Isnin, Jun 21, 2010

Bangunan Usang Tengah Kota (Dirgahayu Penjara Pudu)

Seingat aku. Tahun lepas. Mungkin dua tahun lepas. Aku berada dalam koc monorel. Dari stesen Hang Tuah.

Aku selesa menggunakan perkhidmatan tren kalau bergelandangan di Kuala Lumpur. Hari ini pun, kalau aku ingin ke Kuala Lumpur, keseorangan, aku akan parkirkan kereta di Stesen KTM Padang Jawa dan menaiki komuter ke Kuala Lumpur.

Dalam koc-koc tren, aku dapat saksikan ragam. Dan, kalau ada bahan bacaan yang dibawa, aku akan isi dengan bahan bacaan. Dulu, sewaktu aku masih ada pemain muzik digital, telinga akan disumbat dan berdentumlah lagu-lagu yang kalau nada pada pemain ditinggikan pada tahap maksima mampu merosakan telinga.

Ah. Aku sebenarnya mahu bercerita mengenai bangunan usang di tengah kota. Pengguna monorel dari Stesen Hang Tuah ke Stesen Imbi kenal benar dengan bangunan usang itu.

Itulah Penjara Pudu. Setiap kali aku melintasi bangunan sepi ini, aku dapat merasai kesayuannya. Kesepian bekas-bekas penghuninya. Dan selepas semua bekas penghuninya dipindahkan, bangunan usang ini bersendirian di kelilingi bangunan-bangunan pencangkar yang lebih moden dan gah parasnya. Bangunan usang ini, sepi sendirian.

Aku mempunyai cita-cita untuk mendokumentasikan bangunan ini. Aku pernah terfikir untuk merakam sebuah dokumentari. Sewaktu memiliki kamera DSLR, aku mencemburui mereka yang pernah masuk ke bangunan ini dan merekod segala tinggalan. Aku, hanya mampu melintasi bangunan usang ini dan menghidu bau sepinya.



Seingat aku. Tahun lepas. Mungkin dua tahun lepas. Aku berada dalam koc monorel. Dari stesen Hang Tuah. Satu keluarga masuk ke koc monorel. Mungkin pertama kali menaiki perkhidmatan tren ini. Mujurlah tren pada hari itu tidak sibuk dan padat. Mereka duduk di sebelah aku. Sang ayah sedang mendukung anak kecilnya. Dua orang anak lelakinya berada di antara dia dan isterinya dan girang kerana pertama kali merasai pengalaman menaiki monorel yang sejuk dengan penghawa dingin ini.

"Abah! Abah! Ni bangunan apa ni?"  Soal anak kecil itu penuh minat. Jari telunjuknya yang halus menekan-nekan kaca tingkap monorel.

"Oh. Inilah Penjara Pudu. Ini bangunan sejarah ini Along," Si bapa menjawab sambil membetul dokongan anak kecilnya.

Ibunya hanya memerhat dan tersenyum.

"Abah, penjara tu tempat orang jahatkan?"

"Pandai pun. Polis tangkap orang jahat. Orang jahat kenalah duduk dalam penjara. Along jangan buat jahat tau," nasihat si ayah.

Perbualan mereka terhenti dan mata anak lelaki sulungnya terus memandang bangunan usang itu dengan penuh takjub. 

Hari ini, tembok bangunan usang itu rebah. Debu-debu kesepian yang pernah tercatat di dinding-dindingnya terbang bersama debu-debu kota raya yang penuh dengan sisa-sisa dosa. Apa lagi yang aku hendak tunjukkan pada anak-anak aku pada hari depan? 




Tiada ulasan: