Ok. Selesai sudah Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011. Yang hari-hari hujungnya sangat becak dan basah. Sebab Kuala Lumpur bermandi hujan yang tak lelah turun dan mencurah-curah.
Untuk tahun ini, aku sempat kunjunginya selama 3 hari. Dua hari bekerja, dan sehari hujung minggu dan hari terakhir pesta berlangsung.
Hari-hari bekerja sememangnya seperti jangkaan aku. Tidak sesibuk hari minggu. Hari minggu, tambah-tambah lagi hari terakhir pesta tersebut sangat menyesakkan dan agak merimaskan aku.
Untuk hari pertama, aku ke sana bersama --(@ (bukan nama sebenar. Ha ha). Hari kedua aku singgah sebelum bekejaran untuk ke LCCT (terleka sampaikan hampir-hampir ketinggalan penerbangan. Mujur ERL sediakan perkhidmatan ke LCCT yang sebelum ni aku tak tahu dan menyempatkan aku check in).
Sememangnya lawatan ketiga yang sebenarnya memberi aku masa untuk pusing ke seluruh bahagian dan berbual-bual dengan Syuk / Muhammad Teja tentang bisnes (hah!) dan berbual dengan kenalan Irannya yang juga bakal terlibat dengan bisnes (hah lagi!).
Memandangkan --(@ bekerja di sebuah makmal berdekatan hospital swasta yang mempunyai nama yang gah juga, rancangan untuk ke PBAKL terpaksa dilakukan selepas waktu bekerja. Oh, aku sangka pesta akan berlarutan hingga jam 9 malam seperti yang tercatat di bunting-bunting, rupanya selepas Maghrib banyak booth yang suda menutup tirai, terutama di tingkat 1.
Mujur booth-booth di tingkat bawah masih beroperasi dan majoriti booth-booth di tingkat ini dikuasai oleh penerbit buku-buku agama dan di satu dewan masih dikuasai oleh penerbit ulung majalah dan novel pop tanah air.
Aku agak kecewa dengan susunan booth pada PBAKL kali ini. Dan untuk booth DAWAMA, yang katanya memperjuangkan sastera tanah air, booth anda sememangnya sangat tidak menarik dan sememangnya membantutkan nafsu pembacaan aku. Bukti, aku langsung tidak membeli satu naskah pun buku atau majalah DBP tahun ini!
Memandangkan ini pertama kali --(@ datang ke PBAKL, aku hanya pusing di sekitar booth yang sempat dan menemaninya dan tak sempat nak hayati banyak buku. Jadi untuk hari pertama lawatan, buku-buku yang sempat dicapai ialah :
Sebongkah Batu di Kuala Berang - Faisal Tehrani
Novel terbaru Faisal dan pertama yang diterbitkan oleh PTS. Dan novel yang aku hanya habiskan dalam masa beberapa jam, dari perjalanan dalam erl, sambung di rumah. Seputar tentang sejarah kedatangan Islam di Tanah Melayu disamping menyelit unsur-unsur sinis terhadap industri perfileman tanah air. Aku pernah suka metod ini dalam Advencer Si Peniup Ney, tetapi dalam SBDKB ini seolah-olah novel Faisal yang kurang garam dan terlalu mengikut teori. Sebab, aku seolah-olah membaca nota-nota kuliah dari kelas TV directing dan semacam terjemahan untuk nota-nota aku pula. Sedangkan, praktikalnya, ada kalanya tak lah digunakan sangat. Agak mengecewakanlah kerana ini tulisan Faisal Tehrani, dan aku seolah-olah berasa sentuhannya sudah tidak seperti dahulu.
Dwilogi Padang Bulan - Cinta di Dalam Gelas - Andrea Hirata
Aku tak pernah membaca karya Andrea Hirata, tapi filem Lasykar Pelangi dan Sang Pemimpi yang diaptasi dari novelnya sangat mengghairahkan dan sungguh enak. Dwilogi novel ini dicetak dalam satu buku sebenarnya. Jadi itu salah satu tarikan untuk aku membelinya.
Kitab Syarah Al-Hikam terjemahan oleh Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Siri kuliah Syarah Al-Hikam setiap Rabu minggu 1 dan 3 di Masjid Biru Shah Alam mendekatkan aku dengan figura yang bernama Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ini dan sememangnya sewaktu pertama kali aku mendengar siri kuliahnya, inilah titik mula yang membuka jalan baru buat aku. Jadi, membelinya dengan harga diskaun di booth Telaga Biru memberi senyuman kepuasan buat aku.
Pemilik Cintaku Setelah Allah dan Rasul -Fatimah Syarha Mohd Noordin
Err....ok. Aku dan dia membeli buku ini. Sekian. Ha Ha. Disebabkan kekangan masa dan booth sudah mula ditutup, pada hari pertama kunjungan aku, buku-buku tersebut yang sempat aku beli. Menjumpai beberapa tulisan Syaikh Abdul Qadir Jailani dalam bahasa Indonesia, yang aku buru selama ini, namun aku harap akan beli tulisan-tulisan beliau kelak.
Hari kedua kunjungan, aku hanya berpusing di tingkat 2 kerana hari sebelum booth-booth di sini sudah ditutup. Fokus aku hanya pada buku-buku latihan PMR untuk anak saudara aku dan komik-komik yang dipesannnya. Namun, sempat juga aku singgah di booth Galeri Ilmu dan membeli buku best-seller mereka tulisan Abu Said atau Ustaz Hasrizal, trio Aku Terima Nikahnya. Untuk buku 1, aku telah milikinya dan akan dijadikan hadiah buat teman yang akan melangsungkan pernikahan.
Hari terakhir pesta sempat aku kunjungi. Walaupun PWTC dilimpahi dengan lautan manusia, aku tetap tekad untuk ke sana selepas dikhabarkan ada buku rare yang menanti. Walau ramai umat manusia di sana, tapi aku punyai masa untuk berlegar dan meluangkan banyak masa untuk membuat pilihan buku yang aku nak bawa pulang.
Comments on the Re-examination of AlRaniri Hujjatul-Siddiq: A Refutation - Syed Muhammad Al-Naquib Al-Attas
Ya. ini buku rare yang dikhabarkan oleh teman, penulis buku Tak Payah Sombong Pun Tak Apa. Keluaran Muzium Negara dan mereka hanya menjualnya dengan harga RM5 sahaja. Namun, aku rasa buku ini takkan diuliti oleh aku dalam masa yang terdekat ini kerana karya beliau, Islam and Secularism masih lagi aku belum habiskan pembacaannya dan masih di bab-bab awal.
Minda Tertawan: Intelektual, Rausyanfikir dan Kuasa - Raja Ahmad Aminullah
Ok. Booth Gerak Budaya seperti biasa mempunyai banyak buku-buku yang buat aku tak senang duduk dan semahu membelinya. Tapi, aku akan berfikir bila agaknya akan aku habiskan pembacaan, jadi aku hanya mengambil buku yang masih aku kira baru dan panas ini dahulu.
Buku-Buku tentang Jalaluddin Rumi di booth Turki
Hah. Antara buruan aku ialah buku-buku tetang Maulana Jalaluddin Rumi. Menjumpai booth penerbitan Turki di tingkat atas yang menempatkan penerbitan-penerbitan antarabangsa dan akademik sememangnya mengujakan aku. Lebih mengujakan, harga buku di booth ini bagi murah bagi sebuah buku terbitan antarabangsa. Jadi di buah buku tentang Rumi dan falsafah kecintaan dan sufinya aku beli dan dihadiahkan sebuah naskhah majalah Fountain.
Majalah Pentas keluaran terdahulu
Aku bukanlah pengikut tegar teater tanah air. Tapi di booth Istana Budaya ni aku ternampak wajah Uwei terpampang di muka hadapan majalah Pentas keluaran mereka. Disebabkan dijual 3 naskhah RM10, jadi aku terpaksa memilih secara rawak lagi dua keluaran, walaupun pada asalnya mahu membeli keluaran yang isi kandungannya temuramah dengan Uwei sahaja.
Ada beberapa novel-novel rare keluaran Pustaka Antara yang aku mahu beli. Tapi kerana leka berbincang dengan Publisher dari Iran dan hujan di luar semakin garang, aku terlupa untuk patah balik dan membeli novel-novel tersebut.
Pada aku, PBAKL kali ini kurang memberi kepuasan berbanding tahun lepas. Mungkin idea tahun lalu membuka booth di dewan seberang sungai menampakkan pesta sedikit besar skalanya dan ada beberapa booth yang aku tak jumpa pada edisi kali ini. Tapi, booth DAWAMA tetap menyedihkan. Tiga hari aku di sana, aku hanya masuk dan membelek suasana, dan tiada rasa untuk membeli buku-buku mereka.