Memaparkan catatan dengan label Kehidupan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kehidupan. Papar semua catatan

Selasa, Januari 04, 2011

Pasif

Melihat masalah ini, aku rasakan masih ramai yang bersifat begini. Sejak bersekolah di sekolah asrama penuh biayaan kerajaan, hingga ke universiti yang dicanang sebagai universiti benteng untuk bangsa Melayu (pernyataan yang membuatkan kita masih hidup dalam kepura-puraan, tapi terpaksa aku telan).

Persekitaran pasif, buat aku juga jadi pasif. Walaupun seringkali berusaha untuk menjadi aktif. Untuk menjadi aktif di dalam suasana pasif, perlu ada juga rakan yang aktif. Namun, jika kita keseorangan, kita akan dipandang janggal. Lebih janggal jika berbicara di skop yang berlainan pandangan sudutnya. Lagilah kita dipandang pelik.

Kadang-kadang, aku melihat, persekitaran aku, yang majoritinya bakal memenuhi bidang penyampaian maklumat dan komunikasi, yang bakal menjadi minda rakyat (kononnya), tidak ramai yang betul-betul mempunyai pemikiran ke arah revolusi. Sebenarnya ramai aku rasa, tapi masih tersembunyi. Tapi, yang ramai ialah tipikal mereka yang hanya mengikut dan berlewaan sahaja.

Itu terus menyuburkan budaya pasif. Yang terus mengenyangkan kita dengan hal-hal yang senang. Bila digeletek sikit, mula meroyan tak tentu pasal. Lihat saja hal ketuanan, lihat saja geletekan ke atas hal bumiputera. Yang aku mula loya.

Aku faham dengan niat sesetengah tenaga pengajar di sini, yang mahu wujudkan sesuatu yang aktif. Namun, ada juga mereka yang sepatutnya mempunyai didikan yang tinggi, mempunyai minda yang aktif dan berilmu. Kadangnya aku melihat, terus pasif dengan tulisan dan teks dari bahan bacaan. Tanpa ada huraian dan pendapat yang boleh membikin wacana baru atau pencabaran dalam falsafah.

Sabtu, Januari 01, 2011

2011

Satu tahun lagi sudah berganjak. Satu dekad untuk abad baru sudah berjaya ditamatkan. Dan, kau, aku, mereka, ada catatan suka dan duka.

2010. Terima kasih kerana memberi aku hidup. Dan Masjid ini, ada kenangan yang besar. Buat aku. InsyaAllah.



Jumaat, Disember 24, 2010

Teman Baru

Teman baru gua. Smena 8M. Bila gua pegang, ada aura-aura Soviet Union. Terus gua buka Red Alert 2 main. Ha ha.

Smena 8M. Kamera baru gua. Gua kini beralih arah ke belakang. Layan filem balik. Dulu-dulu. Waktu di asrama. Bila ada masalah kamera. Semestinya pakai filem zaman tu. Kawan-kawan cari gua.



Terima kasih pada lomography yang mempopularkan balik barang kuno ni. Kalau tak, tentu filem pun dah mampus. Ahh.

Dah. Gua dah isi Kodak Ultramax 400. Lepas ni gua nak isi filem hitamputih pula.

Selasa, Disember 21, 2010

Dulu-Dulu Cari Siput Boleh Dapat Seguni

Tinggal di Langkawi membuatkan aku taklah terlalu teruja dengan pantai. Namun, aku menyukainya dan menghargai setiap sisi alam. Kerana, alam ialah satu seni yang memberi satu keajaiban pada tubuh. 

Tatkala cuti-cuti, apabila semua dapat berkumpul, maka satu keluarga akan keluar berkelah. Selalunya pantai Pasir Tengkorak jadi pilihan. Jangan risau, tiada satu pun tengkorak yang bertebaran di pantai ini. Pantai ini mempunyai ramai tetamu jemputan. Yang serumpun dengan kita. Encik kera. 

Kera-kera di sini memang gemar menyelongkar segala tong sampah. Ada seekor kera datang pada kami dan makan kulit tembikai yang ayah aku buang. Kemudian dia berbisik pada kami, "kami juga suka selongkar makanan-makanan yang orang tinggal tanpa dijaga sebab orang-orang tu leka mandi. Macam kami buat pada budak-budak tu." Mulutnya mengunyah kulit tembikai sambil tangan kanannya menunjuk ke arah hujung pantai.

Seekor kera sedang menyelongkar pakaian dan makanan yang ditinggalkan oleh sekumpulan remaja yang sedang asyik mandi. Remaja itu sedar. Salah seorang mengejar kera itu. Ibarat sukan komanwel pecutannya.

Selepas makan, kami malas untuk bermandi manda. Sebab laut dah penuh dengan manusia. Jadi, ilham datang dari pepohon. Kami bercadang untuk mengutip siput di pantai berhampiran Aquabeat. Aquabeat ialah taman tema air ala-ala Sunway Lagoon yang ditutup berbelas tahun lalu. Dulu, Joe Jambul pernah shooting di sini. Dan aku pun ikut menjerit, DI MANNNAA JOOE JAMBUUL!


Pantai di sini menjadi tempat nelayan memarkir bot-bot kecil mereka. Kelihatan pondok-pondok kecil nelayan di tepi pantai tempat nelayan-nelayan ini melepaskan lelah dan berehat. Kami pun mula mencari-cari siput yang khabarnya banyak siput kepah yang bersaiz besar tertanam di pasir pantai.



Mak pula sibuk menukul siput-siput di batu. Siput tukul. Dimakan mentah. Masin-masin. Memang kegemaran aku. Kami mengorek-ngorek permukaan pantai dengan alatan khas yang diberikan seorang nelayan. Dan juga dengan batu. Dan juga dengan kayu.

Air sedang tarik untuk surut. Jika air surut, lagi mudah untuk kami turun ke tengah. Dan hasilnya mungkin lebih banyak. Kak akan mula bercerita kisahnya sewaktu kecil. Di mana boleh kutip sehingga seguni siput.



Kini, siput-siput sudah mula berkurangan. Tapi, kami tetap bersyukur kerana masih ada rezeki untuk kami. Dan, untuk anak-anak siput, kami akan lepaskannya kembali ke pasir. Dengan perlahan. Dia mengorek. Mengorek. Mengorek. Mengorek. Pasir. Dan timbuskan dirinya.

Khamis, Disember 16, 2010

Bubur Asyura

Memasak bubur asyura sudah menjadi adat pada orang Melayu. Sama juga dengan keluarga aku. Tapi kalau tahun-tahun sebelum, kami memasak bukanlah pada 10 Muharram. 

Apa-apa pun, memasak bubur asyura bukanlah satu tuntutan wajib dalam agama Islam. Aku tegaskan lagi, ia satu adat. Seeloknya berpuasa sunat pada 9 dan 10 Muharram itu.

Aku pandang langit dan berbisik syukur. Kerana mampu tunaikan amalan sunat pada dua hari itu.

Mak bercadang untuk memasak bubur asyura sebagai juadah berbuka 10 Muharram. Kalau ikut sesetengah pendapat, perlu ada 10 jenis bahan dalam bubur asyura. Ah. Bukannya dosa kalau tak cukup 10 pun.

Bubur asyura di sebelah utara tanah air manis rasanya. Kalau di sebelah timur, buburnya berempah dan pedas. Mak selaku johan memasak asyura peringkat Langkawi beberapa tahun lalu hanya mengagak sahaja bahan-bahan yang perlu dimasak.








Antara bahan untuk dijadikan asas bubur ialah campuran tepung gandum, tepung kastard, tepung sagu dan tepung jagung. Kemudian ditambah dengan santan dan susu cair. Jangan terlalu risau dengan mitos santan berkolestrol. Semua itu dusta semata. Nak tahu, pergi kaji sendiri. Jangan jadi bangsa yang malas.


Bahan-bahan itu dikacau sehingg agak pekat. Kemudian barulah dimasukkan bahan-bahan yang lain. Mak dengan kreativitinya memilih untuk memasukkan nangka yang direbus, campuran ubi keledek, ubi kayu dan labu yang direbus, bubur cha-cha, sagu dari Melaka (macam bubur cha-cha juga, tapi berwarna merah), kacang merah. jagung dan pisang. Kesemua bahan dimasukkan dan dimasak sehingga bubur menjadi pekat dan tidak melekat pada belanga.


Bubur asyura ini akan membeku dengan cepat. Maka kami pun dengan cepat memasukkannya ke dalam bekas. Bermacam-macam saiz untuk disedekahkan pada jiran. 

Hari ini, juadah buka puasa aku ialah bubur asyura dan air nira kelapa. fuh!

Sabtu, November 27, 2010

Matinya Sang Kapitalis

Deringan telefon mengganggu gugat mimpi indah aku tatkala tidur selepas Asar.

Berdering! Berdering! Berdering!

Skrin terpampang nombor yang ganjil.

"Hello"

"Hell-o! Apa khabar encik! Saya Kapitalis Penipu. Saya berkhidmat dengan kompeni yang suka berejakulasi dengan wang-wang rakyat macam encik. Saya ingin memberitahu encik bahawa encik berhutang sebanyak RM561.40 dengan kompeni itu. Saya sekarang mahu bersenggama dengan wang bayaran encik. Encik mesti bayar. Encik student kan? Kalau encik tak bayar, kami dengan penuh megah dan ereksi akan menyenaraihitamkan encik. Padan muka encik!"

Aku terkumat-kamit. Dengan bahasa Jawa campur Bugis campur Kedah purba. Lalu kuhembus perlahan-lahan.

Kapitalis Penipu yang berada di pejabat kecilnya di metropolitan maksiat itu terdiam. Dadanya berombak kencang. Urat saraf mula mengembang. Matanya mula merah menyala cili. Tanpa sempat bertaubat. Dia meletup dan dagingnya bertebaran seluruh ruang pejabat. Bau hanyir dan meloyakan.

Jumaat, November 19, 2010

Memali



25 tahun berlalu
Catatan berdarah terus terpahat
dek kuasa, kapitalis, dan kegilaan

Al-Fatihah Memali.

Rabu, September 22, 2010

Haiwan

Laki bini. Dalam perjalanan dengan kereta. Di jalan yang kiri kanannya hutan.

Di hadapan, dari jauh, kelihatan seperti ada susuk berbaring di tengah jalan.

Berdarah! Berdarah! Berdarah! Susuk tu.

"Abang! Abang! Ada orang kena langgar!"

Cemas mereka.

Namun, apabila dekat, bukan orang bukan manusia. Yang berdarah! Berdarah! Berdarah! Mati!

"Siapa yang langgar monyet ni?"

"Kasihannya."

Mereka pun berlalu dan membiarkan susuk itu menjadi bangkai dan hancur dilanggar lori-lori balak yang lalu di kawasan itu.

Prihatinkah kita pada mereka, yang berotak namun tidak berakal, tapi masih lagi makhluk Tuhan.

http://www.nst.com.my/nst/articles/6det/Article/ (Anjing Peguam Mati Dibunuh)

Ahad, Ogos 29, 2010

Nasi Lemak Juadah Sahur

Aku memang mengharapkan bulan Ramadhan ini yang terbaik. Lebih baik dari yang lepas.

Tapi, aku sangat marah dengan diri aku. Kerana tak meraikannya dengan ibadah untuk jadikannya yang terbaik. Dengan memberi alasan kesibukan yang amat. Walau benar sebenarnya.

Ok. Hari ini, Amet Bundle datang membawa seribu satu rezeki ke rumah aku. Makanan. Ramadhan di Malaysia sememangnya dah jadi pesta makanan. Bersepah-sepah.

Selepas berbuka dengan Amet, aku terpaksa pusing Bukit Jelutong. Atas dasar kerja dan wang.

Kemudian, dengan alasan tidak sempat, kami tidak berterawikh malamnya dan melencong ke Kompleks PKNS. Ya ampun! Memang ramai lagi warga Shah Alam yang skip terawikh malam ni. Mencari baju-baju raya di gedung PKNS ni.

Selepas menjamu mata, dan mencuba pakaian dan berangan beraya, walaupun tak beli pun baju-baju yang dicuba, hanya sebagai pelengkap rasa sahaja, kami pulang dan bertekad untuk bersahur di Petaling Jaya pagi nanti.

Aku meneruskan kerja-kerja yang aku terima. Demi wang raya. Dan. jam 3.30 pagi aku kejutkan mereka untuk ke PJ.

Agak berpusing juga aku di sekitar PJ untuk mencari tempat makan tersebut. Tibanya di sana, kereta bersusun-susun. Memang ramai.

Ada Melayu, Cina, India, 1 Malaysia, jerit Najib Razak di TiVi.

Cina memang nampak kecinaannya. India memang terserlah keindiaannya.

Melayu.

Nak cakap macam orang Amerika, tak sama pun aku tengok. Yang perempuan seluar pendek sendat ikut bontot nampak alur spender. Rambut berkarat.

Kami pun bersahur dengan nasi lemak yang sedap dan nasi-nasi lemak Melayu yang baru balik kelab malam di malam Ramadhan.

Khamis, Ogos 19, 2010

Tetamu

Bulan Ramadhan, bagi aku tetamu yang ditunggu. Bila tetamu yang ditunggu ni sudah tiba, akan datang tetamu lain. Antara tetamu lain yang datang pada kita ialah masalah.

Masalah bukanlah tetamu yang diundang pada bulan puasa ini. Tapi, bila masalah datang sebagai tetamu, perlulah dilayan dengan sebetulnya.


Aku tau, mental, emosi, perasaan, perlakuan, akan terus dicabar oleh tetamu yang bernama masalah ini. Dah nama pun tetamu, kita mestilah bermesra dengannya dan jaga hatinya. Oleh itu, masalah yang datang sebagai tetamu di bulan Ramadhan, tetamu yang ditunggu itu, mestilah dilayan dengan seeloknya.

Bila tetamu yang bernama masalah itu dilayan dengan sebaik mungkin, dia akan pergi tinggalkan kita dengan memberikan satu lagi tetamu kepada kita, iaitu ketenangan.

Hah. Banyak betul tetamu.

Oh. Itu yang kita pilih ya. Jadi, tak mungkin ia sempurna dan akan datang masalah juga. Tapi, kita boleh selesaikannya. Yang penting, jangan ambil perasaan sebagai pelayan tetamu-tetamu kita.

Faham tak ni?

Selasa, Ogos 03, 2010

Gua Dah Banned Parking Melati

Gua rasa, manifesto-manifesto calon-calon MPP yang sekarang dah jadi MPP memang langsung tak boleh pakai. Sama perangai macam Waibi-Waibi yang perintah sekarang.

Masa berkempen, turun tapak parking. Tolong tolak kereta, tolong alih kereta. Masalah parking akan selesai! Jerit mereka sambil mengelap peluh yang meleleh ke ketiak.

Semester ni, gua dah tak park di Melati. Gua akan park berdekatan Kolam Renang.

Tadi, gua tiba-tiba tergerak nak park di Melati. Senja. Kelas gua tamat. Gua cari-cari kereta gua yang gua double park dan tak tarik brek tangan.

Kereta gua dah ke belakang. Agak jauh dari posisi asal. Gua tenang. Biasalah tu.

Tapi, sampai tepi jalan, gua berhenti nak tumpangkan member gua, dua minah yang juga member gua buat muka terkejut, sambil tengok depan kereta gua.

Gua tenang. Sampai rumah, gua mencarut dihening senja. Dan gua menyesal sebab mencarut dan terus beristighfar minta Tuhan ampunkan gua.

Gua memang menyirap. Nombor plate depan kereta gua ranap. Habis hancur. Bumper belakang kereta gua pula ada kesan calar baru.

Gua sumpah! Kereta gua takkan jejakan tayarnya lagi di tapak parking Melati.

Jumaat, Julai 30, 2010

Hidup Kota

Hidup di kota, walaupun Shah Alam, yang jirannya Kuala Lumpur, buat aku rasa semakin samar. Samar dengan percikan Nur.

Dengan kehidupan dengan aturan dan rutin yang perlu diikut. Dengan kos sara diri yang perlu difikir. Dengan perlu berdepan dengan serangan kapitalis tidak berotak. Dengan karenah minda bebas penuh sekular.

Debu-debu kota semakin hari semakin mencemarkan dan mengotori tubuh aku. Buat aku jadi rimas. Buat minda aku semakin malas untuk berbicara dengan hati aku.

Suasana di sekeliling ibarat air terjun di pergunungan. Memercik dan berarus laju. Menghanyutkan apa saja yang ringan dan tidak berpaut. Daun-daun kering, yang digugurkan oleh pokok, kerana daun-daun itu sudah tidak ada guna, akan terus hanyut dibawa arus. Mungkin ke juram yang dalam. Mungkin juga terpaut di pinggiran.

Datanglah. Datanglah kembali kepadaku. Datanglah.



Khamis, Julai 08, 2010

Travelog; Tanjung Sebelum Shah Alam

Pembukaan semester baru membuat aku merancang untuk pulang ke Shah Alam sambil singgah di beberapa tempat. Rancangan awal aku untuk singgah di Pulau Pinang atau lebih mesra dengan panggilan Tanjung oleh orang-orang lama Kedah, dan juga singgah di Tapah untuk menikmati sendiri mee rebus Tapah yang dengarnya dapat menawan deria rasa.

Feri yang pada jadualnya bertolak dari jeti Kuah ke Kuala Kedah pada pukul 8.30 pagi tidaklah terlalu padat dengan penumpang. Rata-ratanya ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka untuk menyambung pengajian ke universiti dan borak-borak mengenai negeri dan institut yang bakal anak-anak mereka masuki. Perjalanan agak tenang dan ombak pada pagi itu seolah-olah masih lagi nyenyak tidur.

Sekitar jam 10 pagi, aku tiba di Kuala Kedah. Pelabuhan kecil yang di sisinya selain terdampar beberapa feri-feri penumpang ke Langkawi, bot-bot para nelayan juga setia berlabuh di situ. Di jeti, satu figura yang cukup aku kenali berada di hadapan aku. Halim, rakan lama sejak dari sekolah rendah sedang berdiri menunggu seseorang bersama adik perempuannya. Sempat berbual beberapa patah dan bertegur sapa, aku meminta izin untuk mengambil kereta yang sudah dua hari tiba di pelabuhan kargo Kuala Kedah.

Selesai urusan, Pak Lah, teman serumah aku yang akan pulang bersama menghantar SMS bahawa dia masih lagi di Perlis dan sedang menuju ke Alor Star dengan lajunya. Janji kami, aku akan menjemput dia di stesen bas Shahab Perdana. Aku berkeputusan untuk singgah di Nasi Kandar Nasmir di Simpang Kuala. Meja-meja di restoran tersebut hampir penuh dan mujurlah ada sebuah meja kosong di satu sudut berhadapan dengan sinki untuk aku duduk di situ dan menikmati minuman Nesacafe panas dan roti sardin sebagai alas perut. Francais mamak yang terkenal di sekitar negeri-negeri Utara ini dipenuhi dengan pelanggan yang majoritinya berbangsa Tiong Hua. Bangsa Cina sekarang dah mula menyukai kari, getus aku dalam hati.

Pak Lah tiba di Shahab bersama keluarganya dan sekitar jam 11.15 kami terus bertolak ke Pulau Pinang, destinasi persinggahan pertama kami. Lebuhraya agak tenang namun sekatan lalu-lintas berhampiran Tikam Batu oleh polis trafik sedikit menimbulkan keresahan kepada kami kerana ada ketikanya aku memecut melebihi had laju. Alhamdulillah, tiada satu layangan surat saman yang kami peroleh.

Sekitar jam 1.20 petang, kereta putih yang membawa kami meluncur sederhana deras di pekan Butterworth dan terus menuju ke pelabuhan. Dengan bayaran RM7.70, kereta kami akan diusung oleh feri Pulau Pinang yang sememangnya menjadi ikon dan identiti pulau ini. Ini kali kedua kereta putih aku menaiki feri untuk ke Pulau Pinang. Terdapat beberapa pengalaman aku yang tercatat di feri Pulau Pinang ini dan sepanjang 15 minit perjalanan, aku menghayatinya sambil menikmati bayu angin dan berbual bersama Pak Lah.








Aku memberi buah fikir kepada Pak Lah dengan mencadangkan agar singgah di Pasar Chowrasta dan makan di sekitarnya. Sebagai pembantu pemandu, Pak Lah membelek peta Pulau Pinang, yang sememangnya tersimpan dalam kereta aku hasil lawatan lepas, dan juga buku catatan aku yang telah aku catatkan arah untuk ke Chowrasta. Dari pelabuhan, belok kiri dan dalam 200 meter, terdapat simpang di sebelah kanan dan simpang itu menuju ke Lebuh Chulia. Lebuh Chulia mempunyai dua kedai nasi kandar yang menjadi topic bual bicara penggemar makanan iaitu Nasi Kandar Kapitan dan Kassim Mustapha. Tiba di hujung Lebuh Chulia, aku membelok kiri dan masuk ke Jalan Penang. Di sinilah terletaknya Pasar Chowrasta dan kedai nasi kandar yang sangat mahsyur, Nasi Kandar Line Clear. Mencari parkir di Georgetown sememangnya menyeksakan. Namun kami dapat meletakan kenderaan di belakang sebuah pawagam lama.



Pasar Chowrasta atau Chowrasta Market terkenal sebagai pusat penjualan jeruk dan juga tempat penyinggahan penggemar buku kerana di tingkat 1 bangunan ini terdapat deretan toko buku yang menjual buku-buku terpakai. Inilah tujuan utama aku ke Pasar Chowrasta ini, ingin merasai pengalaman berhimpit-himpit dengan buku.



Terdapat banyak kedai yang menjual buku terpakai dan juga buku baru. Kesemuanya dimiliki oleh taukeh India Muslim Pulau Pinang. Ada kedai yang menyusun dengan teratur buku-buku tersebut namun ada juga yang agak semak aturannya. Aku mula menggeledah buku-buku di setiap kedai dan bila taukeh-taukeh kedai menyoal buku apa yang ingin dicari, spontan mulut aku berkata, sastera Melayu. Pak Lah pula agak teruja dengan koleksi buku-buku undang-undang di sebuah kedai. Selepas puas, aku hanya membeli dua buah buku dengan harga RM16 iaitu The Godfather edisi tahun 1970 dan juga koleksi cerpen Sasterawan Negara Shahnon Ahmad, MahaMaha. Buku Shahnon Ahmad itu agak mengujakan aku kerana buku itu terbit selepas novel berani beliau, SHIT.



Pak Lah membeli sebuah buku koleksi artikel Dr Asri, yang baru, dengan harga yang agak bagus juga. Selepas puas bergelumang dengan lautan buku, kami turun dan membeli sedikit jeruk untuk dibawa pulang. Kami bercadang untuk makan nasi kandar. Sememangnya, Nasi Kandar Line Clear hanya untuk mereka yang setia menanti di barisan yang panjang. Disebabkan perut kami mula mendendangkan lagu keroncong, kami tidak sanggup untuk menambahkan lagi meter kepanjangan barisan di Line Clear. Jadi, kami makan di Nasi Kandar Yasmeen di sebelah Nasi Kandar Line Clear. Oh, ayam gorengnya cukup menusuk kalbu!



Selepas perut mula mara ke hadapan, kami bercadang untuk keluar dari Pulau Pinang. Sekali lagi Pak Lah meneliti peta untuk mencari arah ke Jambatan. Perlu diingat, jalan di Georgetown merupakan jalan sehala yang sempit dan boleh mengelirukan mereka yang kurang mesra dengan jalan-jalan di sini.









Jam 4.30 petang kami tiba di Hentian Sungai Perak untuk solat. Sekitar jam 5.15 petang, kami keluar ke susur keluar Simpang Pulai dan berehat seketika sambil menunggu Syeeda yang akan pulang bersama ke Shah Alam. Syeeda tiba bersama keluarganya dan sekitar jam 6 petang, kami meneruskan perjalanan. Rancangan aku untuk singgah di Tapah dan menikmati kelazatan Mee Rebus Tulang tidak tercapai kerana hari mulai gelap dan kami ingin tiba di Shah Alam dengan seberapa pantas yang mungkin. Sekitar jam 9, kami tiba di Shah Alam dan malam itu, mereka yang menyokong Argentina menangis dan meraung kerana kekalahan. Aku, puas!

Selasa, Mei 12, 2009

Baruku Sedar

Gua sedang duduk bersila. Skrin dan komputer leper di depan. Gua duduk, macam Tun Tuah. Macam pahlawan Melayu. Macam Panglima lepak di balai rung istana. Segak. Fikir gua.

Sejak beberapa purnama, gua tersedar. Gua baru sedar. Baru gua sedar!

Baru gua sedar.

Gua dapat tahu, gua sangat istimewa. Gua ada deria yang kuat. Sungguh. Gua umpama ada instinct yang tajam. Betul.

Baru gua sedar.

Gua macam dapat rasa masa depan. Seperti ada tekanan. Seperti ada FORCE.

Dan. Tiba-tiba gua dapat merasakan kehadiran seseorang. Di sebelah gua. Di dalam kotak yang gua tinggal ni. Di dalam kotak yang sedang gua bersila macam Tun Tuah.

Seorang lelaki. Tetapi, susuk tubuh seperti tidak nyata. Seperti dipancar dari projektor.

Berbaju seperti berjubah. Berambut putih keperangan dan berjambang. Gua cuak.

Tiba-tiba, muncul pula sejenis makhluk di sebelahnya. Semacam toyol. Kehijaun. Telinga capang dan tingginya separas pinggan lelaki tadi. Mukanya berkedut seribu. Dan, susuk tubuhnya juga seperti dipancar dari projektor. Makhluk itu juga berjubah.

Apakah? Siapakah?

"Sapa lu?" Gua tanpa penuh adat timur.

"AKu Obi-wan Kenobi. Dan ini Master Yoda"

"Hah??? Lu dua orang dah mampus la. " Gua separa menjerit. Gua cuak. Kenapa roh Obi-wan dan Yoda tiba-tiba muncul dalam kotak ini?

"Memang kami sudah mampus. Tapi kami ialah Jedi. Dan kau juga ialah Jedi"

Wow!

"Gua ialah Jedi?"

Patutlah, selama ni gua rasa gua semacam istimewa. Gua pandang ke skrin dan tersengih.

Kalau gua Jedi, mestilah ada pedang laser. Gua pusing ke arah roh Obi-wan dan Yoda tadi.

Tapi, hampeh. Roh mereka sudah hilang. Aduh, kena pergi pasar malam lah cari light saber.

Rabu, Mei 06, 2009

Berakhir Satu Musim

Berakhir satu musim untuk pencarian ilmu. Semester yang bercampur baur antara emosi, amarah, keseronokan, kepuasan dan ketahanan mental serta helah.



Assigment yang ajar erti kesabaran dan daya tahan mental dan kreativiti. Untuk krew, jutaan kasih anda terima. Bukan mudah untuk orang fahami sesuatu yang tidak lurus dan perlukan penghayatan.

Tempat makan Korea. Semester depan kita serang lagi!





Assigment paling bersemangat untuk disiapkan dan dibentangkan, Event Mangement. Tapi, soalan final exam subjek ni, gambar bawah menerangkan segalnya.

HA HA HA

Dan, satu lagi musim kosong buat mereka ini;



Kembalikanlah semangat ketika Henry, Pires, Bergkamp, Vieira, Campbell di padang.

Selasa, April 14, 2009

Hanya DenganMu Aku Memohon



Demi sesungguhnya! Jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan Allah (mengsyirikkan Allah) maka akan terhapuslah amalanmu, dan engkau akan tetap menjadi orang-orang yang rugi.
(az-Zumar (39):65)

Ya Allah, hanya Engkau yang dapat membalas segala perbuatan mereka ke atas darah dagingku. Walaupun yang mengsyirikkan Engkau dan menyakiti kami itu sebahagian dari keluargaku juga.

Isnin, April 06, 2009

Marathon

Marathon pertama : Minggu-minggu yang tidak betul jadual tidurnya.






Marathon kedua : Marathon video. 18 video ditonton tanpa henti. Ada yang megujakan.Ada yang aku senyum sinis.



Badan dah sengal-sengal dan lenguh-lenguh. Dek penangan menjadi krew MPG part 6.


Sabtu, Mac 28, 2009

Celahan

Beg duit kosong.

Akaun bank pun kosong.

Tapi, kehidupan perlukan duit dan wang. Nak gila aku dengan duit ni.

Aku terus menggeledah seluruh ruang bilik.

Di satu celahan di dalam beg duit. Terpancar cahaya kehijaun. Terlipat-lipat.

Ya! RM 5! Aku jumpa duit untuk minggu ni.

**********

Beberapa presentation berjaya ditamatkan. Hilang sikit beban. Nah, PSA yang dipersembah untuk presentation Event Management.


Selasa, Mac 17, 2009

Submarine Coklat

Submarine coklat tu, meluncur deras. Dari sebuah pelabuhan. Yang sempit lorong-lorongnya.

Terus menjunam ke dasar lubuk. Yang kuat tekanannya. Submarine coklat mula tenggelam perlahan-perlahan ke dasar lubuk.

Krew-krew submarine cukup berbeza kaumnya. Berbilang-bilang kaum. Sungguh!

Ada dari kaum daging. Sebahagian pula dari keturunan beras. Lagi separuh dari jenisan sayuran. Tak lupa kalau kulit kekuningan tu dari bangsa jagung.

Gembira mereka di dalam perut kapal. Menyanyi-nyanyi lagu The Beatles. Yang ditukar sebahagian prosanya.

We all live in a brown submarine,
brown submarine, brown submarine,
We all live a yellow submarine,
brown submarine, brown submarine.

***************

Satu susuk tubuh masuk ke dalam bilik kecil itu. Bilik termenung kata sesetengah orang.

Pintu ditutup. Dan. Rasa amarah tiba-tiba memuncak.

&*&^%$^&&&^###@#$%. Carut susuk tubuh itu.

"Cis, pengotor! Argh!"

Tangannya memegang satu objek plastik yang membunjur. Ditariknya sekuat hati.


***************

Submarine coklat yang tadi gempita dengan nyanyian, kini gegak gempita dengan jeritan.

Mereka semakin tenggelam ke dasar lubuk dan submarine coklat itu telah hancur.


****************

Susuk tubuh tadi memandang puas ke arah lubang jamban itu. Airnya kembali lutsinar dan tiada lagi objek kecoklatan yang bertakung.

"Cis! Aku benci orang yang tak flush toilet!!!!!"