Memaparkan catatan dengan label Review. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Review. Papar semua catatan

Selasa, Januari 18, 2011

Khurafat - Kadang-Kadang Macam Sembilu

Sungguh. Aku skeptikal pada awal-awal trailer filem ni keluar di tivi. Dengan hantu Ju-On / Ringu dan dengan bacaan yaasin.

Dalam otak aku, mesti cerita rasuk-rasuk ala The Exorcist. Tipikal filem seram Melayu dekad ini lah. Tapi, aku silap. Sumpah aku silap.

Sebab, filem ini memang memberi ketakutan dan kejutan yang luar biasa. Penonton kadang-kadang  tertipu dengan kemunculan hantu dan hantu-hantu itu muncul sewaktu kita saspen sungguh dan terjangka sudut mana ia akan muncul. Aku terlompat ke belakang sewaktu hantu muncul mengejutkan Liyana Jasmay dalam kereta. Fuh. Ini satu ketakutan yang sangat memeranjatkan. Walaupun ada babak exorcist pada awal cerita, dan ia dibikin dengan baik sekali. Dari pergerakan kamera, sudut tangkapan, dan bagaimana Imam itu mengeluarka hantu. Syamsul bijak tidak menggunakan mantera-mantera yang sering digunakan oleh Ahmad Idham dalam filem-filem seramnya. 

Syamsul bijak menvisualkan kemunculan hantu, dan dari mana ia datang. Dan suasana suspen dalam filem ini juga tidak memerlukan muzik ala-ala suspen. Babak di dalam bilik mayat, bila lampu terpadam memang memberi debaran dan resah gelisah buat para penonton panggung dan semestinya babak di hutan sewaktu Syamsul sedang mendukung mayat.



Tapi, untuk menonton filem terbitan Skop Production, anda perlulah menerima dialog yang dilontarkan seadanya. Kerana, antara Khurafat dan Sembilu, tiada beza pada dialognya. Maksud aku, dialog dilontar secara terus, tersurat tanpa tersirat dan kadang-kadang kering. Kadang-kadang hang akan rasa tak perlulah dia nak cakap benda tu. Sebagai contoh, pengulangan dialog untuk minta Syamsul bersabar, ada hikmah, bla bla bla. Tipikal dan tipikal!

Aku tak rasa filem ini terlalu bagus. Tapi yang membuatnya sedikit bagus ialah bagaimana Syamsul memahami untuk membikin filem seram, yang dapat menakutkan penonton. Walaupun ada sedikit unsur dakwah, yang seperti filem-filem Melayu lain, disampaikan secara terus, dan kurang memberi kesan dan rasa pada dakwah itu. Ok. Aku rasa, baik Syamsul Yusof bikin filem seram saja dari duk buang duit bapa dia buat cerita rempit, kereta besar, gaduh sebab awek.

Ahad, Oktober 31, 2010

cin(T)a : Ulasan Pendek Aku

Aku baru pulang dari MapKL untuk menghadiri Kotak Hitam 4.0: cin(T)a & MIMPilem anjuran Frinjan dengan kerjasama Paradoks, Sembilan Matahari Film dan MapKL.

Tujuan utama semestinya mahu menonton filem Indonesia yang menang banyak anugerah ini. Aku hanya sempat menonton tiga filem pendek pada sesi malamnya iaitu filem Perempuan, Hantu dan Skandal (Ridhwan Saidi / Bin Filem), Kiamu (Anwari Ashraf) dan Rompak (Ismail Abd Rashid).

Rasa aku tentang filem cin(T)a ini ialah penyerapan dan saduran Sepet tapi landasannya seolah-olah bercelaru dan terawang-awang. Aku faham apa yang Sammaria Simanjuntak cuba bawakan, percintaan antara dua agama yang berbeza dari sudut dasar keterbukaan beragama di Indonesia, namun filem ini bagi aku carca marba dan bak kata Ajami Hashim selepas tayangan terlalu ingin memasukkan banyak isu sampai hilang fokus.

Aku setuju dengan Ajami yang filem ini sebenarnya sebuah filem cinta biasa antara teruna dan dara, namun cuba diberatkan dengan isu berlainan agama dan bangsa. Aku juga bersetuju yang filem ini sebenarnya mempunyai unsur erotik dan seksualisme yang kuat. Apa yang aku nampak, kedua-dua watak mempunyai berahi yang kuat, ingin lakukan hubungan seksual, tetapi dihalang oleh sesuatu. Tuhan atau agama mungkin. Lihat sahaja bagaimana Cina terangsang dengan perlakuan Annisa yang sedang berwuduk. Wujud sesuatu yang erotik di sini dan inilah permulaan kepada pembawaan filem ini yang sebenarnya.

Walaupun banyak isu yang cukup dipadatkan sampai ia seolah-olah terawang-awang, aku masih tetapi menyukai filem ini. Ini sebuah filem indie dari Indonesia yang berjaya dari semangatnya dan telah memenangi beberapa anugerah di luar dan juga ditayangkan di Eropah. Filem kita?


Jumaat, September 17, 2010

Reviu Drama Hari Malaysia : Qalbu

Sebagai wadah kerajaan, RTM mestilah menyebarkan propaganda kerajaan dengan jayanya. Sempena dengan agenda 1Malaysia, gebangan PiEm sekarang ni, mestilah segala benda yang nak disiarkan di rangkaian penyiaran yang tertua negara (dan terus tua dengan falsafah dan pemikirannya serta menjadi siaran kegemaran orang-orang seusia dengannya) bersangkut dan berpaut dengan agenda PiEm sekarang.

Dan, pada 16 September 2010, iaitu hari jadi kepada beberapa sahabat dan kenalan aku, TV1 dan TV2 dan tak lupa jga konglomerat Media Prima duk heboh pasal sambutan Hari Malaysia. Aku suka juga tengok drama-drama Melayu RTM dan kadang-kadang ada drama yang mengejutkan jiwa dan raga aku, yang aku rasa memang jarang muncul dalam kotak tivi di negara ni. Aku sebenarnya ada juga cita-cita untuk masuk ke rangkaian penyiaran kerajaan ni dan menjadi kakitangan di bahagian drama tivi nya, jikalau falsafah dan cara pembawaan RTM berubah secara total. Dengar, secara TOTAL. Baru aku akan mencabar diri aku menjadi orang gomen dan kakitangan RTM,

Berbalik kepada drama, Panggung RTM 16 September 2010 telah menayangkan drama yang bertajuk Qalbu. Entah kuasa apakah yang menarik aku nak tonton drama ni tatkala aku bersiap nak keluar ke bank, terus tangguhkan sebentar hasrat aku tu. Sebab drama ni lah. Dan selepas 10 minit pertama aku tonton, terus aku SMS Pete, member aku yang gemuk tu,

"Kt tv1 ada drama yasmin ahmad wannabe.haha"

Hah. Sumpah geli geli aku tengok drama Qalbu ni. Pada aku, penulis skrip dan pengarahnya terlalu ambitious mahu jadi seperti arwah Yasmin Ahmad. Aku sangat malu menonton drama ini dan terkenang akan temubual Hishammudin Rais yang mengatakan bahawa Malaysia ialah negara ciplak! Dan. Drama inilah salah satu daripada penghasilan rakyat sebuah negara ciplak yang suka mencuplik idea orang lain.


Ambil inspirasi, bagus. Tapi terus copycat, hancur! Pada aku, Qalbu ialah kitar semula filem-filem Yasmin Ahmad, Talentime terutamanya, dan pencampuran sedikit scene dari filem Sepi, diubah sedikit, dijadikan play safe untuk ditayangkan di RTM, dan jadilah drama ni.

Aku kecewa kerana drama Qalbu ini terus copy paste latar tempat, story line, dan idea dari Yasmin Ahmad punya Rabun, Sepet, Mukhsin dan terang-terangan dari Talentime dan juga babak-babak dalam Sepi, Khabir Bahtia. Aduh, nak cakap parodi pun bukan.

Aku cukup muak sampaikan tak sanggup nak menerangkan dengan lebih jelas dan detail macam mana rupa drama ini. Kisah cinta Melayu-Cina, iaitu anak lot dengan penjual DVD haram, tapi penjual DVD tu Melayu dan anak lot tu Cina, Sekolah Anderson Ipoh, dewan yang sama dalam Talentime, kemesraan ibu bapa-nak mandi bersama (Oohh, RABUN!), Taman Tasek Taiping (sepi), pementasan teater (Sepi lagi), paling aku tak tahan, lalu di kaki lima sekolah, ada bunting, berwarna-warni tulis Qalbu, Damn!!! Rujuk filem Sepi ya.

Tapi, dalam kemuakan aku tu, tak semestinya aku membenci terus drama cuplikan idea tersohor orang lain ini. Terdapat beberapa dialog dan scene bagi aku terus melanggar taboo RTM. Ha Ha. Antara dialog-dialog yang aku berasa pelik bila muncul di siaran RTM terdapat dalam drama ni. Yang tak tahan, masa suami isteri Cina tu pillow talk, bini dia usap kaki suami dengan kaki dia. Ha Ha. Celaka betul.

Pergerakan kamera dalam drama ini adalah standard drama-drama Melayu tanah air walaupun terdapat juga yang megujakan aku. Sebagai contoh, scene ketika kedua-dua adik beradik Cina tu, tak dapat mengejar cinta mereka. Amoi yang jatuh cinta kepada India tu, mengejar lelaki India dengan berlari-lari anak dan pemuda India tu membonceng motorsikal bapa dia (ok, walau scene ni aku gelak macam nak rak) dan selepas Amoi tu gagal nak mengejarnya, kamera yang fokus pada dia yang sedang menangis dan gagal, dan kemudian perlahan-lahan naik ke atas dan mengfokus langit, yang dilindugi dahan-dahan pokok, dan masih kelihatan cahaya matahari yang menyinari di sebalik dahan-dahan pokok. Scene ini menyamai scene Dawn, iaitu kakak kepada Amoi tadi yang jatuh cinta dengan pemuda India tu, berjumpa dengan Rasul bersama bapanya. Selepas bapa Dawn memarahi Rasul dan meninggalkan Rasul yang dihinanya bersama kereta sport, kamera fokus kepada Dawn yang kesedihan dan kemudian naik ke udara. Penonton dapat melihat langit yang dilindungi dahan pepohon namun disebaliknya, langit yang cerah dan terang.

Pada aku, kedua-dua scene ini merupakan scene yang terbaik dalam drama ini. Aku baca, walaupun kita dalam apa jua kesusahan (rujuk kesedihan Dawn dan adiknya), kita tetap akan kembali ke pada fitrah iaitu Tuhan walau banyak cabaran yang perlu kita tempuhi (rujuk dahan pepohon ialah rintangan sebelum kita bertemu cahaya, rujuk ada cahaya matahari yang menyinar dan lagit yang cerah).

Pada aku, produksi untuk drama ini sebenarnya ambitious dan bercita-cita tinggi. Tapi sayang, jika dijadikan lebih original, mungkin lagi hebat hasilnya.


Khamis, September 02, 2010

Private Screening Dokumentari Fahmi Reza

Aku merupakan 100 orang yang menerima jemputan dari saudara Fahmi untuk private screening dua filem dokmentarinya iaitu 10 Tahun Sebelum Merdeka (2007) dan Revolusi '48 (2008). Tayangan 'rahsia' ini bersempena hari kemerdekaan dan aku bilang inilah pengisian kemerdekaan aku untuk tahun ini.

KLSCAH atau dulu lebih dikenali sebagai MCPA bukanlah tempat asing bagi aku. Sewaktu sirkit gig tanah air menjadi satu budaya popular sejak 2-3 tahun lepas, MCPA merupakan tempat wajib untuk diadakan gig. Aku rasa dalam 3 kali juga aku pernah jejakkan kaki ke dewan yang diiktiraf sebagai salah satu bangunan warisan ini untuk menghangguk kepala di gig metal. Oh. itu cerita lain.




Berbalik kepada figura yang bernama Fahmi Reza ini, aku mengenalinya selepas membeli DVD dokumentarinya pada Youth'08 dahulu. Seingat aku lah. 10 Tahun Sebelum Merdeka pernah aku layan berkali-kali sebelum CD nya dihilangkan oleh seorang rakan. Ha Ha. Kehadiran aku kali ini ialah untuk menonton Revolusi '48 yang hanya sekali ditayangkan dan terus sunyi kemudiannya dan Fahmi sendiri telah menjelaskan masalah yang dihadapinya dengan jelas. Aku mahu karang sedikit reviu dan komen mengenai kedua-dua filem dokumentarinya.

10 Tahun Sebelum Merdeka





Ok. 10 Tahun..... boleh dilayan di YouTube tanpa perlu risau mahu mana nak cari video ini. 10 Tahun... merupakan dokumentari sejarah yang penuh dengan fakta dan bergerak pantas dengan muzikal Punk yang mengiringi latarnya.

Ini merupakan filem dokumentari pertama dari Fahmi selepas terinspirasi dari bahan bacaannya iaitu sebuah buku karangan Ahmad Boestaman.

Dokumentari mengenai HARTAL, atau bak kata Fahmi yang tertulis di dalam buku sejarah Tingkatan 3 sebagai Hari Natal ini menggorekkan satu sejarah yang terpadam dalam buku rasmi sejarah yang aku pun belajar dulu.

Menurut Fahmi, dia mencuplik terus gaya editing Stacy Peralta dalam penghasilan dokumentari Dogtown and Z-Boys. Ciplak, tapi menyegarkan.

Pertama kali aku menonton 10 Tahun.. terus aku menyukainya dan pada aku, apa yang dipaparkan oleh Fahmi dalam filemnya sebenarnya telah memalukan Suhaimi Baba, yang menghasilkan filem ikut buku teks, Hati Malaya; 1957. Hati Malaya pada aku gagal!




Revolusi '48

Ini dokumentari yang memang aku nantikan dari Fahmi. Selepas terlepas tayangannya perdananya di Annexe dulu, peluang kali ini tak aku lepaskan.

Terang Fahmi, tayangan kali ini merupakan edisi asal Revolusi '48, yang ditayangkan pada 2008 dahulu. Dan, beliau sedang menyiapkan kembali edisi yang baru dan penganjuran private screening ini adalah untuk mendapatkan maklum balas untuk penambahbaikan filem dokumentari ini.

Beberapa masalah diterangkan oleh Fahmi mengapa dia tidak menyukai Revolusi'48 versi asal. Tapi, usaha beliau menemuramah Chin Peng (Chin Peng cakap bahasa Melayu ni, tapi sayang, dia sudah uzur) dan Abdullah CD buat aku terasa mahu bangun dan tabik tiga jari pada beliau. Ha Ha.

Ok. Revolusi '48 bercerita mengenai perjuangan Revolusi, sebuah terma yang hilang dalam kamus bahasa kita pada hari ini kerana teks rasmi melabelkannya KOMUNIS.

Pada yang tidak mengerti, mungkin akan terus melabel Fahmi sebagai Pro Komunis. Namun, apa yang beliau cuba sampaikan ialah, kita perlu melihat sejarah dari perspektif yang berbagai dan baru kita akan belajar dan dapat menilai sendiri.

Pada Fahmi, Revolusi '48 gagal kerana isinya yang berlubang dan tidak padat seperti 10 Tahun..Tapi, pada aku, mesejnya sampai. Iaitu menyampaikan semangat perjuangan pejuang-pejuang kiri yang kita tidak pernah tahu dan ada masa dan ketika, bulu roma akan mencanak naik.

Satu masalah pada aku ialah Revolusi '48 agak tidak kemas dari segi editingnya berbanding 10 Tahun. Footage yang di'curi' dari Filem Negara Malaysia berulang-ulang dan hampir sama dengan yang dimasukkan dalam 10 Tahun. Runut bunyi dari Joe Kidd agak kurang PUNK nya walaupun khalayak kenal siapa itu Joe Kidd. Runut bunyi Revolusi'48 tidak menggambarkan semangat perjuangan haluan kiri yang bersemangat menentang British dan telah mewujudkan atmosfera yang mellow. Bagi aku, lagu yang rancak dan bersemangat lebih sesuai untuk menaikkan momentum perceritaan.



Fahmi agak gusar untuk mengeluarkan filem ini kerana dia sudah digelar pro-komunis selepas mengeluarkan 10 Tahun... Ya, masyarakat yang dididik dengan teks-teks rasmi akan terus membenci dengan perjuangan yang digelar KOMUNIS ini, namun jika masyarakat kita mampu melihatnya dari perspektif yang lain, mereka mungkin akan sedar.

Pada aku, Fahmi mesti keluarkan juga Revolusi '48 ini kepada khalayak selepas beliau melakukan pengubahsuaian. Aku syak, ramai yang akan terus menerus menghina dan melabel Fahmi dengan pelbagai tohmahan. Tapi, untuk melakukan REVOLUSI, itu yang perlu dihadapi beliau.

Sekarang, Fahmi sedang giat menjayakan projek terbaru beliau iaitu Student Power. Perihal sejarah mahasiswa yang terus dibekukan dari pengetahuan mahasiswa seMalaysia. Aku doakan, usahanya akan berjaya kelak.

Jumaat, Ogos 06, 2010

Teater Short Eyes : Realiti Masyarakat Majoriti Dalam Minoriti

Fared Ayam, atau dia suruh orang panggil dia Ayam merupakan manusia yang pelik di kalangan masyarakat majoriti, tetapi bagi kelompok yang minoriti yang mengenali kerja-kerja seni beliau, tiada apa yang pelik. Itu unik namanya.

Dengan berambut panjang dan memakai headband, cermin mata besar, berseluar pendek dengan warna yang striking dan mencucuk mata serta berselipar, teater Short Eyes ini ibarat mewakili dirinya yang mungkin berada di golongan minoriti, tapi rutinnya, tetap tidak lari dari kehidupan masyarakat majoriti.

Short Eyes, karya Miguel Pinero ini telah dibahasaibundakan dengan senang-lenangnya oleh Fared Ayam. Aku sangat menyokong usaha-usaha seperti ini, walaupun tidak asli, namun masih terasa keasliannya bila teater ini menggunaka bahasa Melayu dalam penyampaiannya. Setiap dialog yang dituturkan bikin audiens fikir, renung, senyum, dan ketawa.

Pada aku, Ayam sedang mengkritik suasana masyarakat kita sekarang yang semakin berpecah belah, berbual kencang hal agama tapi buat perkara yang orang yang tak pandai agama pun buat, hasut-menghasut, rasis, polis salah tembak, kejahatan yang dilindungi oleh perwatakan dan jawatan dan masyarakat dan macam-macam lagilah yang anda rasa ada sangkut-paut dengan masyarakat kita sekarang yang tidak stabil. Bak kata Ayam sendiri dalam salah satu puisi beliau, STABIL UNTUK SIAPA?


Para pelakon semestinya di kalangan rakan-rakan dan kenalan dalam Rumah Anak Teater yang pada sesiapa yang sebelum ini mengikuti kerja-kerja seni RAT, semestinya mengenali para pelakonnya. Dari segi lakonan, setiap watak sememangnya melontarkan hasil lakonan yang sangat bagus. Kalau Intan Ladyana teringin nak belakon teater, mesti aku gelak terbahak-bahak macam haram sebab minah tu kena belajar lagi dengan abang-abang dalam teater Short Eyes ni. Eh, dalam cerita ni tiada heroin, tapi ada babak cinta dan romantis. Ha ha.

Dunia kita ibarat penjara yang besar, di dalamnya terisi dengan banduan-banduan yang pelbagai. Sesetengah mampu berfikir dengan penuh moral, namun moral akan kalah dengan perlakuan yang terperangkap dan terdesak untuk meneruskan kehidupan yang berjerat di dalam penjara ini. Untuk mereka yang belum menonton, silalah tonton teater ini.

Jumaat, Julai 16, 2010

Filem Mantra (2010) - Seksi atau Seram? (Borhan Juga Yang Untung)

David Teo dengan bahasa Melayu bunyi Cina nya mempromosikan filem ini dengan mengatakan ia bergenre horror, seksi dan aksi.

Seksi dah ada dah. Bogel, separuh bogel, penonjolan buah dada yang disengajakan, berahi. Aksi, ada. Seram, cuba nak seram, tapi ibarat ejakulasi pra-matang. Belum sempat apa, dah hilang macam tu.

Filem ini cuba bermain dengan twist, dengan cita-cita sang pengarah mahu menipu penontonnya. Itu memang cita-cita tipikal untuk filem seram, dan ia mulanya sudah menjadi kemudian beberapa aspek dalam skrip membuatkan ejakulasi pra-matang itu wujud.

Apa yang aku maksudkan ialah bomoh Bob Lokman tu. Celaka. Kalau filem-filem melayu, hujung-hujung cerita, penjahat mesti tumpas dengan polis. Tapi, masa awal cerita dan pertengahan, polis tak wujud. Hah, dalam filem Mantra, Bob Lokman itu ibarat polis yang akan muncul di hujung cerita dan menjadi hero. Damn!

Paling aku benci dalam filem ini ialah, kelemahan pada aspek-aspek kecil macam latar waktu dan pencahayaan, prop yang kadang-kadang nampak sangat baru dibikin, dan juga beberapa latar tempat yang buat lu rasa nak mencarut sebab budak pra-sekolah pun rasa tak logik.

Zul Handy Black pada aku boleh berikan sesuatu dan mengharapkan dia akan berlakon dengan bagus lagi. Hasnul Rahmat, gua memang tabik tiga jari ala-ala pengakap lah pada lakonan dia sejak aku kenal dia dalam KL Menjerit lagi dan aku sangat suka lakonan dia dalam filem Rock Mamat Khalid.

Efek dan mekap 'gore' dalam filem ini sangat bagus bagi aku. Contohnya, babak mayat dibelah oleh Muzir tu. Tapi, kadang-kadang darah pada badan Muzir tu macam air ribena pun ada.

Oh ya, babak Pak Long tarik ikatan mayat dengan gigi tu memang terus copy cat dari filem Indonesia.

Aku rasa, filem ini kalau dibikin dengan rajin, akan jadi lagi bagus.

Selasa, Februari 16, 2010

A Mighty Heart (2007) : Kejahilan Ekstremis Islam dari Pandangan Hollywood


Filem arahan Winterbottom ini menceritakan akan kejahilan dan kebodohan ekstremis Islam. Yang mempunyai pandangan sempit mengenai Amerika (orang Yahudi terutamanya). Dalam masa yang sama, filem ini juga mencabar kefahaman orang putih tentang ektremis-ekstremis Muslim.

Pandangan pertama aku sebelum menonton filem ini agak stereotaip dan menganggap ini ialah filem Hollywood tipikal yang menggambarkan Muslim itu ekstrim.Namun, filem ini sebenarnya sesuatu yang agak genius pada hemat aku. 

Dengan gaya penulisan skrip yang agak berat, filem ini bakal menjadi hasil yang membosankan. Namun, Winterbottom berjaya membuatkan skrip yang berat itu menjadi sebuah doku-drama yang saspen dan penuh dengan atmosfera emosi yang cukup tinggi frekuensi dan darjahnya.

Jalan cerita berdasarkan kronologi penculikan Daniel Pearls (Dan Futterman) dan nyawa bagi filem ini ialah Angelina Jolie sebagai Mariane Pearl yang membawa emosi keseluruh ruang filem ini. Gaya sinematik yang cukup bijak dan campuran emosi dan perasaan dari Angelina memberikan X-faktor yang begitu mencengkam. 



Angelina buat aku cukup terpikat dengan dia. Dalam filem Changelling, dia membawa emosi dengan cukup baik dan berkesan. Dan filem ini dilakonkannya sebelum Changelling dan Angelina sememangnya pelakon yang tahu bagaimana mahu memberi roh kepada sesebuah filem. Aspek ini lah yang kurang dalam penerbitan filem di negara kita. Filem ini tidak perlukan muzik latar yang terlalu memujuk penonton untuk merasai emosi Angelina, lakonannya yang cukup kuat dan dengan garapan pengarahan dari Winterbottom, penonton dapat merasai kesengsaraan, rindu, kesedihan dan ketabahan Mariane. Selain itu, antara hal kecil yang tidak dipandang remeh oleh Angelina ialah dia melakonkan seorang wanita yang berasal dari Perancis. Angelina bercakap bahasa Inggeris dan kadang-kadang masih terdegar bunyi Perancisnya. Itu sebenarnya mengujakan aku.

Antara babak yang cukup berkesan ketika Mariane menghantar SMS 'I Love U' ke telefon Daniel. Dan, kita tahu yang Daniel tak mungkin dapat membacanya kerana dia diculik dan mungkin telefonnya sudah dirampas. Dalam babak ini, aku cukup merasakan kerinduan yang menebal seorang isteri terhadap suaminya dan dia sebenarnya cukup berharap yang suaminya akan membaca SMS itu walaupun logiknya, tak mungkin akan terjadi.

Aku cukup menyukai skrip filem ini. Dengan beberapa dialog yang mencabar dan keseimbangan permasalahan yang dirungkai. Ya, skrip yang ditulis John Orloff ini digarap dari kisah benar yang didokumenkan dalam buku tulisan Mariane Pearl sendiri. Namun, penulisan skrip ini tidak merujuk bahawa semua Islam itu teroris dan ekstremis. Islam masih digambarkan sebagai sebuah agama, seperti agama lain yang tidak suka akan keganasan. Hanya segelintir yang ekstrim sahaja yang bertindak sedemikian.

Pada hemat aku, filem ini berat. Tapi, shot dengan suntingan yang bagus, membuatkan filem ini menjadib bertambah bagus bukan sahaja rupa malah content dan isinya juga. Isinya mencabar kedua-dua pihak sama ada Muslim atau Amerika. Dan, pembikin-pembikin filem tanah air perlu sedar bahawa menggarap cerita dari buku sebenarnya bakal menghasilkan produk yang luar biasa hasilnya.

Ahad, Disember 20, 2009

Reviu Filem : Avatar



Ini sememangnya filem pop corn. Aku tak nak sembang banyak.

Ramai yang melangit puji filem ini. Sampai buat aku syak ini filem terlebih pujian macam 2012.

Tapi. Aku salah.

Filem pop corn Hollywood paling menghiburkan aku untuk tahun 2009 ini. Perasaan yang sudah lama aku tak rasa.

Perasaan ini semacam aku menonton siri-siri Star Wars dan Lord of The Ring. Walaupun badan aku sakit-sakit sewaktu dalam panggung sebab seat aku dan kawan-kawan aku di bahagian wing. Sebenarnya semua 7 orang. Tapi aku dapat kerusi wing kanan. Habis sakit urat saraf aku.

Walaupun ada beberapa benda yang aku macam nak komplen dan kutuk, tapi aku tetap suka filem ini. Entah, aku rasa sangat suka. Ha Ha Ha..

Tapi antara benda yang paling aku tak puas hati ialah, tak mungkin saintis dapat mencipta sesuatu itu sempurna sebegitu. Dan, lagi satu yang memang dipersoalkan aku sejak keluar dari panggung, masuk dalam kereta, sampai ke Facebook ialaha kenapa Roctu Acto tu ada seekor sahaja. Kalau nak cakap itu binatang lagenda, yang lagenda tu dah tinggal tulang saja.

Tapi, semua itu dimaafkan sebab cerita ini bermain di alam fantasi sahaja. Sumpah aku suka warna-warna surreal dalam filem ini.

Reviu dari Encik Huzaifah AB Rahman.

Rabu, Disember 16, 2009

Reviu My Spy : Masih Rasa Afdlin Di Situ

Afdlin awal-awal lagi sudah beri peringatan yang filem My Spy ialah filem yang lain dari karya-karya sebelum. Memang! Filem ini filem tiga penjuru. Terpecah tiga. Diterbitkan oleh KRU. Ditulis oleh Amir Hafizi dan arahan Afdlin sendiri.

Ia satu karya yang mempunyai ramuan dan rempah ratus yang berbeza. Campuran-campuran inilah cuba dikisar oleh otak genius Afdlin.

Walaubagaimanapun, masih wujud rasa dan perisa Afdlin Shauki tapi bukanlah 100%. Seperti kata Afdlin, My Spy memang berbeza kalau dibandingkan dengan Papadom.



Bagi aku, Papadom ialah parodi filem-filem komersial tempatan mengikut tatabahasa dan nahu Afdlin. Tetapi, My Spy ialah filem yang mengambil formula Prof A. Razak iaitu hiburan semata-mata, tetapi mengandungi nilai genius Afdlin. Apa yang aku maksudkan dengan nilai genius Afdli ialah lawak bersahaja bercampur splastik beradunkan seksual dan disampaikan dengan cukup kejap dan padu.

Humor yang berlegar dalam atmosfera My Spy sedikit similar dengan humor seksual American Pie tetapi versi yang sopan dan berlapik. Apa yang aku puji ialah keberanian Afdlin dalam membawa humor homoseksual dan seks dengan cukup terbuka. Kalau sebelum ini, keberanian seperti ini dapat dikesan dalam filem-filem Arwah Yasmin Ahmad.

Apa yang aku nampak, permasalahan homoseksual bukanlah kali pertama dijadikan bahan lawak oleh Afdlin. Los n Faun dan Papadom juga masih terselit usnur-unsur homoseksual yang dijadikan modal untuk berjenaka. Lawak homoseksual yang masih terkawal ni kadang-kadang menjengkelkan aku sebab terlalu kerap diselitkan dalam fielm ini.

Dari segi olahan skrip, sederhana sahaja. Jalan cerita sedikit kemas berbanding Papadom sebab pada hemat aku Papadom agak terkejar-kejar dan mungkin disengajakan. Bagi filem My Spy, jangan terlalu mengharap kegilaan afdlin mengatur plot seperti karya-karyanya yang dahulu kerana skrip kali ini bukanlah ditulis oleh beliau. Jadi, plot tidaklah terbelit-belit dan penutup filem hanya biasa-biasa sahaja.

Dari aspek lakonan, tak perlu disangkal kebolehan AC Mizal dan Harun Salim Bachik. Wujud kimia di situ dan lakonan berkesan. Aku masih gemarkan AC Mizal dalam filem-filem Afdlin tapi kadang-kadang Over Acting dari beliau buat aku meluat. Tapi, dalam My Spy, masih di zon yang terkawal.

Sememangnya Afdlin menggunakan formula filem komersil secukupnya dengan penggunaan amoi-amoi cun sebagai watak wanita seksi. Sebelum ini, susah nak ada heroin ramai-ramai dalam filem Afdlin. Ha Ha. Carmen Soo, Hannah Tan dan Daphne Iking mesti buat Ujay tak berkelip mata sebab aku rasa amoi-amoi dalam filem ni memang taste beliau. Ha Ha.

Aku amat menyukai gaya Ridzuan Hashim yang menjadi Antagonis. Datuk O yang berwatakan mafia yang macho dan seksi. Cameo dari Mamat Khalid, Que dan Aziz M. Osman adalah Ajinomoto dalam filem ini. Sumpah aku akan ketawa bila Mamat Khalid berdialek Peraknya.

Sinematografi, tiada masalah buat aku. Sederhana dan berwatakkan Afdlin. Kesan khas dan CGI pula biasa-biasa sahaja. Ciptaan untuk gadget-gadget dalam filem ini cukup mengujakan. Realistik dan logik.

Penutupnya, bukanlah sebuah karya Afdlin yang terbaik. Itu diakui Afdlin sendiri. Aku masih terkesan dengan karya-karya lama beliau seperti Buli, Buli Balik dan Sumo-lah yang bagi aku itulah kegeniusan Afdlin.

Jumaat, April 17, 2009

Jangan Tegur - Macam Nak Kena Tegur Ja


Seminggu yang lepas, aku di Times Square. Dan sempat menonton Jangan Tegur. Yang diwar-warkan lagi cuak, seram, horror dan serta memang hiper takut dari Jangan Pandang Belakang. Aku tonton hari Ahad. Dan, wow! Panggung penuh. Penuh poket lagi arr David Teo.

Aku pelik, sewaktu orang menjerit, terkejut, tersaspen, aku hanya bersandar di kerusi dan langsung tak terkejut, takut, seram sejuk mahupun diserang angin ahmar secara tiba-tiba.

Dan, mari kita mengulas.

Sinematografi dan kerja kamera - Indra Che Muda memang pengarah fotografi yang berpengaruh dalam industri. Ada sesetengah shot aku rasa biasa-biasa saja. Tapi ada 3 shot yang aku suka, shot lampu isyarat kemudian kamera berpusing, shot pokok dan berpusing juga dan shot kamera naik ke atas dan tunjuk keadaan (polis, jalan) masa Natasya (Julia Ziegler) nak beredar dari tempat dia jumpa mayat Baizura (Nadia Mustafar). Tapi, shot-shotnya hampir serupa dengan Jangan Pandang Belakang.

Lighting - Ok. Untuk cerita seram. Tapi, kadang-kadang tak logik. Siang-sian pun nak buat suasana yang gelap dan kuran pencahayaan. Memanglah cerita hantu, tapi bukan semua benda perlu gelap. Aku lagi suka lighting dalam Histeria.'

Skrip - Jalan cerita longgar. Bosan. Aku dah boleh agak. klise. Stereotaip. Walaupun plot dalam keadaan non-linear, tapi aku tengok separuh, aku dah tau konklusi. Skrip seperti kitar semula dan dicedok sesuka hati dari filem-filem seram asia. Cis. scene mayat bangun tu aku dah tengoklah dalam Puparahtree. Lagi seram tahap nak terkencing malam. Bunyian seram terlalu dimaksimakan dan bunyi yang lebih kurang akan keluar bila hantu nak muncul. Dan keadaan ini saja dibikin untuk buat penonton 'mesti' terkejut beruk dan melompat-lompat macam ungka. Cis. Tipikal. Hantu-hantu yang muncul kadang-kadang memang muncul hanya untuk buat awek-awek menjerit tanpa ada kaitan dengan jalan cerita. Stail hantu nak takutkan penonton pun sesetengahnya dah ada dalam Jangan Pandang Belakang. Tapi, aku tetap nak samakan scene nenek Baizura yang jadi mayat tu dengan filem Puparahtree. Arrghh.. Tekanan aku tengok filem Pierre Andre ni!!!!!

Julia Ziegler - Scene dalam bilik air dan mekap pucat, perghhhhh!! cun!! Lakonan yang biasa saja. Kebanyakan baju yang dipakai dalam filem ni ialah singlet. Ha Ha

Konklusi, banyak yang aku nak komentarkan. Tapi, tak perlulah. Kalau asyik nak hantam cerita Melayu ja, macam mana nak maju (walaupun Metrowealth dah kaut berjuta-juta ringgit. Ha Ha). Filem seram Melayu terakhir yang aku tonton sebelum Jangan Tegur ialah Histeria. Dan aku kata Histeria lagi bagus dari Jangan Tegur. Pierre, walaupun lakonannya dalam Cinta dan Sepi amat megujakan aku, tapi dia masih belum mengujakan aku lagi sebagai seorang pengarah dan penulis skrip.

Selasa, Mac 31, 2009

Talentime


Sewaktu manusia sibuk memadam eletrik selama sejam, aku sibuk melayari gerak filem Yasmin Ahmad. Talentime.

Nak tulis panjang-panjang, malas!

Talentime, agak seiras sepet dan gubra. Tapi, lagi senang nak kunyah dan hadam. Humor, politikal, emosi dan spiritual bercampur dan bergaul dengan secukup rasa tanpa perlu ajinomoto yang lebih.

Cameo yang mengujakan. Ida Nerina gila MILF. Ha Ha Ha

Lembaga Penapisan Filem tiba-tiba jadi halusinasi. Mahesh yang macam Cesc Fabregas of Arsenal tu rilek jer angkat jari tengah. Ha Ha. Lagi satu, "Melur ni apayang ada? Bontot leper, tetek kecik".

Hah. Lutsinar sungguh. Perlu ditonton banyak kali ni. Filem terbaik Yasmin.

Aduii...bila dapat tengok muallaf ni???

Sabtu, Disember 13, 2008

Los Dan Faun - Jangan Sampai Lost Menontonnya



Inilah kali kedua aku menonton filem Afdlin dengan kadar penonton yang buat aku rasa macam panggung tu aku yang sewa khas. Masa aku tonton Sumo-Lah, hanya aku dan kerusi-kerusi kosong. Kah Kah Kah. Kali ni, aku dan seorang brother.

Mungkin kalau nak menonton dengan kapasiti yang ramai di Langkawi Cineplex kena datang untuk show malam. Sebab setiap kali aku lepak panggung waktu malam, mesti hampir full house. Kalau nak ramai orang waktu siang, filem blockbuster Hollywood mungkin ramai. Tapi, yang aku pasti, dewan sebelah yang sedang angat dengan filem Cicakman 2, mungkin separuh penuh penonton pada petang tu.

Ok. Aku akan beri satu pengharapan yang tinggi untuk filem-filem Chief of Kodok, Encik Afdlin Shauki ni. Dan, opening kredit Los dan Faun buat aku tersenyum keseorangan. Kalau tak silap akulah, LDF dibikin selepas Chief Kodok pulang dari lawatannya ke Hollywood. Opening kredit memang dah Hollywood.

Humor dalam Los dan Faun bercampur atau mungkin crossover antara splastik dengan bersahaja cara Afdlin. Buat aku rasa sedikit pelik. Sebab mungkin percampuran antara dua unsur tersebut. Ha Ha. Ada kalanya humor-humornya melangkaui batas penerimaan orang-orang yang gemarkan lawak-lawak bangang filem Melayu. Maksud aku, humor dalam LDF lebih berjiwa splastik Hollywood ala-ala Ben Stiller atau mungkin Jack Black dengan sedikit rasa humor British. Jadi, itulah kelainan yang dapat aku rasa. Orang lain tak tahulah, Lain padang, lain belalangnya.

Aku cukup teruja dengan prop-prop yang Adflin guna. Sebelum ini, prop dalam Sumo-Lah dah buat aku terpegun, LDF juga buat aku terkebil-kebil. Scene dalam tangki air tu memang nampak betul-betul tangki air, sedangkan bukan berlakon dalam tangki air pun.

Dari segi perwatakan, yang ni memang aku tabik dengan Adflin. Setiap karektor memang jelas perwatakan dan ada kekuatan masing-masing. Paling aku suka, watak Tuan Sofaruddin Al-Sogood lah yang aku rasa Adflin menginspirasi watak Sadiq Segaraga dalam Tiga Abdul, masterpiece P.Ramlee. Kenapa? Tengok dan kaji sendiri. Ha Ha.

Apa yang pasti, Los dan Faun memerlukan penghayatan yang teliti sebab filem ni memang suka twist tak tentu hala. Aku dah rasa macam tengok M. Night Shyamalan punya filem tapi versi aksi humor pula. Tapi yang pasti, scene yang melekat dalam otak aku ialah scene Los bergayut pada helikopter dengan lawak gay Faun dengan bapa dia. Lawak Brokeback Mountain tu buat gua tergelak tanpa paksa ah..

Masih sesuatu yang berbaloi untuk ditonton sebab ini ialah filem Adflin Shauki dan humor serta lawak dia bukanlah lawak dalam filem profesor tu. Sasara seterusnya, Cicakman dan Histeria.

Ahad, Disember 07, 2008

Eros - Eksotik Yang Geli-Geli





Aku bukanlah pandai sangat nak reviu-reviu filem ni. Tapi sebab aku suka tonton filem dan suka reviu berseorangan, maksud aku bermonolog berseorangan, baik aku hamparkan ulasan aku tu. Sekurang-kurangnya dapat berkongsi dengan orang lain. Aku terjumpa filem pendek ni di Youtube. Sekadar mencari video-video yang dihasilkan pelajar MC110, dan aku terjumpa video ni. Hanya sekadar ulasan seorang remaja yang suka menonton.

Filem pendek Eros sebenarnya lebih berkonsepkan teater pentas separa monolog. Aku menafsirkan yang separa monolog kerana watak Nafiru, sebenarnya bermonolog mencari sesuatu untuk dirinya yang sebenarnya terhuyung-hayang. Temanya mudah, hubungan sejenis yang sebenarnya tidak membawa erti kebahagiaan sebenar buat karekter utamanya. Senang cerita, sepasang gay, seorang begitu mencintai pasangannya dan seorang lagi terasa seperti ralat dengan hubungan tersebut.

Pembukaan filem ini mirip telenovela latin dengan seorang wanita berbaju ala-ala berkemban berwarna putih berlari-lari anak di tepi pantai. Otak aku mula lah nak meramalkan yang filem pendek ni mesti melodrama sikit. Ha ha ha. Frame seterusnya ialah suasana sebuah kawasan, seperti hutan yang indah lanskapnya yang bagi aku pengarah cuba mengambarkan ketenangan kawasan tersebut. Yang ‘slack’nya, aku boleh dengar krew-krew bersembang. Mestilah aku dah tergelak-gelak.

Ok, balik ke cerita, seorang lelaki jambu sedang duduk sambil kakinya mencelup-celup air kolam sedang bermadah. Nafiru, watak utamanya umpama dalam keadaan keliru. Dan, datang Ajiliu, pasangannya. Dua lelaki jambu dengan berbaju putih cuba menggambarkan kononnya wujudnya percintaan yang suci dan tulus. Cis.

Watak Nafiru seakan-akan keliru dengan cara hidup dan seperti kurang menyenangi hubungan sejenisnya dengan Ajiliu. Dia menyoal akan kerasionalan hubungan tersebut. Nafiru kalau ikut tafsiran aku sedang praktik Symbolic Interaction Theory, seperti yang diterangkan dalam konsep looking glass self. Tapi, dalam masa yang sama, dia masih bergantung kepada Ajiliu. Di sinilah peranan Ajiliu, selaku watak yang bersifat begitu menyayangi Nafiru ini bijak bermain kata-kata menyedapkan hati si Nafiru.

Scene mereka bermadah di bawah sebatang pokok kering dan berlatarkan warna jingga aku tafsirkan di mana keadaan kegersangan bertemu dengan rasa membara dan memberonta ingin keluar dari sesuatu.Pohon kering itu melambangkan kegersangan si Ajiliu yang sayang dan cinta akan Nafiru dan jingga tentulah simbolik kepada rasa membara Nafiru yang meronta-ronta mencari jawapan.

Sebagai seorang separa homophobia (aku tidak menyutujui hubungan sejenis, bukan takut), aku terasa geli geleman betul dengan scene berasmara dana mereka. Cis. Scene mimpi Nafiru bertemu sang juwita tu aku rasa ralat juga sebab aku rasa macam dia mimpi jumpa hantu lah pulak. Lepas mimpi tu lah titik tolak dalam perkembangan plot untuk filemini di mana Nafiru dan Ajiliu melakukan hubungan rambang. Lagi bertambah dos geli geleman aku. Ha Ha Ha

Nafiru menumbuk tanah dengan menyesali perbuatan dia tu klise sedikit. Babak perpisahan dua insan gay ni di pantai sememangnya tepat dengan latar di mana pantai memisahkan darat dengan laut. Pertemuan Nafiru dengan sang juwita atau nama Ziamora Jabila Rossa (aku tergelak dengar nama ni) dengan berlatar biru cuba memberitahu yang kini Nafiru sudah tenang dengan bertemu dengan sesuatu yang tidak menentang norma. Ya, bertemu cinta yang sebetulnya.

Filem pendek ni memang menggelikan aku selaku seorang lelaki normal ni. Ha Ha Ha. Sinemafotografi agak menarik dan cantik. Aku tak tahu la tema hubungan sejenis ni sengaja dipilih untuk menimbulkan kontroversi, tapi rasanya tidak kerana shot-shotnya kurang kontroversi dari Comolot. Penggunaan bahasa bagi sebenarnya kurang menimbulkan suatu yang puitis. Aku lebih merasai yang struktur bahasanya lebih kepada bahasa baku yang menyelitkan sedikit diksi yang kononnya indah dan sedikit berkias. Skripnya konon-kononnya puitis, tapi hampas.

Apa-apa pun, aku seronok ja komen, aku belum tentu boleh buat macam ni. Ha Ha Ha. Tahniah kepada Senior-senior yang buat filem ni kerana filem ini menyelesaikan permasalahan yang ditimbulkan walaupun aku rasa sedikit mengjengkelkan.

Selasa, Ogos 19, 2008

Butterfingers - Kembali ; Sebuah Reviu Untuk Kawan-Kawan


Kalau di SMSTSP, Kangar circa 2001-2005, lagu-lagu Butterfingers menjadi lagu wajib mereka yang berjamming di bilik pancaragam sekolah. Lagu-lagu dari album 1.2 Miligrams, Butter Worth Pushful jadi lahu wajib depa-depa ni.

Tahun ni, Buterfingers kembali dengan KEMBALI. Album kedua berbahasa Melayu selepas Selamat Tinggal Dunia (STD). Kalau STD sebuah album berbahasa Melayu yang agak dark dari segi lirik dan pembawaan muzik dan dipenuhi dengan pengaruh dari band Radiohead, tapi Kembali pula sarat dengan lagu-lagu yang buat anda bergoyang, menganggung tanda setuju dan senyum. Bahasa mudah, lagu-lagu dalam Kembali lebih ceria dan sing-a-long.

Kembali sarat dengan melodi-melodi lagu Melayu kelasik era 50-60 an. Senang cerita, memang kembali ke dasar muzik Melayu, tapi dengan cara Butterfingers. Emmet pun bersyair. Ini ulasan setiap trek dalam album ini:


Trek 1 - Joget Global
Lagu joget dengan bunyi gitar Loque yang mantap! Intro lagu dengan Emmet bersyair. Memang lah lagu yang cukup bijak untuk pembukaan album. Dekat bridge lagu ni, Emmet dengan Loque bercappela. Lirik dia macam berunsur politik pula di situ. Ubah Ubah Ubah. Hahaha

Trek 2 - Bebas
Chaer kata mak dia suka lagu ni. Memang merdu! Lagu dia mudah dan tak komplikated. Serius.

Trek 3 - Maharani
Single kedua dalam album ini. Kalau dalam STD bebas dari bunyi biola, kali ini Emmet kembali berbiola. Melodi yang memang menangkap telinga. Part biola tu memang terngiang-ngiang di telinga aku siang malam. Serius. Memang aku ulang banyak kali dengar lagu ni!

Trek 4 - Terus Terang
Lirik dia ala-ala lagu E tapi yang diMelayukan. Tapi, lagu jauh bezalah dengan lagu E. Solo gitar Loque di tengah-tengah macam solo dalam Butter Worth dulu. Tak pun 1.2 Mg.

Trek 5 - Air Liur di Kuala Lumpur
Lirik macam lirik-lirik dalam STD. Lagu terus terang pun lebih kurang macam tu. Ada melodi Vio-Pipe siap. Haha.

Trek 6 - Lengkap Semula
Argghh!!! Lunak!! Gabungan melodi lagu Terkenang Zaman Dahulu nyanyian R. Azmi dengan bahagian korus tu macam dalam Anakku Sazali. Memang macam dengar lagu-lagu klasik. Cara Emmet nyanyi kalau buang muzik Butterfingers tu, dah boleh pasang kat Radio Klasik Nasional ni. Hahahahha. Lirik dia macam kisah cinta pun ada, atau pun lebih kepada keTuhanan (?) Lagu pilihan Aqqhir ni!!

Trek 7 - Merdeka
Ni lagu yang memang aku nak dengar. Lagu keroncong dari Butterfingers bersama Pak Kassim Masdor. Aku jumpa Pak Kassim Masdor hari tu kat FFM 21.haha.. Memang aku akan pasang lagu ni 31 hb Ogos ni!

Trek 8 - 1000 Tahun (Mahu Hidup)
Tak payah ulas kut? Single yang pertama dari album ini. Keluar berbulan-bulan awal sebelum album ini. Dengan video klip yang cukup sinis kritikalnya. Macam lagu-lagu lama Butter, intro dia agak panjang dengan bunyi gitar Loque ala-ala melodi dari Sape (ala muzik Sarawak tu).

Trek 9 - Gelombang Cinta
Bagi akulah, mood lagu ni kembali ke mood STD. Lagu ni memang kuat bunyi eksperimental ala-ala Radohead. Sedikit mellow. Vokal pun menyanyi malas-malas macam Thom Yorke. Haha. Bahagian vokal malas tu aku rasa Loque yang nyanyi.

Trek 10 - Mendaki Menara Condong
Loko memang seorang mesin dram! Betul kenyataan Loque tu. Aku suka beat dram Loko dalam lagu ni. Lirik lagu macam ayat-ayat motivasi pun ada. Hahaha.

Trek 11 - Mati Hidup Kembali
Ramai yang cakap lagu ni berbau The Beatles. Setidak-tidaknya lagu Let It Be. Aku setuju!! Paduan dua vokal yang cukup mantap dengan melodi yang cukup kuat!! Melodi inspirasi lagu Sedangkan Lidah Lagi tergigit dari P. Ramlee. Memang aku suka melodi piano lagu.

Kembali memang kembali pada dasar Butterfingers iaitu penghasilan lagu-lagu yang melodinya cukup melekat. Mereka juga mungkin kembali ke pengaruh muzik tika pengembangan muzik Melayu moden era 50-60 an. Album yang bakal menjadi playlist aku untuk jangka masa yang panjang rasanya. Aku pun dah kering idea nak ulas. Hahaha. Yang aku tau, kalau aku dengar cd ni, aku takkan skip mana-mana lagu!!!