Jumaat, Julai 30, 2010

Hidup Kota

Hidup di kota, walaupun Shah Alam, yang jirannya Kuala Lumpur, buat aku rasa semakin samar. Samar dengan percikan Nur.

Dengan kehidupan dengan aturan dan rutin yang perlu diikut. Dengan kos sara diri yang perlu difikir. Dengan perlu berdepan dengan serangan kapitalis tidak berotak. Dengan karenah minda bebas penuh sekular.

Debu-debu kota semakin hari semakin mencemarkan dan mengotori tubuh aku. Buat aku jadi rimas. Buat minda aku semakin malas untuk berbicara dengan hati aku.

Suasana di sekeliling ibarat air terjun di pergunungan. Memercik dan berarus laju. Menghanyutkan apa saja yang ringan dan tidak berpaut. Daun-daun kering, yang digugurkan oleh pokok, kerana daun-daun itu sudah tidak ada guna, akan terus hanyut dibawa arus. Mungkin ke juram yang dalam. Mungkin juga terpaut di pinggiran.

Datanglah. Datanglah kembali kepadaku. Datanglah.



Khamis, Julai 29, 2010

Mood Perancis

Dengarlah lagu-lagu Perancis yang menawan kalbu ini.







Jumaat, Julai 16, 2010

Filem Mantra (2010) - Seksi atau Seram? (Borhan Juga Yang Untung)

David Teo dengan bahasa Melayu bunyi Cina nya mempromosikan filem ini dengan mengatakan ia bergenre horror, seksi dan aksi.

Seksi dah ada dah. Bogel, separuh bogel, penonjolan buah dada yang disengajakan, berahi. Aksi, ada. Seram, cuba nak seram, tapi ibarat ejakulasi pra-matang. Belum sempat apa, dah hilang macam tu.

Filem ini cuba bermain dengan twist, dengan cita-cita sang pengarah mahu menipu penontonnya. Itu memang cita-cita tipikal untuk filem seram, dan ia mulanya sudah menjadi kemudian beberapa aspek dalam skrip membuatkan ejakulasi pra-matang itu wujud.

Apa yang aku maksudkan ialah bomoh Bob Lokman tu. Celaka. Kalau filem-filem melayu, hujung-hujung cerita, penjahat mesti tumpas dengan polis. Tapi, masa awal cerita dan pertengahan, polis tak wujud. Hah, dalam filem Mantra, Bob Lokman itu ibarat polis yang akan muncul di hujung cerita dan menjadi hero. Damn!

Paling aku benci dalam filem ini ialah, kelemahan pada aspek-aspek kecil macam latar waktu dan pencahayaan, prop yang kadang-kadang nampak sangat baru dibikin, dan juga beberapa latar tempat yang buat lu rasa nak mencarut sebab budak pra-sekolah pun rasa tak logik.

Zul Handy Black pada aku boleh berikan sesuatu dan mengharapkan dia akan berlakon dengan bagus lagi. Hasnul Rahmat, gua memang tabik tiga jari ala-ala pengakap lah pada lakonan dia sejak aku kenal dia dalam KL Menjerit lagi dan aku sangat suka lakonan dia dalam filem Rock Mamat Khalid.

Efek dan mekap 'gore' dalam filem ini sangat bagus bagi aku. Contohnya, babak mayat dibelah oleh Muzir tu. Tapi, kadang-kadang darah pada badan Muzir tu macam air ribena pun ada.

Oh ya, babak Pak Long tarik ikatan mayat dengan gigi tu memang terus copy cat dari filem Indonesia.

Aku rasa, filem ini kalau dibikin dengan rajin, akan jadi lagi bagus.

Khamis, Julai 08, 2010

Travelog; Tanjung Sebelum Shah Alam

Pembukaan semester baru membuat aku merancang untuk pulang ke Shah Alam sambil singgah di beberapa tempat. Rancangan awal aku untuk singgah di Pulau Pinang atau lebih mesra dengan panggilan Tanjung oleh orang-orang lama Kedah, dan juga singgah di Tapah untuk menikmati sendiri mee rebus Tapah yang dengarnya dapat menawan deria rasa.

Feri yang pada jadualnya bertolak dari jeti Kuah ke Kuala Kedah pada pukul 8.30 pagi tidaklah terlalu padat dengan penumpang. Rata-ratanya ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka untuk menyambung pengajian ke universiti dan borak-borak mengenai negeri dan institut yang bakal anak-anak mereka masuki. Perjalanan agak tenang dan ombak pada pagi itu seolah-olah masih lagi nyenyak tidur.

Sekitar jam 10 pagi, aku tiba di Kuala Kedah. Pelabuhan kecil yang di sisinya selain terdampar beberapa feri-feri penumpang ke Langkawi, bot-bot para nelayan juga setia berlabuh di situ. Di jeti, satu figura yang cukup aku kenali berada di hadapan aku. Halim, rakan lama sejak dari sekolah rendah sedang berdiri menunggu seseorang bersama adik perempuannya. Sempat berbual beberapa patah dan bertegur sapa, aku meminta izin untuk mengambil kereta yang sudah dua hari tiba di pelabuhan kargo Kuala Kedah.

Selesai urusan, Pak Lah, teman serumah aku yang akan pulang bersama menghantar SMS bahawa dia masih lagi di Perlis dan sedang menuju ke Alor Star dengan lajunya. Janji kami, aku akan menjemput dia di stesen bas Shahab Perdana. Aku berkeputusan untuk singgah di Nasi Kandar Nasmir di Simpang Kuala. Meja-meja di restoran tersebut hampir penuh dan mujurlah ada sebuah meja kosong di satu sudut berhadapan dengan sinki untuk aku duduk di situ dan menikmati minuman Nesacafe panas dan roti sardin sebagai alas perut. Francais mamak yang terkenal di sekitar negeri-negeri Utara ini dipenuhi dengan pelanggan yang majoritinya berbangsa Tiong Hua. Bangsa Cina sekarang dah mula menyukai kari, getus aku dalam hati.

Pak Lah tiba di Shahab bersama keluarganya dan sekitar jam 11.15 kami terus bertolak ke Pulau Pinang, destinasi persinggahan pertama kami. Lebuhraya agak tenang namun sekatan lalu-lintas berhampiran Tikam Batu oleh polis trafik sedikit menimbulkan keresahan kepada kami kerana ada ketikanya aku memecut melebihi had laju. Alhamdulillah, tiada satu layangan surat saman yang kami peroleh.

Sekitar jam 1.20 petang, kereta putih yang membawa kami meluncur sederhana deras di pekan Butterworth dan terus menuju ke pelabuhan. Dengan bayaran RM7.70, kereta kami akan diusung oleh feri Pulau Pinang yang sememangnya menjadi ikon dan identiti pulau ini. Ini kali kedua kereta putih aku menaiki feri untuk ke Pulau Pinang. Terdapat beberapa pengalaman aku yang tercatat di feri Pulau Pinang ini dan sepanjang 15 minit perjalanan, aku menghayatinya sambil menikmati bayu angin dan berbual bersama Pak Lah.








Aku memberi buah fikir kepada Pak Lah dengan mencadangkan agar singgah di Pasar Chowrasta dan makan di sekitarnya. Sebagai pembantu pemandu, Pak Lah membelek peta Pulau Pinang, yang sememangnya tersimpan dalam kereta aku hasil lawatan lepas, dan juga buku catatan aku yang telah aku catatkan arah untuk ke Chowrasta. Dari pelabuhan, belok kiri dan dalam 200 meter, terdapat simpang di sebelah kanan dan simpang itu menuju ke Lebuh Chulia. Lebuh Chulia mempunyai dua kedai nasi kandar yang menjadi topic bual bicara penggemar makanan iaitu Nasi Kandar Kapitan dan Kassim Mustapha. Tiba di hujung Lebuh Chulia, aku membelok kiri dan masuk ke Jalan Penang. Di sinilah terletaknya Pasar Chowrasta dan kedai nasi kandar yang sangat mahsyur, Nasi Kandar Line Clear. Mencari parkir di Georgetown sememangnya menyeksakan. Namun kami dapat meletakan kenderaan di belakang sebuah pawagam lama.



Pasar Chowrasta atau Chowrasta Market terkenal sebagai pusat penjualan jeruk dan juga tempat penyinggahan penggemar buku kerana di tingkat 1 bangunan ini terdapat deretan toko buku yang menjual buku-buku terpakai. Inilah tujuan utama aku ke Pasar Chowrasta ini, ingin merasai pengalaman berhimpit-himpit dengan buku.



Terdapat banyak kedai yang menjual buku terpakai dan juga buku baru. Kesemuanya dimiliki oleh taukeh India Muslim Pulau Pinang. Ada kedai yang menyusun dengan teratur buku-buku tersebut namun ada juga yang agak semak aturannya. Aku mula menggeledah buku-buku di setiap kedai dan bila taukeh-taukeh kedai menyoal buku apa yang ingin dicari, spontan mulut aku berkata, sastera Melayu. Pak Lah pula agak teruja dengan koleksi buku-buku undang-undang di sebuah kedai. Selepas puas, aku hanya membeli dua buah buku dengan harga RM16 iaitu The Godfather edisi tahun 1970 dan juga koleksi cerpen Sasterawan Negara Shahnon Ahmad, MahaMaha. Buku Shahnon Ahmad itu agak mengujakan aku kerana buku itu terbit selepas novel berani beliau, SHIT.



Pak Lah membeli sebuah buku koleksi artikel Dr Asri, yang baru, dengan harga yang agak bagus juga. Selepas puas bergelumang dengan lautan buku, kami turun dan membeli sedikit jeruk untuk dibawa pulang. Kami bercadang untuk makan nasi kandar. Sememangnya, Nasi Kandar Line Clear hanya untuk mereka yang setia menanti di barisan yang panjang. Disebabkan perut kami mula mendendangkan lagu keroncong, kami tidak sanggup untuk menambahkan lagi meter kepanjangan barisan di Line Clear. Jadi, kami makan di Nasi Kandar Yasmeen di sebelah Nasi Kandar Line Clear. Oh, ayam gorengnya cukup menusuk kalbu!



Selepas perut mula mara ke hadapan, kami bercadang untuk keluar dari Pulau Pinang. Sekali lagi Pak Lah meneliti peta untuk mencari arah ke Jambatan. Perlu diingat, jalan di Georgetown merupakan jalan sehala yang sempit dan boleh mengelirukan mereka yang kurang mesra dengan jalan-jalan di sini.









Jam 4.30 petang kami tiba di Hentian Sungai Perak untuk solat. Sekitar jam 5.15 petang, kami keluar ke susur keluar Simpang Pulai dan berehat seketika sambil menunggu Syeeda yang akan pulang bersama ke Shah Alam. Syeeda tiba bersama keluarganya dan sekitar jam 6 petang, kami meneruskan perjalanan. Rancangan aku untuk singgah di Tapah dan menikmati kelazatan Mee Rebus Tulang tidak tercapai kerana hari mulai gelap dan kami ingin tiba di Shah Alam dengan seberapa pantas yang mungkin. Sekitar jam 9, kami tiba di Shah Alam dan malam itu, mereka yang menyokong Argentina menangis dan meraung kerana kekalahan. Aku, puas!

Sabtu, Julai 03, 2010

Lalang-Lalang Ditiup Angin


Brazil kalah, dan lalang-lalang pun bertiup.
Kalau tanya, formasi Belanda 
Dia bukannya tahu
Tapi
Lalang-lalang terus memekak
macam dia yang raja
Sedangkan, dia hanya lepak
buang angin dalam bilik

Khamis, Julai 01, 2010

Julai dan Aktivitinya

Beberapa aktiviti yang menjadi sasaran aku untuk bulan 7 ini. Harap ada masa yang senggang dan wang yang mencukupi.


Pementasan semula Teater Kopitiam Ghadir, karya Faisal Tehrani.



Lelong buku di Dawama.



Pameran fotografi Haluan Kiri dari idola aku, Kuku Besi dan ChotTouch.



Muzikal Uda & Dara. Ini mesti tiket mahal ya ampun!

Rabu, Jun 30, 2010

Kereta Terbang



Orang cakap servis di Proton mahal sikit. Sebelum ini memang aku akan servis di Proton. Aku hanya rasa mahal sikit. Macam orang selalu komen.

Tapi. Tadi aku servis bukan di Proton. Dan, bila aku dapat bil. Aku dah tak percaya pada Proton. Mak aih. Bukan mahal sikit. Mahal 90 kali ganda! Damn!

Selasa, Jun 29, 2010

Terasa Rajin Membuka Blog Baru

Ini blog baru aku. Pasal buku yang aku tulis di blog ini. Harap-harap aku rajin dan sentiasa mencuci sawang di blog itu.


Isnin, Jun 28, 2010

PKMB

Aku tengok, ayah sibuk mengisi borang-borang. Sambil tengok Piala Dunia. Sambil bercerita sejarah biasa. Dulu, Jepun dengan Korea pun mati kalau jumpa Malaysia.

Ayah masih lagi mengisi borang-borang.

"Nanti bagi kad pengenalan. Nak fotostat"

"Nak buat apa?" aku.

"Nak isi keahlian Persatuan Kebangsaan Melayu Bersatu"

"Oh."

Titik.


Gua kena cium keris 7 inci la lepas ni. Oh dan oh.

Jumaat, Jun 25, 2010

Dia Cerewet, Tapi Penuh Magis

Aku kagum dengan bakatnya dan daya ingatannya. Dia cerewet dan teliti. Dia kenal karyanya sendiri. Dan karyanya yang mencorakkan muzik dunia. Soal imannya, biar Allah yang tentukan.


Isnin, Jun 21, 2010

Bangunan Usang Tengah Kota (Dirgahayu Penjara Pudu)

Seingat aku. Tahun lepas. Mungkin dua tahun lepas. Aku berada dalam koc monorel. Dari stesen Hang Tuah.

Aku selesa menggunakan perkhidmatan tren kalau bergelandangan di Kuala Lumpur. Hari ini pun, kalau aku ingin ke Kuala Lumpur, keseorangan, aku akan parkirkan kereta di Stesen KTM Padang Jawa dan menaiki komuter ke Kuala Lumpur.

Dalam koc-koc tren, aku dapat saksikan ragam. Dan, kalau ada bahan bacaan yang dibawa, aku akan isi dengan bahan bacaan. Dulu, sewaktu aku masih ada pemain muzik digital, telinga akan disumbat dan berdentumlah lagu-lagu yang kalau nada pada pemain ditinggikan pada tahap maksima mampu merosakan telinga.

Ah. Aku sebenarnya mahu bercerita mengenai bangunan usang di tengah kota. Pengguna monorel dari Stesen Hang Tuah ke Stesen Imbi kenal benar dengan bangunan usang itu.

Itulah Penjara Pudu. Setiap kali aku melintasi bangunan sepi ini, aku dapat merasai kesayuannya. Kesepian bekas-bekas penghuninya. Dan selepas semua bekas penghuninya dipindahkan, bangunan usang ini bersendirian di kelilingi bangunan-bangunan pencangkar yang lebih moden dan gah parasnya. Bangunan usang ini, sepi sendirian.

Aku mempunyai cita-cita untuk mendokumentasikan bangunan ini. Aku pernah terfikir untuk merakam sebuah dokumentari. Sewaktu memiliki kamera DSLR, aku mencemburui mereka yang pernah masuk ke bangunan ini dan merekod segala tinggalan. Aku, hanya mampu melintasi bangunan usang ini dan menghidu bau sepinya.



Seingat aku. Tahun lepas. Mungkin dua tahun lepas. Aku berada dalam koc monorel. Dari stesen Hang Tuah. Satu keluarga masuk ke koc monorel. Mungkin pertama kali menaiki perkhidmatan tren ini. Mujurlah tren pada hari itu tidak sibuk dan padat. Mereka duduk di sebelah aku. Sang ayah sedang mendukung anak kecilnya. Dua orang anak lelakinya berada di antara dia dan isterinya dan girang kerana pertama kali merasai pengalaman menaiki monorel yang sejuk dengan penghawa dingin ini.

"Abah! Abah! Ni bangunan apa ni?"  Soal anak kecil itu penuh minat. Jari telunjuknya yang halus menekan-nekan kaca tingkap monorel.

"Oh. Inilah Penjara Pudu. Ini bangunan sejarah ini Along," Si bapa menjawab sambil membetul dokongan anak kecilnya.

Ibunya hanya memerhat dan tersenyum.

"Abah, penjara tu tempat orang jahatkan?"

"Pandai pun. Polis tangkap orang jahat. Orang jahat kenalah duduk dalam penjara. Along jangan buat jahat tau," nasihat si ayah.

Perbualan mereka terhenti dan mata anak lelaki sulungnya terus memandang bangunan usang itu dengan penuh takjub. 

Hari ini, tembok bangunan usang itu rebah. Debu-debu kesepian yang pernah tercatat di dinding-dindingnya terbang bersama debu-debu kota raya yang penuh dengan sisa-sisa dosa. Apa lagi yang aku hendak tunjukkan pada anak-anak aku pada hari depan? 




Ahad, Jun 20, 2010

Menyambut Harimu Ayah

Ayah,
Mahkota kasih Ibu,
Raja istanaku
Memerintah istana kasih ini
Menjadi nadi
buat jantung perjuanganku
terus berdenyut

Ayah
Khilafku ialah kesabaranmu
Jasamu terpahat
di segenap dinding hatiku
Semangatmu menebal
meliputi sanubariku
Dengan lelehan keringatmu,
aku terus berdiri
Berumbikan akhlak
untuk meneruskan jati budaya

Hari ini
Panji semangat
berkibar megah
Menyambut harimu.


20/06/10
Kotak Kecil ini.

Khamis, Jun 17, 2010

Piala Dunia di Kedai Mat Jad

Pulun sungguh Dek Noq. Walaupun hujan. Tetap redah. Ke kedai Mat Jad di hujung kampung. Tempat kutu-kutu dan orang-orang tua kampung melepak tengok bola dunia.

Lan Dahari dah SMS Dek Noq suruh cepat.

Dek Noq balas, hujan, nanti aku sampai. Cepat-cepat Dek Noq hidupkan enjin motor Honda Petak 70 tinggalan arwah tokwan nya. Bunyinya kong kang kong kang memecah gema alam. Kadang-kadang dengar macam nak pecah enjin.

Dek Noq pecut. Bunyi motornya mengalahkan enjin kereta formula satu. Tapi, kucing jantan bergaduh dan berkejaran lari lagi laju dari motor Dek Noq.

Hujan pun hujanlah. Dia dah bet dengan Lan Dahari. Malam ni Sepanyol mesti menang. Setakat Switzerland tu, kerja perah tetek lembu sahaja. Bukan pandai main bola.

Dek Noq dah bet dengan Lan Dahari. Sepanyol menang 2-0. Switzerland kena titik dua biji. Dek Noq berani Bet. Sepanyol main cantik. Sepanyol ada pemain-pemain Barcelona yang suka main cantik. Pass sana. Pass sini. Gentel bola sana. Gentel bola sini. Cantik!

Sampai-sampai saja kedai Mat Jad, Pak Man Paku, Lan Dahari, Nan Gebok, Lid Badek bersorak.

Hati Dek Noq tak sedap. Sah gol ni!

Hati Dek Noq berkecai. Terus diterajangnya Honda 70 sampai rebah ke bumi. Ah! Sepanyol kalah! Jahanam  lembu aku!

Lan Dahari tersenyum puas. Sokong negara yang perah tetek lembu, hasilnya, dapat lembu haram seekor.


Sabtu, Jun 12, 2010

Fenomena Seni

Bukan. Aku bukan minat pun dengan rancangan ini. Tapi, kadang-kadang tertengok tanpa sengaja bila bohsan mula mendirikan monumen-monumen  tdalam sarang hati.

Setiap kali aku tengok, aku rasa rancangan ini mandul. Bincang satu isu, tapi tak berkembang. Satu pihak. Dan, Rosyam Nor bukanlah orang yang bagus dalam mengembangkan isu itu, tapi dia lebih memanipulasikan keadaaan dan banyak provokasi.

Ah. Tapi, aku baru usai menonton Fenomena Seni yang membincangkan hal-hal Rock Kapak. Aku terpana, bila sewaktu montaj untuk tayangkan VT, muzik latarnya ialah sebuah Brutal Death Metal. Horns Up RTM! \m/..

Ha Ha Ha. Dulu, depa lah yang nak jadi hero hentam Metal-Metal ni. Sekarang, lagu Metal juga yang depa pakai.

Rabu, Jun 09, 2010

Piala Dunia ; Memori aku

Aku tak pernah tonton versi 94. Tapi aku tahu, final tahun itu antara Brazil dan Itali. Aku dah kenal Romario, Ronaldo dan Bebeto serta aku tahu sepakan Roberto Baggio (penyerang prolifik dan terbaik Itali pernah hasilkan) yang memusnahkan impian Itali tahun itu.





Piala Dunia 1998, merupakan kejohanan pertama Piala Dunia yang aku tonton kebanyakan perlawanannya. Mula dengan perlawanan pembukaan, Brazil menentang Scotland merupakan perlawanan pertama Piala Dunia yang hadir dalam hidup aku. Semenjak Brazil menjulang piala agung bola sepak ini pada edisi sebelum, memang aku menjadi penyokong Brazil. Dengan nama-nama bintang seperti Bebeto, Ronaldo, Roberto Carlos, Dunga, Rivaldo dan Cafu. Oh. Aku sangat beremosi bila Brazil tumpas. 3-0. Final yang cukup menyentap rasa. Dan, Piala Dunia tahun inilah yang memperkenalkan aku kepada David Seaman (Penjaga Gol England), Dennis Berghkamp ( Hero Belanda) serta Emmanuel Petit (Skor sewaktu final antara Perancis dan Brazil) dan juga Davor Suker (Hero Croatia yang terus menjadi sanjungan. Apa kaitan dengan hidup aku? Ha Ha. Sudah tentulah mereka memukau aku dan aku mengetahui yang mereka ialah pemain dari sebuah kelab yang bernama Arsenal (walaupun masa ni aku masih boleh bergelar penyokong lalang Manchester United). Ha Ha. Cuma, EPL masih belum menjadi hangat seperti sekarang. Perlawanan fantastik yang aku masih ingat hingga hari ini ialah separuh akhir antara Brazil dan Belanda. Epik!





Piala Dunia 2002 hadir tika aku terperangkap dalam alam asrama penuh. Agak kegusaran bila rutin harian seorang pelajar asrama penuh terperangkap dengan jadual Piala Dunia. Inilah edisi yang aku dapat tonton dan bersorak bersama rakan-rakan yang lain. Aku masih lagi penyokong Brazil, di samping pasukan kedua aku ialah Itali. Kejohanan kali ini menggembirakan aku kerana dapat melihat Zinedine Zidane pulang ke kampung halaman lebih awal. Puas hati aku. Ha Ha. Tapi bukanlah bermaksud aku membenci figura lagenda ini. Cuma, skuad Perancis 2002 datang ke Piala Dunia dengan penuh ego. Keajabain Piala Dunia 2002 ialah, dapat melembutkan hati Tuan Pengetua untuk beri kebenaran pelajar menonton perlawanan akhir antara Brazil dan Jerman. Ini mungkin kerana Tuan Pengetua menerima tekanan hebat dari para pelajar yang sanggup poteng Prep Malam untuk menontonnya. Ha Ha. Momen fantastik bagi kejohanan ini ialah sewaktu Brazil menentang England. Perlawanan suku akhir ni pada hujung minggu. Dewan makan penuh dengan penyokong-penyokong dua pasukan terkenal ini.

Yang paling epik, tak payah pergi stadium, senior-senior (masa ni aku form 2, masih junior) bagaikan berada di Jepun menyaksikan perlawanan ini. Mereka mengecat muka dan badan dengan warna pasukan pilihan. Paling penting, Rammesh Pilley A/L Rajagopal memang menggeletek semua orang dengan memakai baju Brazil dan di luar ialah baju England. Bila Brazil gol, terus baju England ditanggalkan. Ha Ha. Saat-saat epik sudah tentu sewaktu bintang baru Brazil, Ronaldinho menjaringkan gol sepakan percuma yang membuatkan David Seaman (dengan rambut Pony Tail) tercengang di pintu gol. Piala Dunia yang menceriakan aku dengan kemenangan Brazil, di samping dapat menontonnya dengan penuh rasa thrill!


Piala Dunia 2006, aku memang nantikan dengan penuh sabar dan debar. Sebabnya, aku sudah habis persekolahan dan aku berada di kolej matrikulasi. Yang sedikit bebas peraturannya. Pada edisi ini, aku sudah mempunyai beberapa pasukan pilihan kerana Astro telah memberikan Malaysia menjadi tak tentu hala dengan EPL dan Manchester United serta Chelsea (tahun-tahun di mana tiba-tiba ramai yang mengaku peminat Chelsea, ha ha). Brazil, Itali, Sepanyol, Argentina dan Perancis, menjadi pasukan utama yang aku berikan perhatian. Dan, lagi sekali, Perancis telah mengecewakan aku dengan jaringan Thiery Henry of Arsenal, yang aku masih ingat sampai sekarang bagaimana Zidane sebagai arkiteknya menghantar bola kepada Henry untuk dia tap masuk ke  gawang gol Brazil. Perlawanan lain yang aku ingat ialah antara Argentina dan Jerman. Perlawanan yang buat aku banyak mencarut dek ke'hampeh'an pengadilnya. Tapi, aku melonjak gembira bila Jerman dengan mudah tewas kepada Itali. Perlawanan akhir, berlangsung sewaktu hujung cuti matrikulasi dan Itali cukup memukau di bahagian pertahanan dan tengah. 




Untuk tahun ini, aku juga mempunyai beberapa pasukan yang aku tonton dengan penuh tekun dan jayanya.

Brazil





Seperti edisi-edisi sebelumnya, Brazil tetap menjadi pasukan dambaan hati. Dengan kemenangan di Piala Konfederasi tahun lepas, semakin kukuh untuk aku pilih Brazil sebagai finalis tahun ini.Walaupun agak ralat tanpa Ronaldinho, yang bakal meng'samba'kan permainan Brazil, yang bagi aku skuad bimbingan Dunga pada tahun ini agak kurang ke'samba'annya. Brazil pada tahun ini bagi sedikit teknikal tapi masih lagi menghimburkan. Kelebihan Brazil ialah, Centre Back macam Lucio pun boleh naik atas dan gelecek pemain lain. Fuh! Semoga Ricky Kaka' mendapat kembali magisnya!

Itali


Aku merupakan salah seorang yang menggemari seni bola sepak Itali di Serie A yang rata-rata peminat tegar EPL (baca : kononnya) mencemuh dengan rentak permainan bola sepak Itali. Aku setuju dengan Keladisepi Kirin, bahawa permainan di Serie A, komplikated, seni bertahan yang baik, dan mencabar akal dengan taktikal dan hantaran-hantaran bola yang kadang-kadang kau rasa, wow! ha ha. Ramai pengkritik meramalkan skuad Azzuri akan gagal untuk edisi kali ini. Tapi, aku masih merasakan Itali mampu untuk bersaing walaupun aku kecewa dengan pemilihan pemain dari Lippi. Menggugurkan Rossi dan Boriello dan memilih Iaquinta, memang sesuatu tindakan yang mengecewakan aku. 

Itali, kurang pemain kreatif yang dapat mencipta peluang. Terlalu mengarapkan Pirlo, dan sekarang Pirlo pula cedera. De Rossi, mungkin boleh menghantar bola dengan tepat, tapi belum mampu memikul tugas Andrea Pirlo. Itali memerlukan seorang yang mampu memberi kelajuan seperti Rossi dan Cassano yang ditinggalkan. Dan, Itali juga mensia-siakan bakat-bakat muda mereka. Banyak lagi pemain muda di Serie A yang boleh menyerlah. Untuk edisi kali ini, aku berharap Buffon kembali tempisan-tempisan ajaibnya, dan Pazzini di bahagian serangan mampu menjadi cukup tajam!

Belanda


Skuad De Oranje untuk edisi kali ini aku rasa cukup sempurna sifatnya! Mempuyai ramai pemain kreatif yang aku rasa Belanda mungkin akan masuk ke perlawanan akhir. Sungguh! Dengan Robin Van Persie semakin dahaga untuk menjaringkan gol dan dibantu dengan barisan pemain kreatif seperti Sneijder, Van Der Vaart, Ibrahim Afellay, Dirk Kuyt dan Robben (yang masih cedera), Belanda mempunyai jalan yang cerah untuk Piala Dunia edisi kali ini!

Sepanyol


Sepanyol datang dengan pakej bintang, yang juga lengkap serba-serbi. Dengan hantaran-hantaran pendek yang pantas, dan selaku juara Eropah 2008, Sepanyol bagi aku datang dengan sedikit rasa ego. Entah, aku rasa begitu. Kelemahan pasukan Sepanyol ialah, kalau lawan pasukan macam Itali, susah sikit nak jaringkan gol. Aku cukup teruja melihat barisan penjaga gol Sepanyol. Cassilas, Reina dan Valdes, ketiga-tiganya penjaga gawang yang hebat!

Perancis




Perancis akan bermain dengan tempo yang lambat, tapi penuh skill. Itu memang gaya permainan pasukan Perancis. Tapi, untuk tahun ini, masih memperagakan permainan yang sama, tapi kekurangan seseorang yang boleh mencipta magis. Dahulu, mereka mempunyai lagenda yang berskill, dan dapat menggerakan pasukan, iaitu Zidane. Tapi, untuk skuad kali ini, Gourcuff mungkin terpaksa pikul namun aku rasa moral pasukan ini agak lemah dengan konflik Hand Of Frog dari Thiery Henry dan pemilihan pemain yang pelik dari pakcik Dominich! Ketiadaan Samir Nasri, dan memasukan Abou Diaby, menghilangkan seri pasukan Perancis.

Isnin, Jun 07, 2010

Bulan Jun

Kalau baca buku Doraemon, aku tak ingat kisah yang mana, Nobita akan merungut yang bulan Jun di tempatnya ialah bulan tanpa cuti.

Aku, di sini merungut kerana bulan Jun 2010, banyak pula aktiviti yang berlangsung di sebelah Lembah Klang. Damn!!!! Antara yang aku terlepas tahun lepas, dan aku tunggu tahun ni, dan juga tak dapat merasai kehangatannya ialah KL Alternative Bookfest 2010.


Sedang menunggu dengan sabar posmen menghantar kepada aku buku Jayzuan, 28 Hari : Jurnal Rock n Roll yang bakal dilancarkan hari itu bersama-sama dengan buku Amir Muhammad, Rojak dan Pak Cik Sosialis otak bergeliga, Hishamuddin Rais,  Tapai.

Lelaki Tuxedo

Dia tiba di restoren Jepun itu dengan sebuah kereta klasik berwarna kuning. Dia memakai tuxedo berwarna perak yang bersilau. Tampak segak dan mampu bikin perawan basah celah sana sini atau jejaka songsang kembang kempis anus.

Dengan penuh yakin, dia melangkah masuk. Matanya meliar sini sana. Matanya dengan pantas melirik ke sudut 356 darjah ke kanannya dan satu wajah membujur, milik perawan bermata sepet terus terpotret dengan jelas. Sopan dengan kimono dan muka perawan itu putih melepak dengan tempelan bedak yang cukup kemas.

Dia merapati meja dan duduk berhadapan dengan gadis berkimono tadi. Dipesannya menu. Sate kucing parsi celup sos istimewa Itali. Sup ekor Barney, dinosaur celaka berwarna ungu serta jus anggur yang diperam atau bahasa kasarnya air kencing Setan bertanduk.

Tanpa banyak soal, dia merenung sedalamnya ke iris perawan berkimono tadi. Rasa-rasa romantis yang mungkin berakhir ke kamar tidur mula melayang-layang di udara dan mengelilingi mereka berdua. Asyik dia merenung bersama bisikan iblis di telinga dan memaparkan slide-slide video Miyabi ke mindanya.

Tak semena-semena, perawan tadi tersenyum. Dan kemudian tersengih. Dan kemudian ketawa. Da kemudian  dia mengilai dengan semahunya. Berlaku transformasi yang mengejutkan. Wajah perawan tadi tiba mengelupas. Sedikit demi sedikit kulitnya pecah. Seperti pasu yang terhempas dan berderai, kepala perawan itu meletup dan darah memercik dengan lajunya. Perawan tadi telah bertukar menjadi manusia betina berkepala serigala.

Sang lelaki bertuxedo perak sangat cemas dan lemah lutut. Terkebil-kebil dan menggeletar seluruh otak. Telinga lelaki itu menangkap satu muzik yang cukup catchy. Oh, ini lagu tema Ghostbuster! Jerit lelaki bertuxedo itu girang kerana pasukan melawan hantu itu akan menyelamatkannya walaupun sebenarnya dia sudah 2 kali terkucil.

Namun, yang muncul ialah segerombolan tentera kecil. Mereka ialah tentera biskut Gingerbread Man yang sangat comel dan kiut. Dengan spontan, lelaki itu menepuk dahinya. Mampukah Gingerbread Man melawan dengan gadis berkepala serigala itu?!

Dengan mudah, gadis berkepala serigala itu mengunyah ke semua tentera biskut Gingerbread Man itu. Lagaknya tak tumpah seperti Cookies Monster dalam Sesame Street melahap biskut-biskut kegemarannya. Dengan air liur yang kekuningan pekat dan meleleh hingga ke payudara, gadis berkepala serigala itu memandang lelaki bertuxedo perak.

Seluar lelaki bertuxedo perak itu sudah basah lencun! Melekit-lekit dan pekat dan ada bau-bau Clorox. Hah? Apakah tandanya?

Lelaki bertuxedo itu tiba-tiba tersenyum. Dia tahu, ini hanyalah wet dream yang aneh dan dia tidak perlu risau. Dia kemudian berdiri dan mendepakan tangannya.

"Sayang, marilah kita berkopulasi!" Jerit lelaki bertuxedo itu dan terus menanggalkan pakaiannya.

Gadis berkepala serigala mengilai dengan hebat. Berlari dengan lajunya. Dan menerkam lelaki tuxedo itu ibarat janda kegersangan. Dengan rakus, dia mengigit kepala lelaki bertuxedo sehingga berkecai otaknya, dirobeknya jantung lelaki bertuxedo dan darah memancut ibarat water fountain di hadapan KLCC. Lelaki itu mati sebelum sempat bersyahadah.

Ahad, Jun 06, 2010

Plastik Sampah

Menurut Keladisepi Kirin, mamat ni mukanya macam plastik sampah. Ha Ha. Ini bukan aku yang kata. Dia yang kata.

Selalu juga aku terserempak dengan dia ni di tempat-tempat buang masa dan 'ringan-ringan' budak-budak yang kononnya urban.

Dan, setiap kali aku nampak dia, semakin ternyata keplastikan tong sampahnya. Lagu? Entah macam mana orang boleh minat aku pun tak faham daaa..!


Khamis, Jun 03, 2010

Mengutuk Si Bahlul

Sana sini orang maki. Kiri kanan orang kutuk. Kutuk dan maki si bahlul. Yang kaki solat pun kutuk. Yang hari-hari hisap rokok Surya pun maki. Yang malam tadi minum ThaiSong berbotol-botol pun maki hamun pada si bahlul.

Dah nama pun bahlul, tak guna nak maki hamun. Bagus, nak piket sana sini. Tunjuk kita ni prihatin. Tapi, kadang-kadang, berpiket untuk si bahlul ni cukup sia-sia. Cukup sia-sia bila jati diri kita sendiri entah hilang ke mana. Bangsa kita, bahasa kita, agama kita, jauh dari kita.

Atas dasar seagama, atas dasar kemanusiaan, mereka mengutuk dan memaki si bahlul. Bahlul tetap bahlul. Dalam kita kutuk bahlul-bahlul tu, sedar tak kita sedang membahlulkan bangsa kita, bahasa kita, agama kita.

Kita buang jati diri dari generasi kita. Kita buang bahasa kita dari generasi. Bila bahasa tidak dipeduli, hilanglah lambang bangsa. Bercakap tak tentu hala. Sana sini foya.

Kita sepatutnya macam air. Tapi, kita sekarang macam lumpur. Masih ada elemen air, tapi bercampur dengan tanah. Maka, jadilah lumpur yang kalau tercalit mana-mana tempat akan mengotorinya. Lumpur yang terpalit dan mengotori sesuatu bahagian itu akan kering, dan lama-kelamaan terus melekat serta memberi tompokan warna yang mungkin akan kekal selamanya.

Untuk si bahlul-bahlul tu, mereka memang bangsa yang sudah sebati dengan lumpur dan kotoran. Yang tak akan hilang ke hujung masa dan nyawa. Mereka bangsa yang kotor dan terlaknat dan tecatat pada kalam. Kita tahu semua tu. Kau tahu semua tu. Aku tahu semua tu. Bahlul-bahlul yang sebati dengan kotoran ini sememangnya sudah lali dengan kutukan dan makian. Kau simbahlah segala cacian, cacian-cacian tu hanya terus melekat pada kotoran yang sememangnya melekat pada mereka dan langsung tidak memberikan apa-apa kesan.

Pokoknya, untuk buktikan rasa cinta, taat, setia pada yang Maha, pada ajaranNYA, betulkan diri kita, betulkan bangsa kita, betulkan saudara-saudara kita, betulkan bahasa kita, betulkan sahsiah kita, betulkan segala-galanya. Barulah, seluruh pelosok sedar akan kebenaran.

Rabu, Jun 02, 2010

Cemburu

Hasan tak senang duduk. Bergolek kiri kanan atas sofa baldu. Resah gelisah dan mungkin gundah gulana.

Hasan berbaring berbantalkan lengan. Matanya memandang kipas yang berpusing sederhana.

Perasaan dia. Hati dia. Macam meronta. Bukan! Bukan sebab dia jatuh cinta pandang pertama dengan Yeo Yann Yann. Amoi tu memang cantik, tapi tu bukan alasan untuk dia rasa sebegini.

Flotila Keamanan ke Gaza diserang.

Hah! Tu mungkin sebab dia rasa begitu! Dia rasa tak senang!

Hasan cemburu. Cemburu dengan mereka. Yang diserang. Yang syahid.

Hasan, bergegas ke bilik air. Wuduk meratai segenap bahagian kulit yang wajib. Sejadah dibentang. Dahi bertemu lantai.

Dicapainya kain hijau. Dililit dan diikat kemas di dahi.

"Aku ingin ke sana".