Selasa, April 06, 2010

Lagenda

Aku baru selesai menonton filem Michael Jackson's This Is It dan At The End Of Daybreak. Ada dua lagenda dalam filem ini. Michael dan Yasmin Ahmad. Cukup syahdu tatkala menonton This Is It. Terpukau aku dengan kelembutan percakapan Michael, cukup menghormati orang lain. Michael begitu teliti dalam setiap karya beliau (bayangkan, beliau dapat ingat kesemua tempo dan note dalam setiap muziknya).

Tuhan Yang Maha telah memanggil seorang lagi lagenda pulang. Allahyarham Din Beramboi. Lagenda yang cukup anarki dalam humornya. Tiada pendinding untuk menapis segala perkataan yang perlu keluar dari mulutnya. Beliau sememangnya pak lawak yang bukan seperti pak lawak di Malaysia yang lain. Yang perlu memikirkan kiasan dan lapitan dalam berlawak. Kononnya, kita ini orang Malaysia. Tapi, dengan anarkinya, Din menemplak semua itu. Dan, sesetengah rakyat Malaysia, yang kebanyakan suka lepak bawah tempurung, sambil berasa diri mereka tuan tanah yang maha hebat, kadang-kadang jelek dengan humor Din yang berfalsafah Punk ini.

Lagenda, tak akan hidup lama. Kalau hidup lama, bukan lagenda mereka. Lagenda super genius P. Ramlee, lagenda penghibur beraura Sudirman, lagenda pencetus revolusi pop Michael Jackson, lagenda otak pintar dan cerdas dalam bervisual Yasmin Ahmad, dan lagenda humor hebat tanpa bersalah Din Beramboi, tidak panjang nyawa mereka. Kerana mereka ialah lagenda, yang memberikan kesan dalam pengembangan dunia yang bercabang dan berakar seni.

Tiada ulasan: