Aku melangkah dengan membawa perasaan yang seolah-olah kosong (atau sememangnya kosong). Melangkah dan menuju ke situ. Soal hati, apakah ini? Adakah khabar tadi yang buat aku rasa kosong?
Aku memandang dia, yang berada dalam kurungan. Bersaiz besar dan bisa meributkan jantung sesetengah mata yang menyantap dia. Dia jadi bahan pameran. Walaupun dia tinggal bersama rakan yang lain dalam kurungan kolam itu.
Aku memandang dia. Menghayati kebesaran Ya Rabb. Dengan sisiknya yang menimbul. Dia cantik dan bersinar. Hitam kulitnya sungguh bersilau.
"Wahai khalifah bumi, dikau punya masalah?" soal dia.
"Wahai makhluk ciptaan Allah, aku keliru dengan perasaan aku. Mungkin aku runsing, mungkin aku kecewa dan mungkin aku gembira. Aku menerima satu khabaran dan aku tidak memahami perasaan yang bergelora ini."
Aku cuba berbicara dengan dia. Memandang sayu ke dalam kolam kurungannya.
"Wahai khalifah, dipertengahan kembara yang Allah ciptakan ini, ada tanggungjawabnya. Ada juga halangan dan ujian yang menjadi dinding dan tembok di pertengahan susuran itu. Jadi, kubilang ini ialah tembok yang tuan khalifah perlu daki atau pecahkan."
Dia bergerak malas di dalam kolam. Kadang-kadang berlanggaran dengan rakan-rakannya. Dan aku kembali memandang dia dan berbicara.
"Mungkin ini bicara Tuhan buatku. Mungkin ini dialog dari Ya Rabb buat diriku. Dalam kembara aku ini, aku masih bercampur dengan kemungkaran dan dosa. Masih gagal melawan pujukan sang nafsu, masih terikut dengan bisikan kejahatan sang syahwat. Aaah.. mana istiqamah itu?"
"Sahabatku sang khalifah bumi, usah melatah meratapi dugaan ini. Janganlah kau lupa setiap satu yang kita sebagai makhluk Allah SWT terima, diurus mengikut kehendak dan kasih sayangNYA."
Aku merenung susuk tubuhnya yang memanjang dan sedikit montol itu. Dia kemudian memunculkan badannya di permukaan air.
"Duhai sang khalifah bumi, Allah Maha Kaya dengan segala nikmat mencurah-curah kepada hambaNYA. Cuma percaturan itu berbeza-beza mengikut kehendakNYA yang Maha Adil lagi Maha Mengasihi. Jika kau berasa patah hati wahai khalifah, berdoalah لا حول ولاقوة إلا بال "tidak ada daya upaya dan tidak ada tenaga kekuatan melainkan dengan Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar."
Senyum kembali terukir pada wajah aku memandang dia, si ikan arapaima. Saiznya membuatkan aku merasai kebesaran Tuhan yang Maha Berkuasa dan lidah terus berbicara Subhanallah.
Dia masih tidak bergerak. Bermalasan. Rakan-rakannya masih lagi berenang dan kadangnya berlanggar dengan dirinya.
"Sahabatku khalifah Allah, jika engkau terus berdoa, dengan izinNYA, akan diperkenankan. Allah tidak akan menzalimi hambaNYA. Teringat daku pada potongan ayat Allah di dalam Surah al-Baqarah (ayat 286) :Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya...."
Dia kemudian berenang ke hujung kolam dan menjauhi aku.
Wahai pirarucu, terima kasih atas bicara ini. Aku kemudian melangkah. Menyusuri setiap lorong yang kiri kanannya tersusun rapi balang-balang kaca, yang mempamerkan pelbagai spesis ikan yang menari mengikut ritma dan irama renangan yang memukau.
Ikan arapaima, pirarucu atau paiche ialah ikan air tawar yang terdapat di Amerika Selatan dan merupakan salah satu ikan air tawar terbesar di dunia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan