Ahad, Oktober 31, 2010

cin(T)a : Ulasan Pendek Aku

Aku baru pulang dari MapKL untuk menghadiri Kotak Hitam 4.0: cin(T)a & MIMPilem anjuran Frinjan dengan kerjasama Paradoks, Sembilan Matahari Film dan MapKL.

Tujuan utama semestinya mahu menonton filem Indonesia yang menang banyak anugerah ini. Aku hanya sempat menonton tiga filem pendek pada sesi malamnya iaitu filem Perempuan, Hantu dan Skandal (Ridhwan Saidi / Bin Filem), Kiamu (Anwari Ashraf) dan Rompak (Ismail Abd Rashid).

Rasa aku tentang filem cin(T)a ini ialah penyerapan dan saduran Sepet tapi landasannya seolah-olah bercelaru dan terawang-awang. Aku faham apa yang Sammaria Simanjuntak cuba bawakan, percintaan antara dua agama yang berbeza dari sudut dasar keterbukaan beragama di Indonesia, namun filem ini bagi aku carca marba dan bak kata Ajami Hashim selepas tayangan terlalu ingin memasukkan banyak isu sampai hilang fokus.

Aku setuju dengan Ajami yang filem ini sebenarnya sebuah filem cinta biasa antara teruna dan dara, namun cuba diberatkan dengan isu berlainan agama dan bangsa. Aku juga bersetuju yang filem ini sebenarnya mempunyai unsur erotik dan seksualisme yang kuat. Apa yang aku nampak, kedua-dua watak mempunyai berahi yang kuat, ingin lakukan hubungan seksual, tetapi dihalang oleh sesuatu. Tuhan atau agama mungkin. Lihat sahaja bagaimana Cina terangsang dengan perlakuan Annisa yang sedang berwuduk. Wujud sesuatu yang erotik di sini dan inilah permulaan kepada pembawaan filem ini yang sebenarnya.

Walaupun banyak isu yang cukup dipadatkan sampai ia seolah-olah terawang-awang, aku masih tetapi menyukai filem ini. Ini sebuah filem indie dari Indonesia yang berjaya dari semangatnya dan telah memenangi beberapa anugerah di luar dan juga ditayangkan di Eropah. Filem kita?


Rabu, Oktober 27, 2010

Hampir Setahun

Sudah hampir setahun. Menjadi pelajar penyiaran di universiti Melayu ini. Pelbagai ragam, pelbagai kenangan, pelbagai cabaran, sudah dihadam dengan lumat.

Cerita-cerita untuk semester ini mestilah berkisar tentang kerja-kerja produksi yang cukup mencabar. Rata-rata rakan sekelas akan mengingati setiap detik dan saat ketika sama-sama untuk menghasilkan produk yang baik untuk grup masing-masing. Sepanjang semester ini, kebanyakan tugasan melibatkan rakaman di dalam studio, rakaman secara langsung dan penggunaan multi-camera. Untuk subjek Production sahaja, perlu 3 tugasan disiapkan iaitu Chart Show, Talk Show dan juga Entertainment Show. Juga dengan subjek Radio and TV News yang tugasannya perlu menerbitkan sebuah berita televisyen.

Pujian yang diterima pada penghujung masa tidak membutakan hati masing-masing, tapi terus mengujakan hati setiap warga kelas dan semua terus bersemangat. Terima kasih!







Selepas semua berakhir, masing-masing bercadang untuk melepaskan segala tekanan yang ada. Dan berlakulah perkelahan yang menceriakan semua orang. Walaupun ada yang terpaksa bersedih dengan kehilangan tersayang, kami tetap bersama. Bukit Belacan, Ampang, menjadi destinasi.


Selasa, Oktober 26, 2010

Dunia Baru Kamu

Kamu
Dengan dunia baru
      
      Jangan terus haru
      Sebab aku setia menunggu

Jumaat, Oktober 08, 2010

Bintang Lima

Pujian dari guru memang menaik semangat dan kebanggaan aku, dan rakan-rakan. Untuk mencapai kejayaan, perlu kerja kuat, perlu ada pemahaman, perlu ada semangat, perlu ada kasih sayang sesama sendiri, kasih sayang pada ibu bapa, kasih sayang pada Yang Maha. Perlu tahu apa tujuan, dan perlu bijak menggunakan emosi. Bila berjaya, hidup itu indah.




Terima kasih. Usaha untuk projek seterusnya!

Rabu, September 29, 2010

Ruang Kosong

Ruang Kosong ialah nama rancangan bual bicara (talk show) yang diterbitkan oleh aku, bersama team Tunjuk Langit Production, untuk tugasan subjek Production.

Dahulu, aku hanya melihat MHI, Selamat Pagi Malaysia, 8TV Quickie di kaca tivi, kini aku yang mengendalikan rancangan seumpama itu.










Walau kurang sempurna, tapi tetap berjaya. Tahniah rakan-rakan. Biar kita terus dengan senyuman yang sama sehingga akhirnya.

Rabu, September 22, 2010

Haiwan

Laki bini. Dalam perjalanan dengan kereta. Di jalan yang kiri kanannya hutan.

Di hadapan, dari jauh, kelihatan seperti ada susuk berbaring di tengah jalan.

Berdarah! Berdarah! Berdarah! Susuk tu.

"Abang! Abang! Ada orang kena langgar!"

Cemas mereka.

Namun, apabila dekat, bukan orang bukan manusia. Yang berdarah! Berdarah! Berdarah! Mati!

"Siapa yang langgar monyet ni?"

"Kasihannya."

Mereka pun berlalu dan membiarkan susuk itu menjadi bangkai dan hancur dilanggar lori-lori balak yang lalu di kawasan itu.

Prihatinkah kita pada mereka, yang berotak namun tidak berakal, tapi masih lagi makhluk Tuhan.

http://www.nst.com.my/nst/articles/6det/Article/ (Anjing Peguam Mati Dibunuh)

Jumaat, September 17, 2010

Reviu Drama Hari Malaysia : Qalbu

Sebagai wadah kerajaan, RTM mestilah menyebarkan propaganda kerajaan dengan jayanya. Sempena dengan agenda 1Malaysia, gebangan PiEm sekarang ni, mestilah segala benda yang nak disiarkan di rangkaian penyiaran yang tertua negara (dan terus tua dengan falsafah dan pemikirannya serta menjadi siaran kegemaran orang-orang seusia dengannya) bersangkut dan berpaut dengan agenda PiEm sekarang.

Dan, pada 16 September 2010, iaitu hari jadi kepada beberapa sahabat dan kenalan aku, TV1 dan TV2 dan tak lupa jga konglomerat Media Prima duk heboh pasal sambutan Hari Malaysia. Aku suka juga tengok drama-drama Melayu RTM dan kadang-kadang ada drama yang mengejutkan jiwa dan raga aku, yang aku rasa memang jarang muncul dalam kotak tivi di negara ni. Aku sebenarnya ada juga cita-cita untuk masuk ke rangkaian penyiaran kerajaan ni dan menjadi kakitangan di bahagian drama tivi nya, jikalau falsafah dan cara pembawaan RTM berubah secara total. Dengar, secara TOTAL. Baru aku akan mencabar diri aku menjadi orang gomen dan kakitangan RTM,

Berbalik kepada drama, Panggung RTM 16 September 2010 telah menayangkan drama yang bertajuk Qalbu. Entah kuasa apakah yang menarik aku nak tonton drama ni tatkala aku bersiap nak keluar ke bank, terus tangguhkan sebentar hasrat aku tu. Sebab drama ni lah. Dan selepas 10 minit pertama aku tonton, terus aku SMS Pete, member aku yang gemuk tu,

"Kt tv1 ada drama yasmin ahmad wannabe.haha"

Hah. Sumpah geli geli aku tengok drama Qalbu ni. Pada aku, penulis skrip dan pengarahnya terlalu ambitious mahu jadi seperti arwah Yasmin Ahmad. Aku sangat malu menonton drama ini dan terkenang akan temubual Hishammudin Rais yang mengatakan bahawa Malaysia ialah negara ciplak! Dan. Drama inilah salah satu daripada penghasilan rakyat sebuah negara ciplak yang suka mencuplik idea orang lain.


Ambil inspirasi, bagus. Tapi terus copycat, hancur! Pada aku, Qalbu ialah kitar semula filem-filem Yasmin Ahmad, Talentime terutamanya, dan pencampuran sedikit scene dari filem Sepi, diubah sedikit, dijadikan play safe untuk ditayangkan di RTM, dan jadilah drama ni.

Aku kecewa kerana drama Qalbu ini terus copy paste latar tempat, story line, dan idea dari Yasmin Ahmad punya Rabun, Sepet, Mukhsin dan terang-terangan dari Talentime dan juga babak-babak dalam Sepi, Khabir Bahtia. Aduh, nak cakap parodi pun bukan.

Aku cukup muak sampaikan tak sanggup nak menerangkan dengan lebih jelas dan detail macam mana rupa drama ini. Kisah cinta Melayu-Cina, iaitu anak lot dengan penjual DVD haram, tapi penjual DVD tu Melayu dan anak lot tu Cina, Sekolah Anderson Ipoh, dewan yang sama dalam Talentime, kemesraan ibu bapa-nak mandi bersama (Oohh, RABUN!), Taman Tasek Taiping (sepi), pementasan teater (Sepi lagi), paling aku tak tahan, lalu di kaki lima sekolah, ada bunting, berwarna-warni tulis Qalbu, Damn!!! Rujuk filem Sepi ya.

Tapi, dalam kemuakan aku tu, tak semestinya aku membenci terus drama cuplikan idea tersohor orang lain ini. Terdapat beberapa dialog dan scene bagi aku terus melanggar taboo RTM. Ha Ha. Antara dialog-dialog yang aku berasa pelik bila muncul di siaran RTM terdapat dalam drama ni. Yang tak tahan, masa suami isteri Cina tu pillow talk, bini dia usap kaki suami dengan kaki dia. Ha Ha. Celaka betul.

Pergerakan kamera dalam drama ini adalah standard drama-drama Melayu tanah air walaupun terdapat juga yang megujakan aku. Sebagai contoh, scene ketika kedua-dua adik beradik Cina tu, tak dapat mengejar cinta mereka. Amoi yang jatuh cinta kepada India tu, mengejar lelaki India dengan berlari-lari anak dan pemuda India tu membonceng motorsikal bapa dia (ok, walau scene ni aku gelak macam nak rak) dan selepas Amoi tu gagal nak mengejarnya, kamera yang fokus pada dia yang sedang menangis dan gagal, dan kemudian perlahan-lahan naik ke atas dan mengfokus langit, yang dilindugi dahan-dahan pokok, dan masih kelihatan cahaya matahari yang menyinari di sebalik dahan-dahan pokok. Scene ini menyamai scene Dawn, iaitu kakak kepada Amoi tadi yang jatuh cinta dengan pemuda India tu, berjumpa dengan Rasul bersama bapanya. Selepas bapa Dawn memarahi Rasul dan meninggalkan Rasul yang dihinanya bersama kereta sport, kamera fokus kepada Dawn yang kesedihan dan kemudian naik ke udara. Penonton dapat melihat langit yang dilindungi dahan pepohon namun disebaliknya, langit yang cerah dan terang.

Pada aku, kedua-dua scene ini merupakan scene yang terbaik dalam drama ini. Aku baca, walaupun kita dalam apa jua kesusahan (rujuk kesedihan Dawn dan adiknya), kita tetap akan kembali ke pada fitrah iaitu Tuhan walau banyak cabaran yang perlu kita tempuhi (rujuk dahan pepohon ialah rintangan sebelum kita bertemu cahaya, rujuk ada cahaya matahari yang menyinar dan lagit yang cerah).

Pada aku, produksi untuk drama ini sebenarnya ambitious dan bercita-cita tinggi. Tapi sayang, jika dijadikan lebih original, mungkin lagi hebat hasilnya.


Khamis, September 09, 2010

Raya Fitrah

Semoga 'IdulFitri tahun ini membawa kesucian jiwa dalam keadaan fitrah kepada Allah Yang Maha.
Salam Lebaran. Mohon seribu kemaafan. Jangan lupa bayar zakat fitrah!

Khamis, September 02, 2010

Private Screening Dokumentari Fahmi Reza

Aku merupakan 100 orang yang menerima jemputan dari saudara Fahmi untuk private screening dua filem dokmentarinya iaitu 10 Tahun Sebelum Merdeka (2007) dan Revolusi '48 (2008). Tayangan 'rahsia' ini bersempena hari kemerdekaan dan aku bilang inilah pengisian kemerdekaan aku untuk tahun ini.

KLSCAH atau dulu lebih dikenali sebagai MCPA bukanlah tempat asing bagi aku. Sewaktu sirkit gig tanah air menjadi satu budaya popular sejak 2-3 tahun lepas, MCPA merupakan tempat wajib untuk diadakan gig. Aku rasa dalam 3 kali juga aku pernah jejakkan kaki ke dewan yang diiktiraf sebagai salah satu bangunan warisan ini untuk menghangguk kepala di gig metal. Oh. itu cerita lain.




Berbalik kepada figura yang bernama Fahmi Reza ini, aku mengenalinya selepas membeli DVD dokumentarinya pada Youth'08 dahulu. Seingat aku lah. 10 Tahun Sebelum Merdeka pernah aku layan berkali-kali sebelum CD nya dihilangkan oleh seorang rakan. Ha Ha. Kehadiran aku kali ini ialah untuk menonton Revolusi '48 yang hanya sekali ditayangkan dan terus sunyi kemudiannya dan Fahmi sendiri telah menjelaskan masalah yang dihadapinya dengan jelas. Aku mahu karang sedikit reviu dan komen mengenai kedua-dua filem dokumentarinya.

10 Tahun Sebelum Merdeka





Ok. 10 Tahun..... boleh dilayan di YouTube tanpa perlu risau mahu mana nak cari video ini. 10 Tahun... merupakan dokumentari sejarah yang penuh dengan fakta dan bergerak pantas dengan muzikal Punk yang mengiringi latarnya.

Ini merupakan filem dokumentari pertama dari Fahmi selepas terinspirasi dari bahan bacaannya iaitu sebuah buku karangan Ahmad Boestaman.

Dokumentari mengenai HARTAL, atau bak kata Fahmi yang tertulis di dalam buku sejarah Tingkatan 3 sebagai Hari Natal ini menggorekkan satu sejarah yang terpadam dalam buku rasmi sejarah yang aku pun belajar dulu.

Menurut Fahmi, dia mencuplik terus gaya editing Stacy Peralta dalam penghasilan dokumentari Dogtown and Z-Boys. Ciplak, tapi menyegarkan.

Pertama kali aku menonton 10 Tahun.. terus aku menyukainya dan pada aku, apa yang dipaparkan oleh Fahmi dalam filemnya sebenarnya telah memalukan Suhaimi Baba, yang menghasilkan filem ikut buku teks, Hati Malaya; 1957. Hati Malaya pada aku gagal!




Revolusi '48

Ini dokumentari yang memang aku nantikan dari Fahmi. Selepas terlepas tayangannya perdananya di Annexe dulu, peluang kali ini tak aku lepaskan.

Terang Fahmi, tayangan kali ini merupakan edisi asal Revolusi '48, yang ditayangkan pada 2008 dahulu. Dan, beliau sedang menyiapkan kembali edisi yang baru dan penganjuran private screening ini adalah untuk mendapatkan maklum balas untuk penambahbaikan filem dokumentari ini.

Beberapa masalah diterangkan oleh Fahmi mengapa dia tidak menyukai Revolusi'48 versi asal. Tapi, usaha beliau menemuramah Chin Peng (Chin Peng cakap bahasa Melayu ni, tapi sayang, dia sudah uzur) dan Abdullah CD buat aku terasa mahu bangun dan tabik tiga jari pada beliau. Ha Ha.

Ok. Revolusi '48 bercerita mengenai perjuangan Revolusi, sebuah terma yang hilang dalam kamus bahasa kita pada hari ini kerana teks rasmi melabelkannya KOMUNIS.

Pada yang tidak mengerti, mungkin akan terus melabel Fahmi sebagai Pro Komunis. Namun, apa yang beliau cuba sampaikan ialah, kita perlu melihat sejarah dari perspektif yang berbagai dan baru kita akan belajar dan dapat menilai sendiri.

Pada Fahmi, Revolusi '48 gagal kerana isinya yang berlubang dan tidak padat seperti 10 Tahun..Tapi, pada aku, mesejnya sampai. Iaitu menyampaikan semangat perjuangan pejuang-pejuang kiri yang kita tidak pernah tahu dan ada masa dan ketika, bulu roma akan mencanak naik.

Satu masalah pada aku ialah Revolusi '48 agak tidak kemas dari segi editingnya berbanding 10 Tahun. Footage yang di'curi' dari Filem Negara Malaysia berulang-ulang dan hampir sama dengan yang dimasukkan dalam 10 Tahun. Runut bunyi dari Joe Kidd agak kurang PUNK nya walaupun khalayak kenal siapa itu Joe Kidd. Runut bunyi Revolusi'48 tidak menggambarkan semangat perjuangan haluan kiri yang bersemangat menentang British dan telah mewujudkan atmosfera yang mellow. Bagi aku, lagu yang rancak dan bersemangat lebih sesuai untuk menaikkan momentum perceritaan.



Fahmi agak gusar untuk mengeluarkan filem ini kerana dia sudah digelar pro-komunis selepas mengeluarkan 10 Tahun... Ya, masyarakat yang dididik dengan teks-teks rasmi akan terus membenci dengan perjuangan yang digelar KOMUNIS ini, namun jika masyarakat kita mampu melihatnya dari perspektif yang lain, mereka mungkin akan sedar.

Pada aku, Fahmi mesti keluarkan juga Revolusi '48 ini kepada khalayak selepas beliau melakukan pengubahsuaian. Aku syak, ramai yang akan terus menerus menghina dan melabel Fahmi dengan pelbagai tohmahan. Tapi, untuk melakukan REVOLUSI, itu yang perlu dihadapi beliau.

Sekarang, Fahmi sedang giat menjayakan projek terbaru beliau iaitu Student Power. Perihal sejarah mahasiswa yang terus dibekukan dari pengetahuan mahasiswa seMalaysia. Aku doakan, usahanya akan berjaya kelak.

Isnin, Ogos 30, 2010

Sifar

.....................
.....................
.....................
.....................
.....................

Komplikated dalam kekosongan.



Ahad, Ogos 29, 2010

Nasi Lemak Juadah Sahur

Aku memang mengharapkan bulan Ramadhan ini yang terbaik. Lebih baik dari yang lepas.

Tapi, aku sangat marah dengan diri aku. Kerana tak meraikannya dengan ibadah untuk jadikannya yang terbaik. Dengan memberi alasan kesibukan yang amat. Walau benar sebenarnya.

Ok. Hari ini, Amet Bundle datang membawa seribu satu rezeki ke rumah aku. Makanan. Ramadhan di Malaysia sememangnya dah jadi pesta makanan. Bersepah-sepah.

Selepas berbuka dengan Amet, aku terpaksa pusing Bukit Jelutong. Atas dasar kerja dan wang.

Kemudian, dengan alasan tidak sempat, kami tidak berterawikh malamnya dan melencong ke Kompleks PKNS. Ya ampun! Memang ramai lagi warga Shah Alam yang skip terawikh malam ni. Mencari baju-baju raya di gedung PKNS ni.

Selepas menjamu mata, dan mencuba pakaian dan berangan beraya, walaupun tak beli pun baju-baju yang dicuba, hanya sebagai pelengkap rasa sahaja, kami pulang dan bertekad untuk bersahur di Petaling Jaya pagi nanti.

Aku meneruskan kerja-kerja yang aku terima. Demi wang raya. Dan. jam 3.30 pagi aku kejutkan mereka untuk ke PJ.

Agak berpusing juga aku di sekitar PJ untuk mencari tempat makan tersebut. Tibanya di sana, kereta bersusun-susun. Memang ramai.

Ada Melayu, Cina, India, 1 Malaysia, jerit Najib Razak di TiVi.

Cina memang nampak kecinaannya. India memang terserlah keindiaannya.

Melayu.

Nak cakap macam orang Amerika, tak sama pun aku tengok. Yang perempuan seluar pendek sendat ikut bontot nampak alur spender. Rambut berkarat.

Kami pun bersahur dengan nasi lemak yang sedap dan nasi-nasi lemak Melayu yang baru balik kelab malam di malam Ramadhan.

Khamis, Ogos 19, 2010

Tetamu

Bulan Ramadhan, bagi aku tetamu yang ditunggu. Bila tetamu yang ditunggu ni sudah tiba, akan datang tetamu lain. Antara tetamu lain yang datang pada kita ialah masalah.

Masalah bukanlah tetamu yang diundang pada bulan puasa ini. Tapi, bila masalah datang sebagai tetamu, perlulah dilayan dengan sebetulnya.


Aku tau, mental, emosi, perasaan, perlakuan, akan terus dicabar oleh tetamu yang bernama masalah ini. Dah nama pun tetamu, kita mestilah bermesra dengannya dan jaga hatinya. Oleh itu, masalah yang datang sebagai tetamu di bulan Ramadhan, tetamu yang ditunggu itu, mestilah dilayan dengan seeloknya.

Bila tetamu yang bernama masalah itu dilayan dengan sebaik mungkin, dia akan pergi tinggalkan kita dengan memberikan satu lagi tetamu kepada kita, iaitu ketenangan.

Hah. Banyak betul tetamu.

Oh. Itu yang kita pilih ya. Jadi, tak mungkin ia sempurna dan akan datang masalah juga. Tapi, kita boleh selesaikannya. Yang penting, jangan ambil perasaan sebagai pelayan tetamu-tetamu kita.

Faham tak ni?

Jumaat, Ogos 13, 2010

Tunjuk Langit

Eh. Ni bukan entri pasal buah tunjuk langit. Ini pasal produksi kami yang namanya macam tu. Dulu. Masa Diploma. Produksi aku namanya Timun Production. Oh. Masih lagi sejenis tumbuhan.

Permulaan Ramadhan aku, tak lah serancak mereka. Maksud aku, dari amalnya. Aku masih belum ke masjid untuk terawikh. Atas tugasan yang mendesak untuk berkabung di studio.

Paling mencabar, tape pertama rakaman kami rosak. Terpaksa rakam semula.

Terima kasih buat krew dan talent yang tak mengeluh dan sentiasa ketawa.

Selasa, Ogos 10, 2010

Puasa

Datang lagi. 
Aku tersenyum.
Sudah empat.

Jumaat, Ogos 06, 2010

Teater Short Eyes : Realiti Masyarakat Majoriti Dalam Minoriti

Fared Ayam, atau dia suruh orang panggil dia Ayam merupakan manusia yang pelik di kalangan masyarakat majoriti, tetapi bagi kelompok yang minoriti yang mengenali kerja-kerja seni beliau, tiada apa yang pelik. Itu unik namanya.

Dengan berambut panjang dan memakai headband, cermin mata besar, berseluar pendek dengan warna yang striking dan mencucuk mata serta berselipar, teater Short Eyes ini ibarat mewakili dirinya yang mungkin berada di golongan minoriti, tapi rutinnya, tetap tidak lari dari kehidupan masyarakat majoriti.

Short Eyes, karya Miguel Pinero ini telah dibahasaibundakan dengan senang-lenangnya oleh Fared Ayam. Aku sangat menyokong usaha-usaha seperti ini, walaupun tidak asli, namun masih terasa keasliannya bila teater ini menggunaka bahasa Melayu dalam penyampaiannya. Setiap dialog yang dituturkan bikin audiens fikir, renung, senyum, dan ketawa.

Pada aku, Ayam sedang mengkritik suasana masyarakat kita sekarang yang semakin berpecah belah, berbual kencang hal agama tapi buat perkara yang orang yang tak pandai agama pun buat, hasut-menghasut, rasis, polis salah tembak, kejahatan yang dilindungi oleh perwatakan dan jawatan dan masyarakat dan macam-macam lagilah yang anda rasa ada sangkut-paut dengan masyarakat kita sekarang yang tidak stabil. Bak kata Ayam sendiri dalam salah satu puisi beliau, STABIL UNTUK SIAPA?


Para pelakon semestinya di kalangan rakan-rakan dan kenalan dalam Rumah Anak Teater yang pada sesiapa yang sebelum ini mengikuti kerja-kerja seni RAT, semestinya mengenali para pelakonnya. Dari segi lakonan, setiap watak sememangnya melontarkan hasil lakonan yang sangat bagus. Kalau Intan Ladyana teringin nak belakon teater, mesti aku gelak terbahak-bahak macam haram sebab minah tu kena belajar lagi dengan abang-abang dalam teater Short Eyes ni. Eh, dalam cerita ni tiada heroin, tapi ada babak cinta dan romantis. Ha ha.

Dunia kita ibarat penjara yang besar, di dalamnya terisi dengan banduan-banduan yang pelbagai. Sesetengah mampu berfikir dengan penuh moral, namun moral akan kalah dengan perlakuan yang terperangkap dan terdesak untuk meneruskan kehidupan yang berjerat di dalam penjara ini. Untuk mereka yang belum menonton, silalah tonton teater ini.

Selasa, Ogos 03, 2010

Gua Dah Banned Parking Melati

Gua rasa, manifesto-manifesto calon-calon MPP yang sekarang dah jadi MPP memang langsung tak boleh pakai. Sama perangai macam Waibi-Waibi yang perintah sekarang.

Masa berkempen, turun tapak parking. Tolong tolak kereta, tolong alih kereta. Masalah parking akan selesai! Jerit mereka sambil mengelap peluh yang meleleh ke ketiak.

Semester ni, gua dah tak park di Melati. Gua akan park berdekatan Kolam Renang.

Tadi, gua tiba-tiba tergerak nak park di Melati. Senja. Kelas gua tamat. Gua cari-cari kereta gua yang gua double park dan tak tarik brek tangan.

Kereta gua dah ke belakang. Agak jauh dari posisi asal. Gua tenang. Biasalah tu.

Tapi, sampai tepi jalan, gua berhenti nak tumpangkan member gua, dua minah yang juga member gua buat muka terkejut, sambil tengok depan kereta gua.

Gua tenang. Sampai rumah, gua mencarut dihening senja. Dan gua menyesal sebab mencarut dan terus beristighfar minta Tuhan ampunkan gua.

Gua memang menyirap. Nombor plate depan kereta gua ranap. Habis hancur. Bumper belakang kereta gua pula ada kesan calar baru.

Gua sumpah! Kereta gua takkan jejakan tayarnya lagi di tapak parking Melati.

Jumaat, Julai 30, 2010

Hidup Kota

Hidup di kota, walaupun Shah Alam, yang jirannya Kuala Lumpur, buat aku rasa semakin samar. Samar dengan percikan Nur.

Dengan kehidupan dengan aturan dan rutin yang perlu diikut. Dengan kos sara diri yang perlu difikir. Dengan perlu berdepan dengan serangan kapitalis tidak berotak. Dengan karenah minda bebas penuh sekular.

Debu-debu kota semakin hari semakin mencemarkan dan mengotori tubuh aku. Buat aku jadi rimas. Buat minda aku semakin malas untuk berbicara dengan hati aku.

Suasana di sekeliling ibarat air terjun di pergunungan. Memercik dan berarus laju. Menghanyutkan apa saja yang ringan dan tidak berpaut. Daun-daun kering, yang digugurkan oleh pokok, kerana daun-daun itu sudah tidak ada guna, akan terus hanyut dibawa arus. Mungkin ke juram yang dalam. Mungkin juga terpaut di pinggiran.

Datanglah. Datanglah kembali kepadaku. Datanglah.



Khamis, Julai 29, 2010

Mood Perancis

Dengarlah lagu-lagu Perancis yang menawan kalbu ini.







Jumaat, Julai 16, 2010

Filem Mantra (2010) - Seksi atau Seram? (Borhan Juga Yang Untung)

David Teo dengan bahasa Melayu bunyi Cina nya mempromosikan filem ini dengan mengatakan ia bergenre horror, seksi dan aksi.

Seksi dah ada dah. Bogel, separuh bogel, penonjolan buah dada yang disengajakan, berahi. Aksi, ada. Seram, cuba nak seram, tapi ibarat ejakulasi pra-matang. Belum sempat apa, dah hilang macam tu.

Filem ini cuba bermain dengan twist, dengan cita-cita sang pengarah mahu menipu penontonnya. Itu memang cita-cita tipikal untuk filem seram, dan ia mulanya sudah menjadi kemudian beberapa aspek dalam skrip membuatkan ejakulasi pra-matang itu wujud.

Apa yang aku maksudkan ialah bomoh Bob Lokman tu. Celaka. Kalau filem-filem melayu, hujung-hujung cerita, penjahat mesti tumpas dengan polis. Tapi, masa awal cerita dan pertengahan, polis tak wujud. Hah, dalam filem Mantra, Bob Lokman itu ibarat polis yang akan muncul di hujung cerita dan menjadi hero. Damn!

Paling aku benci dalam filem ini ialah, kelemahan pada aspek-aspek kecil macam latar waktu dan pencahayaan, prop yang kadang-kadang nampak sangat baru dibikin, dan juga beberapa latar tempat yang buat lu rasa nak mencarut sebab budak pra-sekolah pun rasa tak logik.

Zul Handy Black pada aku boleh berikan sesuatu dan mengharapkan dia akan berlakon dengan bagus lagi. Hasnul Rahmat, gua memang tabik tiga jari ala-ala pengakap lah pada lakonan dia sejak aku kenal dia dalam KL Menjerit lagi dan aku sangat suka lakonan dia dalam filem Rock Mamat Khalid.

Efek dan mekap 'gore' dalam filem ini sangat bagus bagi aku. Contohnya, babak mayat dibelah oleh Muzir tu. Tapi, kadang-kadang darah pada badan Muzir tu macam air ribena pun ada.

Oh ya, babak Pak Long tarik ikatan mayat dengan gigi tu memang terus copy cat dari filem Indonesia.

Aku rasa, filem ini kalau dibikin dengan rajin, akan jadi lagi bagus.

Khamis, Julai 08, 2010

Travelog; Tanjung Sebelum Shah Alam

Pembukaan semester baru membuat aku merancang untuk pulang ke Shah Alam sambil singgah di beberapa tempat. Rancangan awal aku untuk singgah di Pulau Pinang atau lebih mesra dengan panggilan Tanjung oleh orang-orang lama Kedah, dan juga singgah di Tapah untuk menikmati sendiri mee rebus Tapah yang dengarnya dapat menawan deria rasa.

Feri yang pada jadualnya bertolak dari jeti Kuah ke Kuala Kedah pada pukul 8.30 pagi tidaklah terlalu padat dengan penumpang. Rata-ratanya ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka untuk menyambung pengajian ke universiti dan borak-borak mengenai negeri dan institut yang bakal anak-anak mereka masuki. Perjalanan agak tenang dan ombak pada pagi itu seolah-olah masih lagi nyenyak tidur.

Sekitar jam 10 pagi, aku tiba di Kuala Kedah. Pelabuhan kecil yang di sisinya selain terdampar beberapa feri-feri penumpang ke Langkawi, bot-bot para nelayan juga setia berlabuh di situ. Di jeti, satu figura yang cukup aku kenali berada di hadapan aku. Halim, rakan lama sejak dari sekolah rendah sedang berdiri menunggu seseorang bersama adik perempuannya. Sempat berbual beberapa patah dan bertegur sapa, aku meminta izin untuk mengambil kereta yang sudah dua hari tiba di pelabuhan kargo Kuala Kedah.

Selesai urusan, Pak Lah, teman serumah aku yang akan pulang bersama menghantar SMS bahawa dia masih lagi di Perlis dan sedang menuju ke Alor Star dengan lajunya. Janji kami, aku akan menjemput dia di stesen bas Shahab Perdana. Aku berkeputusan untuk singgah di Nasi Kandar Nasmir di Simpang Kuala. Meja-meja di restoran tersebut hampir penuh dan mujurlah ada sebuah meja kosong di satu sudut berhadapan dengan sinki untuk aku duduk di situ dan menikmati minuman Nesacafe panas dan roti sardin sebagai alas perut. Francais mamak yang terkenal di sekitar negeri-negeri Utara ini dipenuhi dengan pelanggan yang majoritinya berbangsa Tiong Hua. Bangsa Cina sekarang dah mula menyukai kari, getus aku dalam hati.

Pak Lah tiba di Shahab bersama keluarganya dan sekitar jam 11.15 kami terus bertolak ke Pulau Pinang, destinasi persinggahan pertama kami. Lebuhraya agak tenang namun sekatan lalu-lintas berhampiran Tikam Batu oleh polis trafik sedikit menimbulkan keresahan kepada kami kerana ada ketikanya aku memecut melebihi had laju. Alhamdulillah, tiada satu layangan surat saman yang kami peroleh.

Sekitar jam 1.20 petang, kereta putih yang membawa kami meluncur sederhana deras di pekan Butterworth dan terus menuju ke pelabuhan. Dengan bayaran RM7.70, kereta kami akan diusung oleh feri Pulau Pinang yang sememangnya menjadi ikon dan identiti pulau ini. Ini kali kedua kereta putih aku menaiki feri untuk ke Pulau Pinang. Terdapat beberapa pengalaman aku yang tercatat di feri Pulau Pinang ini dan sepanjang 15 minit perjalanan, aku menghayatinya sambil menikmati bayu angin dan berbual bersama Pak Lah.








Aku memberi buah fikir kepada Pak Lah dengan mencadangkan agar singgah di Pasar Chowrasta dan makan di sekitarnya. Sebagai pembantu pemandu, Pak Lah membelek peta Pulau Pinang, yang sememangnya tersimpan dalam kereta aku hasil lawatan lepas, dan juga buku catatan aku yang telah aku catatkan arah untuk ke Chowrasta. Dari pelabuhan, belok kiri dan dalam 200 meter, terdapat simpang di sebelah kanan dan simpang itu menuju ke Lebuh Chulia. Lebuh Chulia mempunyai dua kedai nasi kandar yang menjadi topic bual bicara penggemar makanan iaitu Nasi Kandar Kapitan dan Kassim Mustapha. Tiba di hujung Lebuh Chulia, aku membelok kiri dan masuk ke Jalan Penang. Di sinilah terletaknya Pasar Chowrasta dan kedai nasi kandar yang sangat mahsyur, Nasi Kandar Line Clear. Mencari parkir di Georgetown sememangnya menyeksakan. Namun kami dapat meletakan kenderaan di belakang sebuah pawagam lama.



Pasar Chowrasta atau Chowrasta Market terkenal sebagai pusat penjualan jeruk dan juga tempat penyinggahan penggemar buku kerana di tingkat 1 bangunan ini terdapat deretan toko buku yang menjual buku-buku terpakai. Inilah tujuan utama aku ke Pasar Chowrasta ini, ingin merasai pengalaman berhimpit-himpit dengan buku.



Terdapat banyak kedai yang menjual buku terpakai dan juga buku baru. Kesemuanya dimiliki oleh taukeh India Muslim Pulau Pinang. Ada kedai yang menyusun dengan teratur buku-buku tersebut namun ada juga yang agak semak aturannya. Aku mula menggeledah buku-buku di setiap kedai dan bila taukeh-taukeh kedai menyoal buku apa yang ingin dicari, spontan mulut aku berkata, sastera Melayu. Pak Lah pula agak teruja dengan koleksi buku-buku undang-undang di sebuah kedai. Selepas puas, aku hanya membeli dua buah buku dengan harga RM16 iaitu The Godfather edisi tahun 1970 dan juga koleksi cerpen Sasterawan Negara Shahnon Ahmad, MahaMaha. Buku Shahnon Ahmad itu agak mengujakan aku kerana buku itu terbit selepas novel berani beliau, SHIT.



Pak Lah membeli sebuah buku koleksi artikel Dr Asri, yang baru, dengan harga yang agak bagus juga. Selepas puas bergelumang dengan lautan buku, kami turun dan membeli sedikit jeruk untuk dibawa pulang. Kami bercadang untuk makan nasi kandar. Sememangnya, Nasi Kandar Line Clear hanya untuk mereka yang setia menanti di barisan yang panjang. Disebabkan perut kami mula mendendangkan lagu keroncong, kami tidak sanggup untuk menambahkan lagi meter kepanjangan barisan di Line Clear. Jadi, kami makan di Nasi Kandar Yasmeen di sebelah Nasi Kandar Line Clear. Oh, ayam gorengnya cukup menusuk kalbu!



Selepas perut mula mara ke hadapan, kami bercadang untuk keluar dari Pulau Pinang. Sekali lagi Pak Lah meneliti peta untuk mencari arah ke Jambatan. Perlu diingat, jalan di Georgetown merupakan jalan sehala yang sempit dan boleh mengelirukan mereka yang kurang mesra dengan jalan-jalan di sini.









Jam 4.30 petang kami tiba di Hentian Sungai Perak untuk solat. Sekitar jam 5.15 petang, kami keluar ke susur keluar Simpang Pulai dan berehat seketika sambil menunggu Syeeda yang akan pulang bersama ke Shah Alam. Syeeda tiba bersama keluarganya dan sekitar jam 6 petang, kami meneruskan perjalanan. Rancangan aku untuk singgah di Tapah dan menikmati kelazatan Mee Rebus Tulang tidak tercapai kerana hari mulai gelap dan kami ingin tiba di Shah Alam dengan seberapa pantas yang mungkin. Sekitar jam 9, kami tiba di Shah Alam dan malam itu, mereka yang menyokong Argentina menangis dan meraung kerana kekalahan. Aku, puas!