Khamis, Julai 08, 2010

Travelog; Tanjung Sebelum Shah Alam

Pembukaan semester baru membuat aku merancang untuk pulang ke Shah Alam sambil singgah di beberapa tempat. Rancangan awal aku untuk singgah di Pulau Pinang atau lebih mesra dengan panggilan Tanjung oleh orang-orang lama Kedah, dan juga singgah di Tapah untuk menikmati sendiri mee rebus Tapah yang dengarnya dapat menawan deria rasa.

Feri yang pada jadualnya bertolak dari jeti Kuah ke Kuala Kedah pada pukul 8.30 pagi tidaklah terlalu padat dengan penumpang. Rata-ratanya ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka untuk menyambung pengajian ke universiti dan borak-borak mengenai negeri dan institut yang bakal anak-anak mereka masuki. Perjalanan agak tenang dan ombak pada pagi itu seolah-olah masih lagi nyenyak tidur.

Sekitar jam 10 pagi, aku tiba di Kuala Kedah. Pelabuhan kecil yang di sisinya selain terdampar beberapa feri-feri penumpang ke Langkawi, bot-bot para nelayan juga setia berlabuh di situ. Di jeti, satu figura yang cukup aku kenali berada di hadapan aku. Halim, rakan lama sejak dari sekolah rendah sedang berdiri menunggu seseorang bersama adik perempuannya. Sempat berbual beberapa patah dan bertegur sapa, aku meminta izin untuk mengambil kereta yang sudah dua hari tiba di pelabuhan kargo Kuala Kedah.

Selesai urusan, Pak Lah, teman serumah aku yang akan pulang bersama menghantar SMS bahawa dia masih lagi di Perlis dan sedang menuju ke Alor Star dengan lajunya. Janji kami, aku akan menjemput dia di stesen bas Shahab Perdana. Aku berkeputusan untuk singgah di Nasi Kandar Nasmir di Simpang Kuala. Meja-meja di restoran tersebut hampir penuh dan mujurlah ada sebuah meja kosong di satu sudut berhadapan dengan sinki untuk aku duduk di situ dan menikmati minuman Nesacafe panas dan roti sardin sebagai alas perut. Francais mamak yang terkenal di sekitar negeri-negeri Utara ini dipenuhi dengan pelanggan yang majoritinya berbangsa Tiong Hua. Bangsa Cina sekarang dah mula menyukai kari, getus aku dalam hati.

Pak Lah tiba di Shahab bersama keluarganya dan sekitar jam 11.15 kami terus bertolak ke Pulau Pinang, destinasi persinggahan pertama kami. Lebuhraya agak tenang namun sekatan lalu-lintas berhampiran Tikam Batu oleh polis trafik sedikit menimbulkan keresahan kepada kami kerana ada ketikanya aku memecut melebihi had laju. Alhamdulillah, tiada satu layangan surat saman yang kami peroleh.

Sekitar jam 1.20 petang, kereta putih yang membawa kami meluncur sederhana deras di pekan Butterworth dan terus menuju ke pelabuhan. Dengan bayaran RM7.70, kereta kami akan diusung oleh feri Pulau Pinang yang sememangnya menjadi ikon dan identiti pulau ini. Ini kali kedua kereta putih aku menaiki feri untuk ke Pulau Pinang. Terdapat beberapa pengalaman aku yang tercatat di feri Pulau Pinang ini dan sepanjang 15 minit perjalanan, aku menghayatinya sambil menikmati bayu angin dan berbual bersama Pak Lah.








Aku memberi buah fikir kepada Pak Lah dengan mencadangkan agar singgah di Pasar Chowrasta dan makan di sekitarnya. Sebagai pembantu pemandu, Pak Lah membelek peta Pulau Pinang, yang sememangnya tersimpan dalam kereta aku hasil lawatan lepas, dan juga buku catatan aku yang telah aku catatkan arah untuk ke Chowrasta. Dari pelabuhan, belok kiri dan dalam 200 meter, terdapat simpang di sebelah kanan dan simpang itu menuju ke Lebuh Chulia. Lebuh Chulia mempunyai dua kedai nasi kandar yang menjadi topic bual bicara penggemar makanan iaitu Nasi Kandar Kapitan dan Kassim Mustapha. Tiba di hujung Lebuh Chulia, aku membelok kiri dan masuk ke Jalan Penang. Di sinilah terletaknya Pasar Chowrasta dan kedai nasi kandar yang sangat mahsyur, Nasi Kandar Line Clear. Mencari parkir di Georgetown sememangnya menyeksakan. Namun kami dapat meletakan kenderaan di belakang sebuah pawagam lama.



Pasar Chowrasta atau Chowrasta Market terkenal sebagai pusat penjualan jeruk dan juga tempat penyinggahan penggemar buku kerana di tingkat 1 bangunan ini terdapat deretan toko buku yang menjual buku-buku terpakai. Inilah tujuan utama aku ke Pasar Chowrasta ini, ingin merasai pengalaman berhimpit-himpit dengan buku.



Terdapat banyak kedai yang menjual buku terpakai dan juga buku baru. Kesemuanya dimiliki oleh taukeh India Muslim Pulau Pinang. Ada kedai yang menyusun dengan teratur buku-buku tersebut namun ada juga yang agak semak aturannya. Aku mula menggeledah buku-buku di setiap kedai dan bila taukeh-taukeh kedai menyoal buku apa yang ingin dicari, spontan mulut aku berkata, sastera Melayu. Pak Lah pula agak teruja dengan koleksi buku-buku undang-undang di sebuah kedai. Selepas puas, aku hanya membeli dua buah buku dengan harga RM16 iaitu The Godfather edisi tahun 1970 dan juga koleksi cerpen Sasterawan Negara Shahnon Ahmad, MahaMaha. Buku Shahnon Ahmad itu agak mengujakan aku kerana buku itu terbit selepas novel berani beliau, SHIT.



Pak Lah membeli sebuah buku koleksi artikel Dr Asri, yang baru, dengan harga yang agak bagus juga. Selepas puas bergelumang dengan lautan buku, kami turun dan membeli sedikit jeruk untuk dibawa pulang. Kami bercadang untuk makan nasi kandar. Sememangnya, Nasi Kandar Line Clear hanya untuk mereka yang setia menanti di barisan yang panjang. Disebabkan perut kami mula mendendangkan lagu keroncong, kami tidak sanggup untuk menambahkan lagi meter kepanjangan barisan di Line Clear. Jadi, kami makan di Nasi Kandar Yasmeen di sebelah Nasi Kandar Line Clear. Oh, ayam gorengnya cukup menusuk kalbu!



Selepas perut mula mara ke hadapan, kami bercadang untuk keluar dari Pulau Pinang. Sekali lagi Pak Lah meneliti peta untuk mencari arah ke Jambatan. Perlu diingat, jalan di Georgetown merupakan jalan sehala yang sempit dan boleh mengelirukan mereka yang kurang mesra dengan jalan-jalan di sini.









Jam 4.30 petang kami tiba di Hentian Sungai Perak untuk solat. Sekitar jam 5.15 petang, kami keluar ke susur keluar Simpang Pulai dan berehat seketika sambil menunggu Syeeda yang akan pulang bersama ke Shah Alam. Syeeda tiba bersama keluarganya dan sekitar jam 6 petang, kami meneruskan perjalanan. Rancangan aku untuk singgah di Tapah dan menikmati kelazatan Mee Rebus Tulang tidak tercapai kerana hari mulai gelap dan kami ingin tiba di Shah Alam dengan seberapa pantas yang mungkin. Sekitar jam 9, kami tiba di Shah Alam dan malam itu, mereka yang menyokong Argentina menangis dan meraung kerana kekalahan. Aku, puas!

1 ulasan:

irma-ain ibrahim berkata...

nak g lah dekat kedai buku tu.
macam seronok je. :D