Selasa, Disember 21, 2010

Dulu-Dulu Cari Siput Boleh Dapat Seguni

Tinggal di Langkawi membuatkan aku taklah terlalu teruja dengan pantai. Namun, aku menyukainya dan menghargai setiap sisi alam. Kerana, alam ialah satu seni yang memberi satu keajaiban pada tubuh. 

Tatkala cuti-cuti, apabila semua dapat berkumpul, maka satu keluarga akan keluar berkelah. Selalunya pantai Pasir Tengkorak jadi pilihan. Jangan risau, tiada satu pun tengkorak yang bertebaran di pantai ini. Pantai ini mempunyai ramai tetamu jemputan. Yang serumpun dengan kita. Encik kera. 

Kera-kera di sini memang gemar menyelongkar segala tong sampah. Ada seekor kera datang pada kami dan makan kulit tembikai yang ayah aku buang. Kemudian dia berbisik pada kami, "kami juga suka selongkar makanan-makanan yang orang tinggal tanpa dijaga sebab orang-orang tu leka mandi. Macam kami buat pada budak-budak tu." Mulutnya mengunyah kulit tembikai sambil tangan kanannya menunjuk ke arah hujung pantai.

Seekor kera sedang menyelongkar pakaian dan makanan yang ditinggalkan oleh sekumpulan remaja yang sedang asyik mandi. Remaja itu sedar. Salah seorang mengejar kera itu. Ibarat sukan komanwel pecutannya.

Selepas makan, kami malas untuk bermandi manda. Sebab laut dah penuh dengan manusia. Jadi, ilham datang dari pepohon. Kami bercadang untuk mengutip siput di pantai berhampiran Aquabeat. Aquabeat ialah taman tema air ala-ala Sunway Lagoon yang ditutup berbelas tahun lalu. Dulu, Joe Jambul pernah shooting di sini. Dan aku pun ikut menjerit, DI MANNNAA JOOE JAMBUUL!


Pantai di sini menjadi tempat nelayan memarkir bot-bot kecil mereka. Kelihatan pondok-pondok kecil nelayan di tepi pantai tempat nelayan-nelayan ini melepaskan lelah dan berehat. Kami pun mula mencari-cari siput yang khabarnya banyak siput kepah yang bersaiz besar tertanam di pasir pantai.



Mak pula sibuk menukul siput-siput di batu. Siput tukul. Dimakan mentah. Masin-masin. Memang kegemaran aku. Kami mengorek-ngorek permukaan pantai dengan alatan khas yang diberikan seorang nelayan. Dan juga dengan batu. Dan juga dengan kayu.

Air sedang tarik untuk surut. Jika air surut, lagi mudah untuk kami turun ke tengah. Dan hasilnya mungkin lebih banyak. Kak akan mula bercerita kisahnya sewaktu kecil. Di mana boleh kutip sehingga seguni siput.



Kini, siput-siput sudah mula berkurangan. Tapi, kami tetap bersyukur kerana masih ada rezeki untuk kami. Dan, untuk anak-anak siput, kami akan lepaskannya kembali ke pasir. Dengan perlahan. Dia mengorek. Mengorek. Mengorek. Mengorek. Pasir. Dan timbuskan dirinya.

Tiada ulasan: