Selasa, Oktober 25, 2011

Amali ver. 2

Pheeww.. Kesibukan bekerja dalam dunia sebenar menjadi kekangan untuk aku menulis dan mencoret. Bukan tiada masa sebenarnya. Tapi, masa yang ada digunakan untuk melepaskan lelah.

Apa yang boleh, biar gambar-gambar ini berbicara.

Episod Adiwira Cilik Boboiboy -Cuplik dari FB Boboiboy.



Episod Khas Institut Terjemahan Negara Malaysia






Selasa, Julai 19, 2011

Amali

Sibuk. Semakin sibuk. Selepas selangkah menapak ke dalam industri penyiaran tempatan. Dan langkah aku di tempat yang mula-mula terpacul dari mulutku ketika sang guru bertanya, di mana awak mahu internship.

Saat ditanya dulu, aku hanya menjawab spontan dan bukan berniat dengan peratusan yang tinggi. Namun, Yang Maha lebih mengetahui apa yang di hadapanku yang aku tak tahu.

Menguji. Banyak benda yang menguji aku di stesen TV nombor 1 negara dan menjadi wartawan perlatih bagi rancangan yang paling lama bertahan dalam stesen TV ini juga beri aku seribu satu cabaran.

Semoga segala ilmu yang aku pelajari dapat diluahkan pada hasil kerja dan ilmu baru harapnya terus mencurah!

Rabu, Jun 22, 2011

Peluang dan Prinsip

Aku menerima khabaran dari seorang teman yang menyatakan nama aku diberi pada seorang figura yang tidak asing dalam industri.

Beliau mencari staff. Lewat tengah hari salah seorang staffnya menelefon aku dan menawarkan aku satu peluang yang sebenarnya emas.

Dan, aku hanya peroleh kurang 3 jam untuk membuat keputusan.




Namun, atas dasar prinsip dan kuat pada falsafah aku yang mahu erat dengan tradisi keilmuan Islam dan nasihat ibu, aku mengambil keputusan untuk menolak tawaran itu. Walau aku tahu tawaran itu boleh jadi emas, yang memberi kesenangan kelak.

Moga Dia memberkati keputusan aku dan biarlah peluang itu untuk orang lain yang lebih berhak.

Isnin, Jun 20, 2011

Selasa, Mei 10, 2011

Setelah

...hempas pulas, selesai sudah, segala-galanya. Menunggu panggilan untuk amali.

Ahad, Mei 08, 2011

Dia

Walau dia tak pernah tamatkan persekolahannya. Demi satu pengorbanan untuk adinda tersayang. 
Walau dia tidak mesra dengan teknologi. Namun dia mesra dengan manusia di mana saja dia bertemu.
Walau kulitnya semakin hari bertambah kedutan. Tapi dihati ini dia tetap muda selamany.

Selamat Hari Ibu mak.


Selasa, Mei 03, 2011

PBAKL 2011(2) - Pasca Pesta Buku

Ok. Selesai sudah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011. Yang hari-hari hujungnya sangat becak dan basah. Sebab Kuala Lumpur bermandi hujan yang tak lelah turun dan mencurah-curah.

Untuk tahun ini, aku sempat kunjunginya selama 3 hari. Dua hari bekerja, dan sehari hujung minggu dan hari terakhir pesta berlangsung.

Hari-hari bekerja sememangnya seperti jangkaan aku. Tidak sesibuk hari minggu. Hari minggu, tambah-tambah lagi hari terakhir pesta tersebut sangat menyesakkan dan agak merimaskan aku.

Untuk hari pertama, aku ke sana bersama --(@ (bukan nama sebenar. Ha ha). Hari kedua aku singgah sebelum bekejaran untuk ke LCCT (terleka sampaikan hampir-hampir ketinggalan penerbangan. Mujur ERL sediakan perkhidmatan ke LCCT yang sebelum ni aku tak tahu dan menyempatkan aku check in).

Sememangnya lawatan ketiga yang sebenarnya memberi aku masa untuk pusing ke seluruh bahagian dan berbual-bual dengan Syuk / Muhammad Teja tentang bisnes (hah!) dan berbual dengan kenalan Irannya yang juga bakal terlibat dengan bisnes (hah lagi!).


Memandangkan --(@ bekerja di sebuah makmal berdekatan hospital swasta yang mempunyai nama yang gah juga, rancangan untuk ke PBAKL terpaksa dilakukan selepas waktu bekerja. Oh, aku sangka pesta akan berlarutan hingga jam 9 malam seperti yang tercatat di bunting-bunting, rupanya selepas Maghrib banyak booth yang suda menutup tirai, terutama di tingkat 1.

Mujur booth-booth di tingkat bawah masih beroperasi dan majoriti booth-booth di tingkat ini dikuasai oleh penerbit buku-buku agama dan di satu dewan masih dikuasai oleh penerbit ulung majalah dan novel pop tanah air.

Aku agak kecewa dengan susunan booth pada PBAKL kali ini. Dan untuk booth DAWAMA, yang katanya memperjuangkan sastera tanah air, booth anda sememangnya sangat tidak menarik dan sememangnya membantutkan nafsu pembacaan aku. Bukti, aku langsung tidak membeli satu naskah pun buku atau majalah DBP tahun ini!

Memandangkan ini pertama kali --(@ datang ke PBAKL, aku hanya pusing di sekitar booth yang sempat dan menemaninya dan tak sempat nak hayati banyak buku. Jadi untuk hari pertama lawatan, buku-buku yang sempat dicapai ialah :


Sebongkah Batu di Kuala Berang - Faisal Tehrani

Novel terbaru Faisal dan pertama yang diterbitkan oleh PTS. Dan novel yang aku hanya habiskan dalam masa beberapa jam, dari perjalanan dalam erl, sambung di rumah. Seputar tentang sejarah kedatangan Islam di Tanah Melayu disamping menyelit unsur-unsur sinis terhadap industri perfileman tanah air. Aku pernah suka metod ini dalam Advencer Si Peniup Ney, tetapi dalam SBDKB ini seolah-olah novel Faisal yang kurang garam dan terlalu mengikut teori. Sebab, aku seolah-olah membaca nota-nota kuliah dari kelas TV directing dan semacam terjemahan untuk nota-nota aku pula. Sedangkan, praktikalnya, ada kalanya tak lah digunakan sangat. Agak mengecewakanlah kerana ini tulisan Faisal Tehrani, dan aku seolah-olah berasa sentuhannya sudah tidak seperti dahulu.



Dwilogi Padang Bulan - Cinta di Dalam Gelas - Andrea Hirata

Aku tak pernah membaca karya Andrea Hirata, tapi filem Lasykar Pelangi dan Sang Pemimpi yang diaptasi dari novelnya sangat mengghairahkan dan sungguh enak. Dwilogi novel ini dicetak dalam satu buku sebenarnya. Jadi itu salah satu tarikan untuk aku membelinya.


Kitab Syarah Al-Hikam terjemahan oleh Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Siri kuliah Syarah Al-Hikam setiap Rabu minggu 1 dan 3 di Masjid Biru Shah Alam mendekatkan aku dengan figura yang bernama Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ini dan sememangnya sewaktu pertama kali aku mendengar siri kuliahnya, inilah titik mula yang membuka jalan baru buat aku. Jadi, membelinya dengan harga diskaun di booth Telaga Biru memberi senyuman kepuasan buat aku.


Pemilik Cintaku Setelah Allah dan Rasul -Fatimah Syarha Mohd Noordin

Err....ok. Aku dan dia membeli buku ini. Sekian. Ha Ha. Disebabkan kekangan masa dan booth sudah mula ditutup, pada hari pertama kunjungan aku, buku-buku tersebut yang sempat aku beli. Menjumpai beberapa tulisan Syaikh Abdul Qadir Jailani dalam bahasa Indonesia, yang aku buru selama ini, namun aku harap akan beli tulisan-tulisan beliau kelak. 

Hari kedua kunjungan, aku hanya berpusing di tingkat 2 kerana hari sebelum booth-booth di sini sudah ditutup. Fokus aku hanya pada buku-buku latihan PMR untuk anak saudara aku dan komik-komik yang dipesannnya. Namun, sempat juga aku singgah di booth Galeri Ilmu dan membeli buku best-seller mereka tulisan Abu Said atau Ustaz Hasrizal, trio Aku Terima Nikahnya. Untuk buku 1, aku telah milikinya dan akan dijadikan hadiah buat teman yang akan melangsungkan pernikahan.



Hari terakhir pesta sempat aku kunjungi. Walaupun PWTC dilimpahi dengan lautan manusia, aku tetap tekad untuk ke sana selepas dikhabarkan ada buku rare yang menanti. Walau ramai umat manusia di sana, tapi aku punyai masa untuk berlegar dan meluangkan banyak masa untuk membuat pilihan buku yang aku nak bawa pulang.


Comments on the Re-examination of AlRaniri Hujjatul-Siddiq: A Refutation - Syed Muhammad Al-Naquib Al-Attas

Ya. ini buku rare yang dikhabarkan oleh teman, penulis buku Tak Payah Sombong Pun Tak Apa. Keluaran Muzium Negara dan mereka hanya menjualnya dengan harga RM5 sahaja. Namun, aku rasa buku ini takkan diuliti oleh aku dalam masa yang terdekat ini kerana karya beliau, Islam and Secularism masih lagi aku belum habiskan pembacaannya dan masih di bab-bab awal. 


Minda Tertawan: Intelektual, Rausyanfikir dan Kuasa - Raja Ahmad Aminullah

Ok. Booth Gerak Budaya seperti biasa mempunyai banyak buku-buku yang buat aku tak senang duduk dan semahu membelinya. Tapi, aku akan berfikir bila agaknya akan aku habiskan pembacaan, jadi aku hanya mengambil buku yang masih aku kira baru dan panas ini dahulu.


Buku-Buku tentang Jalaluddin Rumi di booth Turki

Hah. Antara buruan aku ialah buku-buku tetang Maulana Jalaluddin Rumi. Menjumpai booth penerbitan Turki di tingkat atas yang menempatkan penerbitan-penerbitan antarabangsa dan akademik sememangnya mengujakan aku. Lebih mengujakan, harga buku di booth ini bagi murah bagi sebuah buku terbitan antarabangsa. Jadi di buah buku tentang Rumi dan falsafah kecintaan dan sufinya aku beli dan dihadiahkan sebuah naskhah majalah Fountain.


Majalah Pentas keluaran terdahulu

Aku bukanlah pengikut tegar teater tanah air. Tapi di booth Istana Budaya ni aku ternampak wajah Uwei terpampang di muka hadapan majalah Pentas keluaran mereka. Disebabkan dijual 3 naskhah RM10, jadi aku terpaksa memilih secara rawak lagi dua keluaran, walaupun pada asalnya mahu membeli keluaran yang isi kandungannya temuramah dengan Uwei sahaja.

Ada beberapa novel-novel rare keluaran Pustaka Antara yang aku mahu beli. Tapi kerana leka berbincang dengan Publisher dari Iran dan hujan di luar semakin garang, aku terlupa untuk patah balik dan membeli novel-novel tersebut. 

Pada aku, PBAKL kali ini kurang memberi kepuasan berbanding tahun lepas. Mungkin idea tahun lalu membuka booth di dewan seberang sungai menampakkan pesta sedikit besar skalanya dan ada beberapa booth yang aku tak jumpa pada edisi kali ini. Tapi, booth DAWAMA tetap menyedihkan. Tiga hari aku di sana, aku hanya masuk dan membelek suasana, dan tiada rasa untuk membeli buku-buku mereka.













Jumaat, April 29, 2011

PBAKL 2011(1)

Setakat aku tulis ni, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2011 masih berjalan dengan rancak. Dan sudah 2 kali aku lawati. Dan berhajat untuk ke sana pada hari akhir ia berlangsung. Jadi, aku tak nak catat lagi tentang pesta yang penuh dengan 'nerd' (kata seseorang yang berlagak kool sebab tak membaca buku).

Dua hari aku ke sana. Bahkan sejak tahun-tahun lalu. Mereka sentiasa menganggu lawatan aku.

Mereka ramah. Gemar menyapa manusia-manusia yang lalu-lalang.

Namun, kadang buat kita rasa menyampah.

Hari pertama lawatan aku, aku hany tersenyum dan mengangkat tangan tanda tidak mahu.

Tapi, hari kedua aku naik jelik dan setiap kali mereka ini menyapa aku, menegur aku, menanya aku, tentang pekerjaan aku, tentang bahasa aku.

Aku jawab," Sorry. I am a TV producer and je parle francais et anglais."

Puas.

Isnin, April 18, 2011

Academic Writing

Menghirup,
teh hijau yang pekat,
melekat rasa kelat,
namun tak pula pelat.

Sisa-sisa diperah,
sampai mencurah-curah.

Tolong,
aku pohon beri kerjasama,
wahai akal.

Rabu, April 13, 2011

Bicara bersama Pirarucu

Aku melangkah dengan membawa perasaan yang seolah-olah kosong (atau sememangnya kosong). Melangkah dan menuju ke situ. Soal hati, apakah ini? Adakah khabar tadi yang buat aku rasa kosong?

Aku memandang dia, yang berada dalam kurungan. Bersaiz besar dan bisa meributkan jantung sesetengah mata yang menyantap dia. Dia jadi bahan pameran. Walaupun dia tinggal bersama rakan yang lain dalam kurungan kolam itu.

Aku memandang dia. Menghayati kebesaran Ya Rabb. Dengan sisiknya yang menimbul. Dia cantik dan bersinar. Hitam kulitnya sungguh bersilau.

"Wahai khalifah bumi, dikau punya masalah?" soal dia.

"Wahai makhluk ciptaan Allah, aku keliru dengan perasaan aku. Mungkin aku runsing, mungkin aku kecewa dan mungkin aku gembira. Aku menerima satu khabaran dan aku tidak memahami perasaan yang bergelora ini."

Aku cuba berbicara dengan dia. Memandang sayu ke dalam kolam kurungannya.

"Wahai khalifah, dipertengahan kembara yang Allah ciptakan ini, ada tanggungjawabnya. Ada juga halangan dan ujian yang menjadi dinding dan tembok di pertengahan susuran itu. Jadi, kubilang ini ialah tembok yang tuan khalifah perlu daki atau pecahkan."

Dia bergerak malas di dalam kolam. Kadang-kadang berlanggaran dengan rakan-rakannya. Dan aku kembali memandang dia dan berbicara.

"Mungkin ini bicara Tuhan buatku. Mungkin ini dialog dari Ya Rabb buat diriku. Dalam kembara aku ini, aku masih bercampur dengan kemungkaran dan dosa. Masih gagal melawan pujukan sang nafsu, masih terikut dengan bisikan kejahatan sang syahwat. Aaah.. mana istiqamah itu?"

"Sahabatku sang khalifah bumi, usah melatah meratapi dugaan ini. Janganlah kau lupa setiap satu yang kita sebagai makhluk Allah SWT terima, diurus mengikut kehendak dan kasih sayangNYA."

Aku merenung susuk tubuhnya yang memanjang dan sedikit montol itu. Dia kemudian memunculkan badannya di permukaan air.

"Duhai sang khalifah bumi, Allah Maha Kaya dengan segala nikmat mencurah-curah kepada hambaNYA. Cuma percaturan itu berbeza-beza mengikut kehendakNYA yang Maha Adil lagi Maha Mengasihi. Jika kau berasa patah hati wahai khalifah, berdoalah  Ù„ا حول ولاقوة إلا بال "tidak ada daya upaya dan tidak ada tenaga kekuatan melainkan dengan Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar."

Senyum kembali terukir pada wajah aku memandang dia, si ikan arapaima. Saiznya membuatkan aku merasai kebesaran Tuhan yang Maha Berkuasa dan lidah terus berbicara Subhanallah.

Dia masih tidak bergerak. Bermalasan. Rakan-rakannya masih lagi berenang dan kadangnya berlanggar dengan dirinya.

"Sahabatku khalifah Allah, jika engkau terus berdoa, dengan izinNYA, akan diperkenankan. Allah tidak akan menzalimi hambaNYA. Teringat daku pada potongan ayat Allah di dalam Surah al-Baqarah (ayat 286) :Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya...."

Dia kemudian berenang ke hujung kolam dan menjauhi aku.

Wahai pirarucu, terima kasih atas bicara ini. Aku kemudian melangkah. Menyusuri setiap lorong yang kiri kanannya tersusun rapi balang-balang kaca, yang mempamerkan pelbagai spesis ikan yang menari mengikut ritma dan irama renangan yang memukau.


Ikan arapaima, pirarucu atau paiche ialah ikan air tawar yang terdapat di Amerika Selatan dan merupakan salah satu ikan air tawar terbesar di dunia.

Ahad, April 10, 2011

Cinta Rasul


Tahun kedua di Lembah Klang seolah memberi jalan baru buat aku. Dan, terima kasih kepada Ya Rabb, pemilik nyawa ini, pemilik alam yang meminjam jasad aku untuk berpijak atas tanahNYA, atas radar baru yang terus membawa aku hadapan.

Pertama kali menjejakkan kaki ke Masjid Besi, juga menimbulkan keterujaan. Dengan senibina (walau aku tetap mengagumi senibina Masjid Negara - simbol payung yang sungguh asli), Masjid Besi juga satu binaan yang istimewa. Dan juga dengan liputan dari TV AlHijrah (satu tempat yang aku citakan ingin memberi khidmat), membuat minda aku berfikir melontar komentar terhadap shot-shot yang diambil (tipikal gaya stesen tivi kerajaan). 

Sungguh, ini majlis maulid kedua yang aku sertai selepas di Masjid Biru Shah Alam, istimewanya kali ini ialah tetamu jemputan yang sememangnya tersohor, seperti Dr Afifi Al-Akiti yang aku kagumi. Kurangnya majlis ini ialah dari pihak Masjid atau mungkin organiser, yang sedikit kabut rupanya. Namun, syukur, kehadiran yang cukup membanggakan (khabarnya 7 buah bas dari pulau Singa seberang). Dan kelibat susuk tubuh yang dikenali di tanah air seperti mantan perdana menteri ke 5 dan penyanyi yang pernah gah dengan kumpulan vokal, tak lupa juga beberapa wajah yang aku kenal dan pernah bertemu di majlis sebelum ini.

Semoga, kecintaan pada Ya Rasul, semakin bercambah di hati kita semua.

Jumaat, Mac 25, 2011

Rammesh

Rammesh ialah rakan India aku. Yang aku kenal sejak tingkatan 1. Mampu bercakap dialek utara tanpa pelat India. Walaupun, kalau berbual dengan dia hari ini, kadang-kadang tersasul bunyi KL nya. Dimaafkan. Sebab tinggal di selatan pun agak lama.

Rammesh bercerita. Kepada kami. Mengenai masalah perkauman. Bagaimana dia, seorang India, dipandang.

Kata Rammesh, dia keluar makan. Bersama seorang gadis Melayu. Di sebuah restoren makanan segera yang menjual pizza Itali.

Di kaunter, dia di minta IC. Sewaktu hendak bayar.

Serius.

Selepas melihat namanya bukan ber'bin' atau ber'binti', tetapi a/l. Dia dikenakan caj cukai perkhidmatan yang lebih tinggi.

Dia hanya mampu membayar. dan bercerita kepada kami. Walaupun sebelumnya, ada gurauan yang kasar dari salah seorang rakan kami. Paria perkataannya. Dia hanya ketawa dan membalas,"aku potong hidung hang Amet!".

Khamis, Mac 24, 2011

Pernah Terdetik

Mahu bikin video klip beliau.


Ahad, Mac 13, 2011

Hikayat Merong Mahawangsa

Aku rasa :


  1. Terlalu merujuk karakter Jack Sparrow dalam Pirates of Carribean dan bercampur dengan kelakian pahlawan-pahlawan dalam 300. Tapi, Stephen Rahman tak mampu bawak watak tu se'cool' Johny Depp. Jadi, kadang-kadang lawak yang cuba dicipta agak janggal dan tak menjadi.\
  2. CGI sangat bagus walau ada bahagian yang perlu diteliti.
  3. Koreografi berlawan ialah masalah besar aku. Sangatlah tipikal dan kamera trick yang tak menjadi kadang-kadang. Sebab boleh nampak yang pelakon tambahan tu sebenarnya tak ramai mana pun.
  4. Lawak lucah yang kalau di Malaysia mungkin penonton boleh terima. Tapi dibawa ke luar, macam tak perlu saja.
  5. Ia melangkaui keepikan Puteri Gunung Ledang. Aku memuji daya kreativiti team KRU yang membikin skrip dan mengubah hikayat yang asal.
  6. Jadi, pergilah tengok di pawagam sekarang

Khamis, Mac 03, 2011

Polisi

Seorang pegawai gred tinggi di tempat penyiaran kerajaan tiba-tiba menelefon ahli kami dan memberi tahu polisi yang sebenar.

Yang membantutkan semangat kami, dan menghalang kami dari belajar lagi luas tentang dunia penyiaran, dan mengahsilkan satu atau dua produk mereka, yang proses pre-production sudah menghampiri 90%.

Mujur, senior yang juga berkhidmat di sana, membantu. 

Ah. Tipikal minda pegawai kerajaan. Kalau dinyatakan itu, itulah. Kalau dikatakan tidak boleh, tidak bolehlah. Walaupun perkara itu sebenarnya membantu mereka dalam perubahan dan peningkatan, akan tetapi sebab terlalu setia akan polisi, maka terus menghalang kami, kerana kami masih bergelar pelajar. Terlupa agaknya beliau yang status kami ialah pelajar tahun akhir bidang penyiaran. 

Beberapa bulan lagi kami akan masuk ke sesi latihan industri dan insyaAllah beberapa bulan kemudian kami akan sertai dunia penyiaran ini. Kami cuba belajar dan menunjukkan kemampuan kami. Namun, dengan adanya mentaliti seperti kamu, yang memegang antara jawatan tinggi dalam pejabat penyiaran itu, maka stesen tv kamu akan terus dipandang sepi dan anak muda memang kurang gemar akan stesen tv kamu.

Selasa, Februari 15, 2011

Pemimpin

Aku kagum dengan dia. dan aku pasti, kau pun sememangnya kagum dengan dia. Dia memang seorang pemimpin yang sejati. Yang sebetul-betul dipanggil pemimpin. Yang punya akal sahsiah dan politik yang tinggi.

Dia ialah pemimpin dalam keluarganya. Memimpin keluarganya dengan sempurna. Mendengar pandangan isteri-isterinya. Ya, isteri-isterinya.

Dia juga memimpin sahabat-sahabatnya. Bermacam perangai dan perwatakan ada pada sahabat-sahabatnya. Namun, dia cekal menjadi seorang sahabat, yang setia, dan memimpin sahabat-sahabat yang lain.

Dalam hal kejiranan, dia juga seorang pemimpin yang hebat. Menghormati jiran-jirannya walau ada jiran yang tidak menyenanginya.

Dalam organisasi dan ketenteraan. Dia seorang ketua yang berfikiran terbuka. Tidak melenting menerima teguran. Tidak menyesal jika menerima cadangan anak buahnya. Tidak mengungkit jika cadangan itu tidak berjaya dilaksanakan dengan jayanya. Dia tidak membuat keputusan secara keseorangan. Dia amalkan mesyuarat yang pendengar setiap pendapat. Yang tua. Yang muda. Yang remaja.

Dia juga pemimpin negara yang sungguh agung, adil dan bijak. Sebaik-baik pemimpin, dialah. Dialah baginda Nabi Muhammad SAW. Selawat ku panjat ke atasnya, keluarganya, sahabatnya.

Semoga, lidah ini basah dengan zikir pada Tuhan yang menurunkan Al-Quran dan selawat pada KekasihNYA. Semoga, hati ini terus berbisik munajat dan istighfar kepada Ya Rabb, dan berselawat kepada RasulNYA.


Rabu, Februari 09, 2011

23

Selama angka ini,
apa yang telah aku sumbangkan?
apa yang telah aku korbankan?
apa yang telah aku dosakan?

Sekuntum mawar kesyukuran,
buat Pelindungku,
atas nafas yang masih kuhembus.



http://fc05.deviantart.net/fs30/i/2008/197/3/8/Aquarius_by_MichelleLynn725.jpg

Jumaat, Januari 28, 2011

Dansa Dosa

Duhai Kekasih,
   Daku malu,
      Janji dimungkari,
dengan dansa dosa.


Isnin, Januari 24, 2011

Kecintaan

Tuhan dan cinta ialah dua perkara yang berkongsi satu persamaan - mysterious. Kedua-duanya sungguh misteri.

Kita yang mempercayai Tuhan dan cinta merasai kewujudannya, tapi tidak dapat melihat susuk fizikalnya.

Namun, jika keduanya bersatu, wujud satu perasaan yang luar biasa, di tahap dan hierarki tertinggi, sehingga kadangnya akal normal tidak bisa menerimanya. Sebab itu, ada yang membaca puisi sufi, tanpa rasa cinta yang utuh, merasakan bait itu sesat.

Kecintaan pada insan, boleh saja dikecewakan. Namun, dengan darjah kepercayaan yang tinggi ke atas cinta Tuhan dan kuasaNya, cinta insan itu akan mekar. Dengan izinNya.


Selasa, Januari 18, 2011

Khurafat - Kadang-Kadang Macam Sembilu

Sungguh. Aku skeptikal pada awal-awal trailer filem ni keluar di tivi. Dengan hantu Ju-On / Ringu dan dengan bacaan yaasin.

Dalam otak aku, mesti cerita rasuk-rasuk ala The Exorcist. Tipikal filem seram Melayu dekad ini lah. Tapi, aku silap. Sumpah aku silap.

Sebab, filem ini memang memberi ketakutan dan kejutan yang luar biasa. Penonton kadang-kadang  tertipu dengan kemunculan hantu dan hantu-hantu itu muncul sewaktu kita saspen sungguh dan terjangka sudut mana ia akan muncul. Aku terlompat ke belakang sewaktu hantu muncul mengejutkan Liyana Jasmay dalam kereta. Fuh. Ini satu ketakutan yang sangat memeranjatkan. Walaupun ada babak exorcist pada awal cerita, dan ia dibikin dengan baik sekali. Dari pergerakan kamera, sudut tangkapan, dan bagaimana Imam itu mengeluarka hantu. Syamsul bijak tidak menggunakan mantera-mantera yang sering digunakan oleh Ahmad Idham dalam filem-filem seramnya. 

Syamsul bijak menvisualkan kemunculan hantu, dan dari mana ia datang. Dan suasana suspen dalam filem ini juga tidak memerlukan muzik ala-ala suspen. Babak di dalam bilik mayat, bila lampu terpadam memang memberi debaran dan resah gelisah buat para penonton panggung dan semestinya babak di hutan sewaktu Syamsul sedang mendukung mayat.



Tapi, untuk menonton filem terbitan Skop Production, anda perlulah menerima dialog yang dilontarkan seadanya. Kerana, antara Khurafat dan Sembilu, tiada beza pada dialognya. Maksud aku, dialog dilontar secara terus, tersurat tanpa tersirat dan kadang-kadang kering. Kadang-kadang hang akan rasa tak perlulah dia nak cakap benda tu. Sebagai contoh, pengulangan dialog untuk minta Syamsul bersabar, ada hikmah, bla bla bla. Tipikal dan tipikal!

Aku tak rasa filem ini terlalu bagus. Tapi yang membuatnya sedikit bagus ialah bagaimana Syamsul memahami untuk membikin filem seram, yang dapat menakutkan penonton. Walaupun ada sedikit unsur dakwah, yang seperti filem-filem Melayu lain, disampaikan secara terus, dan kurang memberi kesan dan rasa pada dakwah itu. Ok. Aku rasa, baik Syamsul Yusof bikin filem seram saja dari duk buang duit bapa dia buat cerita rempit, kereta besar, gaduh sebab awek.

Selasa, Januari 04, 2011

Pasif

Melihat masalah ini, aku rasakan masih ramai yang bersifat begini. Sejak bersekolah di sekolah asrama penuh biayaan kerajaan, hingga ke universiti yang dicanang sebagai universiti benteng untuk bangsa Melayu (pernyataan yang membuatkan kita masih hidup dalam kepura-puraan, tapi terpaksa aku telan).

Persekitaran pasif, buat aku juga jadi pasif. Walaupun seringkali berusaha untuk menjadi aktif. Untuk menjadi aktif di dalam suasana pasif, perlu ada juga rakan yang aktif. Namun, jika kita keseorangan, kita akan dipandang janggal. Lebih janggal jika berbicara di skop yang berlainan pandangan sudutnya. Lagilah kita dipandang pelik.

Kadang-kadang, aku melihat, persekitaran aku, yang majoritinya bakal memenuhi bidang penyampaian maklumat dan komunikasi, yang bakal menjadi minda rakyat (kononnya), tidak ramai yang betul-betul mempunyai pemikiran ke arah revolusi. Sebenarnya ramai aku rasa, tapi masih tersembunyi. Tapi, yang ramai ialah tipikal mereka yang hanya mengikut dan berlewaan sahaja.

Itu terus menyuburkan budaya pasif. Yang terus mengenyangkan kita dengan hal-hal yang senang. Bila digeletek sikit, mula meroyan tak tentu pasal. Lihat saja hal ketuanan, lihat saja geletekan ke atas hal bumiputera. Yang aku mula loya.

Aku faham dengan niat sesetengah tenaga pengajar di sini, yang mahu wujudkan sesuatu yang aktif. Namun, ada juga mereka yang sepatutnya mempunyai didikan yang tinggi, mempunyai minda yang aktif dan berilmu. Kadangnya aku melihat, terus pasif dengan tulisan dan teks dari bahan bacaan. Tanpa ada huraian dan pendapat yang boleh membikin wacana baru atau pencabaran dalam falsafah.

Sabtu, Januari 01, 2011

2011

Satu tahun lagi sudah berganjak. Satu dekad untuk abad baru sudah berjaya ditamatkan. Dan, kau, aku, mereka, ada catatan suka dan duka.

2010. Terima kasih kerana memberi aku hidup. Dan Masjid ini, ada kenangan yang besar. Buat aku. InsyaAllah.