Rabu, Disember 29, 2010

Mengaum

Dan akhirnya, Piala Tiger diperoleh Harimau yang sebenar. Saudara, kamu juga lawan yang bisa melawan, tahniah juga buat Indonesia.

Tapi, malam ni, siapa mahu makan garuda panggang? He he.

Ahad, Disember 26, 2010

Garuda Kena Cakar

Garuda tu kan binatang mitos yang tak pernah wujud. Jadi, kemenangan garuda hanyalah mitos di alam maya semata. Terutama di Twitter. Binatang yang hidup di alam khayal, oleh pemujanya, dah habis kena cakar berdarah oleh sang Harimau Malaya.

Laser?  Cer tanya uncle ni. Aku rasa dia yang buat.


Jumaat, Disember 24, 2010

Teman Baru

Teman baru gua. Smena 8M. Bila gua pegang, ada aura-aura Soviet Union. Terus gua buka Red Alert 2 main. Ha ha.

Smena 8M. Kamera baru gua. Gua kini beralih arah ke belakang. Layan filem balik. Dulu-dulu. Waktu di asrama. Bila ada masalah kamera. Semestinya pakai filem zaman tu. Kawan-kawan cari gua.



Terima kasih pada lomography yang mempopularkan balik barang kuno ni. Kalau tak, tentu filem pun dah mampus. Ahh.

Dah. Gua dah isi Kodak Ultramax 400. Lepas ni gua nak isi filem hitamputih pula.

Selasa, Disember 21, 2010

Dulu-Dulu Cari Siput Boleh Dapat Seguni

Tinggal di Langkawi membuatkan aku taklah terlalu teruja dengan pantai. Namun, aku menyukainya dan menghargai setiap sisi alam. Kerana, alam ialah satu seni yang memberi satu keajaiban pada tubuh. 

Tatkala cuti-cuti, apabila semua dapat berkumpul, maka satu keluarga akan keluar berkelah. Selalunya pantai Pasir Tengkorak jadi pilihan. Jangan risau, tiada satu pun tengkorak yang bertebaran di pantai ini. Pantai ini mempunyai ramai tetamu jemputan. Yang serumpun dengan kita. Encik kera. 

Kera-kera di sini memang gemar menyelongkar segala tong sampah. Ada seekor kera datang pada kami dan makan kulit tembikai yang ayah aku buang. Kemudian dia berbisik pada kami, "kami juga suka selongkar makanan-makanan yang orang tinggal tanpa dijaga sebab orang-orang tu leka mandi. Macam kami buat pada budak-budak tu." Mulutnya mengunyah kulit tembikai sambil tangan kanannya menunjuk ke arah hujung pantai.

Seekor kera sedang menyelongkar pakaian dan makanan yang ditinggalkan oleh sekumpulan remaja yang sedang asyik mandi. Remaja itu sedar. Salah seorang mengejar kera itu. Ibarat sukan komanwel pecutannya.

Selepas makan, kami malas untuk bermandi manda. Sebab laut dah penuh dengan manusia. Jadi, ilham datang dari pepohon. Kami bercadang untuk mengutip siput di pantai berhampiran Aquabeat. Aquabeat ialah taman tema air ala-ala Sunway Lagoon yang ditutup berbelas tahun lalu. Dulu, Joe Jambul pernah shooting di sini. Dan aku pun ikut menjerit, DI MANNNAA JOOE JAMBUUL!


Pantai di sini menjadi tempat nelayan memarkir bot-bot kecil mereka. Kelihatan pondok-pondok kecil nelayan di tepi pantai tempat nelayan-nelayan ini melepaskan lelah dan berehat. Kami pun mula mencari-cari siput yang khabarnya banyak siput kepah yang bersaiz besar tertanam di pasir pantai.



Mak pula sibuk menukul siput-siput di batu. Siput tukul. Dimakan mentah. Masin-masin. Memang kegemaran aku. Kami mengorek-ngorek permukaan pantai dengan alatan khas yang diberikan seorang nelayan. Dan juga dengan batu. Dan juga dengan kayu.

Air sedang tarik untuk surut. Jika air surut, lagi mudah untuk kami turun ke tengah. Dan hasilnya mungkin lebih banyak. Kak akan mula bercerita kisahnya sewaktu kecil. Di mana boleh kutip sehingga seguni siput.



Kini, siput-siput sudah mula berkurangan. Tapi, kami tetap bersyukur kerana masih ada rezeki untuk kami. Dan, untuk anak-anak siput, kami akan lepaskannya kembali ke pasir. Dengan perlahan. Dia mengorek. Mengorek. Mengorek. Mengorek. Pasir. Dan timbuskan dirinya.

Khamis, Disember 16, 2010

Bubur Asyura

Memasak bubur asyura sudah menjadi adat pada orang Melayu. Sama juga dengan keluarga aku. Tapi kalau tahun-tahun sebelum, kami memasak bukanlah pada 10 Muharram. 

Apa-apa pun, memasak bubur asyura bukanlah satu tuntutan wajib dalam agama Islam. Aku tegaskan lagi, ia satu adat. Seeloknya berpuasa sunat pada 9 dan 10 Muharram itu.

Aku pandang langit dan berbisik syukur. Kerana mampu tunaikan amalan sunat pada dua hari itu.

Mak bercadang untuk memasak bubur asyura sebagai juadah berbuka 10 Muharram. Kalau ikut sesetengah pendapat, perlu ada 10 jenis bahan dalam bubur asyura. Ah. Bukannya dosa kalau tak cukup 10 pun.

Bubur asyura di sebelah utara tanah air manis rasanya. Kalau di sebelah timur, buburnya berempah dan pedas. Mak selaku johan memasak asyura peringkat Langkawi beberapa tahun lalu hanya mengagak sahaja bahan-bahan yang perlu dimasak.








Antara bahan untuk dijadikan asas bubur ialah campuran tepung gandum, tepung kastard, tepung sagu dan tepung jagung. Kemudian ditambah dengan santan dan susu cair. Jangan terlalu risau dengan mitos santan berkolestrol. Semua itu dusta semata. Nak tahu, pergi kaji sendiri. Jangan jadi bangsa yang malas.


Bahan-bahan itu dikacau sehingg agak pekat. Kemudian barulah dimasukkan bahan-bahan yang lain. Mak dengan kreativitinya memilih untuk memasukkan nangka yang direbus, campuran ubi keledek, ubi kayu dan labu yang direbus, bubur cha-cha, sagu dari Melaka (macam bubur cha-cha juga, tapi berwarna merah), kacang merah. jagung dan pisang. Kesemua bahan dimasukkan dan dimasak sehingga bubur menjadi pekat dan tidak melekat pada belanga.


Bubur asyura ini akan membeku dengan cepat. Maka kami pun dengan cepat memasukkannya ke dalam bekas. Bermacam-macam saiz untuk disedekahkan pada jiran. 

Hari ini, juadah buka puasa aku ialah bubur asyura dan air nira kelapa. fuh!

Rabu, Disember 08, 2010

Lawak Lebai Google

Rakyat Malaysia memang bijak dalam membuat lawak-lawak satira politik ini. Lebai Google pun bijak juga dalam membuat lawak. Cuba taip BERUK dan search di Google. Klik gambar untuk lebih jelas.

Isnin, Disember 06, 2010

Ubi Kayu Bakar dan Manisan Kelapa

Mak aku cakap, dulu-dulu makan ubi kayu rebus ialah makanan ruji jugalah bila beras tak ada. Kadang-kadang makan dengan gula. Kadang-kadang nesan (manisan) tebu. Kadang-kadang cicah garam saja. Janji kenyang!

Hari ini, jiran rumah aku menjalankan projek membersihkan kawasan tanahnya yang semakin semak. Dulu, 15 tahun yang lampau, tempat tu semak dan tempat tu juga kawasan permainan aku. Kononnya kawasan rahsia.


Kawasan itu ada pokok janggus, ubi kayu, pisang, pokok-pokok nyioq yang tinggi melampai dan juga sebuah telaga yang dalam. Dengan kuasa jentolak, kawasan tu kini habis licin. Semua pokok rebah sujud ke bumi.



Mak aku pula sibuk mintak jentolak korek untuk ambil ubi-ubi kayu yang tertanam di situ. Rezeki. Boleh jadi juadah untuk makan petang nanti.

Dah lama aku tak makan ubi kayu bakar. Ubi-ubi yang banyak tu dipecahkan kepada dua kelompok. Kelompok yang bersaiz kecil akan dibakar. Kelompok sederhana akan dikupas dan direbus. Sebenarnya ada 3 kelompok. Ha Ha. Kelompok ketiga yang besar-besar akan dikerat-kerat dan menjadi makanan ayam-ayam dan itik-itik perliharaan kami.

Maka, aku menjalan proses pembakaran. Api dicucuh dan dipasang. Untuk membakar ubi kayu, tidak perlu membuat bara seumpama membakar ikan atau sate. Dengan api yang membara dan besar, ubi kayu akan terus dilempar ke dalam api tersebut. Prosesnya mudah dan kita perlu menunggu ubi tersebut masak.



Mak aku cakap, dulu-dulu orang bakar sewaktu proses pembuatan nesan (manisan) tebu. Air tebu akan dimasak di dalam kawah dan api untuk memasak nesan tebu itu mestilah besar. Menurut bayangan mak aku, api mestilah setinggi lutut. Dengan api yang membara itulah, ubi kayu akan masak empuk.



Selepas kulitnya kehitaman, ubi kayu bakar tadi sudah masak. Angkat dan boleh dimakan dengan manisan, atau gula, atau sambal. Kalau ada nyioq sekali, memang layan. Juadah aku bukan dengan nesan tebu, tapi nesan nyioq. Hah! Ini pun istimewa. Kalau manisan tebu dibuat daripada air tebu, untuk manisan kelapa, ia dibuat daripada nira kelapa. Dimasak di atas api hingga kekuningan.


Ubi kayu bakar gebu dan berbeza dengan ubi kayu rebus. Ubi bakar lebih keras dan lemak. Ohh.. meleleh!

Ahad, Disember 05, 2010

Tinta Hijrah

Diam,
Bukan bisu,
terus kucatat,
dengan pena rasa,
berdakwat minda,
di tasik kalbu,

Bisik,
di tepi jendela jiwa,
supaya pintu kamar hati,
tidak terus bermangga,
dengan besi hitam

Punggah,
segala perca,
serta cebisan,
yang menconteng
ruang dan isi






Salam Maal Hijrah 1432.

Kredit ilustrasi : http://fc09.deviantart.net/fs42/f/2009/059/2/5/Move_by_karolcia12.jpg

Sabtu, November 27, 2010

Matinya Sang Kapitalis

Deringan telefon mengganggu gugat mimpi indah aku tatkala tidur selepas Asar.

Berdering! Berdering! Berdering!

Skrin terpampang nombor yang ganjil.

"Hello"

"Hell-o! Apa khabar encik! Saya Kapitalis Penipu. Saya berkhidmat dengan kompeni yang suka berejakulasi dengan wang-wang rakyat macam encik. Saya ingin memberitahu encik bahawa encik berhutang sebanyak RM561.40 dengan kompeni itu. Saya sekarang mahu bersenggama dengan wang bayaran encik. Encik mesti bayar. Encik student kan? Kalau encik tak bayar, kami dengan penuh megah dan ereksi akan menyenaraihitamkan encik. Padan muka encik!"

Aku terkumat-kamit. Dengan bahasa Jawa campur Bugis campur Kedah purba. Lalu kuhembus perlahan-lahan.

Kapitalis Penipu yang berada di pejabat kecilnya di metropolitan maksiat itu terdiam. Dadanya berombak kencang. Urat saraf mula mengembang. Matanya mula merah menyala cili. Tanpa sempat bertaubat. Dia meletup dan dagingnya bertebaran seluruh ruang pejabat. Bau hanyir dan meloyakan.

Isnin, November 22, 2010

SPM di Tengah Bendang

Masing-masing dah bersiap. Pulang ke asrama. Atau lebih mesra aspura. Ya. Hanya tinggal kami sahaja. Kami pelajar form 5 sahaja yang tinggal di aspura.

Ada yang terlebih dahulu pulang awal sehari dua. Bukan semangat nak belajar. Tapi malas nak lepak di rumah dan ada rancangan nakal.

Masih bugar dalam ingatan. Tatkala sampai di aspura. Beberapa sahabat sudah berada lebih awal. Mendengar kisah-kisah nakal mereka. Yang sewaktu rutin persekolahan biasa, haram untuk dilakukan.

Antara yang masih aku ingat dan akan ketawa ialah bagaimana rakan-rakan aku mencereboh aspuri atau asrama puteri. Mujur waktu itu asputri tiada penghuni. Itu antara tujuan mereka datang awal ke asrama. Dengan hormon yang belum seimbang, masing-masing mengalami adrenalin rush sewaktu menceroboh aspuri.

Apa yang dicari mereka, kepuasan sebagai seorang remaja yang masih misteri dengan erti seks. Mereka menjumpai seluar dalam dan baju dalam wanita yang ditinggal penghuni aspuri. Dan membuat kesimpulan rambang tentang saiz. Ha ha. Nakal mereka cukup tinggi.

Mujur aku tidak terjebak kerana pulang sedikit lewat. Namun, acara pertama yang sempat kulakukan ialah pusing aspura dengan baldi dan mengutip segala barang tinggalan junior-junior. Hasilnya, kami memperoleh berpuluh hanger, jag kaca, senduk dan baldi yang ditinggalkan. Segala barang jumpaan diagihkan bersama.

SPM 2005, mengeratkan kami, sebagai satu batch, dan ibarat sebuah keluarga yang besar. Ya, aku antara orang terakhir yang tinggalkan asrama sewaktu hari terakhir kami di sana. Dan jika terkenang kembali waktu itu, ada senyum, tawa dan air mata yang menjadi melodi lagu kenangan itu.

Jumaat, November 19, 2010

Memali



25 tahun berlalu
Catatan berdarah terus terpahat
dek kuasa, kapitalis, dan kegilaan

Al-Fatihah Memali.

Selasa, November 16, 2010

Antara KLCC dan Permaisuri

Seorang pilih KLCC. Peluk cium.

Seorang pilih Permaisuri. Ke permaisuri yang pilih hantu? Peluk cium.

Oh. Masa dulu pernah nampak hantu atas almari. Macam Jerangkung Dalam Almari lagu Wings tu.

Ok. Drama Cinta Buatan Malaysia.


Sabtu, November 13, 2010

Mendung

Aku mendung. Sebab kertas yang bercetak dan cukup bernilai. Kertas yang bikin manusia-manusia bunuh sama sendiri, hentam sama sendiri, seksa sama sendiri, nak dapatkannya.

Aku mendung bila kertas tu kurang. Tapi hari-hari aku cerah kembali bila aku terima kertas yang bertandatangan dan perlu ke bank untuk mendapatkan nilainya.

Mendung. Buat hari redup. Hari panas jadi tenang.

Tapi belum lagi.

Sebab antara wang dan dia, aku masih pilih dia. Sebab sayang pada wang tak punya nilainya.

Sayang pada dia, tak ternilai harganya.

Aku. Pandang ke langit. Berharap agar mata dari langit perkenankan apa yang aku mahu. Walau aku tahu. Dosa masih membelit tubuh aku.

Jumaat, November 12, 2010

Yuran

"Kalau UiTM naikkan bayaran yuran, apa kau rasa?"

"Bayar sajalah. Bukan aku keluarkan satu sen pun. semua PTPTN kan."

Kau memang harapan nusa dan bangsa.


http://www.guardian.co.uk/commentisfree/2010/nov/11/student-protests-tuition-fees-london


Isnin, November 01, 2010

Lagi Sekali Terjah Flea Market Amcorp Mall

Dua tarikan aku ke Amcorp Mall ialah Book Xcess, kedai buku jual buku antarabangsa yang berkualiti dengan harganya lebih kurang novel cintan-cintu Alaf 21, dan juga pasar karat (orang kampung lu sebut Flea Market) pada setiap Ahad.

Aku pernah menulis mengenai kunjungan aku pertama kali ke Flea Market ini. Dalam jam 12 tengahari aku bertolak dari Shah Alam.

Macam biasa, mencari parkir di mall ini memang kena beratur sebab kawasan parkirnya tak seluas mana. Pada mulanya, aku berniat nak parkir secara haram. Tapi, ruang-ruang parkir haram sudah terisi dengan pelbagai kenderaan yang pada aku anti kepada kapitalism.

Disebabkan ketiadaan ruang, aku tunduk kepada desakan kapitalism untuk parkir di kawasan berbayar. Aku terus menuju ke tingkat bawah Amcorp Mall kerana ditingkat kita boleh merasai kemeriahan peminat-peminat barang-barang vintage memburu.



Susunan gerai tak berubah seperti keadaan sebelum-sebelum ini. Aku masih melihat wajah-wajah yang sama yang berada di belakang meja-meja yang menjual barang-barang yang pada sesetengah manusia akan menganggap barang itu sampah.

Satu perubahan ialah kedai barangan antik yang banyak menjual vinyl (piring hitam) dan alatan muzik yang sebelum ini menyewa di bahagian hujung kini berpindah ke tengah sedikit dan kedai kali ini sedikit sempit. Tapi masih tersusun rapi dengan vinyl-vinyl yang banyak dan yang rare. Yang paling mahal tersusun di rak vinyl rare ialah album Saloma dan dijual dengan harga RM329. Aku hanya membelek-belek dan angguk tanda setuju. Ha Ha.

Walaupun aku tertarik dengan beberapa koleksi CD di dalam kedai ini, namun aku tidak bercadang untuk membeli CD-CD disitu. Aku berpusing-pusing di sekitar tingkat bawah ini dan aku perasan yang barang-barang pada minggu ini semacam sedikit banyak berbanding kunjungan aku dulu. Pakcik yang menjual buku-buku sastera lama dan baru masih setia di satu sudut dan aku juga tidak bercadang untuk membeli buku kerana bersusun lagi buku tengah beratur untuk dikhatamkan.

Pemburuan aku diteruskan dengan menaiki tingkat-tingkat seterusnya. Dan semestinya aku akan ke tingat kedua di mana ada seorang brother yang menjual koleksi CD, vinyl, DVD yang memang mengujakan mat-mat Rock, mat-mat Metal, mat-mat hip-hop, mat-mat suka layang DVD ori dan rare dan bermacam mat lagilah. Nafsu cukup membara bila aku selak-selak CD ada macam-maca CD yang aku nak. Selak DVD, mencarut-marut aku dengan koleksi DVD filem-filem surreal David Lynch, dan juga koleksi filem-filem Darren Aronofsky yang aku puja tu. Harga DVD-DVD yang dijual oleh brother tu dalam lngkung RM55-RM200. Ikut jenis DVD dan tahap kesusahannya nak mencari di Malaysia lah. Memanglah aku hanya gelek kepala tanda dompet hanya penuh dengan duit syiling sahaja.

Aku meninggalkan booth brother tu dengan berat hati dan naik ke tingkat tiga. Di tingkat inilah terletak Book Xcess dan juga sebuah kedai buku terpakai. Kedai buku terpakai yang aku tak tahu nama tu kini agak berselerak dengan buku-buku sampai kepala aku goyang gerudi. Kemudian, aku jejakkan kaki ke Book Xcess dan ffuuhhhh, telan air liur bila tengok beberapa buah buku yang aku rasa patut beli, dan harganya buat hang rasa MPH ni jual buku atau jual perabot ni? Paling menaikkan nafsu aku buku autobiografi SLASH tu. Damn!!

Aku bertekad untuk beli sesuatu juga pada kunjungan kali ini. Dengan langkah drastik aku ke ATM. Keluarkan duit. Bersapa kembali brother jual CD dan DVD tadi. Tanpa ragu-ragu aku mengeluarkan CD Radiohead album genius mereka, OK Computer (1st edition, UK printed), mengeluarkan wang dan bayar. Kami berborak seketika mengenai koleksi album dan filem dia ada tapi tak bawa ke booth pada hari itu. Selepas memikirkan hampir 3 jam aku berada dalam mall tu, aku pun minta diri.




Dengan hati yang berbunga-bunga, aku menuju ke kereta. Masukkan CD ke dalam player. Memainkan muzikal genius Radiohead. Menuju ke kaunter bayaran parkir.

Dengan penuh senyuman manis, tiket parkir dikeluarkan. Aku hulur. Dia terima.

"Bang, LAPAN RINGGIT ya"

Hah! Lapan ringgit! 

"Ya lapan ringgit"

Celaka kau kapitalis. Tolong mati sekarang juga!


Ahad, Oktober 31, 2010

cin(T)a : Ulasan Pendek Aku

Aku baru pulang dari MapKL untuk menghadiri Kotak Hitam 4.0: cin(T)a & MIMPilem anjuran Frinjan dengan kerjasama Paradoks, Sembilan Matahari Film dan MapKL.

Tujuan utama semestinya mahu menonton filem Indonesia yang menang banyak anugerah ini. Aku hanya sempat menonton tiga filem pendek pada sesi malamnya iaitu filem Perempuan, Hantu dan Skandal (Ridhwan Saidi / Bin Filem), Kiamu (Anwari Ashraf) dan Rompak (Ismail Abd Rashid).

Rasa aku tentang filem cin(T)a ini ialah penyerapan dan saduran Sepet tapi landasannya seolah-olah bercelaru dan terawang-awang. Aku faham apa yang Sammaria Simanjuntak cuba bawakan, percintaan antara dua agama yang berbeza dari sudut dasar keterbukaan beragama di Indonesia, namun filem ini bagi aku carca marba dan bak kata Ajami Hashim selepas tayangan terlalu ingin memasukkan banyak isu sampai hilang fokus.

Aku setuju dengan Ajami yang filem ini sebenarnya sebuah filem cinta biasa antara teruna dan dara, namun cuba diberatkan dengan isu berlainan agama dan bangsa. Aku juga bersetuju yang filem ini sebenarnya mempunyai unsur erotik dan seksualisme yang kuat. Apa yang aku nampak, kedua-dua watak mempunyai berahi yang kuat, ingin lakukan hubungan seksual, tetapi dihalang oleh sesuatu. Tuhan atau agama mungkin. Lihat sahaja bagaimana Cina terangsang dengan perlakuan Annisa yang sedang berwuduk. Wujud sesuatu yang erotik di sini dan inilah permulaan kepada pembawaan filem ini yang sebenarnya.

Walaupun banyak isu yang cukup dipadatkan sampai ia seolah-olah terawang-awang, aku masih tetapi menyukai filem ini. Ini sebuah filem indie dari Indonesia yang berjaya dari semangatnya dan telah memenangi beberapa anugerah di luar dan juga ditayangkan di Eropah. Filem kita?


Rabu, Oktober 27, 2010

Hampir Setahun

Sudah hampir setahun. Menjadi pelajar penyiaran di universiti Melayu ini. Pelbagai ragam, pelbagai kenangan, pelbagai cabaran, sudah dihadam dengan lumat.

Cerita-cerita untuk semester ini mestilah berkisar tentang kerja-kerja produksi yang cukup mencabar. Rata-rata rakan sekelas akan mengingati setiap detik dan saat ketika sama-sama untuk menghasilkan produk yang baik untuk grup masing-masing. Sepanjang semester ini, kebanyakan tugasan melibatkan rakaman di dalam studio, rakaman secara langsung dan penggunaan multi-camera. Untuk subjek Production sahaja, perlu 3 tugasan disiapkan iaitu Chart Show, Talk Show dan juga Entertainment Show. Juga dengan subjek Radio and TV News yang tugasannya perlu menerbitkan sebuah berita televisyen.

Pujian yang diterima pada penghujung masa tidak membutakan hati masing-masing, tapi terus mengujakan hati setiap warga kelas dan semua terus bersemangat. Terima kasih!







Selepas semua berakhir, masing-masing bercadang untuk melepaskan segala tekanan yang ada. Dan berlakulah perkelahan yang menceriakan semua orang. Walaupun ada yang terpaksa bersedih dengan kehilangan tersayang, kami tetap bersama. Bukit Belacan, Ampang, menjadi destinasi.


Selasa, Oktober 26, 2010

Dunia Baru Kamu

Kamu
Dengan dunia baru
      
      Jangan terus haru
      Sebab aku setia menunggu

Jumaat, Oktober 08, 2010

Bintang Lima

Pujian dari guru memang menaik semangat dan kebanggaan aku, dan rakan-rakan. Untuk mencapai kejayaan, perlu kerja kuat, perlu ada pemahaman, perlu ada semangat, perlu ada kasih sayang sesama sendiri, kasih sayang pada ibu bapa, kasih sayang pada Yang Maha. Perlu tahu apa tujuan, dan perlu bijak menggunakan emosi. Bila berjaya, hidup itu indah.




Terima kasih. Usaha untuk projek seterusnya!

Rabu, September 29, 2010

Ruang Kosong

Ruang Kosong ialah nama rancangan bual bicara (talk show) yang diterbitkan oleh aku, bersama team Tunjuk Langit Production, untuk tugasan subjek Production.

Dahulu, aku hanya melihat MHI, Selamat Pagi Malaysia, 8TV Quickie di kaca tivi, kini aku yang mengendalikan rancangan seumpama itu.










Walau kurang sempurna, tapi tetap berjaya. Tahniah rakan-rakan. Biar kita terus dengan senyuman yang sama sehingga akhirnya.