Khamis, Disember 16, 2010

Bubur Asyura

Memasak bubur asyura sudah menjadi adat pada orang Melayu. Sama juga dengan keluarga aku. Tapi kalau tahun-tahun sebelum, kami memasak bukanlah pada 10 Muharram. 

Apa-apa pun, memasak bubur asyura bukanlah satu tuntutan wajib dalam agama Islam. Aku tegaskan lagi, ia satu adat. Seeloknya berpuasa sunat pada 9 dan 10 Muharram itu.

Aku pandang langit dan berbisik syukur. Kerana mampu tunaikan amalan sunat pada dua hari itu.

Mak bercadang untuk memasak bubur asyura sebagai juadah berbuka 10 Muharram. Kalau ikut sesetengah pendapat, perlu ada 10 jenis bahan dalam bubur asyura. Ah. Bukannya dosa kalau tak cukup 10 pun.

Bubur asyura di sebelah utara tanah air manis rasanya. Kalau di sebelah timur, buburnya berempah dan pedas. Mak selaku johan memasak asyura peringkat Langkawi beberapa tahun lalu hanya mengagak sahaja bahan-bahan yang perlu dimasak.








Antara bahan untuk dijadikan asas bubur ialah campuran tepung gandum, tepung kastard, tepung sagu dan tepung jagung. Kemudian ditambah dengan santan dan susu cair. Jangan terlalu risau dengan mitos santan berkolestrol. Semua itu dusta semata. Nak tahu, pergi kaji sendiri. Jangan jadi bangsa yang malas.


Bahan-bahan itu dikacau sehingg agak pekat. Kemudian barulah dimasukkan bahan-bahan yang lain. Mak dengan kreativitinya memilih untuk memasukkan nangka yang direbus, campuran ubi keledek, ubi kayu dan labu yang direbus, bubur cha-cha, sagu dari Melaka (macam bubur cha-cha juga, tapi berwarna merah), kacang merah. jagung dan pisang. Kesemua bahan dimasukkan dan dimasak sehingga bubur menjadi pekat dan tidak melekat pada belanga.


Bubur asyura ini akan membeku dengan cepat. Maka kami pun dengan cepat memasukkannya ke dalam bekas. Bermacam-macam saiz untuk disedekahkan pada jiran. 

Hari ini, juadah buka puasa aku ialah bubur asyura dan air nira kelapa. fuh!

Tiada ulasan: