Ahad, Oktober 31, 2010

cin(T)a : Ulasan Pendek Aku

Aku baru pulang dari MapKL untuk menghadiri Kotak Hitam 4.0: cin(T)a & MIMPilem anjuran Frinjan dengan kerjasama Paradoks, Sembilan Matahari Film dan MapKL.

Tujuan utama semestinya mahu menonton filem Indonesia yang menang banyak anugerah ini. Aku hanya sempat menonton tiga filem pendek pada sesi malamnya iaitu filem Perempuan, Hantu dan Skandal (Ridhwan Saidi / Bin Filem), Kiamu (Anwari Ashraf) dan Rompak (Ismail Abd Rashid).

Rasa aku tentang filem cin(T)a ini ialah penyerapan dan saduran Sepet tapi landasannya seolah-olah bercelaru dan terawang-awang. Aku faham apa yang Sammaria Simanjuntak cuba bawakan, percintaan antara dua agama yang berbeza dari sudut dasar keterbukaan beragama di Indonesia, namun filem ini bagi aku carca marba dan bak kata Ajami Hashim selepas tayangan terlalu ingin memasukkan banyak isu sampai hilang fokus.

Aku setuju dengan Ajami yang filem ini sebenarnya sebuah filem cinta biasa antara teruna dan dara, namun cuba diberatkan dengan isu berlainan agama dan bangsa. Aku juga bersetuju yang filem ini sebenarnya mempunyai unsur erotik dan seksualisme yang kuat. Apa yang aku nampak, kedua-dua watak mempunyai berahi yang kuat, ingin lakukan hubungan seksual, tetapi dihalang oleh sesuatu. Tuhan atau agama mungkin. Lihat sahaja bagaimana Cina terangsang dengan perlakuan Annisa yang sedang berwuduk. Wujud sesuatu yang erotik di sini dan inilah permulaan kepada pembawaan filem ini yang sebenarnya.

Walaupun banyak isu yang cukup dipadatkan sampai ia seolah-olah terawang-awang, aku masih tetapi menyukai filem ini. Ini sebuah filem indie dari Indonesia yang berjaya dari semangatnya dan telah memenangi beberapa anugerah di luar dan juga ditayangkan di Eropah. Filem kita?


Rabu, Oktober 27, 2010

Hampir Setahun

Sudah hampir setahun. Menjadi pelajar penyiaran di universiti Melayu ini. Pelbagai ragam, pelbagai kenangan, pelbagai cabaran, sudah dihadam dengan lumat.

Cerita-cerita untuk semester ini mestilah berkisar tentang kerja-kerja produksi yang cukup mencabar. Rata-rata rakan sekelas akan mengingati setiap detik dan saat ketika sama-sama untuk menghasilkan produk yang baik untuk grup masing-masing. Sepanjang semester ini, kebanyakan tugasan melibatkan rakaman di dalam studio, rakaman secara langsung dan penggunaan multi-camera. Untuk subjek Production sahaja, perlu 3 tugasan disiapkan iaitu Chart Show, Talk Show dan juga Entertainment Show. Juga dengan subjek Radio and TV News yang tugasannya perlu menerbitkan sebuah berita televisyen.

Pujian yang diterima pada penghujung masa tidak membutakan hati masing-masing, tapi terus mengujakan hati setiap warga kelas dan semua terus bersemangat. Terima kasih!







Selepas semua berakhir, masing-masing bercadang untuk melepaskan segala tekanan yang ada. Dan berlakulah perkelahan yang menceriakan semua orang. Walaupun ada yang terpaksa bersedih dengan kehilangan tersayang, kami tetap bersama. Bukit Belacan, Ampang, menjadi destinasi.


Selasa, Oktober 26, 2010

Dunia Baru Kamu

Kamu
Dengan dunia baru
      
      Jangan terus haru
      Sebab aku setia menunggu

Jumaat, Oktober 08, 2010

Bintang Lima

Pujian dari guru memang menaik semangat dan kebanggaan aku, dan rakan-rakan. Untuk mencapai kejayaan, perlu kerja kuat, perlu ada pemahaman, perlu ada semangat, perlu ada kasih sayang sesama sendiri, kasih sayang pada ibu bapa, kasih sayang pada Yang Maha. Perlu tahu apa tujuan, dan perlu bijak menggunakan emosi. Bila berjaya, hidup itu indah.




Terima kasih. Usaha untuk projek seterusnya!