Selasa, Februari 15, 2011

Pemimpin

Aku kagum dengan dia. dan aku pasti, kau pun sememangnya kagum dengan dia. Dia memang seorang pemimpin yang sejati. Yang sebetul-betul dipanggil pemimpin. Yang punya akal sahsiah dan politik yang tinggi.

Dia ialah pemimpin dalam keluarganya. Memimpin keluarganya dengan sempurna. Mendengar pandangan isteri-isterinya. Ya, isteri-isterinya.

Dia juga memimpin sahabat-sahabatnya. Bermacam perangai dan perwatakan ada pada sahabat-sahabatnya. Namun, dia cekal menjadi seorang sahabat, yang setia, dan memimpin sahabat-sahabat yang lain.

Dalam hal kejiranan, dia juga seorang pemimpin yang hebat. Menghormati jiran-jirannya walau ada jiran yang tidak menyenanginya.

Dalam organisasi dan ketenteraan. Dia seorang ketua yang berfikiran terbuka. Tidak melenting menerima teguran. Tidak menyesal jika menerima cadangan anak buahnya. Tidak mengungkit jika cadangan itu tidak berjaya dilaksanakan dengan jayanya. Dia tidak membuat keputusan secara keseorangan. Dia amalkan mesyuarat yang pendengar setiap pendapat. Yang tua. Yang muda. Yang remaja.

Dia juga pemimpin negara yang sungguh agung, adil dan bijak. Sebaik-baik pemimpin, dialah. Dialah baginda Nabi Muhammad SAW. Selawat ku panjat ke atasnya, keluarganya, sahabatnya.

Semoga, lidah ini basah dengan zikir pada Tuhan yang menurunkan Al-Quran dan selawat pada KekasihNYA. Semoga, hati ini terus berbisik munajat dan istighfar kepada Ya Rabb, dan berselawat kepada RasulNYA.


Rabu, Februari 09, 2011

23

Selama angka ini,
apa yang telah aku sumbangkan?
apa yang telah aku korbankan?
apa yang telah aku dosakan?

Sekuntum mawar kesyukuran,
buat Pelindungku,
atas nafas yang masih kuhembus.



http://fc05.deviantart.net/fs30/i/2008/197/3/8/Aquarius_by_MichelleLynn725.jpg

Jumaat, Januari 28, 2011

Dansa Dosa

Duhai Kekasih,
   Daku malu,
      Janji dimungkari,
dengan dansa dosa.


Isnin, Januari 24, 2011

Kecintaan

Tuhan dan cinta ialah dua perkara yang berkongsi satu persamaan - mysterious. Kedua-duanya sungguh misteri.

Kita yang mempercayai Tuhan dan cinta merasai kewujudannya, tapi tidak dapat melihat susuk fizikalnya.

Namun, jika keduanya bersatu, wujud satu perasaan yang luar biasa, di tahap dan hierarki tertinggi, sehingga kadangnya akal normal tidak bisa menerimanya. Sebab itu, ada yang membaca puisi sufi, tanpa rasa cinta yang utuh, merasakan bait itu sesat.

Kecintaan pada insan, boleh saja dikecewakan. Namun, dengan darjah kepercayaan yang tinggi ke atas cinta Tuhan dan kuasaNya, cinta insan itu akan mekar. Dengan izinNya.


Selasa, Januari 18, 2011

Khurafat - Kadang-Kadang Macam Sembilu

Sungguh. Aku skeptikal pada awal-awal trailer filem ni keluar di tivi. Dengan hantu Ju-On / Ringu dan dengan bacaan yaasin.

Dalam otak aku, mesti cerita rasuk-rasuk ala The Exorcist. Tipikal filem seram Melayu dekad ini lah. Tapi, aku silap. Sumpah aku silap.

Sebab, filem ini memang memberi ketakutan dan kejutan yang luar biasa. Penonton kadang-kadang  tertipu dengan kemunculan hantu dan hantu-hantu itu muncul sewaktu kita saspen sungguh dan terjangka sudut mana ia akan muncul. Aku terlompat ke belakang sewaktu hantu muncul mengejutkan Liyana Jasmay dalam kereta. Fuh. Ini satu ketakutan yang sangat memeranjatkan. Walaupun ada babak exorcist pada awal cerita, dan ia dibikin dengan baik sekali. Dari pergerakan kamera, sudut tangkapan, dan bagaimana Imam itu mengeluarka hantu. Syamsul bijak tidak menggunakan mantera-mantera yang sering digunakan oleh Ahmad Idham dalam filem-filem seramnya. 

Syamsul bijak menvisualkan kemunculan hantu, dan dari mana ia datang. Dan suasana suspen dalam filem ini juga tidak memerlukan muzik ala-ala suspen. Babak di dalam bilik mayat, bila lampu terpadam memang memberi debaran dan resah gelisah buat para penonton panggung dan semestinya babak di hutan sewaktu Syamsul sedang mendukung mayat.



Tapi, untuk menonton filem terbitan Skop Production, anda perlulah menerima dialog yang dilontarkan seadanya. Kerana, antara Khurafat dan Sembilu, tiada beza pada dialognya. Maksud aku, dialog dilontar secara terus, tersurat tanpa tersirat dan kadang-kadang kering. Kadang-kadang hang akan rasa tak perlulah dia nak cakap benda tu. Sebagai contoh, pengulangan dialog untuk minta Syamsul bersabar, ada hikmah, bla bla bla. Tipikal dan tipikal!

Aku tak rasa filem ini terlalu bagus. Tapi yang membuatnya sedikit bagus ialah bagaimana Syamsul memahami untuk membikin filem seram, yang dapat menakutkan penonton. Walaupun ada sedikit unsur dakwah, yang seperti filem-filem Melayu lain, disampaikan secara terus, dan kurang memberi kesan dan rasa pada dakwah itu. Ok. Aku rasa, baik Syamsul Yusof bikin filem seram saja dari duk buang duit bapa dia buat cerita rempit, kereta besar, gaduh sebab awek.

Selasa, Januari 04, 2011

Pasif

Melihat masalah ini, aku rasakan masih ramai yang bersifat begini. Sejak bersekolah di sekolah asrama penuh biayaan kerajaan, hingga ke universiti yang dicanang sebagai universiti benteng untuk bangsa Melayu (pernyataan yang membuatkan kita masih hidup dalam kepura-puraan, tapi terpaksa aku telan).

Persekitaran pasif, buat aku juga jadi pasif. Walaupun seringkali berusaha untuk menjadi aktif. Untuk menjadi aktif di dalam suasana pasif, perlu ada juga rakan yang aktif. Namun, jika kita keseorangan, kita akan dipandang janggal. Lebih janggal jika berbicara di skop yang berlainan pandangan sudutnya. Lagilah kita dipandang pelik.

Kadang-kadang, aku melihat, persekitaran aku, yang majoritinya bakal memenuhi bidang penyampaian maklumat dan komunikasi, yang bakal menjadi minda rakyat (kononnya), tidak ramai yang betul-betul mempunyai pemikiran ke arah revolusi. Sebenarnya ramai aku rasa, tapi masih tersembunyi. Tapi, yang ramai ialah tipikal mereka yang hanya mengikut dan berlewaan sahaja.

Itu terus menyuburkan budaya pasif. Yang terus mengenyangkan kita dengan hal-hal yang senang. Bila digeletek sikit, mula meroyan tak tentu pasal. Lihat saja hal ketuanan, lihat saja geletekan ke atas hal bumiputera. Yang aku mula loya.

Aku faham dengan niat sesetengah tenaga pengajar di sini, yang mahu wujudkan sesuatu yang aktif. Namun, ada juga mereka yang sepatutnya mempunyai didikan yang tinggi, mempunyai minda yang aktif dan berilmu. Kadangnya aku melihat, terus pasif dengan tulisan dan teks dari bahan bacaan. Tanpa ada huraian dan pendapat yang boleh membikin wacana baru atau pencabaran dalam falsafah.

Sabtu, Januari 01, 2011

2011

Satu tahun lagi sudah berganjak. Satu dekad untuk abad baru sudah berjaya ditamatkan. Dan, kau, aku, mereka, ada catatan suka dan duka.

2010. Terima kasih kerana memberi aku hidup. Dan Masjid ini, ada kenangan yang besar. Buat aku. InsyaAllah.



Rabu, Disember 29, 2010

Mengaum

Dan akhirnya, Piala Tiger diperoleh Harimau yang sebenar. Saudara, kamu juga lawan yang bisa melawan, tahniah juga buat Indonesia.

Tapi, malam ni, siapa mahu makan garuda panggang? He he.

Ahad, Disember 26, 2010

Garuda Kena Cakar

Garuda tu kan binatang mitos yang tak pernah wujud. Jadi, kemenangan garuda hanyalah mitos di alam maya semata. Terutama di Twitter. Binatang yang hidup di alam khayal, oleh pemujanya, dah habis kena cakar berdarah oleh sang Harimau Malaya.

Laser?  Cer tanya uncle ni. Aku rasa dia yang buat.


Jumaat, Disember 24, 2010

Teman Baru

Teman baru gua. Smena 8M. Bila gua pegang, ada aura-aura Soviet Union. Terus gua buka Red Alert 2 main. Ha ha.

Smena 8M. Kamera baru gua. Gua kini beralih arah ke belakang. Layan filem balik. Dulu-dulu. Waktu di asrama. Bila ada masalah kamera. Semestinya pakai filem zaman tu. Kawan-kawan cari gua.



Terima kasih pada lomography yang mempopularkan balik barang kuno ni. Kalau tak, tentu filem pun dah mampus. Ahh.

Dah. Gua dah isi Kodak Ultramax 400. Lepas ni gua nak isi filem hitamputih pula.

Selasa, Disember 21, 2010

Dulu-Dulu Cari Siput Boleh Dapat Seguni

Tinggal di Langkawi membuatkan aku taklah terlalu teruja dengan pantai. Namun, aku menyukainya dan menghargai setiap sisi alam. Kerana, alam ialah satu seni yang memberi satu keajaiban pada tubuh. 

Tatkala cuti-cuti, apabila semua dapat berkumpul, maka satu keluarga akan keluar berkelah. Selalunya pantai Pasir Tengkorak jadi pilihan. Jangan risau, tiada satu pun tengkorak yang bertebaran di pantai ini. Pantai ini mempunyai ramai tetamu jemputan. Yang serumpun dengan kita. Encik kera. 

Kera-kera di sini memang gemar menyelongkar segala tong sampah. Ada seekor kera datang pada kami dan makan kulit tembikai yang ayah aku buang. Kemudian dia berbisik pada kami, "kami juga suka selongkar makanan-makanan yang orang tinggal tanpa dijaga sebab orang-orang tu leka mandi. Macam kami buat pada budak-budak tu." Mulutnya mengunyah kulit tembikai sambil tangan kanannya menunjuk ke arah hujung pantai.

Seekor kera sedang menyelongkar pakaian dan makanan yang ditinggalkan oleh sekumpulan remaja yang sedang asyik mandi. Remaja itu sedar. Salah seorang mengejar kera itu. Ibarat sukan komanwel pecutannya.

Selepas makan, kami malas untuk bermandi manda. Sebab laut dah penuh dengan manusia. Jadi, ilham datang dari pepohon. Kami bercadang untuk mengutip siput di pantai berhampiran Aquabeat. Aquabeat ialah taman tema air ala-ala Sunway Lagoon yang ditutup berbelas tahun lalu. Dulu, Joe Jambul pernah shooting di sini. Dan aku pun ikut menjerit, DI MANNNAA JOOE JAMBUUL!


Pantai di sini menjadi tempat nelayan memarkir bot-bot kecil mereka. Kelihatan pondok-pondok kecil nelayan di tepi pantai tempat nelayan-nelayan ini melepaskan lelah dan berehat. Kami pun mula mencari-cari siput yang khabarnya banyak siput kepah yang bersaiz besar tertanam di pasir pantai.



Mak pula sibuk menukul siput-siput di batu. Siput tukul. Dimakan mentah. Masin-masin. Memang kegemaran aku. Kami mengorek-ngorek permukaan pantai dengan alatan khas yang diberikan seorang nelayan. Dan juga dengan batu. Dan juga dengan kayu.

Air sedang tarik untuk surut. Jika air surut, lagi mudah untuk kami turun ke tengah. Dan hasilnya mungkin lebih banyak. Kak akan mula bercerita kisahnya sewaktu kecil. Di mana boleh kutip sehingga seguni siput.



Kini, siput-siput sudah mula berkurangan. Tapi, kami tetap bersyukur kerana masih ada rezeki untuk kami. Dan, untuk anak-anak siput, kami akan lepaskannya kembali ke pasir. Dengan perlahan. Dia mengorek. Mengorek. Mengorek. Mengorek. Pasir. Dan timbuskan dirinya.

Khamis, Disember 16, 2010

Bubur Asyura

Memasak bubur asyura sudah menjadi adat pada orang Melayu. Sama juga dengan keluarga aku. Tapi kalau tahun-tahun sebelum, kami memasak bukanlah pada 10 Muharram. 

Apa-apa pun, memasak bubur asyura bukanlah satu tuntutan wajib dalam agama Islam. Aku tegaskan lagi, ia satu adat. Seeloknya berpuasa sunat pada 9 dan 10 Muharram itu.

Aku pandang langit dan berbisik syukur. Kerana mampu tunaikan amalan sunat pada dua hari itu.

Mak bercadang untuk memasak bubur asyura sebagai juadah berbuka 10 Muharram. Kalau ikut sesetengah pendapat, perlu ada 10 jenis bahan dalam bubur asyura. Ah. Bukannya dosa kalau tak cukup 10 pun.

Bubur asyura di sebelah utara tanah air manis rasanya. Kalau di sebelah timur, buburnya berempah dan pedas. Mak selaku johan memasak asyura peringkat Langkawi beberapa tahun lalu hanya mengagak sahaja bahan-bahan yang perlu dimasak.








Antara bahan untuk dijadikan asas bubur ialah campuran tepung gandum, tepung kastard, tepung sagu dan tepung jagung. Kemudian ditambah dengan santan dan susu cair. Jangan terlalu risau dengan mitos santan berkolestrol. Semua itu dusta semata. Nak tahu, pergi kaji sendiri. Jangan jadi bangsa yang malas.


Bahan-bahan itu dikacau sehingg agak pekat. Kemudian barulah dimasukkan bahan-bahan yang lain. Mak dengan kreativitinya memilih untuk memasukkan nangka yang direbus, campuran ubi keledek, ubi kayu dan labu yang direbus, bubur cha-cha, sagu dari Melaka (macam bubur cha-cha juga, tapi berwarna merah), kacang merah. jagung dan pisang. Kesemua bahan dimasukkan dan dimasak sehingga bubur menjadi pekat dan tidak melekat pada belanga.


Bubur asyura ini akan membeku dengan cepat. Maka kami pun dengan cepat memasukkannya ke dalam bekas. Bermacam-macam saiz untuk disedekahkan pada jiran. 

Hari ini, juadah buka puasa aku ialah bubur asyura dan air nira kelapa. fuh!

Rabu, Disember 08, 2010

Lawak Lebai Google

Rakyat Malaysia memang bijak dalam membuat lawak-lawak satira politik ini. Lebai Google pun bijak juga dalam membuat lawak. Cuba taip BERUK dan search di Google. Klik gambar untuk lebih jelas.

Isnin, Disember 06, 2010

Ubi Kayu Bakar dan Manisan Kelapa

Mak aku cakap, dulu-dulu makan ubi kayu rebus ialah makanan ruji jugalah bila beras tak ada. Kadang-kadang makan dengan gula. Kadang-kadang nesan (manisan) tebu. Kadang-kadang cicah garam saja. Janji kenyang!

Hari ini, jiran rumah aku menjalankan projek membersihkan kawasan tanahnya yang semakin semak. Dulu, 15 tahun yang lampau, tempat tu semak dan tempat tu juga kawasan permainan aku. Kononnya kawasan rahsia.


Kawasan itu ada pokok janggus, ubi kayu, pisang, pokok-pokok nyioq yang tinggi melampai dan juga sebuah telaga yang dalam. Dengan kuasa jentolak, kawasan tu kini habis licin. Semua pokok rebah sujud ke bumi.



Mak aku pula sibuk mintak jentolak korek untuk ambil ubi-ubi kayu yang tertanam di situ. Rezeki. Boleh jadi juadah untuk makan petang nanti.

Dah lama aku tak makan ubi kayu bakar. Ubi-ubi yang banyak tu dipecahkan kepada dua kelompok. Kelompok yang bersaiz kecil akan dibakar. Kelompok sederhana akan dikupas dan direbus. Sebenarnya ada 3 kelompok. Ha Ha. Kelompok ketiga yang besar-besar akan dikerat-kerat dan menjadi makanan ayam-ayam dan itik-itik perliharaan kami.

Maka, aku menjalan proses pembakaran. Api dicucuh dan dipasang. Untuk membakar ubi kayu, tidak perlu membuat bara seumpama membakar ikan atau sate. Dengan api yang membara dan besar, ubi kayu akan terus dilempar ke dalam api tersebut. Prosesnya mudah dan kita perlu menunggu ubi tersebut masak.



Mak aku cakap, dulu-dulu orang bakar sewaktu proses pembuatan nesan (manisan) tebu. Air tebu akan dimasak di dalam kawah dan api untuk memasak nesan tebu itu mestilah besar. Menurut bayangan mak aku, api mestilah setinggi lutut. Dengan api yang membara itulah, ubi kayu akan masak empuk.



Selepas kulitnya kehitaman, ubi kayu bakar tadi sudah masak. Angkat dan boleh dimakan dengan manisan, atau gula, atau sambal. Kalau ada nyioq sekali, memang layan. Juadah aku bukan dengan nesan tebu, tapi nesan nyioq. Hah! Ini pun istimewa. Kalau manisan tebu dibuat daripada air tebu, untuk manisan kelapa, ia dibuat daripada nira kelapa. Dimasak di atas api hingga kekuningan.


Ubi kayu bakar gebu dan berbeza dengan ubi kayu rebus. Ubi bakar lebih keras dan lemak. Ohh.. meleleh!

Ahad, Disember 05, 2010

Tinta Hijrah

Diam,
Bukan bisu,
terus kucatat,
dengan pena rasa,
berdakwat minda,
di tasik kalbu,

Bisik,
di tepi jendela jiwa,
supaya pintu kamar hati,
tidak terus bermangga,
dengan besi hitam

Punggah,
segala perca,
serta cebisan,
yang menconteng
ruang dan isi






Salam Maal Hijrah 1432.

Kredit ilustrasi : http://fc09.deviantart.net/fs42/f/2009/059/2/5/Move_by_karolcia12.jpg

Sabtu, November 27, 2010

Matinya Sang Kapitalis

Deringan telefon mengganggu gugat mimpi indah aku tatkala tidur selepas Asar.

Berdering! Berdering! Berdering!

Skrin terpampang nombor yang ganjil.

"Hello"

"Hell-o! Apa khabar encik! Saya Kapitalis Penipu. Saya berkhidmat dengan kompeni yang suka berejakulasi dengan wang-wang rakyat macam encik. Saya ingin memberitahu encik bahawa encik berhutang sebanyak RM561.40 dengan kompeni itu. Saya sekarang mahu bersenggama dengan wang bayaran encik. Encik mesti bayar. Encik student kan? Kalau encik tak bayar, kami dengan penuh megah dan ereksi akan menyenaraihitamkan encik. Padan muka encik!"

Aku terkumat-kamit. Dengan bahasa Jawa campur Bugis campur Kedah purba. Lalu kuhembus perlahan-lahan.

Kapitalis Penipu yang berada di pejabat kecilnya di metropolitan maksiat itu terdiam. Dadanya berombak kencang. Urat saraf mula mengembang. Matanya mula merah menyala cili. Tanpa sempat bertaubat. Dia meletup dan dagingnya bertebaran seluruh ruang pejabat. Bau hanyir dan meloyakan.

Isnin, November 22, 2010

SPM di Tengah Bendang

Masing-masing dah bersiap. Pulang ke asrama. Atau lebih mesra aspura. Ya. Hanya tinggal kami sahaja. Kami pelajar form 5 sahaja yang tinggal di aspura.

Ada yang terlebih dahulu pulang awal sehari dua. Bukan semangat nak belajar. Tapi malas nak lepak di rumah dan ada rancangan nakal.

Masih bugar dalam ingatan. Tatkala sampai di aspura. Beberapa sahabat sudah berada lebih awal. Mendengar kisah-kisah nakal mereka. Yang sewaktu rutin persekolahan biasa, haram untuk dilakukan.

Antara yang masih aku ingat dan akan ketawa ialah bagaimana rakan-rakan aku mencereboh aspuri atau asrama puteri. Mujur waktu itu asputri tiada penghuni. Itu antara tujuan mereka datang awal ke asrama. Dengan hormon yang belum seimbang, masing-masing mengalami adrenalin rush sewaktu menceroboh aspuri.

Apa yang dicari mereka, kepuasan sebagai seorang remaja yang masih misteri dengan erti seks. Mereka menjumpai seluar dalam dan baju dalam wanita yang ditinggal penghuni aspuri. Dan membuat kesimpulan rambang tentang saiz. Ha ha. Nakal mereka cukup tinggi.

Mujur aku tidak terjebak kerana pulang sedikit lewat. Namun, acara pertama yang sempat kulakukan ialah pusing aspura dengan baldi dan mengutip segala barang tinggalan junior-junior. Hasilnya, kami memperoleh berpuluh hanger, jag kaca, senduk dan baldi yang ditinggalkan. Segala barang jumpaan diagihkan bersama.

SPM 2005, mengeratkan kami, sebagai satu batch, dan ibarat sebuah keluarga yang besar. Ya, aku antara orang terakhir yang tinggalkan asrama sewaktu hari terakhir kami di sana. Dan jika terkenang kembali waktu itu, ada senyum, tawa dan air mata yang menjadi melodi lagu kenangan itu.

Jumaat, November 19, 2010

Memali



25 tahun berlalu
Catatan berdarah terus terpahat
dek kuasa, kapitalis, dan kegilaan

Al-Fatihah Memali.

Selasa, November 16, 2010

Antara KLCC dan Permaisuri

Seorang pilih KLCC. Peluk cium.

Seorang pilih Permaisuri. Ke permaisuri yang pilih hantu? Peluk cium.

Oh. Masa dulu pernah nampak hantu atas almari. Macam Jerangkung Dalam Almari lagu Wings tu.

Ok. Drama Cinta Buatan Malaysia.


Sabtu, November 13, 2010

Mendung

Aku mendung. Sebab kertas yang bercetak dan cukup bernilai. Kertas yang bikin manusia-manusia bunuh sama sendiri, hentam sama sendiri, seksa sama sendiri, nak dapatkannya.

Aku mendung bila kertas tu kurang. Tapi hari-hari aku cerah kembali bila aku terima kertas yang bertandatangan dan perlu ke bank untuk mendapatkan nilainya.

Mendung. Buat hari redup. Hari panas jadi tenang.

Tapi belum lagi.

Sebab antara wang dan dia, aku masih pilih dia. Sebab sayang pada wang tak punya nilainya.

Sayang pada dia, tak ternilai harganya.

Aku. Pandang ke langit. Berharap agar mata dari langit perkenankan apa yang aku mahu. Walau aku tahu. Dosa masih membelit tubuh aku.