Khamis, Mei 29, 2008

Budak-Budak La Ni

Suatu petang. Di bawah pohon asam. Di pangkin. 3 jejaka. Berusia emas. Berbual-bual sambil menghirup air kafein pekat.

Pak Ndak capai daun rokok. Carik-carikkan tembakau jawa. Letak pada daun rokok. Gulung. Gulung. Bakar. Sedut dalam-dalam. Puas. Rasa puas.

Abang Husin, capai cekodok bilis. Celup dalam sos. Kunyah-kunyah. Telan. Puas. Rasa puas.

Aku datang. Dengan ibu. Nak ambil pulut kacau. Atau kuih tradisional yang dipanggil wajik dalam bahasa buku.

Abang Husin ajak duduk sekali.

'Cuti?,' abang Husin.

'Ya. Sebulan lebih cuti,' aku.

Preng. Preng. Bunyi motor. Ditunggang laju oleh Mat Zaki. Belakangnya ada perempuan. Peluk erat-erat. Dada yang terbonjol menekan-nekan belakang Mat Zaki.

Pak Ndak, 'Perempuan mana pulak dia heret ni?'

'Kelmarin betina lain. Hari ni betina lain. Teguq tak larat teguq dah. Kena tabuh, kena tabuh dah. Aku tak tau nak buat lagu mana dah,' Pak Teh.

'Lagu tu la budak-budak la ni. Depa belajaq Islam had-hari. Ada had. Hari ni Islam. Esok tak Islam,' Abang Husin.

'Safwan, hang duk mengaji jauh-jauh tok sah duk buat perangai lagu tu. Hak mana Tuhan larang, hang jangan dok nak try-try buat,' Pak Ndak sambil pandang aku dan hembus asap rokok.

Aku. Hanguk-hanguk.

Aku, capai daun rokok. Carik-carikkan tembakau jawa. Letak pada daun rokok. Gulung. Gulung. Bakar. Sedut dalam-dalam. Pahit. Rasa pahit.

Sabtu, Mei 17, 2008

Selamat Hari Cekgu!

1,2,3..Selamat hari guru, cekgu!!
Ramai-Ramai. Kami akan ucap ramai-ramai.

Mula-mula kami kumpul dulu ahli-ahli BG. Ya, BG. Kumpulan remaja yang gemar ikut arahan dan tidak buat kacau bilau.

Kemudiam, kami jalan. Jalan ramai-ramai. Singgah bilik guru. Kalau masuk dari pintu paling dekat dengan tangga 5 Bestari, kami jumpa Cekgu Fauziah dulu. Cekgu ajar Matematik Tambahan.


Rammesh atau Bad atau Syuk akan mula mengira. 1, 2, 3 SELAMAT HARI GURU, CEKGU!!

Lepas tu, jalan. pergi dekat cekgu-cekgu lain. Mama Datin Noridah, Papa Cekgu Mahzan, Cekgu Yusri dan cekgu-cekgu lain. Kami juga akan edarkan hadiah. ya, hadiah. Hadiah yang paling aku ingat ialah hadiah untuk Enche Mahzan, sebuah model kapal. Yang dibeli di Yen Gallery. Kedai cenderahari di Kangar. Kapal tu akan dibawa bergilir-gilir kat cekgu-cekgu lain hanya untuk bergambar kenang-kenangan.

Tapi, seingat aku, Encik Yazid Matt, tak pernah kut kami buat macam tu. ha ha ha..
Terima kasih guru-guru ku di SMSTSP, di SKB, di Tadika Bayas.

Tanpa anda, aku tak akan jadi orang. Takkan jadi manusia.

Seperti biasa, hari guru akan diakhiri dengan puisi keramat Usman Awang ini.
Dialah pemberi paling setia



Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum manjadi dewasa
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.


p/s : Gambar-gambar diceduk dari Asputra.org walaupun gambar-gambar tu ialah koleksi peribadi aku. Muda-muda lagi tu. haha