Sabtu, September 20, 2008

Hanya Sayu, Sepi dan Rindu



Bergunung kerinduan memuncak di sebalik seribu kedut wajah mereka. Lurah sepi semakin mendalam dalam lubuk hati mereka. Mereka sebenarnya sepi dalam keriangan. Mereka inginkan sentuhan dan belaian dari darah daging mereka sendiri.

Mereka ibarat pungguk rindukan bulan. Saban hari menanti sang bulan jatuh ke riba. Saban hari mereka menanti kehadiran anak-anak, cucu-cucu dan saudara mereka. Namun, yang hadir hanyalah orang-orang asing yang punya rasa simpati dan belas yang tinggi datang menghiburkan mereka.


Tersenyum Pak Abbas dengan kehadiran anak-anak muda ini. Rasa rindu pada cucu-cucunya yang tinggal hanya berpuluh kilometer dari Rumah Seri Kenangan Cheng terubat. Walaupun setiap hari anaknya lalu lalang dihadapan RSK Cheng, tapi sudah masuk 18 hari berpuasa sepotong kuih juadah berbuka pun belum diterima dari anaknya itu.


Lain pula dengan Pak Chu. Gembira dengan anak-anak angkat baru pada hari itu. Sempat bernyanyi dan berkaraoke bersama-sama anak-anak angkatnya. Pak Chu yang berasal dari negeri Perak hanya berharap Tuhan membuka hati anak-anak dia untuk datang menjemputnya pulang untuk berhari raya. Walaupun Encik Imran pada taklimatnya memaklumkan bahawa permohonan cuti untuk warga RSK telah dibuka dan dimaklumkan kepada semua waris, akan tetapi pihak pengurusan warga RSK masih belum menerima sebarang maklum balas.


Hati aku sayu melihat seorang makcik yang baru dua bulan masuk ke RSK Cheng ini. Sedang aku berkemas di sudut siaraya, datang dia membelek-belek ke bawah meja PA SYSTEM.

-Anak, ada nampak baju-baju makcik tak? Makcik letak bawah meja ni.

Terkejut aku. Setahuku, tiada pula bungkusan selain peralatan yang kami bawa dari kampus yang diletakkan di bawah meja tersebut.

-Cak, Mak cik cakap baju dia hilang la.
-Jetli, mana ada baju kat bawah ni. barang-barang kita saje.

-Mana baju-baju aku? Macam mana aku nak pakai baju nanti kalau dah hilang? Kenalah aku tunggu anak-anak aku datang bawa baju. Dari hari tu lagi aku tunggu diorang. Tak datang-datang bawak baju baru untu aku.

Sebak aku melihat makcik yang berasal dari Sungai Buloh ini. Menurut Encik Imran, makcik tersebut mempunyai masalah ingatan. Nasib baik Syeeda sanggup melayan. Dan aku bertambah sebak bila makcik itu cuba mengambil botol air mineral di dalam tong sampah.

-Makcik, ni kotor ni. Nanti saya beli botol yang baru kat makcik yer..
yang ni kotor. Tak leh nak minum.

Syeeda dengan nada yang sebak cuba melayan kerenah dia.

Hari tu, ramai yang menitiskan air mata. Sebak melihat nasib mereka. Bukanlah nasib mereka tidak baik. Makan minum, kebajikan dan kesihatan mereka cukup terjaga. Tetapi, mereka mempunyai sakit rindu dan sepi yang cukup kronik. Mereka perlukan sentuhan-sentuhan yang dapat mengembirakan hati mereka.


Selepas aku mambantu beberapa rakan yang sedang basuh pinggan yang turut disertai pensyarah muda yang baik dengan kami, aku dan beberapa rakan yang sebentar tadi beramah mesra dengan warga RSK di satu anjung berjalan di sekitar asrama. Tarawikh di surau masih belum tamat. Namun, malam itu aku tidak dapat ikut serta dek bermacam hal yang belum diselesaikan di bahagian dapur.

Zai, seorang minah rayau yang ditempatkan di RSK Cheng ini mengajak kami melawat sekitar asrama RSK Cheng yang agak luas ini. Zai sebenarnya seorang perempuan yang berumur dalam lingkungan 40-an dan juga mempunyai masalah ingatan. Namun, masih lagi ada tanda-tanda waras. Dibawanya dia ke wad pesakit mental, yang berpagar tinggi dan katanya ada kawan dia yang tinggal dalam kurungan itu dan suka menjerit-jerit.

Yang ingin aku ceritakan ialah Zai membawa kami ke wad sakit. Di sini, warga RSK yang mempunyai penyakit ditempatkan. Ketika aku melangkah, aku disapa oleh pakcik yang berkerusi roda. Dia hanya mempunyai satu tangan. Sedang aku, Taki dan Nini melayan pakcik itu, seorang lagi pakcik yang bangun dari katil memanggil Taqi dan aku bila terdengar kami berasal dari Jelapang Padi. Sedang aku memperkenalkan diri, seorang lagi pakcik yang sebentar tadi sedang berbaring memanggil-manggil aku.



Dia juga tertarik bila mengetahui aku berasal dari negeri Jelapang Padi. Dan pakcik ini sebenarnya menghidap strok. Perbualan kami banyak kepada pengalaman-pengalaman beliau dan ketidakpuasan hatinya terhadap doktor dan katanya doktor tak bagi ubat yang betul. Sebab itulah stroknya tak pernah sembuh. Namun, hati agak sebak tatkala kawan-kawan yang lain memanggil aku untuk aktiviti bermain api.

Pakcik strok memandang sayu dan berharap aku tidak pergi. Pakcik bertangan satu bertanya bila boleh datang lagi dan berkata dia, usahlah berjanji nak, kalau berjanji, hanya menjadi harapan yang besar buat kami di sini. Kemudian pakcik strok berkata harapan yang jadi harapan. Tersentap kalbu aku. Sedang bersalaman dengan pakcik bertangan satu, pakcik strok masih memanggil-manggil aku dan berharap aku tidak pergi. Namun, aktiviti lain perlu diteruskan dan aku terpaksa tinggalkan mereka dengan langkah yang cukup berat.



Aktiviti terakhir ialah bermain bunga api bersama-sama. Walaupun tak ramai warga RSK yang turut serta kerana kebanyakan mereka terus tidur selepas solat Isyak, tetapi cukuplah untuk menggembirakan Pak Ali dan Pak Abbas yang masih setia bersama. Sebelum pulang, sempat aku tayangkan tayangan slaid gambar-gambar mereka yang pernah ditangkap oleh Liza dan Kak Pai yang merupakan wajah-wajah yang tidak asing pada warga RSK Cheng.



Mereka, perlukan sentuhan kasih sayang dari darah daging mereka. Mereka rindukan anak-anak mereka. Mereka dahagakan peluk cium waris-waris mereka..


P/S : Gambar-gambar diceduk dari laman Myspace kawan-kawan. Gambar rasmi belum aku terima dan kamera aku tak digunakan pada hari itu memandangkan 90% kamera yang dibawa pada hari itu ialah kamera DSLR dan juga ada wakil dari fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (fotografi) yang kamera dia canggih gila dan menjadi tukang gambar rasmi hari itu. Haha. Tahniah untuk warga kelas aku, DMC 4E yang berjaya menjayakan aktiviti ini. Semester depan kena ambil subjek Event Management, kita buat lagi mantap arr!!

Selasa, September 16, 2008

Berkasih Sayang


Mari berikan mereka kasih sayang!

Majlis Kasih Sayang Ramadhan DMC 4E

Tempat : Rumah Seri Kenangan, Cheng, Melaka.
Tarikh : 18 September 2008, Khamis
Masa : 4.00 petang - 10.00 malam

Antara aktiviti yang bakal diadakan ialah persembahan khas dari warga DMC 4E ( aku jadi tukang ambil gambar saja, sebab dah aku ajk publisiti.Haha), acara beramah mesra dengan warga Rumah Seri Kenangan, majlis berbuka puasa dengan hidangan Nasi Ayam Nadia, nasi ayam paling laris di daerah Alor Gajah dan solat berjemaah.

Pensyarah-pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Melaka yang berkelepangan juga turut serta dalam acara ini.

Kami amat mengalu-alukan sumbangan ikhlas anda untuk disalurkan ke tabung kebajikan RSK, Cheng.

Ramadhan dihayati, amal disusuri.

Khamis, September 04, 2008

Siri Kenangan Di SMSTSP : Puasa dan Daging Merah

Bulan puasa di SMSTSP muncul pada tahun-tahun akhir aku di sana. Bulan puasa di SMSTSP banyak catatannya. Form 4, Form 5. Banyak catatannya.

Hari tu, macam selalu. Ahli pertubuhan remaja-remaja riang yang masih beradab, Bundle Generation (BG) keluar membeli juadah berbuka.

Biasanya, suasana petang di hadapan sekolah meriah dengan deretan gerai-gerai makanan.
Berduyun-duyun. Bergombolan. Berpasangan.

Warga SMSTSP, ILP dan Maktab Perguruan membeli juadah.

Tapi, hari tu Muhammad Adli Farris bin Rabaa’I dan Rammesh Pilley a/l Rajagopal (yang juga puasa tapi tak niat dan tak sah, haha) terasa ingin menukar selera.

“Wey, beli kat Embun Dingin aaahh”. Adli.

Embun Dingin ialah restoran yang khabarnya pernah masuk dalam rancangan Tivi Tiga.

“Tu aah.. Tak menarik aarr kat tempat lain” Rammesh.

Badrul Iman Abidin juga ingin masuk campur dengan mengangguk. Tak salah aku, Muzaqqhir juga terlibat ketika scenario ini berlangsung.

Aku, hanya ikut. Janji kenyang.

“Makcik, daging masak merah berapa aaa?” Adli, Tanya makcik Embun DIngin. Harga.

“Makcik buat yang 3-4 orang bulih makan. Kira bayaq RM11.40”

Masing-masing berbincang. Berfikir. Bertanya. Dan, setuju.

RM11.40 akan dibayar oleh Muhammad Adli Farris, Ramesh Pilley, Badrul Iman dan aku. Aku terlupa Sabri terlibat atau tak (?)

Menunggu. 20 minit, siap!

Dapat bungkusan, semua memandang sesama sendiri. Masak daging merah yang dipesan, tapi warnanya kelabu. Okey, masih diterima.

Dapat bungkusan, semua memandang sesama sendiri. Masak daging merah yang dipesan untuk 4 orang makan, tapi macam untuk seorang jer?

Rammesh dengan semangat juang bertanya, “Betui ka ni untuk 4 orang?”

Makcik Embun Dingin dengan tanpa rasa bersalah mengangguk.

Dengan berat hati, 4 orang jejaka maskulin tu membayar RM11.40.

Titik. Titik. Titik. Titik. Titik. Titik. Titik.

Makanan dan juadah sudah tersedia. Nasi, lauk pauk Dining sudah diambil.

Dengan penuh teruja, Adli dan Rammesh membuka ikatan dengan penuh kasih sayang.

Dan, daging masak merah yang warna kelabu dibahagi-bahagi.

Meja panjang tu penuh dengan ahli BG dan kroni jemputan. Pada awal tadi empat jejaka maskulin tu berbangga kerana mereka bakal menjamah juadah mahal yang semesting sedap kerana dibeli di restoran yang pernah masu rancangan Tivi Tiga.

Sehelai. Dua helai. Tiga helai. Ehh. Dah habis??

Juadah berbuka yang mahal, dibeli di restoran yang masuk Rancangan Tivi Tiga, iaitu daging masak merah berwarna kelabu yang dimasak untuk 4 orang hanya mengandungi lebih kurang 12 hirisan daging. Atau bahasa BG, seorang dapat lebih kurang 3 helai daging.
Maka, terdengar ketawa-ketawa sinis mereka yang tak dapat merasa masakan yang mahal itu. Ciis!!

Sememangnya bulan puasa mengajar erti sabar. Begitulah puasa di SMSTSP. Dan. Cerita daging seorang 3 helai akan terus diputar-putar dan diceritakan oleh sekumpulan jejaka-jejaka maskulin yang cubah mengubah selera tapi hampa dan diketawa oleh mereka yang lain.

Bulan puasa di SMSTSP.

Muncul pada tahun-tahun akhir aku di sana.

Bulan puasa di SMSTSP banyak catatannya. Form 4, Form 5. Banyak catatannya.

Nota kaki : Entri yang dilabelkan sebagai Siri Kenangan Di SMSTSP ini ialah kisah-kisah benar dan yang tak berapa benar tapi dibenarkan oleh aku yang berlaku sepanjang lima tahun aku di SMSTSP, Perlis. Nama-nama dan watak yang terlibat sememangnya wujud tetapi diubah suai dengan suka hati aku agar empunya badan berasa bangga. Segala ketidakpuasan hati terhadap aku boleh dikritik dengan terbuka. Kepada yang terlibat, ini hanya satira yang menjadi kenangan.

Jumaat, Ogos 29, 2008

Bebas


Kalau nak berbicara hal kemerdekaan, mesti orang muak. Setiap tahun, tiba bulan Ogos, ramai yang akan sentiasa berbicara, berlabun, berbual dan bercakap-cakap merdeka.

Merdeka. Independent.

51 tahun. Setengah abad dah tu. 51 tahun untuk Tanah Melayu. Tapi, baru 45 tahun untuk Malaysia. 16 September 1963, Malaysia (semenanjung dan Borneo bersatu).

Merdeka. Independent.

Apa yang kita dah dapat? Pembangunan. Ya. Bandar Raya Kuala Lumpur memang membangun. Tapi sedarkah kita, Kuala Lumpur membangun dengan rupa wajah yang hodoh. Sistem jalan raya yang tidak efisyen dan bahaya. Kurang mesra pengguna jalan kaki dan kurang upaya. Pembinaan yang kurang kualiti. Aah!
Merdeka. Independent.

Apa yang kita dapat? Kepesatan? Betul! Memang pesat! Pesat dengan warga asing. Pesat dengan pembohongan dan pendustaan. Pesat dengan konspirasi.; Pesat dengan kepura-puraan. Pesat dengan anak-anak haram. Pesat dengan mat-mat gian. Pesat dengan mat-mat lapar batang. Pesat dengan minah-minah gersang batang juga. Malah pesat-pesat dengan jantan-jantan tak berbelalai! Aah!

Merdeka. Independent.

Apa yang kita dapat? Anak Muda. Anak muda yang berpendidikan tinggi. Tapi, nama saja lulusan universiti, kerja haram tak dapat! Anak muda, cuba membuat revolusi, tapi terkongkong. Terkongkong dek telunjuk orang-orang tua. Anak muda, pemikiran semakin sempit dan daya kreativiti. Dek sistem pendidikan langsung tak berkembang sejak 51 tahun dahulu. Yang ada hanya penambahan-penambahan tanpa sebarang perubahan drastik. Anak muda, dek ketidakbijksanaan kaum tua, menjadi mereka menjadi kreatif tak kena tempat. Heei!! Anak muda ialah pewaris masa depan negara. Itu, kaum tua selalu laungkan. Tapi, kaum tua juga yang mencipta halangan-halangan untuk anak-anak muda.

Merdeka. Independent.

Apa yang kita ada? Kaum tua. Ya! Mereka yang meneraju negara. Mereka juga yang membangunkan negara. Mereka berpakaian sut kemas. Kata-kata mereka betul-betul belaka!. Heey!! Lupakah kita tentang sejarah. Revolusi dalam negara dimulakan oleh anak-anak muda. Kini, mereka sudah tua. Mereka perlu menerima revolusi dari anak-anak muda sekarang. Tapi, mereka dengan kuasa mencipta halangan-halangan untuk anak-anak muda. Anak muda cuba bersuara diakatakan memberontak. Anak muda cuba memanfaatkan dewan-dewan kosong yang terbina dan terbiar untuk aktiviti kreatif dikatakan mengadakan parti liar. Sampai bila orang yang bersut kemas, bertali lahir itu perlu berasa mereka terlalu suci dan semua kata-kata mereka betul. Mamat rockers seluar jeans lusuh lagi tajam akal mereka dari mereka yang bersut kemas dan menjerit-jerit dalam parlimen tu!

Semua orang perlu bebas! Moga selepas 51 tahun, mereka sedar. Dan. Ubah. Ubah. Ubah. Agar Malaysia menjadi negara yang maju realitinya, bukan hanya pada tulisan-tulisan di dalam esei-esei untuk pelajar SPM sahaja.

Rabu, Ogos 27, 2008

Double Treble

Adegan yang masih bermoral ini berlaku via Sistem Pesanan Ringkas (SPR) di Stadium Nasional Bukit Jalil yang dilimpahi lautan hijau kuning.

Bungkuslah korang. Sebijik dah kena! Haha!

20 minit kemudian..

Xmain la sebjk. Kami bg 3 bj ni..Hahaha!!

Bengongnya defend!!

Malam tu, berlinang air mata rakyat Kedah dengan kegembiraan!

p/s : Kredit gambar = Dewa








Selasa, Ogos 19, 2008

Butterfingers - Kembali ; Sebuah Reviu Untuk Kawan-Kawan


Kalau di SMSTSP, Kangar circa 2001-2005, lagu-lagu Butterfingers menjadi lagu wajib mereka yang berjamming di bilik pancaragam sekolah. Lagu-lagu dari album 1.2 Miligrams, Butter Worth Pushful jadi lahu wajib depa-depa ni.

Tahun ni, Buterfingers kembali dengan KEMBALI. Album kedua berbahasa Melayu selepas Selamat Tinggal Dunia (STD). Kalau STD sebuah album berbahasa Melayu yang agak dark dari segi lirik dan pembawaan muzik dan dipenuhi dengan pengaruh dari band Radiohead, tapi Kembali pula sarat dengan lagu-lagu yang buat anda bergoyang, menganggung tanda setuju dan senyum. Bahasa mudah, lagu-lagu dalam Kembali lebih ceria dan sing-a-long.

Kembali sarat dengan melodi-melodi lagu Melayu kelasik era 50-60 an. Senang cerita, memang kembali ke dasar muzik Melayu, tapi dengan cara Butterfingers. Emmet pun bersyair. Ini ulasan setiap trek dalam album ini:


Trek 1 - Joget Global
Lagu joget dengan bunyi gitar Loque yang mantap! Intro lagu dengan Emmet bersyair. Memang lah lagu yang cukup bijak untuk pembukaan album. Dekat bridge lagu ni, Emmet dengan Loque bercappela. Lirik dia macam berunsur politik pula di situ. Ubah Ubah Ubah. Hahaha

Trek 2 - Bebas
Chaer kata mak dia suka lagu ni. Memang merdu! Lagu dia mudah dan tak komplikated. Serius.

Trek 3 - Maharani
Single kedua dalam album ini. Kalau dalam STD bebas dari bunyi biola, kali ini Emmet kembali berbiola. Melodi yang memang menangkap telinga. Part biola tu memang terngiang-ngiang di telinga aku siang malam. Serius. Memang aku ulang banyak kali dengar lagu ni!

Trek 4 - Terus Terang
Lirik dia ala-ala lagu E tapi yang diMelayukan. Tapi, lagu jauh bezalah dengan lagu E. Solo gitar Loque di tengah-tengah macam solo dalam Butter Worth dulu. Tak pun 1.2 Mg.

Trek 5 - Air Liur di Kuala Lumpur
Lirik macam lirik-lirik dalam STD. Lagu terus terang pun lebih kurang macam tu. Ada melodi Vio-Pipe siap. Haha.

Trek 6 - Lengkap Semula
Argghh!!! Lunak!! Gabungan melodi lagu Terkenang Zaman Dahulu nyanyian R. Azmi dengan bahagian korus tu macam dalam Anakku Sazali. Memang macam dengar lagu-lagu klasik. Cara Emmet nyanyi kalau buang muzik Butterfingers tu, dah boleh pasang kat Radio Klasik Nasional ni. Hahahahha. Lirik dia macam kisah cinta pun ada, atau pun lebih kepada keTuhanan (?) Lagu pilihan Aqqhir ni!!

Trek 7 - Merdeka
Ni lagu yang memang aku nak dengar. Lagu keroncong dari Butterfingers bersama Pak Kassim Masdor. Aku jumpa Pak Kassim Masdor hari tu kat FFM 21.haha.. Memang aku akan pasang lagu ni 31 hb Ogos ni!

Trek 8 - 1000 Tahun (Mahu Hidup)
Tak payah ulas kut? Single yang pertama dari album ini. Keluar berbulan-bulan awal sebelum album ini. Dengan video klip yang cukup sinis kritikalnya. Macam lagu-lagu lama Butter, intro dia agak panjang dengan bunyi gitar Loque ala-ala melodi dari Sape (ala muzik Sarawak tu).

Trek 9 - Gelombang Cinta
Bagi akulah, mood lagu ni kembali ke mood STD. Lagu ni memang kuat bunyi eksperimental ala-ala Radohead. Sedikit mellow. Vokal pun menyanyi malas-malas macam Thom Yorke. Haha. Bahagian vokal malas tu aku rasa Loque yang nyanyi.

Trek 10 - Mendaki Menara Condong
Loko memang seorang mesin dram! Betul kenyataan Loque tu. Aku suka beat dram Loko dalam lagu ni. Lirik lagu macam ayat-ayat motivasi pun ada. Hahaha.

Trek 11 - Mati Hidup Kembali
Ramai yang cakap lagu ni berbau The Beatles. Setidak-tidaknya lagu Let It Be. Aku setuju!! Paduan dua vokal yang cukup mantap dengan melodi yang cukup kuat!! Melodi inspirasi lagu Sedangkan Lidah Lagi tergigit dari P. Ramlee. Memang aku suka melodi piano lagu.

Kembali memang kembali pada dasar Butterfingers iaitu penghasilan lagu-lagu yang melodinya cukup melekat. Mereka juga mungkin kembali ke pengaruh muzik tika pengembangan muzik Melayu moden era 50-60 an. Album yang bakal menjadi playlist aku untuk jangka masa yang panjang rasanya. Aku pun dah kering idea nak ulas. Hahaha. Yang aku tau, kalau aku dengar cd ni, aku takkan skip mana-mana lagu!!!

Ahad, Ogos 17, 2008

Aku Bukan Racist



Sungguh. Aku bukan racist. Tapi, aku tak setuju cadangan tu.

Sungguh. Aku bukan racist. Kalau aku racist, aku tak rasa hiba bila Lee Chong Wei dapat masuk final Olimpik.

Sungguh. Aku bukanlah racist. Kalau aku racist, air mata aku takkan bertakung tatkala melihat Marlon Alex James, Hugging dan Nelson San Martin mengelilingi Stadium Darul Aman selepas perlawanan menentang Terengganu tanda itulah perlawanan terakhir mereka di bumi Darul Aman.


Sungguh. Aku bukan racist. Sebab tu aku ada kawan yang namanya Rammesh Pilley, Lim Chea Foong, Silvia Ann, Mun Yee, Jowie.

Sungguh. Aku tak racist. Tapi, aku bantah dengan cadangan tu.

Sungguh. Aku tetap setuju yang situlah benteng Melayu yang terakhir dan perlu dipertahankan.

Allah takkan menolong sesuatu bangsa itu untuk berubah kecuali bangsa itu yang berusaha untuk berubah. Orang tahu ayat Al-Quran yang menyebut ini.

Jadi, siapa lagi yang nak tolong bangsa kita yang semakin layu dengan namanya itu. Bangsa kita yang akan bantu bangsa kita sendiri. Salahkan dengan kenyataan ini? Racist kah aku??

Sungguh. Aku bukannya racist!!

Selasa, Ogos 12, 2008

Cerita Festival Filem

Mulanya aku ingatkan ajakan ke FFM21 hanya gurauan. Tapi, memang serius. Selepas modul PPKP semester 4 bersama pengarah kampus tamat, aku bergegas ke kolej dan bersiap. Ada satu lagi grup. Tadi di dalam dewan menayang-nayang pas masuk ke acara ini.

Pas yang difotostat kertas hijau. Ada cop. Finas mungkin.

Aku tak kisah, walaupun tiada pas, aku tetap boleh masuk.

Dari Melaka, aku dan Taki menumpang Maria. Tapi bukan kereta putihnya itu. Ini kereta milik adik kepada pelakon Dynaz. Dan, adik kepada pelakon Dynaz itu pula buah hati Maria. Lewat petang kami tiba di Serdang dan bertukar kenderaan.

Anuar Ali, sedang tunggu dan terus kami naiki kereta hijau kecilnya. Dalam 40 minit, tiba di Pusat Konyensyen Antarabangsa Putrajaya.

Kan aku dah cakap, tak berpas pun kami oleh masuk. Advantage? Spesial? Hahaha
Terima kasih kepada abang ipar Anuar Ali yang menjadi urusetia majlis ni. Kami bertiga dapat masuk dengan tanpa rasa risau. Masuk dari pintu belakang pentas. Maka, terserempaklah dengan selebriti, artis dan orang terkenal yang sedang berhias dengan baju-baju mahal mereka tika azan Maghrib berkumandang.

Untuk beberapa seketika di belakang stage, dapat kucerna realiti sebenar dunia hiburan hedonis ini. Hipokrasi dan lakonan yang maksima.

Sememangnya majlis ini bersifat hedonis tapi aku hadir untuk timba ilmu dalam bidang penyiaran dan sekaligus bertemu atau mungkin hanya berselisih dengan karyawan tempatan.
Acara bermula selepas acara karpet merah, yang juga penuh hiprokasi dijalankan. Ketika acara yang siaran langsung dipacarkan ke seluruh Negara melalui saluran swasta berbayar itu baru dimulakan dengan tarian gedik-gedik, pegang-pegan, raba-raba lelaki perempuan, kerusi bahagian artis-artis tempatan dengan pakaian-pakaian terselak depan belakang agak kosong. Rupanya, artis-artis ni baru datang. Penuh di pintu masuk utama dengan artis-artis ni yang lewat ni sebab urusetia tak benarkan masuk sebelum rehat untuk iklan.

Dengan minda positif, otak aku merembes kata-kata bahawa mereka sembahnyang dulu, tu yang lambat tu. Mungkin?

Acara dimulakan dengan dua selebriti terkenal, Linda Onn dan Bob Lokman. Tapi, gandingan dua selebriti ni agak kurang melahirkan perisa dan rempah ratus kimia untuk majlis ini. Maksud aku, kalau dalam bahasa mudah, tiada chemistry. Haha..

Anugerah-anugerah awal seperti anugerah filem pendek sebenarnya telah menaikan ghairah aku. Bukan aku ghairah dek artis-artis yang terbonjol gunung-ganang lurah dendam, tapi ghairah yang aku ingin juga jadi calon dalam anugerah itu. Mungkin suatu hari, Dengan izinNYA.
Beberapa anugerah malam tu ada yang tak menepati ramalan aku. Dan, anugerah cerita asal terbaik yang dimenangi oleh Anak Halal memang agak kurang memuaskan hati aku. Kenapa? Pergi cari filem Anak Halal dan tengok sendiri. Beli yang Ori lah! (tanda aku sokong industri filem kita, wajah kita!)

Keseluruhannya, majlis ini sebenarnya umpama melengkapi kalendar acara tahunan yang wajib diadakan. Formatnya, rasanya sejak selepas 21 tahun penganjurannya, masih tak berubah. Walaupun umur aku baru 20, tapi format untuk majlis anugerah seperti ni seperti diulang pakai tanpa banyak perubahan. Terlalu tipikal rasanya. Dari segi bunyi-bunyian dalam dewan, memuaskan walaupun ada ketika muzik dan vocal tak seimbang bunyinya. Mungkin artois tu nyanyi dengan suara yang perlahan atau pun mungkin suara dia memang tak sedap dan untuk elak dikutuk, dia nyanyi perlahan.

Persembahan, sememangnya biasa sahaja dan dilopori oleh artis-artis AF sampaikan juara AF6 3 kali tersilap waktu nak menyanyi. Hebat sungguh juara dalam bidang nyanyian ni! Gaya pemakaian tudung Siti semakin bertambah baik tapi masih lagi kurang menepati syarak. Tapi, sekurang-kurangnya dia berusaha.

Para penyampai anugerah juga ada kala seperti nak tak nak untuk menjadi penyampai. Dan, aku terkilan dengan anak seni yang berpengalaman itu. Memang dia hebat, memang dia tabah mengahadapi ujian penyakit yang diuji Tuhan, tapi bila hendak diumumkan pemenang pelakon wanita terbaik, tiba-tiba dia jadi teruja yang bagi aku cukup melampau sebenarnya bagi seorang yang berumur dan sedang sakit. Bak kata Taki, “tadi dok sakit, la ni teruih sihat ehh”
Hebat betul, sampai yang sakit tiba-tiba jadi sihat.

Untuk tahun hadapan, harap Festival Filem Malaysia tidak meneruskan tradisi penggunaan format majlis yang agak tipikal ini. Sekurang-kurangnya ada sedikit peningkatan dari segi kekreatifan formatnya. Dan, janganlha hanya tagline filem kita, wajah kita sahaja yang dilaung-laungkan. Apa kata, anjurkan anugerah kita dengan wajah kita juga!

p/s : Gambar tengok dalam Friendster atau Myspace aku!

Khamis, Julai 17, 2008

Semester Baru

Semester baru. Dah pun bermula hampir dua minggu. Dan, rumusannya. Aku agak kurang senang dengan beberapa tenaga pengajar. Yang seperti mengajar kami macam pelajar sekolah menengah. Walaupun dimaafkan sebab mungkin kali pertama bergelar pengajar selepas sebelum ini bergelumang dengan dunia profesional mereka.

Dan semester ini kelas banyak pada lewat petang. Dari pukul 6.30 hingga malam. Maka, terpotretlah gambaran sebenar mereka. Tika rehat untuk Maghrib, hanya aku lelaki yang berjalan keseorangan ke surau. Mereka? Entah lah...

Al Fatihah Buat Datuk Ahmad Basri

Perginya Bapa Pembangunan Bola Sepak Kedah.

AL-Fatihah.

Khamis, Julai 03, 2008

Dan..Aku Semakin Alpa

Angin-angin. Tiup sepoi. Dan. Dia sudah tak mahu kongsi. Dan. Semakin hari, sekitar, rasa, jarak, aku dan dia, seperti, dihalang. Mungkin aku. Mungkin dia. Mungkin aku dan dia. Mungkin dia dan aku. Dia dan aku mungkin, yang bina halangan itu.

Dan. Aku mula negatif. Dan. Aku mula fikir lain. Dan. Aku tak tenang.

Aku, mencari dan terus menyelak segala rasa dalam hidup. Untuk cari damai. Sebab, halangan yag terbina saban hari buat hilang kedamaian. Dalam tetingkap rasa.

Aku mencari-carinya. Dalam isi ciptaan Tuhan. Tapi, belum dapat damai mega itu. Sebab, halangan itu terbina dek rasa kasih aku pada dia. Dan. Dia tidak rasa itu.

Dan. Malam ini baru kusedar. Setabah mana aku bersabar mencari damai dan cinta itu. Sukar kalau diri diulik alpa. Dan. Memang aku alpa.

Di sudut termenung, terpandang ia. Sudah hampir sempurna aku tak sentuhnya. Dan. Dengan kudratku, aku sentuh dia. Dan. Damai itu datang dengan sendirinya. Dan. Ampunilah aku Yang Maha. Sebab aku alpa. Dan. Syukur pada Mu. Kitab itu penawarnya.


Selasa, Jun 24, 2008

Darul Sunnah Yang Menyambutku


Malam itu, Amek memujuk aku. Penuh rayu. Tapi langsung tak romantis. Kerana. Sememangnya Amek bukanlah seorang perempuan. Dia seorang lelaki.

Maka. Aku langsung tak merasai keromantisan dari pujukan-pujukan dia. Kerana. Aku bukan seorang gay!

Tidak. Amek bukan memujuk yang bukan-bukan. Amek hanya meminta aku pergi ke negerinya. Negeri tempat aku mencari segala sisa pengetahuan dunia dan akhirat. Segala pujukan Amek via SMS dibalasku bertalu-talu.

Akhirnya. Aku mengalah. Aku turuti. Dan. Aku setuju.

Kata Amek, selain Pak Lah, Mat Zam akan turut serta. Ah. Aku tahu impian dan hala tuju Mat Zam nak ke sana.

Pagi Jumaat, aku bertolak dari pulau ini ke seberang sana. Amek menyambut aku. Dengan kereta ibunya. Dan. Seperti amalan biasa bila kenalan sudah lama tidak bertemu. Semestinya berbual-bual perihal rakan taulan yang lain. Tak lupa. Dengan selingan kisah-kisah politik semasa duniawi.

Tiba di rumah Amek, bersiap kami ke masjid. Untuk bersolat yang wajib. Sesungguhnya masjid tempat pertemuan dan jalinan ukhwah. Aku jumpa Safwan. Aku juga jumpa Cikgu Zulkarnain dengan dua anaknya. Yang sekarang memang mengalami tumbesaran yang super. Kali terakhir mereka berdua, yang kecil tu masih lagi bayi. Aku juga terjumpa dengan Cikgu Yusri di dalam rumah Allah itu.

Selepas makan tengahari, Pak Lah dari Abi datang dengan motornya. Mat Zam dihubungi via telefon bimbit. Dan lebih kurang sejam kemudian, Mat Zam datang. Selepas membantu ibu Amek. Kami mula merencanakan segala perancangan.

Petang tu, dengan 3 buah motosikal. Kami. Menunggang dengan kadar kelajuan yang berpatutan, makan cendol spesial. Kemudian. Ke rumah Chaer. Berbual seketika boleh. Dan. Sekali lagi kami bergerak dengan motosika. Tiba di Sekolah Menengah Abi. Kami. Tinggal di rumah warden asrama puteri. Rumah ibu Pak Lah. Tapi. Sebenarnya asrama puteri itu kosong. memandangkan semua warganya pulang ke rumah. Cuti hujung minggu. Tak sampailah hajat Mat Zam. Nak jadi kasanova.

Malamnya. Kami mencari-cari idea untuk mengenyangakn perut. Akhirnya. selepas restoren Embun Dingin tidak menjadi pilihan Amek, kami ke roundabout Kangar. Yang terkenal dengan kedai-kedai makan. Kami memesan burger oblong yang menjadi kegemaran aku. Dan. Mat Zam baru pertama kali mengetahui kewujudan burger ini. Sedangkan. Burger oblong kilangnya ada di Kedah.

Di sebabkan terpengaruh dengan selera Amek. Kami dengan penuh nafsu yang agak terkawal memesan pula char kuew tiaw. Tapi. Ikut selera aku. char kuew tiaw di Taman Kokam. Dekat rumah Muhammad Teja lagi mengancam.

Selepas perut terisi. Mat Zam mengajak kami berjalan-jalan pusing Perlis. Dan. Pak Lah mengajak ke Sungai Kechor. Aku dan Mat Zam. Teruja. Tapi. Bila sampai di Sungai Kechor. Langsung tak teruja.

"Cis. Kat sini ka!!" Mungkin dalam hati Mat Zam terdetik begitu.

Baru kutahu. Dataran dekat Hospital tu namanya Taman Sungai Kechor.

Pulang ke rumah. Kami bercadang untuk menonton DVD. Berkelahi. Amek nak tengok Duyung. Mencari-cari di mana DVD itu. Pak Lah yang sebelum itu pulang ke rumahnya yang satu lagi untuk mengamil PS2 mati-matian berkata yang dia dah ambil DVD tu. Sedang mereka mencari. Mat Zam mula memasang PS2. Dan bermain. Sampai. Aku naik bosan.

Esoknya. Kami cuba bangun awal. Kononnya. Tapi. Lewat juga. Hari ini merupakan hari untuk rancangan utama Pak Lah. Semalam beberapa orang telah dihubungi. Antaranya Mat Top dan Taqim. Untuk realisasikan rancangan ini.

Kami dengan keadaan yang tak mandi. Bertolak. Ke Bukit Ayer. Untuk mandi. Sampainya di sana. Pengunjung masih belum ramai. Kerana masih pagi. Kami terkejut. Air di kolam buatan di sungai itu cukup jernih.

Terus terjun. Walaupun licin. Bermain air. Sambil. Mencuci mata. Sambil mandi, Mat Zam ajar tarian joget. Amek. semacam pensyarah geologi. Atau pun. Macam ahli geologi. Jumpa batu. Belek-belek. ketuk-ketuk. Buat huraian.

Taqim tiba. Dengan jersi Itali. Tak mahu mandi katanya. Selepas Mat Zam belanja ais krim keladi. Kami pulang ke rumah Pak Lah. Di sana, Mat Top telefon. Dia memang nak ke Bukit Ayer. Tapi. Dah terlewat.

Kemudian. Kami nak ke sekolah. Sebelum tu, Mat Zam nak ke Kangar. Beli ayam Amerika. Untuk gadis dia.

Taqim hantar Mat Zam ke sekolah. Yang lain. Makan tengahari di Anjung Keli. Di simpang nak ke SMSTSP. Berbual. Bersembang. Berborak.

Ke sekolah. Berjumpa dengan junior. Dan. Berbual. Bersembang. Berborak.

Hari tu, Sabtu. Seperti biasa. Ada pasar malam. Berjumpa lah aku dengan Mak Cik Izan. Perniagaannya dah berkembang. Dulu jual popia basah sahaja. Sekarang. Popia goreng ada. Keropok. minuman ringan. Mak Cik Ani pula, dah tak jual cendol. Jual laicikang dan masih lagi dengan kuew tiaw tomyamnya. Dapatlah juga semangkuk laicikang dan kuew tiaw.

Aku pulang petang tu. Walaupun hanya singkat pertemuan ini. Aku masih gembira. Dan. Aku berharap. suatu hari nanti. Akan ada ghatering untuk SYTRA 0105 yang berada di Lembah Kelang. Sebab. Setahu aku. Ramai yang berada di sekitar Lembah Kelang dan negeri di Selatan yang berjiran dengan Kuala Lumpur. Ayuh! kita kumpul lagi!

Ahad, Jun 22, 2008

Biar Jasa Jadi Kenangan! : Piala FA Milik Kedah Buat Musim Kedua!

Penyokong Selangor beria-ia berkata pasukan Hijau Kuning Menang nasib. Hah! Kalau kawal permainan tapi tak boleh skor, tak payah lah nak canang-canang yang pasukan Hijau Kuning Menang nasib!

Tahukah anda, sepatutnya Amri Yahya yang kena kad bukan Sabree Abu. Dan. Tahukah anda. Khyril Muhymeen patut dapat penalti sebab kaki dia dicantas.

Tahukah anda, kalau anda tengok balik ulang tayang yang kononnya bola tu gol, anda akan dapat tengok yang bola tandukan Safee Sali tu sebenarnya tak masuk dan Thirumurugam sempat menendangnya keluar.

Tahukah anda, Ketiga-tiga gol Kedah dijaringakn dengan cukup comel kalau dibandingkan dengan 2 gol Selangor yang sebenatnya cukup nasib! yang pertam bila Fazliata atau pun nickname nya Ustaz itu cuba clear bola tu tapi tak sampai dan gol kedua ialah gol yang tak bermaruah sebab penalti.

Tahukah anda, pengulas permainan ni dengan penuh yakin menyokong pasukan Selangor dengan ayat-ayat yang asyik mengulas pasukan Selangor dan memberi pujian kepada Selangor.

Tahukah anda, jurukamera RTM jarang fokus kepada penyokong Kedah yang cukup ramai itu dan hanya fokus kepada penyokong Gergasi Merah. Akan tetapi, teriakan lagu Hijau Kuning bergema di setiap sudut dan sorakan pulun Kedah Pulun berngiang-ngiang dan berlantun-lantun di ruang stadium Shah Alam.

Tahukah anda lagi, FAM memberi komen yang cukup bodoh dengan menyatakan bahawa sambutan dari penyokong adalah lembab. Sedangkan mereka sendiri yang menjual jumlah tiket yang sedikit dan menaikkan harga tiket 100%. Bijaknya Persatuan Bola Sepak Malaysia.

Tahukah anda, pemain Kedah tak perlu mewarnakan rambut macam pemain mereka untuk menang. Warna rambut satu hal, langsung tak hormat Sultan Kedah.

Tahukah anda lagi, penyerang-penyerang Selangor tumpul-tumpul sebenarnya.

Tahukah anda, banyak kereta-kereta penyokong pasukan Kedah telah dicalarkan di Stadium.

Maaf wahai Gergasi Merah, walaupun anda bermain cukup baik, tetapi reaksi penyokong pasukan anda buat aku jadi sakit hati. Menontonlah dengan akal bukan dengan hati yang penuh fanatik.

Saksikan jaringan mereka!





Mari nyanyi bersama!

Yakinkanlah Diri Sendiri,
Berjuanglah sejiwa murni,
tekun berani sesungguh hati,
demi sukan mengharum negeri,

Biar Jasa Jadi Kenangan,
Hijau Kuning Lambang Kemegahan,
Jelapang Padi tempat sanjungan,
negeri kedah darul aman,

Kedah, Kedah Pantang Kalah,
walau sakit jatuh dan rebah,
namun lantas,
semula gagah,
bujur lalu melintang patah,

Hijau, Kuning tanahku,
darulaman negeriku,
hijau kuning darahku,
negeri kedah negeri ku,

Kedah, Kedah pantang kalah,
walau sakit jatuh dan rebah,
namun lantas semula gagah,
bujur lalu melintang patah,

hijau,kuning tanahku,
darulaman negeriku,
hijau kuning,darahku
negeri kedah negeri ku,
negeri kedah negeri ku!!!



Khamis, Jun 19, 2008

Siri Kenangan Di SMSTSP : 'Waxing'

Enche Tam merupakan rakan sedorm tak diundang aku. Aku satu dorm dengan Enche Tam hampir dua tahun. Tapi, tak pernah jadi rakan baik. Muhammad Teja mungkin. hehe

Enche Tam mewarisi hormon yang banyak rerambut di badan. Oleh itu, hobi Enche Tam mestilah bercukur. Bercukur. Bercukur. Waxing.

Ketika itu, Enche Tam katilnya berjiran dengan katil aku. Sebelah kanan aku. Atas aku Amek Nose. Dorm MU2. Warna Hijau.

Enche Tam yang baru pulang dari kampung halaman seperti ada kelainan pada wajahnya. Oh. Baru lepas bercukur.

Kemudian, Enche Tam dengan muka penuh riak lagi takbur membuka bajunya. Kedua-dua belah tangannya diangkat ke udara.

Wow!

Berkilat beb!

"Hoi, gila ganas hang cukuq"

"Mana da aku cukuq, aku cabut," Tam.

"Gila ka apa. Macam mana hang buat?"

Tam tersengih dan membalas, " Kalau hang nak tau, mula-mula aku sapu dulu dengan kapuq. Biaq dua toga minit bagi dia kering. Lepas tu, aku sentap arr bulu tu kuat. Dia tak rasa sakit pun. Pedih sikit-sikit ja."

"Teeehheeehhe heeheeh ehehee," Enche Tam gelak dengan nahu tersendiri dan gaya bahu terangkatnya sambil menggaru-garu ketiaknya yang licin dan berkilat.

*krukk* *krukk*

Yaachhhh!!





Nota kaki : Entri yang dilabelkan sebagai Siri Kenangan Di SMSTSP ini ialah kisah-kisah benar dan yang tak berapa benar tapi dibenarkan oleh aku yang berlaku sepanjang lima tahun aku di SMSTSP, Perlis. Nama-nama dan watak yang terlibat sememangnya wujud tetapi diubah suai dengan suka hati aku agar empunya badan berasa bangga. Segala ketidakpuasan hati terhadap aku boleh dikritik dengan terbuka. Kepada yang terlibat, ini hanya satira yang menjadi kenangan.

Isnin, Jun 16, 2008

Bapak

Tiada kamu, tiadalah aku.

Entri tahun lepas yang aku coret untuk ayah. Klik sini.

Ahad, Jun 15, 2008

aku ingin dimensimu

Terkadang lelah

namun masih tak gundah

takkan redup rasa dulu

takkan teduh rasa itu

Ahad, Jun 08, 2008

Bola Sepak Eropah

Tidur lewat.


Bakal tidur lewat.


Aku sokong apa? Ikut turutan. Yang paling atas kira negara yang diwakili player tu paling aku sokong.





Jumaat, Jun 06, 2008

Keputusan Peperiksaan Yang Keluar

******************************
******************************

*sigh*


*sigh*


*sigh*



Taip-taip.



*sigh*



*sigh*



Fuhhh!! Nasib baik.

Alhamdulillah..

Alamak..

Drop lah sikit. Drop 0.03.


*sigh*


**********************************

Khamis, Jun 05, 2008

Sketsa RM2.70 ; Hah, Pangkah Lagi!!

Jam dinding rumah aku tunjuk pukul 10.30. Jam dekat henset tunjuk pukul 10.35. Jam tangan aku tak tunjuk apa-apa. Sebab jam tangan aku yang bercap tiga belang yang asli itu dah mampus. Cesss. Harapkan jam ori, tapi bateri pula dah 'kong'.

Alamak!

Aku berlari. Capai helmet. Melompat ke atas kuda merahku dengan gaya ala-ala koboi berkain pelikat.

Dengan tergesa, aku terus memecut kudaku.

Damn! Beratur-atur segala macam binatang tunggangan.

Tak pernah-pernah jalan kampung dalam pulau Langkawi ini sesak macam Bukit Bintang. Kalau waktu LIMA, memanglah sesak macam Jalan Pudu menghala ke Bukit Bintang. Tapi, LIMA kejadah apa nya.

Ahhh.. Aku tak hirau. Yang penting, terisi perut kudaku.

Aduh!

Banyak kuda-kuda tengah beratur.

Tiba-tiba riuh rendah. Pak Kassim Bilis tengah bertolak-tolak dengan Din Badek.

"Hoiii!! Hang mai sayuk buat la cara mai sayuk!," Pak Kassim Bilis baran.

Din Badek hati kering. Tak getar langsung. Dengan rasa selamba dan tak bersalah, dia terus ke kaunter dan bagi beberapa kepingan kertas berwarna kemerahan.

Dan. Dengan selamba dan tersengih. Tangki-tangki itu terisi.

Merah muka Pak Kassim. Celaka betul budak ni!

Baru nak bagi penumbuk, Deris Jala tahan.

"Sabaq!" Deris.

"Tu la hangpa! Pangkah laa lagi.. Pangkah laa depa lagi.. Padan muka hangpa!" Deris semacam menjerit-jerit kepada pemilik-pemilik tunggangan lain.

"Sepatutnya depa kaLAh! Tak jadi lagu ni LAH! Tak payah kita nak dok berbaLAH. Celaka. Buang hati orang reLAH jaaa!!"

"Hoii!! Hang dok panggil-panggil aku buat apa??" Dari jauh pengerusi JKKK kampung itu, Pak Lah Paku datang ke arah Deris kehairanan.

***********
Aku, selepas lebih sejam menunggu. Berjaya. Tangki kuda dah penuh.
Aku.Capai helmet. Melompat ke atas kuda merahku dengan gaya ala-ala koboi berkain pelikat.

Dengan tergesa, aku terus memecut kudaku.
Sampai di rumah. Terus ke tempat simpan baja-baja kompaun. Baja Subsidi. Dengan gaya Kamen Rider, aku membuat Rider Kick ke arah guni baja yang tertulis baja cap alat penimbang zaman kuno.
Dush! Dush! Dush!!

Khamis, Mei 29, 2008

Budak-Budak La Ni

Suatu petang. Di bawah pohon asam. Di pangkin. 3 jejaka. Berusia emas. Berbual-bual sambil menghirup air kafein pekat.

Pak Ndak capai daun rokok. Carik-carikkan tembakau jawa. Letak pada daun rokok. Gulung. Gulung. Bakar. Sedut dalam-dalam. Puas. Rasa puas.

Abang Husin, capai cekodok bilis. Celup dalam sos. Kunyah-kunyah. Telan. Puas. Rasa puas.

Aku datang. Dengan ibu. Nak ambil pulut kacau. Atau kuih tradisional yang dipanggil wajik dalam bahasa buku.

Abang Husin ajak duduk sekali.

'Cuti?,' abang Husin.

'Ya. Sebulan lebih cuti,' aku.

Preng. Preng. Bunyi motor. Ditunggang laju oleh Mat Zaki. Belakangnya ada perempuan. Peluk erat-erat. Dada yang terbonjol menekan-nekan belakang Mat Zaki.

Pak Ndak, 'Perempuan mana pulak dia heret ni?'

'Kelmarin betina lain. Hari ni betina lain. Teguq tak larat teguq dah. Kena tabuh, kena tabuh dah. Aku tak tau nak buat lagu mana dah,' Pak Teh.

'Lagu tu la budak-budak la ni. Depa belajaq Islam had-hari. Ada had. Hari ni Islam. Esok tak Islam,' Abang Husin.

'Safwan, hang duk mengaji jauh-jauh tok sah duk buat perangai lagu tu. Hak mana Tuhan larang, hang jangan dok nak try-try buat,' Pak Ndak sambil pandang aku dan hembus asap rokok.

Aku. Hanguk-hanguk.

Aku, capai daun rokok. Carik-carikkan tembakau jawa. Letak pada daun rokok. Gulung. Gulung. Bakar. Sedut dalam-dalam. Pahit. Rasa pahit.

Sabtu, Mei 17, 2008

Selamat Hari Cekgu!

1,2,3..Selamat hari guru, cekgu!!
Ramai-Ramai. Kami akan ucap ramai-ramai.

Mula-mula kami kumpul dulu ahli-ahli BG. Ya, BG. Kumpulan remaja yang gemar ikut arahan dan tidak buat kacau bilau.

Kemudiam, kami jalan. Jalan ramai-ramai. Singgah bilik guru. Kalau masuk dari pintu paling dekat dengan tangga 5 Bestari, kami jumpa Cekgu Fauziah dulu. Cekgu ajar Matematik Tambahan.


Rammesh atau Bad atau Syuk akan mula mengira. 1, 2, 3 SELAMAT HARI GURU, CEKGU!!

Lepas tu, jalan. pergi dekat cekgu-cekgu lain. Mama Datin Noridah, Papa Cekgu Mahzan, Cekgu Yusri dan cekgu-cekgu lain. Kami juga akan edarkan hadiah. ya, hadiah. Hadiah yang paling aku ingat ialah hadiah untuk Enche Mahzan, sebuah model kapal. Yang dibeli di Yen Gallery. Kedai cenderahari di Kangar. Kapal tu akan dibawa bergilir-gilir kat cekgu-cekgu lain hanya untuk bergambar kenang-kenangan.

Tapi, seingat aku, Encik Yazid Matt, tak pernah kut kami buat macam tu. ha ha ha..
Terima kasih guru-guru ku di SMSTSP, di SKB, di Tadika Bayas.

Tanpa anda, aku tak akan jadi orang. Takkan jadi manusia.

Seperti biasa, hari guru akan diakhiri dengan puisi keramat Usman Awang ini.
Dialah pemberi paling setia



Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum manjadi dewasa
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.


p/s : Gambar-gambar diceduk dari Asputra.org walaupun gambar-gambar tu ialah koleksi peribadi aku. Muda-muda lagi tu. haha

Rabu, April 16, 2008

Pesta Produk Untuk Otak


Dengan promosi yang semakin meluas bagi tahun ini, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur menjadi acara yang ditunggu oleh ramai orang.

Aku juga.

Macam pernah aku tulis dulu, sesetengah makhluk berumur muda rasa pesta buku untuk orang-orang nerd.

N.E.R.D

Itu dalam bahasa orang putih.

Tapi, kalau ikut rekod yang tulis dalam surat yang tulis-tulis berita, lebih kurang 2 juta pengunjung ke pesta buku.

Pergh! 2 juta orang Malaysia nerd.

Biaq la dekat wahai kamu yang rasa dirinya cool kalau pergi kelab tapi rasa nerd kalau baca buku.
se‘cool’ mana pun, kalau tak berilmu, tak berguna juga.
Yang sempat dibeli:
Detektif Indigo Kembali - Faisal Tehrani
Surat-Surat Perempuan Johor - Faisal Tehrani
Salju Sakinah - Zaid Akhtar
Dari Salina Ke Langit Petang - A. Samad Said
Keledang - A. Samad Said
Motivasi Menjadi Wanita Paling Bahagia - Dr Aidh Abdullah Al-Qarni (hadiah untuk seseorang)



Beberapa fakta dari aku selepas melenguhkan kaki memusing bangunan kerajaan tempoh hari :

Floor plan untuk pesta buku kali ni agak merimaskan aku. Terpaksa pusing jauh dan rasanya tahun lepas lagi senang pengunjung nak bergerak antara dewan ke dewan.

Pengunjung memang ramai dan menyesakkan, mungkin sebab aku pergi pada hari terakhir.

Dominasi oleh sebuah syarikat penerbitan yang mendominasi penjualan majalah dan novel pop tempatan buat aku rasa kurang adil. Kenapa perlu buka sampai booth di ruang legar dekat bawah dan dewan di atas? Bagi lah peluang dekat yang lain.




Pak Samad sedang menandatangani pada buku yang aku beli


Teruja dengan usaha Wira Bukit yang menjual karya-karya A. Samad Said, karya-karya sastera yang begitu prolifik dan karya-karya sastera penulis muda dengan harga RM10 setiap buku. Macam nak borong semua buku atas meja tu. Tapi sayang, novel Cinta Fansuri, habis dengan cepat.

Kagum dengan Pak Samad, melayan semua pengunjung. Dari kecil, remaja, dewasa, orang tua dan diriku yang terasa menggelabah ketika hendak mengambil gambar beliau. Auranya cuku kuat hinggakan tanganku bergeletar ketika nak mengambil gambarnya.


Posing dari tokoh yang beraura


Seperti biasa, gerai Ameen Publication di kunjungi oleh peminat-peminat dan pembaca-pembaca Faisal Tehrani dan Isa Kamari. Saudara Faisal Tehrani macam pakai baju yang sama je dengan PBAKL 2007. He he he.





Kalau tak elok, jangan marah yer. saya ni bukan fotogenik.


Ahad, Mac 23, 2008

mim lam alif ya wau (i)

"Falsafah MIM yang disimbolkan melalui keris yang tidak bersarung tetapi tidak pula dihunus ke langit melambangkan keperluan bangsa Melayu untuk bangun daripada tidur yang panjang, tidak bermimpi di siang ahri, bersikap agresif, progresif, bermaruah, maju, mara, mahu berjuang dan tidak mementingkan diri melebihi kepentingan bangsa tetapi pada masa yang sama bangsa Melayu tidak mahu bersengketa, bermusuh atau bermasam muka dengan bangsa-bangsa lain." - Prof. Dr. Ibrahim Shah, Naib Canselor UiTM


Nama dia Kacak. Dia suka sebut kacak. Apa-apa saja yang menarik, cantik, best akan disebutnya kacak.

Dia rasa diri dia juga kacak. Rambut warna karat. Dia sebenarnya berbangsa Melayu. Dia belajar di institusi yang berfalsafah MIM. Falsafah yang dicanang-canang oleh Naib Canselornya.

Tapi.

Kacak mesti tak tau apa itu MIM.

Naib Canselor kata Melayu bagai keris yang tak bersarung dang tidak terhunus.

Tapi tidak bagi Kacak. Keris Kacak sentiasa terhunus-hunus. Sentiasa bersarung. Sarung getah. Sarung latex.

Keris Kacak nak menghunus saja. Lepas hunus nak tikam. Nak tikam kat celahan.

Malam lepas ujian psikologi tempoh hari, Kacak beria-ria nak bermalam dengan Seksi.

Seksi skandal dia.

Nak menghunus keris dalam celahan la tu..

Alahai....

mim lam alif ya wau



Rabu, Februari 27, 2008

Aku Amatur


Silhoutte di Chenang.
Canon EOS 350D. 1/250 sec. F/10.ISO-100

Jumaat, Februari 22, 2008

Legend Yang Pandai Cakap Omputih

Assigment. Tugasan. Perlus disiapkan. Nak siapkan, perlu interview. Interview dengan orang dalam industri.

Dia ni legend. Legend dalam industri khabar-khabar, tulis-tulis. Pernah duduk luar negara. Memang legend habis. Otai dalam industri. Super duper power senior.

Ceritanya begini, kami perlu interview dia. Macam aku cakap tadi. Perlu siapkan assigment. Assigment tu perlukan interview.

Bergeraklah kami ke metropolitan bandar berlumpur.

Sampai di rumah dia. Banglo. Ada orang tengah membuat kerja-kerja memasang 'tai' kat lantai.

"Auntie ada?" tanya suami dia.

"Ada kat dalam."

Masuk dalam banglo. Cantik. Lawa sama. Ada gambar anak-anak dia. Anak dia selebriti yang nyanyi-nyanyi lagu tapi macam bercakap laju. Menyanyi rap.

Legend menyambut kami. Dia bersoal dalam bahasa omputih nak minum atau tidak.

Aku yang kehausan menjawab dengan rakus, "of course nak"

Dia tanya nak minum air apa?

Dalam hati aku, sirap pun boleh la makcik oii...

Dia memberi cadangan, "I will make you a jag of mardi grass juice."

Wahhh!!

Teruja aku dengar nama air tu. Air rumput ni. Mesti menguak-nguak macam kerbau lepas minum jus rumput ni.

Detik. Dua detik. Tiga detik. Berdetik-detik. Detik-detik-detik-detik

Legend datang bawak sejag air yang berwarna hijau pekat. Memang air rumput ni.

Dengan rasa ingin tahu bercampur aduk dengan teruja, aku menuang air.

Aku minum. seteguk. berteguk masuk ke dalam mulut.

Lidah menghantar maklumat ke otak dan otak mencerna maklumat-maklumat.

Otak aku mengesan rasa air itu. Ya,sudah dapat mengesan air itu.

Aku rasa macam nak menyumpah. Teruja pun hilang. Kusangka air rumput yang pelik, rupa-rupanya air pandan. Chaiittt....

Sabtu, Februari 09, 2008

Selamat Hari Lahir Timothy

Termenung ke sudut. Sesekali Timothy memandang ke luar. Menunggu perutusan.

Sedetik.

Sedetik.

Sedetik.

Berdetik-detik.

Perutusan pendek datang. Memang dari Midori. Tapi, bukan macam dulu. Nafas pendek dihembus.

Terkenang ucapan Midori setahun dulu. Tapi, tahun ini, pendek, ringkas. Mungkin Midori yang kini pulang ke desa peradaban mungkin sedikit kurang semangatnya.

Timothy tak rasa kesal. Namun, Timothy rindu kata-kata Midori yang dulu.

“Selamat hari lahir Timothy”, Midori.

Timothy, makhluk merah berkepala bulat yang akan sentiasa senyum jikalau rindu, berjumpa, bercakap, berbual, berimpian dengan Midori, origami burung jinjang berwarna purple yang comel.

Terima kasih Midori…
Sayup-sayup Timothy menyebut.

Mari Membaca


Sedikit tulisan aku telah di'publish'kan dalam ROTTW keluaran Februari. Nak baca? Beli lah sediri...


Rabu, Januari 30, 2008

Anak-Anak Dara yang Ketakutan

Sedang aku berada di fasa ketagihan kafein yang masih terkawal, angin berderu-deru membawa kisah-kisah yang tarafnya sama dengan urban legend rekaan orang-orang putih hidung tinggi.

Tapi ini kisah melayu.

Kisah ini dua kali dah difilemkan oleh bangsa Melayu. Yang pertama versi hitam putih arahan P. Ramlee. Yang kedua versi berwarna tetapi watak utamanya tetap berwarna hitam. Yang hitam putih begitu sukses tapi yang berwarna, hampas!

Bukan. Bukan nak cerita pasal filem tu. Tapi nak cerita pasal watak filem tu, Orang Minyak.

Gempar beberapa IPTA, kononnya kampus mereka diserang orang minyak. Satu tempat aku tengah menuntut sekarang. Satu tempat di universti berprestij di utara nun.

Orang Minyak di kampus selatan :
Cerita mula tersebar semstinya di kalangan siswi. Kononnya, ada satu bilik yang dihuni empat orang apabila sedar dari tidur, dada mereka sudah tidak diapung, kemaluan terdedah, ada kesan gigitan seperti gigitan cinta. Gempar! Gempar!

Orang minyak menyerang! Orang minyak menyerang!

Robekkah dara? Tercalarkah maruah?

Siswi-siswi jadi takut. “alaa, sebelum tidur, pakailah cawat besi,” aku memberi kata-kata nasihat.

Pensyarah mula menerima khabar-khabar ini.

Aku yang mendengar cerita ini terus ketawa. Betulkah orang minyak? Banyak duit dia nak membeli minyak petrol yang harga naik tu. Ohh yaa… patutlah minyak masak tempoh hari berkurangan, orang minyak curi buat tuang atas badan dia.

Ha ha ha

Selasa, Januari 22, 2008

Pameran Pemuda Pemudi




Ini memang perhimpunan untuk anak muda. Youth ’08 merupakan satu pameran yang memang menarik perhatian ramai anak muda kota berkunjung ke tempat seeklusif Putra World Trade Centre (PWTC).

Acara yang diseimbangkan antara hiburan, pengetahuan, bakat dan ilmiah. Antara yang menarik perhatian aku sebagai pengunjung ialah booth baju dan pengunjung yang mempunyai minat dalam fotografi. Sebagai amatur, cukup teruja dengan jurugambar-jurugambar yang datang.



Sempat juga aku membeli DVD yang memang aku cari selama ini. Sebuah DVD yang mempunyai karya dokumentari Fahmi Reza dan aku beli sendiri dari empunya badan di gerainya.

Terima kasih kepada kenalan-kenalan yang mengkhabarkan event ini, yang terserempak dan menegur aku, yang mencuba mengambil gambar dengan kamera aku dan juga penggiat-penggiat seni reka baju yang melayan pertanyaan aku.

Sabtu, Januari 12, 2008

Wa Bagi Lu Barang Baik

Aku pergi Pertama Complex. Dekat kedai kamera Antarabangsa dalam bahasa Melayunya. Tujuan utama, beli kamera DSLR untuk subjek Komunikasi Foto.

Sampai di kedai, Ah Moi cantik sambut. Seorang ikat rambut. Seorang rambut panjang.

" Saya nak angkat itu Canon 350D, berapa aa," aku.

Ah Moi picit punat mesin kira.

" Itu Canon RM1900," Ah Moi

" Apa dapat? Kamera saja?," aku.

" Dapat itu beg biasa ja, ka lu mau angkat yang baiknya barang? " Ah Moi.

"itu tambah baiknya barang berapa pula tambah duit?" aku.

" Tambah rm 50 ja," Ah Moi.

"Kalau mau angkat itu filter sekali?" aku.

" lu mau biasa ka baik punya? kalau barang baik, wa rekemen kat lu arr.. lu tambah duit, tambang baran baik, " Ah Moi.

"huiiyoo, itu macam ka?"

" Kalau macam tu, wa mau angkat lu arrr.. Barang lu banyak baik wwoOoo, " aku. Tersengih. Terbahak.

HAHAHAHA

Selasa, Disember 25, 2007

Catan di Pulau Tuba ; Aman Damai

Pulau Tuba, sebuah pulau kecil yang berada di perairan Langkawi. Sempat kami sekeluarga bercuti sehari di sana. Dilimpahi dengan penuh kemanan. Kalau tak salah, lokasi pengambaran filem Osman Ali, Puaka Tebing Biru di sinikan?
Ini beberapa foto yang sempat dicuri dari lensa kamera telefon sabun aku sendiri.



Sebuah bot nelayan rosak yang tenggelam kita air pasang.




Bot nelayan rosak ketika air surut






Ini bot nelayan rosak itu.

Ketam yang cuba mempertahankan diri selepas melihat makhluk gergasi mengambil gambarnya

Pulau Tuba, tempat untuk mereka yang bencikan kesibukan.


Sabtu, Disember 22, 2007

Pangkor : Akhirnya Kami Tiba



Ini laporan mengenai hari santai. Oleh itu, santaikan diri membacanya dengan bahasa yang santai. Ok, sedia, tarik nafas dan tenang fikiran.


Hari pertama – 16 Disember 2007

Setelah beberapa minggu mereka yang bergelar ahli BG bertekak, tiba juga hari yang dinanti-nanti. Walaupun percutian ini tidak bejaya menghimpunkan BG batch pertama keseluruhannya, tetapi percutian ini menghimpunkan BG batch selepas tamat persekolahan. Ketidakhadiran Adli Farris menimbulkan sedikit kesuraman kerana beliau orang yang paling bersemangat dalam mengadakan percutian ke Pulau Pangkor ini.

Destinasi yang menjadi tempat berkumpul ialah stesen bas ekspres Butterworth. Atau pun disebut oleh BG Butterworth Pushfull atau pun Mentega Berbaloi. Shakirin dan Jazli (aku la tu) bergerak dari stesen bas Shahab Perdana pada pukul 10 pagi. Begitu juga Shahir dan Iqbal dari ‘metropolis’ Kangar. Orang pertama yang tiba di Mentega Berbaloi tentulah peminat setia Arsenal, Huzaifah yang memakai jersi Arsenal Home pada hari itu. Syukri selaku ahli kedua yang tiba hari itu berlegar-legar di ruang kaunter tiket untuk melihat-lihat bas.

Selepas Kirin dan aku tiba, kami mengutuk-ngutuk dan senyum sinis melihat Huzai dengan baju Arsenalnya dari atas bas. Kemudian, kami mencari-cari Encik yang belajar di negara Kanggaru, Syukri di kawasan kaunter tiket. Selepas bersalam-salaman, kami bercadang untuk menunggu Shahir dan Iqbal di gerai makan. Ada yang ingin mengosongkan pundi kencing kerana penuh. Di meja makan, acara berbual pun bermula sambil menunggu pesanan makanan. Shahir dan Iqbal tiba sejurus kemudian. Jam ditangan menunjukkan hampir pukul 12.30 tengah hari. Shahir dan Iqbal yang kepenatan dan kehausan hanya sempat minum kerana kami bercadang menaiki bas ke Lumut pada pukul 12.45.

Selepas tiket dibeli menggunakan duit Huzai memandangkan duit dia tak pernah cemas, kami terus menaiki bas yang tajuknya Seri Maju dan pemandunya berbangsa segelintir bangsanya yang mengadakan rusuhan baru-baru ini. Tempat duduk kami di belakang sekali. Sekali lagi, acara berborak di dalam bas bermula. Antara topik aku ingat ialah, berdebat mengenai isu-isu BERSIH dan HINDRAF, kutuk-mengutuk, Huzai cuba promote dan hurai tentang lagu-lagu band HUJAN dan juga harga kamera Syuk yang dibeli dari Australia. Namun, selepas setengah jam berlalu, hanya aku dan Shahir masih lagi di dunia nyata. Yang lain, berdengkur tanpa kenal erti pencemaran bunyi di dalam bas.

Dalam pukul 2.15 petang, bas kami yang tiba di pantai Pukat, Perak, tiba-tiba bas kami berhenti di tepi jalan. Di sebelah bas ada van mayat, saspen betul. Rupa-rupanya anak makcik kat depan nak buang air. Huzai yang tidak dapat menampung lagi turut turun ke tandas stesen petrol BHP. Ada beberapa bangunan yang menggunakan perkataan-perkataan lucu di sebelah stesen petrol tersebut seperti Tukang Gigi. Ini telah menjadi modal kepada ahli-ahli BG yang kebosanan untuk berbual.

Sekitar jam 3.45 petang, kami tiba di stesen bas Lumut. Kemudian, mereka yang perut masih belum terisi mengisikan perut dengan makanan. Setelah mencari-cari lokasi jeti, kami menjumpai jeti ke Pangkor hanya dengan menggunakan naluri hati. Tiket dibeli oleh Huzai. Feri kami bertolak jam 5.15 petang dari Pangkor. Feri dijangka tiba sekitar 5.45 petang. Di atas feri, masing-masing mula melayan blues sambil mengambil angin laut. Sebelum menaiki feri, kami dimaklumkan oleh ENCIK GHAZALI (yang kemudiannya disebut ZULKARNAIN oleh Kirin) bahawa setibanya di jeti, cari dan naik van yang berwarna pink.

Setibanya di jeti Pangkor, kami tak perlu mengikut arahan Encik Ghazali memandangkan van yang berwarna pink berselerak di kawasan parking kereta di hadapan jeti. Kami menaiki van yang dipandu oleh driver beretnik mata sepet ke chalet yang ditempah. Perjalanan lebih kurang 15 minit. Chalet kami terletak di Teluk Nipah, kawasan tumpuan pengusaha-pengusaha membuka resort. Chalet kami terletak ke belakang sedikit dari pantai namun tidaklah jauh sangat pun. Jalan kaki tak sampai 3 minit.

Seagull Beach Resort (walaupun tak dekat dengan beach) nama tempat tu. Kami disambut oleh Encik Ghazali yang mempunyai kumis persis Datuk K. Chalet agak lengang Cuma kelihatan seorang mat saleh dan apek. Setelah mendapat bilik, kami terus menerjah bilik itu. TV dipasang. Huzai menjerit girang kerana TV di bilik kami dapat buka channel ASTRO. Boleh la tengok Arsenal lawan Chelsea. Kami rehat sebentar di dalam bilik sambil menonton perlawanan ulangan EPL. Kemudian bersolat dan kemudian bergerak ke pantai Teluk Nipah untuk menyaksikan pemandangan matahari terbenam. Foto-foto dirakam oleh Syuk dan aku merekod video.

Selepas puas bergambar dan mengomen keadaan pantai yang kurang memuaskan hati setiap warga BG, perut kami mula bergendang gendut tali kecapi (lapar daaaa). Pantai Teluk Nipah sebenarnya agak kurang sesuai untuk bermandi-manda bagi pendapat aku sebab pasir yang kurang halus dan banyak bot-bot pisang dan jet ski meluncur deras di persisiran. Kami mula mencari-cari gerai makan yang berderet-deret di sana. Kebanyakan menyediakan masakan laut yang boleh dipilih sendiri ikan. Selepas majoriti daripada kami makan nasi goring ikan masin, kami bergerak pulang ke chalet. Menonton perlawanan Manchester United (yang hampeh lagi tak best) menentang Liverpool dan perlawanan penting Arsenal menentang Chelsea. Iqbal pula sibuk menyelak novel tulisan Faizal Musa atau pun nama penanya Faisal Tehrani. Sambil menonton, banyak perkara dibualkan sampai tak sedar Gallas sumbat gol untuk Arsenal. Orang pertama yang tidur ialah Huzai yang tadi semangat nak tengok Arsenal main. Aku orang terakhir tidur walaupun kepenatan, Arsenal kena layan sampai habis!

Hari kedua – 17 Disember 2007

Hari penting ni. Selepas solat, aku tidur dalam sejam lebih. Bila bangun, dah dekat pukul sembilan. Yang lain masih dibuai mimpi. Aku dengan cara tersendiri mengejutka mereka dari tidur. Disebabkan tidak tahan, mereka bangun. Rancangan untuk pusing Pulau Pangkor hari ini mesti diteruskan.

Kami bercadang untuk menyewa motorsikal. Selepas berbincang denganEncik ZULKARNAIN (nama sebenar Ghazali), kami mendapat 3 biji motosikal Kriss yang conditionnya agak kurang memuaskan. Tapi, boleh jer. Encik Ghazali mencadangkan agar kami bermandi-manda di Coral Bay. Selepas menunggang motor sejauh 500 meter, kami tiba di pantai berkenaan. Pantai ini cantik berbanding pantai Teluk Nipah. Pasirnya halus. Airnya crystal clear water bak ayat-ayat dalam karangan English SPM. Syuk tidak membawa seluar paras lutut dan kemudian patah balik ke Teluk Nipah untuk membeli seluar. Selepas puas bermandi manda dan bergambar, kami pulang ke pangkuan. Ehh.. pulang ke Chalet untuk mandi air bersih.

Selepas puas bermandi-manda, kami bercadang untuk menjalankan aktivit pusing pulau. kami mula bergerak dari chalet ke Coral Bay. Kemudian Teluk Dalam. Melintasi Lapangan Terbang Pangkor. Ada juga airport kat sini kata syuk. Aku menjawab, habis tu, sultan Brunei nak mendarat kat mana? Tapi, dalam kepala aku terfikir, nak ke Sultan Brunei pergi sana? Sebelum kami melintasi airport, kami terserempak dengan pegawai polis yang menahan mat-mat motor. Timbul kecuakan sebab motor yang ditunggang Shahir dan Huzai tiada pelekat ‘P’. Nasib baik pakcik polis semacam tahu yang kami ni pelancong.

Kami melalui jalan-jalan yang penuh liku lagi mencabar ketika ingin ke Pekan Pangkor. Jalannya yang bengkang-bengkok menaiki bukit amat susah untuk didaki oleh motor kriss yang disewa kami. Beberapa kali motor kami tidak dapat mendaki walaupun menggunakan gear 1. Yerla, masing-masing badan macam pak budak, mau nak naik. Keadaan yang amat merumitkan buat kami. Namun, kami berjaya tiba di Pekan dengan penuh jaya. Memandang matahari sudah tinggi. Kami singgah sebentar untuk makan. Gerai makan tersebut menyediakan roti bakar yang cukup special. Bun yang dibakar dan intinya antara gabungan kaya, peanut butter dan butter itu cukup mengujakan. Rasanya umpama apam balik yang sedikit ranggup tapi gebu di dalam. Keenakannya meresap ke dalam mulut dan bercampur baur dengan gabungan intinya tadi. Selepas perut masing-masing membulat ke hadapan akibat dipenuhi makanan, kami kembali menunggang motorsikal yang ibarat kuda itu. Destinasi seterusnya ialah Kota Belanda. Selepas sedikit tersesat, kami dapat juga ke Kota Belanda itu. Tiada apa yang menarik. Cuma monument kota tinggalan Belanda yang dibina semula. Sempat juga kami bergambar dan melakukan aksi di luar batasan pemikiran manusia sakit mental. Hari masih panas, dan kami tak tahu ke mana hala tuju seterusnya. Setelah berbincang, kami bercadang untuk pusing balik ke Teluk Nipah. Dalam perjalanan, aku dan Syuk ternampak sign board yang memaparkan arah ke jambatan gantung. Aku mengehon Kirin dan kami berhenti di tepi jalan. Namun, Shahir yang membawa Huzai merempit laju mara bahaya ke hadapan tanpa mempeduli hon kami yang daengar tak dengar tu. Setelah Kirin dengan aksi rempit Farid Kamil berjaya mengejar Shahir dan Huzai, kami bergerak masuk ke Hutan SImpan Kekal Pangkor. Lagi sekali cabaran buat kami. Jalan ke hutan tersebtu ialah jalan berpasir dan berlubang-lubang yang dahsyat. Lubang-lubang tu macam rekahan gempa bumi. Kami menyahut cabaran itu dengan menunggang motor hingga sampai ke destinasi tuju.

Setibanya kami di Hutan SImpan Kekal Pangkor, kami berjalan mengikut trek yang disediakan. Kami terberhenti di satu simpang. Keadaan umpama situasi dalam poem The Road Not Taken, kami memerlu pilih antara dua jalan. Namun, tanpa berfikir panjang Kirin dan Huzai mengikut jalan kiri. Kalau ikut jalan kanan pun, naik juga jambatan tu. Lepas menyaksikan permandangan hutan hujan yang anda boleh jumpa kat banyak tempat di Malaysia ni, kami bergerak pulang. Setibanya di chalet, betis masing-masing telah dihinggapi pa alif cat-pacat. Huzai telah membuat pengakuan terbuka bahawa inilah pertama kali pacat naik ke badan dia. Selepas pacat-pacat dibunuh dengan tanpa belas kasihan, masing-masing terlentok di perbaringan. Acara sebelah petang ialah kami berjalan-jalan di Pantai Pasir Bongak sambil membeli burger Pak Yob. Suasana di sana agak meriah dengan kehadiran pelancong. Mata masing-masing tidak dilepaskan memandang kearah bukit-bukau yang terbonjol di sekitar pantai. Tak lepas juga mengomen perlakuan bergeseran dan berpicitan. Kami lepak di kawasan batu yang cantk sambil menyaksikan pemandangan matahari terbenam yang indah berseri-seri.

Malamnya, kami bercadang untuk membeli-belah dan makan makanan spesel di sana. Selepas memindahkan gambar dari kamera syuk ke pendrive di CC yang cekik darah tahap tercekik, kami mencari-cari sesuatu untuk dibawa pulang. Sotong kering, sate ikan kering dan hasil laut diborong. Baju-baju juga kami borong. Kemudian kami dinner dengan masakan ikan merah sweet sour yang ikan itu berharga rm30 seekor. Kemudian, kami pulang ke chalet dan mula memeningkan kepala berbincang perihal duit yang perlu dibayar. Malam itu, masing-masing berbual sehingga jam 2 pagi.

Hari ketiga – 18 Disember 2007

Hari terakhir kami di pangkor. Kami bercadang untuk bangun awal dan pulang awal. Namun, agak hampeh sebab aku kejut, semua liat nak bangun. Kami berkejaran ke Lumut. Namun hasilnya cukup mengecewakan. Bas yang akan ke Butterworth sudah habis. Ini cukup untuk menimbulkan keluh-kesah dalam hati aku yang akan pulang ke Langkawi.

Selepas berbincang, kami bercadang untuk pergi ke Ipoh dahulu. Selepas mengharungi perjalanan selama 2 jam, kami tiba di Medan Kidd. Kemudian menaiki bas ke Medan Gopeng. Dalam perjalanan, kami terserempak dengan saudara Hakimi Mazlan. Kami hanya sempat menegur dari atas bas. Responnya cukup kelakar, mula-mula hangguk biasa. tapi selepas nNampak kami, buat muka terkejut dan tersengih-sengih. Kami dimaklumkan oleh Wani R yang bas ke Alor Setar sudah habis. Aku sudah membuat perancangan bahawa aku terpaksa pulang ke rumah huzai dengan kirin kalau-kalau bas tiada.

Bas memang tiada. Kami mengambil keputusan untuk menaiki bas jam 3.45 petang ke Butterworth. Manakala Iqbal menaiki bas jam 7.45 kerana dia ingin bercandaran dengan Wani R di Ipoh. Perjalanan pulang cukup memenatkan warga BG. Kami tiba di Butterworth lewat jam 6. Masing-masing berasa puas dengan perjumpaan kali ini. Overall nya, aku dapat berikan 2.5 bintang untuk tempat percutian kami tetapi 4 bintang untuk perjumpaan ini. Tak cukup 1 bintang sebab kecewa tak semua BG dapat berkumpul. Apa pun, percutian ini tetap mantap!

Jumaat, Disember 21, 2007

Idul Adha

SELAMAT MENYAMBUT IDUL ADHA!
MAAF ZAHIR BATIN
BERKORBANLAH DEMI MARUAH AGAMA!
Catatan ke Pangkor akan menyusul..

Sabtu, Disember 01, 2007

Dia Melawatku Dalam Mimpi

Dia melawatku. Ketika aku sedang diperaduan. Dia dengan seorang teman datang melawat aku.


Masih seperti dulu. Cerianya. Gelak tawanya. Sama. Langsung tak berbeza.


Dia datang dalam mimpiku. Dengan beruniform putih, seluar hijau. Ya. Uniform yang selalu dipakainya ke kelas. Dahulu dia melawatku dengan t-shirt kegemarannya. Hari ini dia datang dengan uniform putih.


Gerak laku dalam mimpi itu tak ubah seperti suasana dahulu. Ketika di alam persekolahan dahulu.


Dia melawatku dalam mimpiku. Moga di datang lagi.


Moga dia aman di sana.


AL FATIHAH

Allahyarham Hanif Ikhwan Husin (1988-2004)

Update

Di fasa kemalasan tahap membuak, sedikit ubahsuai telah aku lakukan.

Hanya sedikit. penambahan chat box.

Harap kemalasan untuk menambah post berkurang.

Jumaat, November 23, 2007

Cuti-Cuti Malaysia



Tahun 2007, depa kata tahun melawat Malaysia. Oleh yang demikian, aku dan mereka (beberapa rakan Bundle) merancang untuk menghabiskan masa cuti bercuti disamping menyambut kepulangan Syuk dari negara Kanggaru.




Setelah bergaduh, bertekak dan membuat research di jaringan dan pustaka, aku merasakan Pangkor cukup sesuai untuk menghabiskan masa bercuti.




Oleh itu, mari ke Pulau Pangkor!!!




Khamis, Oktober 11, 2007

Up, Up & Away



Terbang dah pun Soyuz 15-S (macam ayaq soya ja nama dia). Bangga juga aku tengok secara live dari rumah. Solat terawih pun 8 rakaat, semata-mata nak tengok roket tu terbang

Teruja. Bangga.

*Sniff* *Sniff* kembang kempis hidung.
oiii.Bangga arr...Anak Malaysia tu.
Sedang asyik tengok peti televisiyen tu, tiba-tiba dengar bunyi roket.
dekat gila.

Puuuuuuiiiuuiii Pom Pomm!!!
ceyhh..
Thunder clap budak hitam kaki pendek sebelah rumah rupanya.

Nak jadi angkasawan kut cita-cita dia.

tapi, kalau yang asyik berangan nak jadi angkasawan tapi asyik main roket kena cucuh ja, lepas tu meletup dekat tangan, tak payah la nak kecoh-kecoh..

Berubah la adik-adik..
ehh..


stok mercun bola banyak lagi. KahkahKah!!
Selamat Hari Raya..

yang di Malaysia, di perantauan, mahu pun yang di angkasa!!!



Ahad, September 16, 2007

Sedamai Fajar Ramadhan

Alunan irama mersik membangunkanku
Dewi arjuna mengalunkan irama itu
Nasi berbekas putih jadi juadah
Sunnah yang terbitkan tenaga di siang hari
Hiba, pilu dan rindu :-
Rindu ibu
Rindu bapa
Rindu keluarga
Rindu mereka

Lagu nan syahdu mulai beralun
Bergetar bersama angin nan sepoi
Tangannya melambai mengajak sujud padaNya
Tangannya melambai mengajak lahirkan al-falah
Ketayap dicapai membungkus kepala
Pelikat disarung membalut tubuh
Persis jingga cahaya neon memayungi derapan
Dingin wajahku dihembus sang angin
Yang mengenakkan dekuran mereka yang alpa
Kutempuh jua langit yang zulmat
Agar hati kelam ini jernih kembali

Terpancar kelibat mereka
Berdiri, membongkok, bersujud
Dari pondok kecil itu
Pondok suci tempat beramal

Alur wuduk bersihkan jiwa
Dua rakaat ditunaikan sempurna
Bersama khalifah dengan makmumnya
Ratib buat aku sedar
Aku hamba cukup kerdil
Kerdil umpama kuman
Kerdil umpama biji saga
Kerdil sekerdil-kerdilnya
Halaman mukjizat Rasulullah diselak
Kutelaah isinya
Tenang mula beralun di jiwa

Al-mubarak,
Kuharap berkat itu milik aku
Moga Ramadhan ini memancarkan nur
Keinsafan pada yang alpa

14 Ramadhan 1427 / Oktober 2006
Kompel al-Ghazali, KMPP



Kukarang puisi setahun yang lepas, ketika masih menjadi penuntut KMPP - tempat yang penuh memori.

Sabtu, September 15, 2007

Kenari Terbang Tinggi


PEMAIN-pemain Kedah meraikan kejayaan mereka muncul juara Piala Malaysia manakala ketua pasukan mereka, Victor Andrag (gambar kecil) menerima trofi daripada Sultan Kedah selepas menewaskan Perak 3-0 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam tadi. – Gambar NAZUDEEN MAHMUD.



KEDAH.....3
Mohd. Khyril Muhymeen (24)
Marlon Alex James (26, 81)
PERAK......0

Oleh: AMRAN MULUP

KUALA LUMPUR – Tangisan kegembiraan mengiringi kejayaan Kedah merampas kembali kejuaraan bola sepak Piala Malaysia apabila dinobatkan selaku juara edisi ke-81 menewaskan Perak 3-0 dalam perlawanan akhir yang penuh mendebarkan disaksikan hampir 81,000 penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Tiada ungkapan yang mampu diluahkan melihat keunggulan Kedah meraih kejayaan ketiga musim ini sesudah bergelar juara Liga Super dan Piala FA, kini kemarau 14 tahun ditamatkan
Kali terakhir Kedah merangkul piala berprestij ini pada 1993 tertunai juga di hadapan puluhan ribu penyokong setia hijau kuning.

Kehadiran Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah melihat pemain didikan jurulatih Azraai Khor Abdullah mempamerkan aksi paling mantap untuk mengekang Perak daripada bergelar juara.

Dua gol selang dua minit menerusi pemain lincah kebangsaan, Mohd. Khyril Muhymeen di minit 24 dan rembatan cantik Marlon Alex James pada minit ke-26 dan 81 menjadi pemusnah meranapkan impian menggunung Perak mahu menamatkan penantian tujuh tahun apabila kali terakhir menjulang Piala Malaysia pada 2000. Sejurus pengadil, Ravichandran meniupkan wisel penamat, pemain berpelukan sesama sendiri sambil rakan mereka dibangku simpanan menyerbu masuk ke padang sambil diiringi pekik sorak penyokong Hijau Kuning.

Manakala buat Perak, perlawanan akhir Piala Malaysia musim 2006-07 bakal menjadi sejarah hitam, tempang ketiadaan dua penyerang, Mohd. Khalid Jamlus dan Keita Mandjou akibat kecederaan dikeluarkan pada pertengahan babak pertama, mereka longlai apabila beraksi dengan 10 pemain selepas ketua pasukan, Ahmad Shahrul Azhar di perintah keluar padang pada minit ke-44.

Suasana stadium makin menjadi kecoh apabila sebahagian penyokong Perak yang kecewa dengan kekalahan pasukan mereka membaling mercun, botol mineral, sampah sarap dan pelbagai barangan lain ke arah penonton yang berada di bawah sejurus Marlon menjaringkan gol ketiga Kedah.

Kebuntuan jaringan gol akhirnya memihak kepada Kedah menerusi larian solo pemain kebangsaan, Mohd. Khyril Muhymeen mengelecek pertahanan Perak, Ahmad Azlan Zainal sebelum melepaskan rembatan kaki kiri menewaskan penjaga gol, Mohd. Nasril Nourdin pada minit ke-24.

Gol tersebut terus menggamatkan stadium dengan pekik sorak penyokong Kedah yang memakai jersi hijau kuning.

Belum pun reda jaringan awal Kedah itu, benteng pertahanan Perak tergamam lagi dua minit selepas itu dengan giliran Marlon Alex James yang menerima hantaran Hasmawi Hassan sambil memusingkan badan terus merembat kencang mengatasi Mohd. Nasril buat kali kedua.
Dua gol tersebut terus merentap semangat juang Perak yang beraksi dalam keadaan kelam kabut terutama di benteng pertahanan menyaksikan serangan bertali arus.

Jurulatih Perak, Steve Darby membuat keputusan mengejutkan apabila mengeluarkan dua penyerang utama, Mohd. Khalid Jamlus dan Keita Mandjou pada pertengahan babak pertama berlangsung.

Malang bertimpa buat skuad Seladang terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila ketua pasukannya, Ahmad Shahrul Azhar diperintah keluar padang apabila pengadil, C. Ravichandran melayangkan kad kuning kedua selepas dia mengkasari Sam Nelson Martin seminit sebelum rehat.

Marlon melengkapkan kemenangan bergaya buat skuad hijau kuning apabila meledakkan jaringan ketiga pada minit ke-81.



Petikan dari Utusan Malaysia. Tahniah skuad kenari! Permainan yang cukup menghiburkan dan mantap pada malam itu. Aku juga berada di stadium Bukit Jalil pada malam bersejarah itu.