Ahad, Oktober 31, 2010

cin(T)a : Ulasan Pendek Aku

Aku baru pulang dari MapKL untuk menghadiri Kotak Hitam 4.0: cin(T)a & MIMPilem anjuran Frinjan dengan kerjasama Paradoks, Sembilan Matahari Film dan MapKL.

Tujuan utama semestinya mahu menonton filem Indonesia yang menang banyak anugerah ini. Aku hanya sempat menonton tiga filem pendek pada sesi malamnya iaitu filem Perempuan, Hantu dan Skandal (Ridhwan Saidi / Bin Filem), Kiamu (Anwari Ashraf) dan Rompak (Ismail Abd Rashid).

Rasa aku tentang filem cin(T)a ini ialah penyerapan dan saduran Sepet tapi landasannya seolah-olah bercelaru dan terawang-awang. Aku faham apa yang Sammaria Simanjuntak cuba bawakan, percintaan antara dua agama yang berbeza dari sudut dasar keterbukaan beragama di Indonesia, namun filem ini bagi aku carca marba dan bak kata Ajami Hashim selepas tayangan terlalu ingin memasukkan banyak isu sampai hilang fokus.

Aku setuju dengan Ajami yang filem ini sebenarnya sebuah filem cinta biasa antara teruna dan dara, namun cuba diberatkan dengan isu berlainan agama dan bangsa. Aku juga bersetuju yang filem ini sebenarnya mempunyai unsur erotik dan seksualisme yang kuat. Apa yang aku nampak, kedua-dua watak mempunyai berahi yang kuat, ingin lakukan hubungan seksual, tetapi dihalang oleh sesuatu. Tuhan atau agama mungkin. Lihat sahaja bagaimana Cina terangsang dengan perlakuan Annisa yang sedang berwuduk. Wujud sesuatu yang erotik di sini dan inilah permulaan kepada pembawaan filem ini yang sebenarnya.

Walaupun banyak isu yang cukup dipadatkan sampai ia seolah-olah terawang-awang, aku masih tetapi menyukai filem ini. Ini sebuah filem indie dari Indonesia yang berjaya dari semangatnya dan telah memenangi beberapa anugerah di luar dan juga ditayangkan di Eropah. Filem kita?


1 ulasan:

Ajami Hashim berkata...

"Apa yang aku nampak, kedua-dua watak mempunyai berahi yang kuat, ingin lakukan hubungan seksual, tetapi dihalang oleh sesuatu."

setuju :-)