Ahad, Februari 28, 2010

Kebebasan Mutlak Pada Media Baru Berbahaya Kepada Keharmonian Sosial

Demokrasi di Malaysia mula wujud semenjak peninggalan British dari Tanah Melayu. Tanggal 31 Ogos 1957, dengan bergemanya laungan kemerdekaan, maka demokrasi itu mula wujud dan menapak di Tanah Melayu. Kebebasan dalam bersuara merupakan perkara asas dalam demokrasi konvensional. Namun, menurut Dr Rahmat Ghazali, dalam bukunya ‘Online Journalism on Malaysian Socio-Political Landscape’, pengamalan demokrasi di Malaysia unik dan berbeza dari amalan demokrasi barat, di mana demokrasi di Malaysia lebih mementingkan kesatupaduan dan keharmonian sosial dalam masyrakat berbilang kaum. Keharmonian sosial ini terjaga dengan rapi sejak berlakunya perbalahan kaum yang terburuk di negara ini pada 16 Mei 1969.


Dalam amalan media arus perdana tanah air, hal-hal yang menyentuh akan isu sensitif antara kaum tidak akan disiar dan ditapis. Setiap berita yang akan disiarkan di akhbar haruslah melalui editor dan proses ‘gatekeeping’ akan berlaku. “Gatekeeper” berfungsi sebagai penapis kepada setiap berita yang bakal disiarkan memandangkan setiap berita itu mempunyai kesannya sendiri terhadap pembaca. “Gatekeeper” ini berfungsi secara menyeluruh dalam sesuatu syarikat akhbar itu sendiri. Apabila sesuatu berita itu tidak ditapis terlebih dahulu, maka dapat dilihat berita yang disiarkan itu akan mempunyai kesalahan dari segi tatabahasa dan nahu serta struktur ayat. Juga sekiranya berita itu menyentuh sensitiviti masyarakat, kekecohan akan timbul dan seterusnya akan meruntuhkan institusi masyarakat.

Namun begitu, kemunculan media baru atau lebih dikenali lagi sebagai kewartanan dalam talian telah merubah corak menyampaian sesuatu maklumat. Sarjana seperti Millison, Allen, Hall, Wolk, Deuze dan Gunter mendefinisikan kewartawanan dalam talian bukan hanya meliputi berita tetapi merangkumi perlbagai area seperti akhbar dalam talian, laman web informasi, laman-laman blog, papan bulletin, dan ruang sembang, di mana pengguna terlibat dalam pembincangan, perkongsian dan pendebatan idea, pendapat dan pemikiran yang berkaitan masyarakat. Namun, kemunculan media baru ini dalam senyapnya membawa satu barah yang boleh merebak dan membawa bencana kepada keharmonian sosial dalam negara.

Seperti yang saya sebutkan pada perenggan-perenggan awal, demokrasi di Malaysia mementingkan keharmonian antara kaum dan media arus perdana berusaha untuk memaparkan berita dan maklumat yang tidak menyentuh hal-hal perkauman. Namun, pengamal media baru dan kewartawanan dalam talian pada hari ini cukup berani dalam menyiarkan isu-isu sensitif yang mencabar keharmonian sosial dalam negara kita. Tiada sekatan dalam penggunaan internet bukan bermakna pengguna internet itu bebas sebebasnya untuk menyebarkan perkara palsu, auta dan fitnah.


Baru-baru ini, seorang pelajar ASWARA ditahan atas tuduhan menghasut masyarakat di laman sosial Facebok agar merosakan dan membakar gereja. Kemudian, selepas kemangkatan baginda Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Sultan Almarhum Sultan Ismail, kita digemparkan dengan penangkapan Aduka Taruna yang menulis kata-kata biadap terhadap almarhum Sultan Iskandar. Penahanan Aduka Taruna bukanlah yang pertama kerana Jeff Ooi, Ahiruddin Atan, Raja Petra Kamaruddin dan Syed Azidi antara yang pernah mendepani tindakan undang-undang berhubung isi kandungan dalam blog masing-masing. Hal ini jelas menunjukan bahawa internet menjadi wadah bebas dalam menyebarkan segala wacana kepada khalayak. Namun, dalam kebebasannya masih lagi terdapat tembok halangan jika kebebasan itu digunakan untuk menyebarkan segala perkara yang dianggap fitnah oleh segelintir.



Dengan kewujudan media baru, khalayak dituntut menggunakan kewarasan  dan kebijakan akal untuk memanfaatkan kecanggihan teknologi komunikasi yang ditawarkan menerusi dunia siber. Tetapi disebabkan oleh sesiapa saja boleh memberi pandangan dan menyiarkan segalanya untuk tatapan umum, maka wujudlah salah tafsir mengenai suatu yang dikelaskan sebagai fitnah, ugutan dan sebagainya. Oleh itu, pihak yang berkuasa telah melaksanakan peruntukan undang-undang yang sedia ada seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atau Akta Rahsia Rasmi (OSA). Dengan melaksanakan undang-undang yang diperuntukan, maka akan timbul rasa takut dalam diri khalayak pengamal media baru dalam penyebaran maklumat yang kurang tepat.

Peruntukkan undang-undang berkaitan dunia siber adalah untuk menyekat segelintir pengguna yang tidak beretika atau sengaja mengambil peluang dan ruang untuk mencetuskan keadaan kucar-kacir dalam masyarakat. Perlaksanaan undang-undang tersebut sebenarnya member manfaat kepada majoriti. Sekiranya kerajaan berfikiran sempit dan jumud dengan tidak memberi kebebasan, sudah tentu internet diharamkan secara terus. Oleh hal yang demikian, untuk menikmati kebebasan yang lebih bermakna kita perlulah mengorbankan kebebasan mutlak yang membawa banyak kerosakan dari keharmonian.

Tiada ulasan: