katanya ada kawan dia yang tinggal dalam kurungan itu dan suka menjerit-jerit.

Yang ingin aku ceritakan ialah Zai membawa kami ke wad sakit. Di sini, warga RSK yang mempunyai penyakit ditempatkan. Ketika aku melangkah, aku disapa oleh pakcik yang berkerusi roda. Dia hanya mempunyai satu tangan. Sedang aku, Taki dan Nini melayan pakcik itu, seorang lagi pakcik yang bangun dari katil memanggil Taqi dan aku bila terdengar kami berasal dari Jelapang Padi. Sedang aku memperkenalkan diri, seorang lagi pakcik yang sebentar tadi sedang berbaring memanggil-manggil aku.



Dia juga tertarik bila mengetahui aku berasal dari negeri Jelapang Padi. Dan pakcik ini sebenarnya menghidap strok. Perbualan kami banyak kepada pengalaman-pengalaman beliau dan ketidakpuasan hatinya terhadap doktor dan katanya doktor tak bagi ubat yang betul. Sebab itulah stroknya tak pernah sembuh. Namun, hati agak sebak tatkala kawan-kawan yang lain memanggil aku untuk aktiviti bermain api.

Pakcik strok memandang sayu dan berharap aku tidak pergi. Pakcik bertangan satu bertanya bila boleh datang lagi dan berkata dia, usahlah berjanji nak, kalau berjanji, hanya menjadi harapan yang besar buat kami di sini. Kemudian pakcik strok berkata harapan yang jadi harapan. Tersentap kalbu aku. Sedang bersalaman dengan pakcik bertangan satu, pakcik strok masih memanggil-manggil aku dan berharap aku tidak pergi. Namun, aktiviti lain perlu diteruskan dan aku terpaksa tinggalkan mereka dengan langkah yang cukup berat.



Aktiviti terakhir ialah bermain bunga api bersama-sama. Walaupun tak ramai warga RSK yang turut serta kerana kebanyakan mereka terus tidur selepas solat Isyak, tetapi cukuplah untuk menggembirakan Pak Ali dan Pak Abbas yang masih setia bersama. Sebelum pulang, sempat aku tayangkan tayangan slaid gambar-gambar mereka yang pernah ditangkap oleh Liza dan Kak Pai yang merupakan wajah-wajah yang tidak asing pada warga RSK Cheng.



Mereka, perlukan sentuhan kasih sayang dari darah daging mereka. Mereka rindukan anak-anak mereka. Mereka dahagakan peluk cium waris-waris mereka..


P/S : Gambar-gambar diceduk dari laman Myspace kawan-kawan. Gambar rasmi belum aku terima dan kamera aku tak digunakan pada hari itu memandangkan 90% kamera yang dibawa pada hari itu ialah kamera DSLR dan juga ada wakil dari fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (fotografi) yang kamera dia canggih gila dan menjadi tukang gambar rasmi hari itu. Haha. Tahniah untuk warga kelas aku, DMC 4E yang berjaya menjayakan aktiviti ini. Semester depan kena ambil subjek Event Management, kita buat lagi mantap arr!!

Selasa, September 16, 2008

Berkasih Sayang


Mari berikan mereka kasih sayang!

Majlis Kasih Sayang Ramadhan DMC 4E

Tempat : Rumah Seri Kenangan, Cheng, Melaka.
Tarikh : 18 September 2008, Khamis
Masa : 4.00 petang - 10.00 malam

Antara aktiviti yang bakal diadakan ialah persembahan khas dari warga DMC 4E ( aku jadi tukang ambil gambar saja, sebab dah aku ajk publisiti.Haha), acara beramah mesra dengan warga Rumah Seri Kenangan, majlis berbuka puasa dengan hidangan Nasi Ayam Nadia, nasi ayam paling laris di daerah Alor Gajah dan solat berjemaah.

Pensyarah-pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Melaka yang berkelepangan juga turut serta dalam acara ini.

Kami amat mengalu-alukan sumbangan ikhlas anda untuk disalurkan ke tabung kebajikan RSK, Cheng.

Ramadhan dihayati, amal disusuri.

Khamis, September 04, 2008

Siri Kenangan Di SMSTSP : Puasa dan Daging Merah

Bulan puasa di SMSTSP muncul pada tahun-tahun akhir aku di sana. Bulan puasa di SMSTSP banyak catatannya. Form 4, Form 5. Banyak catatannya.

Hari tu, macam selalu. Ahli pertubuhan remaja-remaja riang yang masih beradab, Bundle Generation (BG) keluar membeli juadah berbuka.

Biasanya, suasana petang di hadapan sekolah meriah dengan deretan gerai-gerai makanan.
Berduyun-duyun. Bergombolan. Berpasangan.

Warga SMSTSP, ILP dan Maktab Perguruan membeli juadah.

Tapi, hari tu Muhammad Adli Farris bin Rabaa’I dan Rammesh Pilley a/l Rajagopal (yang juga puasa tapi tak niat dan tak sah, haha) terasa ingin menukar selera.

“Wey, beli kat Embun Dingin aaahh”. Adli.

Embun Dingin ialah restoran yang khabarnya pernah masuk dalam rancangan Tivi Tiga.

“Tu aah.. Tak menarik aarr kat tempat lain” Rammesh.

Badrul Iman Abidin juga ingin masuk campur dengan mengangguk. Tak salah aku, Muzaqqhir juga terlibat ketika scenario ini berlangsung.

Aku, hanya ikut. Janji kenyang.

“Makcik, daging masak merah berapa aaa?” Adli, Tanya makcik Embun DIngin. Harga.

“Makcik buat yang 3-4 orang bulih makan. Kira bayaq RM11.40”

Masing-masing berbincang. Berfikir. Bertanya. Dan, setuju.

RM11.40 akan dibayar oleh Muhammad Adli Farris, Ramesh Pilley, Badrul Iman dan aku. Aku terlupa Sabri terlibat atau tak (?)

Menunggu. 20 minit, siap!

Dapat bungkusan, semua memandang sesama sendiri. Masak daging merah yang dipesan, tapi warnanya kelabu. Okey, masih diterima.

Dapat bungkusan, semua memandang sesama sendiri. Masak daging merah yang dipesan untuk 4 orang makan, tapi macam untuk seorang jer?

Rammesh dengan semangat juang bertanya, “Betui ka ni untuk 4 orang?”

Makcik Embun Dingin dengan tanpa rasa bersalah mengangguk.

Dengan berat hati, 4 orang jejaka maskulin tu membayar RM11.40.

Titik. Titik. Titik. Titik. Titik. Titik. Titik.

Makanan dan juadah sudah tersedia. Nasi, lauk pauk Dining sudah diambil.

Dengan penuh teruja, Adli dan Rammesh membuka ikatan dengan penuh kasih sayang.

Dan, daging masak merah yang warna kelabu dibahagi-bahagi.

Meja panjang tu penuh dengan ahli BG dan kroni jemputan. Pada awal tadi empat jejaka maskulin tu berbangga kerana mereka bakal menjamah juadah mahal yang semesting sedap kerana dibeli di restoran yang pernah masu rancangan Tivi Tiga.

Sehelai. Dua helai. Tiga helai. Ehh. Dah habis??

Juadah berbuka yang mahal, dibeli di restoran yang masuk Rancangan Tivi Tiga, iaitu daging masak merah berwarna kelabu yang dimasak untuk 4 orang hanya mengandungi lebih kurang 12 hirisan daging. Atau bahasa BG, seorang dapat lebih kurang 3 helai daging.
Maka, terdengar ketawa-ketawa sinis mereka yang tak dapat merasa masakan yang mahal itu. Ciis!!

Sememangnya bulan puasa mengajar erti sabar. Begitulah puasa di SMSTSP. Dan. Cerita daging seorang 3 helai akan terus diputar-putar dan diceritakan oleh sekumpulan jejaka-jejaka maskulin yang cubah mengubah selera tapi hampa dan diketawa oleh mereka yang lain.

Bulan puasa di SMSTSP.

Muncul pada tahun-tahun akhir aku di sana.

Bulan puasa di SMSTSP banyak catatannya. Form 4, Form 5. Banyak catatannya.

Nota kaki : Entri yang dilabelkan sebagai Siri Kenangan Di SMSTSP ini ialah kisah-kisah benar dan yang tak berapa benar tapi dibenarkan oleh aku yang berlaku sepanjang lima tahun aku di SMSTSP, Perlis. Nama-nama dan watak yang terlibat sememangnya wujud tetapi diubah suai dengan suka hati aku agar empunya badan berasa bangga. Segala ketidakpuasan hati terhadap aku boleh dikritik dengan terbuka. Kepada yang terlibat, ini hanya satira yang menjadi kenangan.

Jumaat, Ogos 29, 2008

Bebas


Kalau nak berbicara hal kemerdekaan, mesti orang muak. Setiap tahun, tiba bulan Ogos, ramai yang akan sentiasa berbicara, berlabun, berbual dan bercakap-cakap merdeka.

Merdeka. Independent.

51 tahun. Setengah abad dah tu. 51 tahun untuk Tanah Melayu. Tapi, baru 45 tahun untuk Malaysia. 16 September 1963, Malaysia (semenanjung dan Borneo bersatu).

Merdeka. Independent.

Apa yang kita dah dapat? Pembangunan. Ya. Bandar Raya Kuala Lumpur memang membangun. Tapi sedarkah kita, Kuala Lumpur membangun dengan rupa wajah yang hodoh. Sistem jalan raya yang tidak efisyen dan bahaya. Kurang mesra pengguna jalan kaki dan kurang upaya. Pembinaan yang kurang kualiti. Aah!
Merdeka. Independent.

Apa yang kita dapat? Kepesatan? Betul! Memang pesat! Pesat dengan warga asing. Pesat dengan pembohongan dan pendustaan. Pesat dengan konspirasi.; Pesat dengan kepura-puraan. Pesat dengan anak-anak haram. Pesat dengan mat-mat gian. Pesat dengan mat-mat lapar batang. Pesat dengan minah-minah gersang batang juga. Malah pesat-pesat dengan jantan-jantan tak berbelalai! Aah!

Merdeka. Independent.

Apa yang kita dapat? Anak Muda. Anak muda yang berpendidikan tinggi. Tapi, nama saja lulusan universiti, kerja haram tak dapat! Anak muda, cuba membuat revolusi, tapi terkongkong. Terkongkong dek telunjuk orang-orang tua. Anak muda, pemikiran semakin sempit dan daya kreativiti. Dek sistem pendidikan langsung tak berkembang sejak 51 tahun dahulu. Yang ada hanya penambahan-penambahan tanpa sebarang perubahan drastik. Anak muda, dek ketidakbijksanaan kaum tua, menjadi mereka menjadi kreatif tak kena tempat. Heei!! Anak muda ialah pewaris masa depan negara. Itu, kaum tua selalu laungkan. Tapi, kaum tua juga yang mencipta halangan-halangan untuk anak-anak muda.

Merdeka. Independent.

Apa yang kita ada? Kaum tua. Ya! Mereka yang meneraju negara. Mereka juga yang membangunkan negara. Mereka berpakaian sut kemas. Kata-kata mereka betul-betul belaka!. Heey!! Lupakah kita tentang sejarah. Revolusi dalam negara dimulakan oleh anak-anak muda. Kini, mereka sudah tua. Mereka perlu menerima revolusi dari anak-anak muda sekarang. Tapi, mereka dengan kuasa mencipta halangan-halangan untuk anak-anak muda. Anak muda cuba bersuara diakatakan memberontak. Anak muda cuba memanfaatkan dewan-dewan kosong yang terbina dan terbiar untuk aktiviti kreatif dikatakan mengadakan parti liar. Sampai bila orang yang bersut kemas, bertali lahir itu perlu berasa mereka terlalu suci dan semua kata-kata mereka betul. Mamat rockers seluar jeans lusuh lagi tajam akal mereka dari mereka yang bersut kemas dan menjerit-jerit dalam parlimen tu!

Semua orang perlu bebas! Moga selepas 51 tahun, mereka sedar. Dan. Ubah. Ubah. Ubah. Agar Malaysia menjadi negara yang maju realitinya, bukan hanya pada tulisan-tulisan di dalam esei-esei untuk pelajar SPM sahaja.

Rabu, Ogos 27, 2008

Double Treble

Adegan yang masih bermoral ini berlaku via Sistem Pesanan Ringkas (SPR) di Stadium Nasional Bukit Jalil yang dilimpahi lautan hijau kuning.

Bungkuslah korang. Sebijik dah kena! Haha!

20 minit kemudian..

Xmain la sebjk. Kami bg 3 bj ni..Hahaha!!

Bengongnya defend!!

Malam tu, berlinang air mata rakyat Kedah dengan kegembiraan!

p/s : Kredit gambar = Dewa








Selasa, Ogos 19, 2008

Butterfingers - Kembali ; Sebuah Reviu Untuk Kawan-Kawan


Kalau di SMSTSP, Kangar circa 2001-2005, lagu-lagu Butterfingers menjadi lagu wajib mereka yang berjamming di bilik pancaragam sekolah. Lagu-lagu dari album 1.2 Miligrams, Butter Worth Pushful jadi lahu wajib depa-depa ni.

Tahun ni, Buterfingers kembali dengan KEMBALI. Album kedua berbahasa Melayu selepas Selamat Tinggal Dunia (STD). Kalau STD sebuah album berbahasa Melayu yang agak dark dari segi lirik dan pembawaan muzik dan dipenuhi dengan pengaruh dari band Radiohead, tapi Kembali pula sarat dengan lagu-lagu yang buat anda bergoyang, menganggung tanda setuju dan senyum. Bahasa mudah, lagu-lagu dalam Kembali lebih ceria dan sing-a-long.

Kembali sarat dengan melodi-melodi lagu Melayu kelasik era 50-60 an. Senang cerita, memang kembali ke dasar muzik Melayu, tapi dengan cara Butterfingers. Emmet pun bersyair. Ini ulasan setiap trek dalam album ini:


Trek 1 - Joget Global
Lagu joget dengan bunyi gitar Loque yang mantap! Intro lagu dengan Emmet bersyair. Memang lah lagu yang cukup bijak untuk pembukaan album. Dekat bridge lagu ni, Emmet dengan Loque bercappela. Lirik dia macam berunsur politik pula di situ. Ubah Ubah Ubah. Hahaha

Trek 2 - Bebas
Chaer kata mak dia suka lagu ni. Memang merdu! Lagu dia mudah dan tak komplikated. Serius.

Trek 3 - Maharani
Single kedua dalam album ini. Kalau dalam STD bebas dari bunyi biola, kali ini Emmet kembali berbiola. Melodi yang memang menangkap telinga. Part biola tu memang terngiang-ngiang di telinga aku siang malam. Serius. Memang aku ulang banyak kali dengar lagu ni!

Trek 4 - Terus Terang
Lirik dia ala-ala lagu E tapi yang diMelayukan. Tapi, lagu jauh bezalah dengan lagu E. Solo gitar Loque di tengah-tengah macam solo dalam Butter Worth dulu. Tak pun 1.2 Mg.

Trek 5 - Air Liur di Kuala Lumpur
Lirik macam lirik-lirik dalam STD. Lagu terus terang pun lebih kurang macam tu. Ada melodi Vio-Pipe siap. Haha.

Trek 6 - Lengkap Semula
Argghh!!! Lunak!! Gabungan melodi lagu Terkenang Zaman Dahulu nyanyian R. Azmi dengan bahagian korus tu macam dalam Anakku Sazali. Memang macam dengar lagu-lagu klasik. Cara Emmet nyanyi kalau buang muzik Butterfingers tu, dah boleh pasang kat Radio Klasik Nasional ni. Hahahahha. Lirik dia macam kisah cinta pun ada, atau pun lebih kepada keTuhanan (?) Lagu pilihan Aqqhir ni!!

Trek 7 - Merdeka
Ni lagu yang memang aku nak dengar. Lagu keroncong dari Butterfingers bersama Pak Kassim Masdor. Aku jumpa Pak Kassim Masdor hari tu kat FFM 21.haha.. Memang aku akan pasang lagu ni 31 hb Ogos ni!

Trek 8 - 1000 Tahun (Mahu Hidup)
Tak payah ulas kut? Single yang pertama dari album ini. Keluar berbulan-bulan awal sebelum album ini. Dengan video klip yang cukup sinis kritikalnya. Macam lagu-lagu lama Butter, intro dia agak panjang dengan bunyi gitar Loque ala-ala melodi dari Sape (ala muzik Sarawak tu).

Trek 9 - Gelombang Cinta
Bagi akulah, mood lagu ni kembali ke mood STD. Lagu ni memang kuat bunyi eksperimental ala-ala Radohead. Sedikit mellow. Vokal pun menyanyi malas-malas macam Thom Yorke. Haha. Bahagian vokal malas tu aku rasa Loque yang nyanyi.

Trek 10 - Mendaki Menara Condong
Loko memang seorang mesin dram! Betul kenyataan Loque tu. Aku suka beat dram Loko dalam lagu ni. Lirik lagu macam ayat-ayat motivasi pun ada. Hahaha.

Trek 11 - Mati Hidup Kembali
Ramai yang cakap lagu ni berbau The Beatles. Setidak-tidaknya lagu Let It Be. Aku setuju!! Paduan dua vokal yang cukup mantap dengan melodi yang cukup kuat!! Melodi inspirasi lagu Sedangkan Lidah Lagi tergigit dari P. Ramlee. Memang aku suka melodi piano lagu.

Kembali memang kembali pada dasar Butterfingers iaitu penghasilan lagu-lagu yang melodinya cukup melekat. Mereka juga mungkin kembali ke pengaruh muzik tika pengembangan muzik Melayu moden era 50-60 an. Album yang bakal menjadi playlist aku untuk jangka masa yang panjang rasanya. Aku pun dah kering idea nak ulas. Hahaha. Yang aku tau, kalau aku dengar cd ni, aku takkan skip mana-mana lagu!!!

Ahad, Ogos 17, 2008

Aku Bukan Racist



Sungguh. Aku bukan racist. Tapi, aku tak setuju cadangan tu.

Sungguh. Aku bukan racist. Kalau aku racist, aku tak rasa hiba bila Lee Chong Wei dapat masuk final Olimpik.

Sungguh. Aku bukanlah racist. Kalau aku racist, air mata aku takkan bertakung tatkala melihat Marlon Alex James, Hugging dan Nelson San Martin mengelilingi Stadium Darul Aman selepas perlawanan menentang Terengganu tanda itulah perlawanan terakhir mereka di bumi Darul Aman.


Sungguh. Aku bukan racist. Sebab tu aku ada kawan yang namanya Rammesh Pilley, Lim Chea Foong, Silvia Ann, Mun Yee, Jowie.

Sungguh. Aku tak racist. Tapi, aku bantah dengan cadangan tu.

Sungguh. Aku tetap setuju yang situlah benteng Melayu yang terakhir dan perlu dipertahankan.

Allah takkan menolong sesuatu bangsa itu untuk berubah kecuali bangsa itu yang berusaha untuk berubah. Orang tahu ayat Al-Quran yang menyebut ini.

Jadi, siapa lagi yang nak tolong bangsa kita yang semakin layu dengan namanya itu. Bangsa kita yang akan bantu bangsa kita sendiri. Salahkan dengan kenyataan ini? Racist kah aku??

Sungguh. Aku bukannya racist!!

Selasa, Ogos 12, 2008

Cerita Festival Filem

Mulanya aku ingatkan ajakan ke FFM21 hanya gurauan. Tapi, memang serius. Selepas modul PPKP semester 4 bersama pengarah kampus tamat, aku bergegas ke kolej dan bersiap. Ada satu lagi grup. Tadi di dalam dewan menayang-nayang pas masuk ke acara ini.

Pas yang difotostat kertas hijau. Ada cop. Finas mungkin.

Aku tak kisah, walaupun tiada pas, aku tetap boleh masuk.

Dari Melaka, aku dan Taki menumpang Maria. Tapi bukan kereta putihnya itu. Ini kereta milik adik kepada pelakon Dynaz. Dan, adik kepada pelakon Dynaz itu pula buah hati Maria. Lewat petang kami tiba di Serdang dan bertukar kenderaan.

Anuar Ali, sedang tunggu dan terus kami naiki kereta hijau kecilnya. Dalam 40 minit, tiba di Pusat Konyensyen Antarabangsa Putrajaya.

Kan aku dah cakap, tak berpas pun kami oleh masuk. Advantage? Spesial? Hahaha
Terima kasih kepada abang ipar Anuar Ali yang menjadi urusetia majlis ni. Kami bertiga dapat masuk dengan tanpa rasa risau. Masuk dari pintu belakang pentas. Maka, terserempaklah dengan selebriti, artis dan orang terkenal yang sedang berhias dengan baju-baju mahal mereka tika azan Maghrib berkumandang.

Untuk beberapa seketika di belakang stage, dapat kucerna realiti sebenar dunia hiburan hedonis ini. Hipokrasi dan lakonan yang maksima.

Sememangnya majlis ini bersifat hedonis tapi aku hadir untuk timba ilmu dalam bidang penyiaran dan sekaligus bertemu atau mungkin hanya berselisih dengan karyawan tempatan.
Acara bermula selepas acara karpet merah, yang juga penuh hiprokasi dijalankan. Ketika acara yang siaran langsung dipacarkan ke seluruh Negara melalui saluran swasta berbayar itu baru dimulakan dengan tarian gedik-gedik, pegang-pegan, raba-raba lelaki perempuan, kerusi bahagian artis-artis tempatan dengan pakaian-pakaian terselak depan belakang agak kosong. Rupanya, artis-artis ni baru datang. Penuh di pintu masuk utama dengan artis-artis ni yang lewat ni sebab urusetia tak benarkan masuk sebelum rehat untuk iklan.

Dengan minda positif, otak aku merembes kata-kata bahawa mereka sembahnyang dulu, tu yang lambat tu. Mungkin?

Acara dimulakan dengan dua selebriti terkenal, Linda Onn dan Bob Lokman. Tapi, gandingan dua selebriti ni agak kurang melahirkan perisa dan rempah ratus kimia untuk majlis ini. Maksud aku, kalau dalam bahasa mudah, tiada chemistry. Haha..

Anugerah-anugerah awal seperti anugerah filem pendek sebenarnya telah menaikan ghairah aku. Bukan aku ghairah dek artis-artis yang terbonjol gunung-ganang lurah dendam, tapi ghairah yang aku ingin juga jadi calon dalam anugerah itu. Mungkin suatu hari, Dengan izinNYA.
Beberapa anugerah malam tu ada yang tak menepati ramalan aku. Dan, anugerah cerita asal terbaik yang dimenangi oleh Anak Halal memang agak kurang memuaskan hati aku. Kenapa? Pergi cari filem Anak Halal dan tengok sendiri. Beli yang Ori lah! (tanda aku sokong industri filem kita, wajah kita!)

Keseluruhannya, majlis ini sebenarnya umpama melengkapi kalendar acara tahunan yang wajib diadakan. Formatnya, rasanya sejak selepas 21 tahun penganjurannya, masih tak berubah. Walaupun umur aku baru 20, tapi format untuk majlis anugerah seperti ni seperti diulang pakai tanpa banyak perubahan. Terlalu tipikal rasanya. Dari segi bunyi-bunyian dalam dewan, memuaskan walaupun ada ketika muzik dan vocal tak seimbang bunyinya. Mungkin artois tu nyanyi dengan suara yang perlahan atau pun mungkin suara dia memang tak sedap dan untuk elak dikutuk, dia nyanyi perlahan.

Persembahan, sememangnya biasa sahaja dan dilopori oleh artis-artis AF sampaikan juara AF6 3 kali tersilap waktu nak menyanyi. Hebat sungguh juara dalam bidang nyanyian ni! Gaya pemakaian tudung Siti semakin bertambah baik tapi masih lagi kurang menepati syarak. Tapi, sekurang-kurangnya dia berusaha.

Para penyampai anugerah juga ada kala seperti nak tak nak untuk menjadi penyampai. Dan, aku terkilan dengan anak seni yang berpengalaman itu. Memang dia hebat, memang dia tabah mengahadapi ujian penyakit yang diuji Tuhan, tapi bila hendak diumumkan pemenang pelakon wanita terbaik, tiba-tiba dia jadi teruja yang bagi aku cukup melampau sebenarnya bagi seorang yang berumur dan sedang sakit. Bak kata Taki, “tadi dok sakit, la ni teruih sihat ehh”
Hebat betul, sampai yang sakit tiba-tiba jadi sihat.

Untuk tahun hadapan, harap Festival Filem Malaysia tidak meneruskan tradisi penggunaan format majlis yang agak tipikal ini. Sekurang-kurangnya ada sedikit peningkatan dari segi kekreatifan formatnya. Dan, janganlha hanya tagline filem kita, wajah kita sahaja yang dilaung-laungkan. Apa kata, anjurkan anugerah kita dengan wajah kita juga!

p/s : Gambar tengok dalam Friendster atau Myspace aku!

Khamis, Julai 17, 2008

Semester Baru

Semester baru. Dah pun bermula hampir dua minggu. Dan, rumusannya. Aku agak kurang senang dengan beberapa tenaga pengajar. Yang seperti mengajar kami macam pelajar sekolah menengah. Walaupun dimaafkan sebab mungkin kali pertama bergelar pengajar selepas sebelum ini bergelumang dengan dunia profesional mereka.

Dan semester ini kelas banyak pada lewat petang. Dari pukul 6.30 hingga malam. Maka, terpotretlah gambaran sebenar mereka. Tika rehat untuk Maghrib, hanya aku lelaki yang berjalan keseorangan ke surau. Mereka? Entah lah...

Al Fatihah Buat Datuk Ahmad Basri

Perginya Bapa Pembangunan Bola Sepak Kedah.

AL-Fatihah.

Khamis, Julai 03, 2008

Dan..Aku Semakin Alpa

Angin-angin. Tiup sepoi. Dan. Dia sudah tak mahu kongsi. Dan. Semakin hari, sekitar, rasa, jarak, aku dan dia, seperti, dihalang. Mungkin aku. Mungkin dia. Mungkin aku dan dia. Mungkin dia dan aku. Dia dan aku mungkin, yang bina halangan itu.

Dan. Aku mula negatif. Dan. Aku mula fikir lain. Dan. Aku tak tenang.

Aku, mencari dan terus menyelak segala rasa dalam hidup. Untuk cari damai. Sebab, halangan yag terbina saban hari buat hilang kedamaian. Dalam tetingkap rasa.

Aku mencari-carinya. Dalam isi ciptaan Tuhan. Tapi, belum dapat damai mega itu. Sebab, halangan itu terbina dek rasa kasih aku pada dia. Dan. Dia tidak rasa itu.

Dan. Malam ini baru kusedar. Setabah mana aku bersabar mencari damai dan cinta itu. Sukar kalau diri diulik alpa. Dan. Memang aku alpa.

Di sudut termenung, terpandang ia. Sudah hampir sempurna aku tak sentuhnya. Dan. Dengan kudratku, aku sentuh dia. Dan. Damai itu datang dengan sendirinya. Dan. Ampunilah aku Yang Maha. Sebab aku alpa. Dan. Syukur pada Mu. Kitab itu penawarnya.


Selasa, Jun 24, 2008

Darul Sunnah Yang Menyambutku


Malam itu, Amek memujuk aku. Penuh rayu. Tapi langsung tak romantis. Kerana. Sememangnya Amek bukanlah seorang perempuan. Dia seorang lelaki.

Maka. Aku langsung tak merasai keromantisan dari pujukan-pujukan dia. Kerana. Aku bukan seorang gay!

Tidak. Amek bukan memujuk yang bukan-bukan. Amek hanya meminta aku pergi ke negerinya. Negeri tempat aku mencari segala sisa pengetahuan dunia dan akhirat. Segala pujukan Amek via SMS dibalasku bertalu-talu.

Akhirnya. Aku mengalah. Aku turuti. Dan. Aku setuju.

Kata Amek, selain Pak Lah, Mat Zam akan turut serta. Ah. Aku tahu impian dan hala tuju Mat Zam nak ke sana.

Pagi Jumaat, aku bertolak dari pulau ini ke seberang sana. Amek menyambut aku. Dengan kereta ibunya. Dan. Seperti amalan biasa bila kenalan sudah lama tidak bertemu. Semestinya berbual-bual perihal rakan taulan yang lain. Tak lupa. Dengan selingan kisah-kisah politik semasa duniawi.

Tiba di rumah Amek, bersiap kami ke masjid. Untuk bersolat yang wajib. Sesungguhnya masjid tempat pertemuan dan jalinan ukhwah. Aku jumpa Safwan. Aku juga jumpa Cikgu Zulkarnain dengan dua anaknya. Yang sekarang memang mengalami tumbesaran yang super. Kali terakhir mereka berdua, yang kecil tu masih lagi bayi. Aku juga terjumpa dengan Cikgu Yusri di dalam rumah Allah itu.

Selepas makan tengahari, Pak Lah dari Abi datang dengan motornya. Mat Zam dihubungi via telefon bimbit. Dan lebih kurang sejam kemudian, Mat Zam datang. Selepas membantu ibu Amek. Kami mula merencanakan segala perancangan.

Petang tu, dengan 3 buah motosikal. Kami. Menunggang dengan kadar kelajuan yang berpatutan, makan cendol spesial. Kemudian. Ke rumah Chaer. Berbual seketika boleh. Dan. Sekali lagi kami bergerak dengan motosika. Tiba di Sekolah Menengah Abi. Kami. Tinggal di rumah warden asrama puteri. Rumah ibu Pak Lah. Tapi. Sebenarnya asrama puteri itu kosong. memandangkan semua warganya pulang ke rumah. Cuti hujung minggu. Tak sampailah hajat Mat Zam. Nak jadi kasanova.

Malamnya. Kami mencari-cari idea untuk mengenyangakn perut. Akhirnya. selepas restoren Embun Dingin tidak menjadi pilihan Amek, kami ke roundabout Kangar. Yang terkenal dengan kedai-kedai makan. Kami memesan burger oblong yang menjadi kegemaran aku. Dan. Mat Zam baru pertama kali mengetahui kewujudan burger ini. Sedangkan. Burger oblong kilangnya ada di Kedah.

Di sebabkan terpengaruh dengan selera Amek. Kami dengan penuh nafsu yang agak terkawal memesan pula char kuew tiaw. Tapi. Ikut selera aku. char kuew tiaw di Taman Kokam. Dekat rumah Muhammad Teja lagi mengancam.

Selepas perut terisi. Mat Zam mengajak kami berjalan-jalan pusing Perlis. Dan. Pak Lah mengajak ke Sungai Kechor. Aku dan Mat Zam. Teruja. Tapi. Bila sampai di Sungai Kechor. Langsung tak teruja.

"Cis. Kat sini ka!!" Mungkin dalam hati Mat Zam terdetik begitu.

Baru kutahu. Dataran dekat Hospital tu namanya Taman Sungai Kechor.

Pulang ke rumah. Kami bercadang untuk menonton DVD. Berkelahi. Amek nak tengok Duyung. Mencari-cari di mana DVD itu. Pak Lah yang sebelum itu pulang ke rumahnya yang satu lagi untuk mengamil PS2 mati-matian berkata yang dia dah ambil DVD tu. Sedang mereka mencari. Mat Zam mula memasang PS2. Dan bermain. Sampai. Aku naik bosan.

Esoknya. Kami cuba bangun awal. Kononnya. Tapi. Lewat juga. Hari ini merupakan hari untuk rancangan utama Pak Lah. Semalam beberapa orang telah dihubungi. Antaranya Mat Top dan Taqim. Untuk realisasikan rancangan ini.

Kami dengan keadaan yang tak mandi. Bertolak. Ke Bukit Ayer. Untuk mandi. Sampainya di sana. Pengunjung masih belum ramai. Kerana masih pagi. Kami terkejut. Air di kolam buatan di sungai itu cukup jernih.

Terus terjun. Walaupun licin. Bermain air. Sambil. Mencuci mata. Sambil mandi, Mat Zam ajar tarian joget. Amek. semacam pensyarah geologi. Atau pun. Macam ahli geologi. Jumpa batu. Belek-belek. ketuk-ketuk. Buat huraian.

Taqim tiba. Dengan jersi Itali. Tak mahu mandi katanya. Selepas Mat Zam belanja ais krim keladi. Kami pulang ke rumah Pak Lah. Di sana, Mat Top telefon. Dia memang nak ke Bukit Ayer. Tapi. Dah terlewat.

Kemudian. Kami nak ke sekolah. Sebelum tu, Mat Zam nak ke Kangar. Beli ayam Amerika. Untuk gadis dia.

Taqim hantar Mat Zam ke sekolah. Yang lain. Makan tengahari di Anjung Keli. Di simpang nak ke SMSTSP. Berbual. Bersembang. Berborak.

Ke sekolah. Berjumpa dengan junior. Dan. Berbual. Bersembang. Berborak.

Hari tu, Sabtu. Seperti biasa. Ada pasar malam. Berjumpa lah aku dengan Mak Cik Izan. Perniagaannya dah berkembang. Dulu jual popia basah sahaja. Sekarang. Popia goreng ada. Keropok. minuman ringan. Mak Cik Ani pula, dah tak jual cendol. Jual laicikang dan masih lagi dengan kuew tiaw tomyamnya. Dapatlah juga semangkuk laicikang dan kuew tiaw.

Aku pulang petang tu. Walaupun hanya singkat pertemuan ini. Aku masih gembira. Dan. Aku berharap. suatu hari nanti. Akan ada ghatering untuk SYTRA 0105 yang berada di Lembah Kelang. Sebab. Setahu aku. Ramai yang berada di sekitar Lembah Kelang dan negeri di Selatan yang berjiran dengan Kuala Lumpur. Ayuh! kita kumpul lagi!

Ahad, Jun 22, 2008

Biar Jasa Jadi Kenangan! : Piala FA Milik Kedah Buat Musim Kedua!

Penyokong Selangor beria-ia berkata pasukan Hijau Kuning Menang nasib. Hah! Kalau kawal permainan tapi tak boleh skor, tak payah lah nak canang-canang yang pasukan Hijau Kuning Menang nasib!

Tahukah anda, sepatutnya Amri Yahya yang kena kad bukan Sabree Abu. Dan. Tahukah anda. Khyril Muhymeen patut dapat penalti sebab kaki dia dicantas.

Tahukah anda, kalau anda tengok balik ulang tayang yang kononnya bola tu gol, anda akan dapat tengok yang bola tandukan Safee Sali tu sebenarnya tak masuk dan Thirumurugam sempat menendangnya keluar.

Tahukah anda, Ketiga-tiga gol Kedah dijaringakn dengan cukup comel kalau dibandingkan dengan 2 gol Selangor yang sebenatnya cukup nasib! yang pertam bila Fazliata atau pun nickname nya Ustaz itu cuba clear bola tu tapi tak sampai dan gol kedua ialah gol yang tak bermaruah sebab penalti.

Tahukah anda, pengulas permainan ni dengan penuh yakin menyokong pasukan Selangor dengan ayat-ayat yang asyik mengulas pasukan Selangor dan memberi pujian kepada Selangor.

Tahukah anda, jurukamera RTM jarang fokus kepada penyokong Kedah yang cukup ramai itu dan hanya fokus kepada penyokong Gergasi Merah. Akan tetapi, teriakan lagu Hijau Kuning bergema di setiap sudut dan sorakan pulun Kedah Pulun berngiang-ngiang dan berlantun-lantun di ruang stadium Shah Alam.

Tahukah anda lagi, FAM memberi komen yang cukup bodoh dengan menyatakan bahawa sambutan dari penyokong adalah lembab. Sedangkan mereka sendiri yang menjual jumlah tiket yang sedikit dan menaikkan harga tiket 100%. Bijaknya Persatuan Bola Sepak Malaysia.

Tahukah anda, pemain Kedah tak perlu mewarnakan rambut macam pemain mereka untuk menang. Warna rambut satu hal, langsung tak hormat Sultan Kedah.

Tahukah anda lagi, penyerang-penyerang Selangor tumpul-tumpul sebenarnya.

Tahukah anda, banyak kereta-kereta penyokong pasukan Kedah telah dicalarkan di Stadium.

Maaf wahai Gergasi Merah, walaupun anda bermain cukup baik, tetapi reaksi penyokong pasukan anda buat aku jadi sakit hati. Menontonlah dengan akal bukan dengan hati yang penuh fanatik.

Saksikan jaringan mereka!





Mari nyanyi bersama!

Yakinkanlah Diri Sendiri,
Berjuanglah sejiwa murni,
tekun berani sesungguh hati,
demi sukan mengharum negeri,

Biar Jasa Jadi Kenangan,
Hijau Kuning Lambang Kemegahan,
Jelapang Padi tempat sanjungan,
negeri kedah darul aman,

Kedah, Kedah Pantang Kalah,
walau sakit jatuh dan rebah,
namun lantas,
semula gagah,
bujur lalu melintang patah,

Hijau, Kuning tanahku,
darulaman negeriku,
hijau kuning darahku,
negeri kedah negeri ku,

Kedah, Kedah pantang kalah,
walau sakit jatuh dan rebah,
namun lantas semula gagah,
bujur lalu melintang patah,

hijau,kuning tanahku,
darulaman negeriku,
hijau kuning,darahku
negeri kedah negeri ku,
negeri kedah negeri ku!!!



Khamis, Jun 19, 2008

Siri Kenangan Di SMSTSP : 'Waxing'

Enche Tam merupakan rakan sedorm tak diundang aku. Aku satu dorm dengan Enche Tam hampir dua tahun. Tapi, tak pernah jadi rakan baik. Muhammad Teja mungkin. hehe

Enche Tam mewarisi hormon yang banyak rerambut di badan. Oleh itu, hobi Enche Tam mestilah bercukur. Bercukur. Bercukur. Waxing.

Ketika itu, Enche Tam katilnya berjiran dengan katil aku. Sebelah kanan aku. Atas aku Amek Nose. Dorm MU2. Warna Hijau.

Enche Tam yang baru pulang dari kampung halaman seperti ada kelainan pada wajahnya. Oh. Baru lepas bercukur.

Kemudian, Enche Tam dengan muka penuh riak lagi takbur membuka bajunya. Kedua-dua belah tangannya diangkat ke udara.

Wow!

Berkilat beb!

"Hoi, gila ganas hang cukuq"

"Mana da aku cukuq, aku cabut," Tam.

"Gila ka apa. Macam mana hang buat?"

Tam tersengih dan membalas, " Kalau hang nak tau, mula-mula aku sapu dulu dengan kapuq. Biaq dua toga minit bagi dia kering. Lepas tu, aku sentap arr bulu tu kuat. Dia tak rasa sakit pun. Pedih sikit-sikit ja."

"Teeehheeehhe heeheeh ehehee," Enche Tam gelak dengan nahu tersendiri dan gaya bahu terangkatnya sambil menggaru-garu ketiaknya yang licin dan berkilat.

*krukk* *krukk*

Yaachhhh!!





Nota kaki : Entri yang dilabelkan sebagai Siri Kenangan Di SMSTSP ini ialah kisah-kisah benar dan yang tak berapa benar tapi dibenarkan oleh aku yang berlaku sepanjang lima tahun aku di SMSTSP, Perlis. Nama-nama dan watak yang terlibat sememangnya wujud tetapi diubah suai dengan suka hati aku agar empunya badan berasa bangga. Segala ketidakpuasan hati terhadap aku boleh dikritik dengan terbuka. Kepada yang terlibat, ini hanya satira yang menjadi kenangan.

Isnin, Jun 16, 2008

Bapak

Tiada kamu, tiadalah aku.

Entri tahun lepas yang aku coret untuk ayah. Klik sini.

Ahad, Jun 15, 2008

aku ingin dimensimu

Terkadang lelah

namun masih tak gundah

takkan redup rasa dulu

takkan teduh rasa itu

Ahad, Jun 08, 2008

Bola Sepak Eropah

Tidur lewat.


Bakal tidur lewat.


Aku sokong apa? Ikut turutan. Yang paling atas kira negara yang diwakili player tu paling aku sokong.





Jumaat, Jun 06, 2008

Keputusan Peperiksaan Yang Keluar

******************************
******************************

*sigh*


*sigh*


*sigh*



Taip-taip.



*sigh*



*sigh*



Fuhhh!! Nasib baik.

Alhamdulillah..

Alamak..

Drop lah sikit. Drop 0.03.


*sigh*


**********************************

Khamis, Jun 05, 2008

Sketsa RM2.70 ; Hah, Pangkah Lagi!!

Jam dinding rumah aku tunjuk pukul 10.30. Jam dekat henset tunjuk pukul 10.35. Jam tangan aku tak tunjuk apa-apa. Sebab jam tangan aku yang bercap tiga belang yang asli itu dah mampus. Cesss. Harapkan jam ori, tapi bateri pula dah 'kong'.

Alamak!

Aku berlari. Capai helmet. Melompat ke atas kuda merahku dengan gaya ala-ala koboi berkain pelikat.

Dengan tergesa, aku terus memecut kudaku.

Damn! Beratur-atur segala macam binatang tunggangan.

Tak pernah-pernah jalan kampung dalam pulau Langkawi ini sesak macam Bukit Bintang. Kalau waktu LIMA, memanglah sesak macam Jalan Pudu menghala ke Bukit Bintang. Tapi, LIMA kejadah apa nya.

Ahhh.. Aku tak hirau. Yang penting, terisi perut kudaku.

Aduh!

Banyak kuda-kuda tengah beratur.

Tiba-tiba riuh rendah. Pak Kassim Bilis tengah bertolak-tolak dengan Din Badek.

"Hoiii!! Hang mai sayuk buat la cara mai sayuk!," Pak Kassim Bilis baran.

Din Badek hati kering. Tak getar langsung. Dengan rasa selamba dan tak bersalah, dia terus ke kaunter dan bagi beberapa kepingan kertas berwarna kemerahan.

Dan. Dengan selamba dan tersengih. Tangki-tangki itu terisi.

Merah muka Pak Kassim. Celaka betul budak ni!

Baru nak bagi penumbuk, Deris Jala tahan.

"Sabaq!" Deris.

"Tu la hangpa! Pangkah laa lagi.. Pangkah laa depa lagi.. Padan muka hangpa!" Deris semacam menjerit-jerit kepada pemilik-pemilik tunggangan lain.

"Sepatutnya depa kaLAh! Tak jadi lagu ni LAH! Tak payah kita nak dok berbaLAH. Celaka. Buang hati orang reLAH jaaa!!"

"Hoii!! Hang dok panggil-panggil aku buat apa??" Dari jauh pengerusi JKKK kampung itu, Pak Lah Paku datang ke arah Deris kehairanan.

***********
Aku, selepas lebih sejam menunggu. Berjaya. Tangki kuda dah penuh.
Aku.Capai helmet. Melompat ke atas kuda merahku dengan gaya ala-ala koboi berkain pelikat.

Dengan tergesa, aku terus memecut kudaku.
Sampai di rumah. Terus ke tempat simpan baja-baja kompaun. Baja Subsidi. Dengan gaya Kamen Rider, aku membuat Rider Kick ke arah guni baja yang tertulis baja cap alat penimbang zaman kuno.
Dush! Dush! Dush!!