Jumaat, Ogos 06, 2010

Teater Short Eyes : Realiti Masyarakat Majoriti Dalam Minoriti

Fared Ayam, atau dia suruh orang panggil dia Ayam merupakan manusia yang pelik di kalangan masyarakat majoriti, tetapi bagi kelompok yang minoriti yang mengenali kerja-kerja seni beliau, tiada apa yang pelik. Itu unik namanya.

Dengan berambut panjang dan memakai headband, cermin mata besar, berseluar pendek dengan warna yang striking dan mencucuk mata serta berselipar, teater Short Eyes ini ibarat mewakili dirinya yang mungkin berada di golongan minoriti, tapi rutinnya, tetap tidak lari dari kehidupan masyarakat majoriti.

Short Eyes, karya Miguel Pinero ini telah dibahasaibundakan dengan senang-lenangnya oleh Fared Ayam. Aku sangat menyokong usaha-usaha seperti ini, walaupun tidak asli, namun masih terasa keasliannya bila teater ini menggunaka bahasa Melayu dalam penyampaiannya. Setiap dialog yang dituturkan bikin audiens fikir, renung, senyum, dan ketawa.

Pada aku, Ayam sedang mengkritik suasana masyarakat kita sekarang yang semakin berpecah belah, berbual kencang hal agama tapi buat perkara yang orang yang tak pandai agama pun buat, hasut-menghasut, rasis, polis salah tembak, kejahatan yang dilindungi oleh perwatakan dan jawatan dan masyarakat dan macam-macam lagilah yang anda rasa ada sangkut-paut dengan masyarakat kita sekarang yang tidak stabil. Bak kata Ayam sendiri dalam salah satu puisi beliau, STABIL UNTUK SIAPA?


Para pelakon semestinya di kalangan rakan-rakan dan kenalan dalam Rumah Anak Teater yang pada sesiapa yang sebelum ini mengikuti kerja-kerja seni RAT, semestinya mengenali para pelakonnya. Dari segi lakonan, setiap watak sememangnya melontarkan hasil lakonan yang sangat bagus. Kalau Intan Ladyana teringin nak belakon teater, mesti aku gelak terbahak-bahak macam haram sebab minah tu kena belajar lagi dengan abang-abang dalam teater Short Eyes ni. Eh, dalam cerita ni tiada heroin, tapi ada babak cinta dan romantis. Ha ha.

Dunia kita ibarat penjara yang besar, di dalamnya terisi dengan banduan-banduan yang pelbagai. Sesetengah mampu berfikir dengan penuh moral, namun moral akan kalah dengan perlakuan yang terperangkap dan terdesak untuk meneruskan kehidupan yang berjerat di dalam penjara ini. Untuk mereka yang belum menonton, silalah tonton teater ini.

1 ulasan:

hans berkata...

intan ladyana berlakon drama biasa2 pun aku xminat apatah lagi dia nak berlakon teater

kepada sesiapa yg tak tgok lagi tu pergi la tgok...

watak2 macam Paco, Cupcakes, Murphy dan lelaki Tuhan pasti buat anda senyum sampai anda tidur