Selasa, Februari 16, 2010

A Mighty Heart (2007) : Kejahilan Ekstremis Islam dari Pandangan Hollywood


Filem arahan Winterbottom ini menceritakan akan kejahilan dan kebodohan ekstremis Islam. Yang mempunyai pandangan sempit mengenai Amerika (orang Yahudi terutamanya). Dalam masa yang sama, filem ini juga mencabar kefahaman orang putih tentang ektremis-ekstremis Muslim.

Pandangan pertama aku sebelum menonton filem ini agak stereotaip dan menganggap ini ialah filem Hollywood tipikal yang menggambarkan Muslim itu ekstrim.Namun, filem ini sebenarnya sesuatu yang agak genius pada hemat aku. 

Dengan gaya penulisan skrip yang agak berat, filem ini bakal menjadi hasil yang membosankan. Namun, Winterbottom berjaya membuatkan skrip yang berat itu menjadi sebuah doku-drama yang saspen dan penuh dengan atmosfera emosi yang cukup tinggi frekuensi dan darjahnya.

Jalan cerita berdasarkan kronologi penculikan Daniel Pearls (Dan Futterman) dan nyawa bagi filem ini ialah Angelina Jolie sebagai Mariane Pearl yang membawa emosi keseluruh ruang filem ini. Gaya sinematik yang cukup bijak dan campuran emosi dan perasaan dari Angelina memberikan X-faktor yang begitu mencengkam. 



Angelina buat aku cukup terpikat dengan dia. Dalam filem Changelling, dia membawa emosi dengan cukup baik dan berkesan. Dan filem ini dilakonkannya sebelum Changelling dan Angelina sememangnya pelakon yang tahu bagaimana mahu memberi roh kepada sesebuah filem. Aspek ini lah yang kurang dalam penerbitan filem di negara kita. Filem ini tidak perlukan muzik latar yang terlalu memujuk penonton untuk merasai emosi Angelina, lakonannya yang cukup kuat dan dengan garapan pengarahan dari Winterbottom, penonton dapat merasai kesengsaraan, rindu, kesedihan dan ketabahan Mariane. Selain itu, antara hal kecil yang tidak dipandang remeh oleh Angelina ialah dia melakonkan seorang wanita yang berasal dari Perancis. Angelina bercakap bahasa Inggeris dan kadang-kadang masih terdegar bunyi Perancisnya. Itu sebenarnya mengujakan aku.

Antara babak yang cukup berkesan ketika Mariane menghantar SMS 'I Love U' ke telefon Daniel. Dan, kita tahu yang Daniel tak mungkin dapat membacanya kerana dia diculik dan mungkin telefonnya sudah dirampas. Dalam babak ini, aku cukup merasakan kerinduan yang menebal seorang isteri terhadap suaminya dan dia sebenarnya cukup berharap yang suaminya akan membaca SMS itu walaupun logiknya, tak mungkin akan terjadi.

Aku cukup menyukai skrip filem ini. Dengan beberapa dialog yang mencabar dan keseimbangan permasalahan yang dirungkai. Ya, skrip yang ditulis John Orloff ini digarap dari kisah benar yang didokumenkan dalam buku tulisan Mariane Pearl sendiri. Namun, penulisan skrip ini tidak merujuk bahawa semua Islam itu teroris dan ekstremis. Islam masih digambarkan sebagai sebuah agama, seperti agama lain yang tidak suka akan keganasan. Hanya segelintir yang ekstrim sahaja yang bertindak sedemikian.

Pada hemat aku, filem ini berat. Tapi, shot dengan suntingan yang bagus, membuatkan filem ini menjadib bertambah bagus bukan sahaja rupa malah content dan isinya juga. Isinya mencabar kedua-dua pihak sama ada Muslim atau Amerika. Dan, pembikin-pembikin filem tanah air perlu sedar bahawa menggarap cerita dari buku sebenarnya bakal menghasilkan produk yang luar biasa hasilnya.

3 ulasan:

hans berkata...

save dalam external
aku nak
haha

Jazli Safwan berkata...

ni dvd arrr

hans berkata...

bawalah dvd tu nanti datang anggerik indah