Khamis, September 02, 2010

Private Screening Dokumentari Fahmi Reza

Aku merupakan 100 orang yang menerima jemputan dari saudara Fahmi untuk private screening dua filem dokmentarinya iaitu 10 Tahun Sebelum Merdeka (2007) dan Revolusi '48 (2008). Tayangan 'rahsia' ini bersempena hari kemerdekaan dan aku bilang inilah pengisian kemerdekaan aku untuk tahun ini.

KLSCAH atau dulu lebih dikenali sebagai MCPA bukanlah tempat asing bagi aku. Sewaktu sirkit gig tanah air menjadi satu budaya popular sejak 2-3 tahun lepas, MCPA merupakan tempat wajib untuk diadakan gig. Aku rasa dalam 3 kali juga aku pernah jejakkan kaki ke dewan yang diiktiraf sebagai salah satu bangunan warisan ini untuk menghangguk kepala di gig metal. Oh. itu cerita lain.




Berbalik kepada figura yang bernama Fahmi Reza ini, aku mengenalinya selepas membeli DVD dokumentarinya pada Youth'08 dahulu. Seingat aku lah. 10 Tahun Sebelum Merdeka pernah aku layan berkali-kali sebelum CD nya dihilangkan oleh seorang rakan. Ha Ha. Kehadiran aku kali ini ialah untuk menonton Revolusi '48 yang hanya sekali ditayangkan dan terus sunyi kemudiannya dan Fahmi sendiri telah menjelaskan masalah yang dihadapinya dengan jelas. Aku mahu karang sedikit reviu dan komen mengenai kedua-dua filem dokumentarinya.

10 Tahun Sebelum Merdeka





Ok. 10 Tahun..... boleh dilayan di YouTube tanpa perlu risau mahu mana nak cari video ini. 10 Tahun... merupakan dokumentari sejarah yang penuh dengan fakta dan bergerak pantas dengan muzikal Punk yang mengiringi latarnya.

Ini merupakan filem dokumentari pertama dari Fahmi selepas terinspirasi dari bahan bacaannya iaitu sebuah buku karangan Ahmad Boestaman.

Dokumentari mengenai HARTAL, atau bak kata Fahmi yang tertulis di dalam buku sejarah Tingkatan 3 sebagai Hari Natal ini menggorekkan satu sejarah yang terpadam dalam buku rasmi sejarah yang aku pun belajar dulu.

Menurut Fahmi, dia mencuplik terus gaya editing Stacy Peralta dalam penghasilan dokumentari Dogtown and Z-Boys. Ciplak, tapi menyegarkan.

Pertama kali aku menonton 10 Tahun.. terus aku menyukainya dan pada aku, apa yang dipaparkan oleh Fahmi dalam filemnya sebenarnya telah memalukan Suhaimi Baba, yang menghasilkan filem ikut buku teks, Hati Malaya; 1957. Hati Malaya pada aku gagal!




Revolusi '48

Ini dokumentari yang memang aku nantikan dari Fahmi. Selepas terlepas tayangannya perdananya di Annexe dulu, peluang kali ini tak aku lepaskan.

Terang Fahmi, tayangan kali ini merupakan edisi asal Revolusi '48, yang ditayangkan pada 2008 dahulu. Dan, beliau sedang menyiapkan kembali edisi yang baru dan penganjuran private screening ini adalah untuk mendapatkan maklum balas untuk penambahbaikan filem dokumentari ini.

Beberapa masalah diterangkan oleh Fahmi mengapa dia tidak menyukai Revolusi'48 versi asal. Tapi, usaha beliau menemuramah Chin Peng (Chin Peng cakap bahasa Melayu ni, tapi sayang, dia sudah uzur) dan Abdullah CD buat aku terasa mahu bangun dan tabik tiga jari pada beliau. Ha Ha.

Ok. Revolusi '48 bercerita mengenai perjuangan Revolusi, sebuah terma yang hilang dalam kamus bahasa kita pada hari ini kerana teks rasmi melabelkannya KOMUNIS.

Pada yang tidak mengerti, mungkin akan terus melabel Fahmi sebagai Pro Komunis. Namun, apa yang beliau cuba sampaikan ialah, kita perlu melihat sejarah dari perspektif yang berbagai dan baru kita akan belajar dan dapat menilai sendiri.

Pada Fahmi, Revolusi '48 gagal kerana isinya yang berlubang dan tidak padat seperti 10 Tahun..Tapi, pada aku, mesejnya sampai. Iaitu menyampaikan semangat perjuangan pejuang-pejuang kiri yang kita tidak pernah tahu dan ada masa dan ketika, bulu roma akan mencanak naik.

Satu masalah pada aku ialah Revolusi '48 agak tidak kemas dari segi editingnya berbanding 10 Tahun. Footage yang di'curi' dari Filem Negara Malaysia berulang-ulang dan hampir sama dengan yang dimasukkan dalam 10 Tahun. Runut bunyi dari Joe Kidd agak kurang PUNK nya walaupun khalayak kenal siapa itu Joe Kidd. Runut bunyi Revolusi'48 tidak menggambarkan semangat perjuangan haluan kiri yang bersemangat menentang British dan telah mewujudkan atmosfera yang mellow. Bagi aku, lagu yang rancak dan bersemangat lebih sesuai untuk menaikkan momentum perceritaan.



Fahmi agak gusar untuk mengeluarkan filem ini kerana dia sudah digelar pro-komunis selepas mengeluarkan 10 Tahun... Ya, masyarakat yang dididik dengan teks-teks rasmi akan terus membenci dengan perjuangan yang digelar KOMUNIS ini, namun jika masyarakat kita mampu melihatnya dari perspektif yang lain, mereka mungkin akan sedar.

Pada aku, Fahmi mesti keluarkan juga Revolusi '48 ini kepada khalayak selepas beliau melakukan pengubahsuaian. Aku syak, ramai yang akan terus menerus menghina dan melabel Fahmi dengan pelbagai tohmahan. Tapi, untuk melakukan REVOLUSI, itu yang perlu dihadapi beliau.

Sekarang, Fahmi sedang giat menjayakan projek terbaru beliau iaitu Student Power. Perihal sejarah mahasiswa yang terus dibekukan dari pengetahuan mahasiswa seMalaysia. Aku doakan, usahanya akan berjaya kelak.

2 ulasan:

chuckPalakian berkata...

aku pernah tunjukkan video pasal hartal ni lebih kurg 2 tahun lepas kat mmbe aku...
memang kna cerca la...
nmpak sgt buku cerita hikayat(buku teks) sudah mmberi fahaman dari 1 sudut sja yg mmg tertanam dalam hati keseluruhan warga muda negara ini...

Jazli Safwan berkata...

kalau ang tgk revolusi '48, lagi arr ang terkejut.. memang celaka buku teks sejarah tu..

chin peng memang salah bila dia terus angkat senjata lepas merdeka tu..

tapi, kalau tgk perjuangan PKM sebelum2 tu, depa tu lagi bermaruah dalam mencari merdeka..

lagi satu, lambang bintang 3 tu ada maksud kut.. Najib Razak buat satu malaysia tu kira idea lapuk arr.. bintang 3 dah buat dah dulu dengan lambang bintang 3 tu..